Images
  • woman surfing internet
    Gambar fail seorang wanita sedang menggunakan internet di Singapura. (Gambar: JEWEL SAMAD/AFP)

KOMENTAR: Media digital wadah pencerahan atau menambah kedangkalan

Antara banyak persoalan yang semakin hangat dibahaskan di kalangan sesetengah pakar hari ini adalah: Dengan  meluasnya media digital dalam masyarakat, apakah ia menjadikan kita semakin bijak dari segi kesedaran jiwa dan perkembangan intelek atau sebaliknya?

Apakah kita kini semakin celik dari segi pemikiran, penguasaan ilmu dan pencerahan umumnya, atau apakah kita sebenarnya bertambah dangkal, semakin bebal,  anti-ilmu dan pemikiran?

Malah apakah kita semakin mudah percaya kepada yang bukan-bukan dan senang sekali diperdayakan dengan pelbagai maklumat yang diputarbelit?

Bagi pengamat dan penulis teknologi seperti Nicholas Carr, inilah yang menjadi persoalan utama kepadanya dalam The Shallows:  What the Internet Is Doing to Our Brains (2017).

Carr, yang juga penulis, Does IT Matter? (2014) dan The Big Switch (2008), menyoal apakah yang sebenarnya berlaku kepada kita akibat penggunaan meluas digital media hari ini, lebih-lebih lagi dari segi keupayaan kita memproses ledakan maklumat yang datang mencurah-curah.

SEMAKIN ‘CETEK’

Bagi Carr, kesannya adalah banyak sekali terutama ke atas corak pemikiran kita sendiri di mana terdapat kemungkinan kita sebenarnya semakin ‘cetek’ dalam memproses maklumat dan dalam kita menilai sesuatu yang kita terima dalam bentuk wadah digital.

Akibat revolusi digital yang semakin pantas terutama sejak sedekad lalu, dengan teknologi digital dan penggunaan berbagai aplikasi semakin meluas, semuanya menjadi lebih mudah - mudah untuk mendapatkan maklumat, berhubungan, mendidik dan mempelajari sesuatu, malah juga untuk berhibur, beriadah dan bermain secara talian. 

Bagi penulis seperti Carr persoalannya bukanlah apakah tiada manfaat besar kepada kemanusiaan dengan penggunaan meluas media digital ini. Manfaatnya memang besar dan tidak perlu dinafikan.

Apa yang dipersoalkannya adalah apakah kita sudah cukup menyedari bahawa disamping semua manfaat besar itu, sebenarnya terselit kesan-kesan buruk yang jika tidak dikawal atau difahami dengan teliti boleh mengakibatkan kesan jangka panjang yang lebih besar lagi.

KEHILANGAN KEMAHIRAN

Dengan menggunakan beberapa kajian, Carr mahu menunjukkan bahawa disamping semua manfaat dan kebaikan itu, kita mungkin kehilangan beberapa kemahiran penting terutama sekali dalam berfikir secara mendalam.

Sebagai contoh, pengamat seperti Carr menganggap bahawa kemahiran seperti ini hanya boleh diraih menerusi pembacaan buku-buku ‘biasa’ (baik dalam bentuk kertas atau pun e-buku) dan bukannya dengan kaedah menyusur laman-laman sesawang.

Bagi beliau perbuatan sedemikian hanya menjadikan kita sekadar pandai ‘melompat-lompat’ mencari serpihan maklumat, tetapi mungkin agak cetek dalam membuat telaah yang sepatutnya.

Ini yang membimbangkan orang seperti beliau yang menganggap bahawa masyarakat atau generasi yang terlalu bergantung kepada wadah digital sebagai bahan ilmu atau maklumat akan kehilangan keupayaan menjadi ‘pemikir’ yang mendalam seperti generasi-generasi lalu yang banyak bergantung kepada pembacaan mendalam.

SEKADAR PERMUKAAN

Bukan sahaja kebanyakan pengguna bahan digital lebih gemar sekadar mengimbas dari satu maklumat ke maklumat lain, kebanyakan daripada kita juga mudah beralih perhatian dengan cepat dari satu perkara ke perkara lain.

Jadi bukan sahaja kita kurang berikan perhatian mendalam, malah juga cepat beralih atau teralih perhatian (distracted) ke perkara-perkara lain – kesemuanya membawa kesan kepada pemerhatian dan pemahaman sekadar di permukaan sahaja. 

Malah Carr juga menggunakan kajian pakar-pakar bahawa kaedah pembacaan secara imbas lalu atau ‘skimming’ akan akhirnya membawa perubahan kepada kita dari segi ‘pemwayaran'  otak kita.

Oleh kerana yang dipanggil ‘plasticity’ – di mana otak kita boleh berubah dengan tabiat dan perbuatan harian yang berubah – kemahiran kita menelaah ilmu dan berfikir umumnya juga boleh berubah, jika ada perubahan pada ‘alat-alat’ utama yang kita gunakan untuk mengasah kemahiran tersebut.

KESAN KE ATAS MASYARAKAT

Jika dilanjutkan hujah yang digunakan oleh Carr, oleh kerana pembacaan dan pemikiran mendalam adalah kemahiran asas kepada manusia mewujudkan peradaban kita hari ini, kehilangan kemahiran sedemikian akan juga mengancam ‘kemanusiaan’ atau sifat manusiawi kita.

Kebimbangan para pengkaji seperti Carr adalah kesan-kesan saintifik dan ‘neurologi’ akibat penggunaan teknologi digital yang meluas.


Kalau kajian mereka memang ada benarnya, bayangkan bagaimana pula kesan-kesan sedemikian terhadap masyarakat yang  tradisi atau amalan berfikirnya masih kurang mantap.

Bagi masyarakat sedemikian, termasuklah masyarakat Melayu-Islam di rantau ini,  ia tentunya menimbulkan  cabaran besar bagi kita semua.

Persoalan asas adalah bukannya untuk menolak penggunaan media digital – memang kita terima buat masa ini kebaikannya adalah jauh lebih besar daripada bahaya – adalah untuk memastikan wadah tersebut tidak terus disalahgunakan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab.

PENCERAHAN ATAU KEDANGKALAN

Masalah kita adalah mereka yang tahu menggunakan wadah digital untuk tujuan-tujuan baik adalah jauh lebih kecil daripada mereka yang menggunakannya untuk tujuan dan matlamat yang tidak betul, baik sengaja atau pun tidak sengaja. 

Mereka yang menggunakannya untuk menambah pencerahan di kalangan masyarakat biasanya kurang mendapat perhatian daripada mereka yang jauh lebih berminat dalam menambah kedangkalan kita.

Lihat sahaja dalam media sosial yang kerap kita gunakan untuk berhubungan dan mendapatkan maklumat terkini, ia semakin dipenuhi dengan maklumat dan berita yang semakin sukar disahkan kebenarannya atau pun tinggi dari segi nilai ilmunya.

Lebih buruk lagi maklumat-maklumat yang tersebar luas itu memang sengaja diputarbelit atau diperbesar-besarkan asalkan ia mendatangkan faedah-faedah tertentu kepada pihak penyibar.

TIDAK BERTANGGUNGJAWAB

Melihat kepada konteks kita hari ini, maklumat yang sering diperbesar-besarkan adalah mengenai ketegaran dan fahaman-fahaman tertentu yang membawa kepada pemikiran dan amalan kehidupan yang sempit.

Kalau tidak dari segi menggalakkan budaya kebendaan yang dangkal dengan tujuan mengalakkan pembelian barang-barang mewah dan berstatus tinggi, ada pula yang membuat penganjuran ke arah pemikiran dan amalan agama yang sempit dari sudut yang lain pula.

Misalnya dengan menggalakkan pemikiran bahawa untuk menjadi umat Islam yang sejati kita haruslah hanya menyokong barangan atau perkhidmatan yang benar-benar ‘patuh syariah’ yang disediakan oleh mereka sahaja.

Mereka yang membuat anjuran demikian mungkin tidak ada niat lain kecuali untuk maslahat masyarakat sahaja.

Tetapi apa pun niat, sekiranya mereka memang terlibat dalam penyebaran sesuatu maklumat atau tafsiran yang memperdaya masyarakat,  ia sudah cukup menjadikan mereka tidak bertanggungjawab.

LANGKAH PENCEGAHAN

Penyebaran maklumat seumpama itu sahaja sudah mencukupi untuk mengikis kemampuan masyarakat  membuat pertimbangan yang arif dan bijaksana terhadap sesuatu isu.

Daripada menambahkan pencerahan, mereka sebaliknya meningkatkan lagi kedangkalan yang mungkin menjadi bertambah buruk lagi pada masa depan.

Gejala dangkal begini nampaknya tidak memerlukan teknologi digital canggih seperti yang dibimbangkan oleh Carr.

Ia sudah pun wujud dalam masyarakat dan mungkin menjadi bertambah buruk lagi jika tiada langkah-langkah pencegahan yang berkesan diambil segera.


- BERITAmediacorp/IB

Top