Images
  • melayu spura
    (Gambar Hiasan: Sebilangan penduduk Melayu meraikan Hari Raya di Pulau Ubin, Jun 2019)

KOMENTAR: Melayu-Islam S’pura mungkin kecil tetapi cukup besar potensinya

Tiada suatupun yang termaktub dalam konsep ‘minoriti’ yang sepatutnya memberikan gambaran negatif seperti mana yang telah disalahfahami apabila sahaja disebut tentang masyarakat ‘minoriti’ Melayu/Islam Singapura.

Seperti yang disebutkan dalam ucapannya di Perjumpaan Hari Raya tempoh hari, Menteri Bertanggungjawab Bagi Ehwal Masyarakat Islam, Masagos Zulkifli mengajak masyarakat Melayu/Islam supaya “meninggalkan tanggapan negatif terhadap masyarakat dan diri kita sendiri.”

Masyarakat minoriti seperti kata Encik Masagos sering juga diberikan gambaran dengan ciri-ciri negatif VERB:  sebagai mangsa (Victims), berhak diberikan sesuatu (Entitled), perlukan bantuan (needing Rescuing) dan suka menyalahkan orang lain (always Blame others).

Pada hakikatnya masyarakat Melayu/Islam Singapura, terutama sekali pada awal pemodenan pulau ini sekitar dua kurun lalu,  mungkin lebih sesuai diberikan jolokan masyarakat ‘minoriti kreatif’, sebagaimana istilah ‘Creative Minority’ yang digunakan oleh sejarawan Arnold Toynbee.

‘MINORITI KREATIF’

Toynbee menggunakan istilah ‘minoriti kreatif’ untuk menggambarkan sejumlah kecil manusia kreatif yang bertanggungjawab dalam pembentukan sesebuah tamadun.

Beliau berpendapat bahawa sesuatu tamadun itu berkembang kerana adanya sejumlah kecil manusia kreatif ini dalam mencetuskan idea-idea atau kaedah-kaedah yang membolehkan masyarakat mereka menangani cabaran dan menghuraikan masalah yang dihadapinya.

Masyarakat minoriti Melayu/Islam Singapura mungkin tidak mengharapkan jolokan terlalu tinggi sebagai kumpulan minoriti yang bertanggungjawab dalam membina sebuah tamadun baru di pulau ini.

Tetapi kalau sejarah Melayu dari zaman Sang Nila Utama hingga ke zaman empayar Melaka, kepada zaman kerajaan Melayu Johor-Riau hinggalah kepada kerajaan kesultanan Melayu Malaysia hari ini berputik dari Singapura,  tidakkah ini sedikit sebanyak memberikan gambaran bahawa pulau ini mempunyai keistimewaannya sendiri dalam menghasilkan sesuatu tamadun baru.

BANGKIT SEMULA

Begitulah halnya walaupun Singapura telah lenyap peranannya ekoran beberapa kali menjadi medan konflik serantau sekitar pertengahan kurun ke-17, ia tetap dapat bangkit semula selepas diberi nafas baru pada awal kurun ke-19.

Seperti yang pernah diperhatikan beberapa sarjana, mereka melihat bahawa masyarakat Melayu Singapura terutama pada zaman ‘pembukaanya semula’ sekitar lewat kurun ke-19 dan awal ke-20,  menunjukkan ciri-ciri  kosmopolitan dan perbandaran yang tinggi.

Bagi sarjana seperti Joel Kahn umpamanya, beliau melihat masyarakat Melayu Singapura sebagai ‘the Other Malays’ kerana ciri-cirinya yang berlainan daripada masyarakat Melayu Semenanjung Melayu, umpamanya.

Pertama sekali Melayu Singapura,  kebanyakannya bukan orang tempatan tetapi masyarakat Melayu ‘pendatang’ yang berhijrah ke sini – baik dari kepulauan Riau, Padang, tanah Jawa, pulau Bawean hinggalah dari sejauh tanah Bugis - lantas ia dilihat sebagai masyarakat yang tinggi daya geraknya (highly mobile).

Mereka juga dilihat sebagai bijak dalam berniaga dan berjual beli tanah, pandai dalam urusan pinjaman wang dan juga dalam tanaman kontan (tanaman untuk jualan).

INKLUSIF DAN TERBUKA

Justeru, untuk menjalani kehidupan sedemikian mereka tentunya perlu ‘bersikap rasional, sedia menerima perubahan dan berpegang pada fahaman agama yang luas, inklusif dan terbuka.’

Inilah nilai-nilai kosmopolitan dan pebandaran yang telah lama menjadi amalan di kota-kota pelabuhan utama rantau ini, tetapi tidak di kawasan-kawasan pedalaman yang masih terikat pada kehidupan pertanian dan nilai-nilai feudalnya.

Daripada masyarakat awal Melayu/Islam Singapura inilah kemudian lahirnya sebuah masyarakat pebandaran dan kosmopolitan yang walaupun berhadapan dengan pelbagai cabaran pemodenan tetap melahirkan ciri-ciri kreatif lebih-lebih lagi di peringkat kepimpinan masyarakat.

Ini terutama sekali apabila masyarakat Melayu/Islam Singapura terputus sama sekali kaitannyaa dengan kepimpinan tradisional/bangsawan apabila sistem corak tradisional berakhir dengan pemindahan pentadbiran Temenggong dari Telok Belangah ke Johor Baharu pada 1866.

Ia meninggalkan kesan perubahan paradigma kerana ia bermakna bahawa masyarakat Melayu tidak lagi bergantung kepada pucuk pimpinan tradisional dengan nilai-nilai lamanya untuk menentukan masa depan mereka.

PEMIKIRAN PROGRESIF

Masyarakat Melayu Singapura, mulai lewat kurun ke-19, kini lebih bergantung kepada kepimpinan masyarakat Melayu yang lebih ‘progresif’ dan kepimpinan masyarakat Islam yang lebih luas terutama mereka yang berketurunan Arab dan India.

Di kalangan mereka inilah lahirnya tokoh-tokoh pendidikan, penulis dan wartawan seperti Haji Mohamad Said, yang pernah disifatkan sebagai ‘sejarawan modernis pertama’ yang mempelopori pemodenan Bahasa Melayu.

Begitu juga dengan seorang tokoh modernis seperti Haji Abbas Mohd Taha, salah seorang pengasas akhbar pembaharuan pertama di dunia Melayu, Al Imam; yang pernah disifatkan oleh William Roff sebagai penerbitan yang berpegang pada pandangan bahawa “Islam sebagai agama dinamik yang sejajar dengan kemajuan.”

Pokoknya, Singapura dan pucuk pimpinan Melayu/Islamnya menjadi pelopor kepada ‘pemikiran modernis’ yang merupakan ‘antara komponen penting pemodenan masyarakat Melayu/Islam ketika itu.’

Kesan pengaruh dan kesedaran yang dibangkitkan oleh ‘pemikiran progresif’ sedemikian adalah tercetusnya semangat nasionalisme Melayu dan perkembangan dalam pelbagai bentuk budaya dan keseniaan seperti kewartawanan, penulisan kreatif, seni teater, muzik dan perfileman.

PUSAT PEMIKIRAN

Maka itu tidaklah hairan apabila dalam dekad-dekad kemudiannya Singapura mampu menjadi ‘pusat pemikiran dan kebudayaan Melayu/Islam’ yang utama di Nusantara khususnya dalam lima dekad pertama kurun ke-20.

Melihat kepada perkembangan sejarah yang dilalui oleh masyarakat Melayu/Islam Singapura pada tahun-tahun awal kurun ke-20 ini, tidak seharusnya menghairankan kita ia memanglah sebuah masyarakat ‘minoriti kreatif’ yang digambarkan oleh Toynbee.

Menoleh kepada hari ini dan dengan memandang ke hadapan, kedudukan masyarakat Melayu/Islam sebagai kumpulan minoriti bukanlah suatu beban yang harus dirintihkan.  Malah dengan merenung pada sejarahnya, ia seharusnya menjadi inspirasi bagi generasi Melayu/Islam hari ini bahawa masyarakat Melayu/Islam Singapura cukup mewah dengan warisannya untuk  menjadi masyarakat minoriti Melayu/Islam contoh.

CEMERLANG DAN GEMILANG

Dengan memahami sejarahnya yang panjang itu, seperti yang dapat kita gambarkan di atas, kedudukan minoriti masyarakat Melayu/Islam itu tidak dijadikan alasan untuk terus memeluk tubuh dan berdiam diri.

Tetapi ia telah dijadikan peluang bagi masyarakat untuk terus berusaha gigih dalam menangani cabaran-cabaran yang dihadapinya berdasarkan nilai-nilai progresif, keterbukaan, inklusif dan cukup kreatif.

Inilah juga nilai-nilai yang harus terus dipertahankan sekiranya masyarakat Melayu/Islam Singapura mahu menampilkan dirinya sebagai masyarakat minoriti yang cemerlang dan gemilang.


- BERITAmediacorp/IB

Top