Images
  • obor ummah pergas file
    Gambar fail Forum Obor Ummah anjuran PERGAS (Gambar fail: Facebook/PERGAS) 

KOMENTAR: Membilang warisan ilmu tokoh-tokoh agama tempatan

BERITAmediacorp: Kepentingan mengimarahkan warisan tokoh-tokoh agama silam adalah satu usaha yang penting, terutamanya dalam landskap sosial kita hari ini. Dengan cabaran yang kita hadapi, mencari penyelesaian dalam bentuk ilmu adalah satu tugas yang sukar.


Buku Obor Ummah terbitan PERGAS (Gambar: Facebook/PERGAS)

Oleh itu, adalah satu bentuk rahmat Allah SWT untuk masyarakat kita memiliki tokoh-tokoh yang telah meninggalkan banyak ilmu untuk kita warisi.

Akan tetapi, menjadi sangat penting untuk menghidupkan warisan tokoh agama kita.

Apa yang dimaksudkan ialah membaca, menilai dan memanfaatkan tulisan tokoh agama kita dan seterusnya membina dan memperbaikinya dalam pelbagai cara.

Walaupun usaha untuk berbuat demikian telah dilakukan oleh generasi sebelum, terpulang kepada generasi sekarang untuk membina apa yang telah mereka bangunkan atas nama memperbaiki masyarakat kita.

Namun, ikhtiar ini sebaiknya dipadukan dengan unsur keintelektualan yang seharusnya aktif dan berkembang maju dalam masyarakat kita. Sebenarnya unsur dan upaya ini telah lama wujud dalam masyarakat, tetapi malangnya sebahagiannya telah terkubur dari masa ke semasa. Dengan semangat penambahbaikan yang dianjurkan Islam dan juga landskap sosial kita yang berubah, elemen ini perlu diperkukuh dan dimantapkan demi kemajuan.

AMANAH WARISAN

Itulah makna warisan yang kita diamanahkan untuk kekal dan bangunkan. Dalam usaha mengaktifkan unsur keintelektualan dalam fahaman membangun warisan keagamaan kita, ia seharusnya berpangkal kepada autonomi berfikir yang menggalakkan kekritisan dan kreativiti.

Ini dapat memastikan kita boleh menjalani kehidupan yang lebih baik dari segi rohani dan material, kefahaman agama yang sesuai untuk konteks plural dan moden kita, serta advokasi menggunakan akliah, saling terpandu oleh rasa empati, keadilan sosial dan moral kita.

Ini boleh dimanifestasikan dalam pelbagai cara, bukan sahaja melalui wacana dan penulisan akademik tetapi juga dalam penghasilan seni dan budaya kita. Walau bagaimanapun, memandangkan unsur keagamaan mendasar dalam masyarakat kita, maka adalah penting untuk kita berakar dalam wacana agama tempatan kita yang telah disuburi oleh tokoh-tokoh agama setempat kita.

Ini bagi memastikan kita dipupuk dengan teguh dalam konteks dan tradisi tempatan kita kerana dengan berbuat demikian pembaikan boleh berlaku dengan cara yang organik.

Memandangkan korpus agama adalah salah satu yang sentiasa berkembang oleh penulis kontemporari kita, adalah penting terdapat sumber keserantauan dan tempatan dalam bahan bacaan kita.

Jika penggunaan kita kebanyakannya terhad kepada teks Timur Tengah, ketidakseimbangan yang terhasil adalah salah satu yang akan membantutkan perkembangan intelek kita.

Oleh itu, dalam menyebut tentang korpus bacaan agama tempatan kita, adalah wajar saya mengetengahkan karya tiga tokoh.

Setiap seorang tokoh ini mempunyai warisan tersendiri yang membezakan mereka tetapi pada masa yang sama, relevan dengan konteks kita hari ini.

USTAZ AHMAD SONHADJI MOHAMAD MILATU

Tokoh pertama ialah almarhum Ustaz Ahmad Sonhadji Mohamad Milatu (1922-2010), seorang permata dalam kalangan pendakwah agama tempatan kita, yang menulis dan menterjemah secara meluas. Warisan almarhum bukan sahaja terletak pada karya sasteranya tetapi juga pada institusi agama yang kita lihat hari ini seperti MUIS, PERGAS dan RRG.


Ustaz Ahmad Sonhadji bin Mohammad. (Gambar fail: Facebook/PERGAS)

Namun, mungkin pencapaian terbesarnya dalam bidang sastera agama ialah penulisan Abrul Athir, tafsiran penuh al-Quran yang ditulis dalam bahasa Melayu. Setakat ini, Abrul Athir adalah satu-satunya tafsir Quran tempatan yang lengkap. Bahagian lain dari warisannya terletak pada pemikiran sosio-agamanya yang kebanyakannya disuarakan melalui khutbahnya.

Sebagai contoh, beliau menyentuh isu kesaksamaan jantina dalam pendidikan pada masa di mana sesetengah masyarakat menganggap tidak perlu untuk kanak-kanak perempuan pergi ke sekolah.

USTAZ SYED AHMAD SEMAIT

Tokoh kedua ialah almarhum Ustaz Syed Ahmad Semait (1933-2006), seorang gergasi dalam bidang agama yang menulis dan menterjemah sejumlah besar karya yang masih bernilai sehingga kini.

Warisan almarhum adalah satu yang tiada tolok bandingnya dari segi hasil penulisannya kerana jumlahnya yang banyak. Mungkin karya beliau yang paling terkenal yang masih digunakan sehingga ke hari ini ialah buku Mari Belajar Sembahyang yang telah beberapa kali diterjemahkan dan diterbitkan semula.


Ustaz Syed Ahmad Bin Muhammad Bin Semait (Gambar fail: Facebook/PERGAS)

Namun, kita harus sedar bahawa legasi beliau menjangkau jauh melebihi kerja asas ini. Bahagian utama warisannya terletak pada magnum opusnya, Sahih Bukhari, sebuah karya penting dalam bahasa Melayu yang memberikan ulasan tentang hadis-hadis yang dikumpul oleh Imam Bukhari.

Bahagian lain dari warisannya terletak pada karya terjemahannya yang luas. Jika kita melihat terjemahannya, kita akan melihat bahawa banyak daripadanya adalah karya yang tidak pernah diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu, seperti karya Imam Al-Haddad.

USTAZ SYED ABDILLAH BIN AHMAD AL-JUFRI

Tokoh ketiga ialah almarhum Ustaz Syed Abdillah Bin Ahmad Al-Jufri (1938-2003), seorang tokoh agama tersohor yang berjasa besar kepada masyarakat melalui aktiviti dan tulisannya.

Almarhum dipandang tinggi oleh masyarakat dan ia mencerminkan beliau memegang peranan penting seperti Presiden PERGAS serta Pengetua Madrasah Aljunied.

Walaupun memegang jawatan ini, hasil penulisan almarhum juga meluas kerana beliau menulis dan menterjemah beberapa karya yang merangkumi beberapa topik. Contohnya buku Ilmu Agama Islam beliau yang pernah digunakan dalam sekolah kebangsaan.


Gambar fail Ustaz Syed Abdillah Bin Ahmad Bin Ali Bin Muhammad Al-Jufri (Gambar: Facebook/PERGAS)

Bagaimanapun, sebahagian besar daripada legasinya terletak pada tulisan yang berkisar tentang keperluan masyarakat untuk mendapatkan penjelasan berhubung isu-isu yang juga dikenali sebagai Kemusykilan Agama.

Buku beliau, Anda Bertanya Saya Menjawab menyentuh banyak isu yang masih relevan sehingga kini. Bukan itu sahaja, almarhum juga menulis mengenai Sejarah Islam dan juga Tafsir.

Untuk mengimarahkan warisan tokoh agama kita bukan tanpa cabaran. Salah satu daripadanya ialah kurangnya kesedaran dalam kalangan generasi muda tentang nilai tokoh-tokoh ini dan warisan mereka. Tanpa kesedaran, potensi membina karya mereka sangat terhad.

Untuk penyelidikan, kajian dan dokumentasi yang besar dapat dilakukan, perlu ada kesedaran yang kuat mengenai nilai warisan ini.

USAHA MENDOKUMENTASI WARISAN

Setakat ini, kita boleh berbangga kerana ada usaha daripada generasi asatizah semasa yang telah membilang warisan tokoh-tokoh yang disebutkan di atas.

Contohnya ialah pameran yang diadakan oleh PERGAS - Obor Ummah pada tahun 2019. Contoh dari segi penulisan adalah buku Ustaz Qusyairi Taha tentang pemikiran sosio-agama khutbah Ustaz Sonhadji yang diterbitkan oleh PERGAS.


(Gambar fail: Facebook/PERGAS)

Satu lagi ialah buku Ustaz Mubarak Habib mengenai peninggalan Ustaz Syed Ahmad Semait yang diterbitkan oleh Nusantara Books. Ustaz Firdaus Yahya juga telah mendokumentasikan legasi tokoh-tokoh agamawan di laman web beliau iaitu ibnyahya.com. Ini adalah usaha yang berharga dan harus diteruskan.

Walau bagaimanapun, dalam berbuat demikian, adalah penting untuk kita berpegang kepada nilai kritikal dan kreativiti untuk melindungi diri kita daripada dogmatisme ataupun perspektif yang agak tertutup. Dengan bersikap kritis, ini bermakna untuk merenung hasil kerja mereka dengan mengambil kira perspektif komuniti semasa dan cabaran kita.

Dan dengan menjadi kreatif, ini bermakna bukan sahaja kritis tetapi juga untuk mencari cara bagaimana untuk membina karya mereka dengan cara yang menarik kepada generasi semasa. Salah satu caranya ialah menterjemah karya mereka dalam bahasa Inggeris atau mungkin memformat semula buku mereka dalam medium yang lebih menarik minat generasi kita hari ini.

Ini akan memastikan karya mereka kekal relevan dan boleh diakses.

Walaupun ini adalah satu usaha yang mencabar, ia patut mendapat masa dan usaha kita kerana manfaatnya sangat besar. Bukan sahaja kita akan mendapat lebih banyak manfaat daripada karya mereka tetapi ia juga akan memberi inspirasi kepada generasi akan datang seperti mana warisan mereka telah memberi inspirasi kepada generasi kita.

Membilang warisan ilmu dari tokoh-tokoh agamawan setempat harus dilihat sebagai usaha membangun warisan keintelektualan dan keagamaan kita. Ia bukan suatu kemustahilan, tetapi keharusan.

Warisan ilmu, ayuh diobori.

MENGENAI PENULIS:


Ahmad Ubaidillah adalah graduan Fiqh Islam dari Universiti Yarmouk, Jordan. Beliau merupakan Sahabat Sastera di bawah Majlis Bahasa Singapura dan telah menyampaikan karya puisi Nusantara untuk Festival Puisi Singapura. Beliau juga telah menerbitkan tulisan di platform seperti Muslim.sg, Wasat Online, Karyawan dan ELEVEN. 

- BERITAmediacorp/tq

Top