Images
  • Handshake
    Gambar hiasan. (Gambar: Sincerely Media/Unsplash)

KOMENTAR: Memaafkan memang sangat dianjurkan tapi ia tidak diwajibkan dalam agama

BERITAmediacorp: Kita mempunyai pilihan untuk memaafkan atau menuntut hak. Tetapi yang ingin memaafkan pula boleh memilih memaafkan dan melupakan sama sekali kesalahan yang diakukan?

Mahkamah New Zealand lewat Ogos lalu menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup ke atas Brenton Tarrant, pengganas pelampau kulit putih, atas kesalahan melakukan serangan ke atas dua masjid yang mengorbankan 51 jiwa dan mencederakan 40 yang lain.

Sebelum mahkamah menjatuhkan hukuman, para mangsa dan waris korban diberi peluang untuk memberi pernyataan tentang kesan perbuatan pesalah ke atas mereka.

Setiap seorang meluahkan kesan pedih pada diri mereka dan berharap pesalah dikenakan hukuman yang adil.

Namun sebahagian dari mereka memaafkan si pesalah manakala sebahagian yang lain pula tidak dapat dan tidak mahu memaafkannya kerana keperitan hebat yang mereka tanggung dari kehilangan orang yang tersayang.

Sikap berbeza dan berlawanan ini pula menimbulkan perbualan di kalangan pelbagai anggota masyarakat Muslim di merata tempat tentang – manakah sikap yang betul di sisi Islam, memaafkan atau tidak memaafkan?

BERBELAH BAHAGI 

Adakah memaafkan itu wajib dan tidak memaafkan pula tercela? Dalam situasi kontras sebegini pula, tekanan terhadap mereka yang tidak mahu memaafkan wujud kerana seolah-olah telah memilih sikap yang tidak ideal bagi memaparkan imej Islam yang murni.

Ada pula yang mengaitkannya dengan sifat keji seperti berdendam dan ikut nafsu marah. Atas sebab itu juga, dalam apa jua kes kezaliman, sesetengah Muslim merasa tertekan kerana dilema antara kesedihan yang perit dari naluri kemanusiaannya dan hak untuk mendapatkan keadilan, dengan apa yang dianggap sebagai tuntutan agama, iaitu memaafkan.

Lebih membebankan lagi apabila ada jangkaan dari masyarakat atau ahli keluarga yang condong kepada memberi kemaafan.

Artikel ini ditulis bagi menjelaskan sikap yang saksama dan pilihan yang boleh dibuat oleh seseorang Muslim yang telah dizalimi melalui pembacaan terhadap ayat-ayat Al-Quran dan contoh dari Nabi s.a.w.

ANJURAN MEMAAFKAN

Tiada keraguan bahawa Islam adalah satu agama yang amat menganjurkan Muslim untuk memberi kemaafan kepada sesiapa pun yang pernah melakukan kesalahan dan kezaliman terhadapnya.

Memadai di sini untuk disebut ayat-ayat Al Imran: 34, Al-Nur: 22, Al-Shura: 40 dan Al-Taghabun: 14 sebagai rujukan.

Keutamaan dan kepentingan sifat memaafkan ini dapat dilihat dari, a) ia dijadikan salah satu sifat hamba Allah taala yang terpuji di sisiNya (Al Imran: 134), b) dijanjikan keampunan dari Allah taala (Al-Nur: 22 dan Al-Taghabun: 14) dan balasan besar yang lain (Al-Shura: 40).

Kuatnya anjuran memaafkan dalam Al-Quran dapat dilihat pada hakikat bahawa jenayah berat bunuh seperti apa yang berlaku di Christchurch pun diperuntukkan bagi si pesalah hak mendapat kemaafan dari waris korban bagi mengelak dari dikenakan hukuman bunuh (Al-Baqarah: 179).

Manakala waris yang memaafkan pula dijanjikan ganjaran besar dalam pelbagai hadis Nabi s.a.w seperti diangkat ke darjat yang lebih tinggi dan mulia di sisi Allah taala.

Oleh itu, kesalahan-kesalahan yang lebih kecil pastinya lebih dianjurkan untuk dimaafkan.

BUKAN WAJIB

Namun dari Al-Quran juga dapat dirumuskan bahawa memaafkan bukan satu yang wajib. Hal ini dapat dlihat dari Al-Shura: 40 yang mana Allah membenarkan sesiapa yang dizalimi untuk menuntut balasan yang setimpal dan menyifatkan memaaf sebagai lebih baik.

Demikian juga dari Al-Baqarah: 179 yang mana waris mangsa pembunuhan tetap diberi hak untuk memilih hukuman bunuh ke atas si pesalah bagi menuntut keadilan atau memaafkan.

Dalil lain bahawa memaafkan bukan satu perkara yang wajib ialah:

a) Allah taala sendiri yang bersifat Al-`Afuw (Maha Pemaaf), Al-Ghafur (Maha Pengampun) dan Al-Rahim (Maha Pengasih) tidak memaafkan dosa semua hambaNya sebagaimana yang disebut dalam ayat-ayat Al Imran: 129, Al-Maidah: 18, Al-Fath: 14, Al-Nisa’: 48,

b) Nabi s.a.w memaafkan ramai Arab Quraisy yang memusuhi dia setelah berjaya menguasai kota Mekah tetapi memerintah beberapa individu dibunuh atas kesalahan mereka, dan

c) kisah tentang golongan yang muflis di Akhirat yang disebut dalam hadis: “Sesungguhnya mereka yang muflis dalam kalangan umat aku ialah mereka yang datang pada hari kiamat kelak membawa pahala daripada solat, puasa dan zakatnya.

TIDAK TERCELA

Namun pada masa yang sama dia juga membawa dosa memaki-hamun sesama manusia, dosa menuduh seseorang dengan tuduhan yang jahat, dosa memakan harta orang lain dengan zalim, dosa menumpahkan darah sesama manusia, dosa memukul atau mencederakan sesama manusia.

Maka diberikan pahalanya kepada mereka yang dizaliminya ketika di dunia dahulu. Jika habis pahalanya sedangkan belum selesai tuntutan manusia ke atasnya, maka diambil dosa manusia itu lalu ditanggung ke atasnya dan akhirnya dia dihumban ke dalam api neraka.” (Riwayat Muslim).

Jika memaafkan itu wajib, sepatutnya ada celaan bagi mereka yang menuntut di Akhirat. Oleh itu, menuntut keadilan ke atas orang yang melakukan kesalahan dan kezaliman bukanlah sesuatu yang tercela di sisi Islam.

Maka tidak seharusnya pula ada stigma ke atas mereka yang membuat pilihan untuk mendapatkan keadilan dan haknya. Yang dicela ialah apabila hak itu cuba didapatkan melalui cara yang salah pula seperti diluar undang-undang.

MEMAAF DAN MELUPAKAN

Al-Quran mengguna istilah berbeza bagi sifat memaafkan. Dua yang terpenting ialah, a) al-`afw (Al Imran: 134, Al-Nur: 22, Al-Taghabun: 14) dan, b) al-safh (Al-Nur: 22, Al-Shura: 40, Al-Taghabun:14).

Al-`Afw bermaksud memaafkan sahaja (Al-Taghabun: 14), al-safh pula bermaksud memaafkan dan melupakan (Al-Taghabun: 14). Al-`Afw adalah minimum. Manakala al-safh adalah darjat lebih tinggi dan lebih baik.

Sebagaimana Muslim mempunyai pilihan untuk memaafkan atau menuntut hak, Muslim yang ingin memaafkan pula ada pilihan, sama ada untuk memaafkan sahaja atau memaafkan dan melupakan sama sekali kesalahan itu sebagaimana yang dapat difahami dari ayat-ayat Al-Quran yang disebut di atas.

Oleh itu, tiada tekanan ke atas mana-mana Muslim untuk mesti memaaf dan melupakan dan tidak patut ada stigma bagi sesiapa yang mahu memaafkan tapi sukar untuk melupakan kesalahan itu.

TIDAK BERDOSA

Islam agama yang realistik dan manusiawi. Adalah perkara yang tabi’ii bagi manusia untuk merasa pedih apabila diperlakukan dengan salah dan zalim. Seorang yang terluka pula memang perlu masa untuk memaafkan dan lebih banyak masa untuk melupakan pula.

Selain itu, manusia berbeza-beza. Bukan semua boleh mudah memaafkan, atau melupakan. Kejahatan juga berbeza-beza. Bukan semua mudah untuk dimaafkan begitu sahaja.

Ada insan yang dapat memaafkan 100 kejahatan, tapi mungkin ada satu kejahatan yang sangat berat baginya hingga tidak mudah untuk dia cepat memaafkan apatah lagi melupakan.

Oleh itu, tidak mengapa dan tidak berdosa kalau seorang Muslim tidak atau belum mahu memaafkan kesalahan seseorang, jika dia belum bersedia. Tidak mengapa juga jika dia berpada dengan memaafkan sahaja, tanpa melupakan.


MENGENAI PENULIS: 

Ustaz Muhammad Haniff Hassan, adalah Zamil di Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam, Universiti Teknologi Nanyang, NTU, Singapura. 

Top