Images
  • Masagos
    Menteri Sekitaran dan Sumber Air, Masagos Zulkifli. (Gambar: MBMS)

KOMENTAR: Masyarakat Melayu S’pura dapat ‘terbang tinggi dan jauh’

BERITAMediacorp: Mengetahui apa yang perlu dibentuk serta mempunyai matlamat akhir yang tepat boleh membantu masyarakat Melayu/Islam Singapura mencatat kemajuan lebih pesat walaupun berhadapan dengan pelbagai cabaran. Dalam ucapannya di Majlis Perjumpaaan Hari Raya Menteri pada 26 Jun lalu, Menteri Bertanggungjawab Bagi Ehwal Masyarakat Islam Masagos Zulkifli telah menggariskan ciri-ciri yang perlu dibina oleh masyarakat Melayu/Islam dalam menentukan sama ada ia boleh terus terbang tinggi ataupun rebah ke tanah. Berikut sedutan ucapan beliau itu:


(Gambar fail: AFP/Roslan Rahman)

SAYA baru pulang dari Jerman minggu lalu menaiki pesawat A380. Sebagai seorang jurutera, saya faham bagaimana kapal terbang, boleh terbang tinggi. Begitupun, saya masih berasa takjub setiap kali saya melihat sebuah pesawat berlepas dan mendarat.

Ini kerana tidak masuk akal bagaimana pesawat yang diperbuat dari campuran logam seberat 600 ton, sama dengan berat 100 gajah, boleh melayang di udara. Justeru dalam Al-Quran manusia disuruh merenungkan kejadian terbangnya burung-burung.

Surah Al-Mulk, ayat ke-19, bermaksud: “Dan apakah mereka tidak melihat kepada burung-burung terbang berkawan-kawan dan mengatupkan sayapnya? Tidaklah ada yang menahan mereka, melainkan Tuhan yang Maha Pengasih [ar-Rahman]. Sesungguhnya Dia, Tuhan, atas tiap-tiap sesuatu adalah memandang.”

Rupanya penerbangan tertakluk pada peraturan yang sangat mudah. Untuk sesuatu boleh terbang, kita harus tahu mengimbangi 4 daya kuasa – supaya daya tujah atau thrust dapat mengatasi daya seret atau drag, dan daya angkat atau lift harus mengatasi daya graviti.

Saya anggap, ini juga satu contoh bagaimana sifat ar-Rahman mencurah pada kita, yang mana sesuatu yang tampak rumit, sebenarnya mudah dihuraikan jika kita fahami prinsip-prinsip asas di sebaliknya.

Hanya dengan kemampuan mengendali dan memahami empat daya kuasa tersebut, logam yang berat boleh terbang melayang bersama isinya!

APA YANG PERLU DILENTUR

Ada satu lagi perkara pokok yang membolehkan daya angkat menerbangkan sebuah pesawat apabila didorong daya tujah - ia terletak pada bentuk sayapnya – atau pada bentuk yang disebut ‘aerofoil design’.

Begitu juga dengan masyarakat Melayu/Islam Singapura. Masyarakat kita, jika kita tahu apa yang perlu dilentur, saya pasti dapat terbang tinggi dan jauh.

Kita tidak boleh lari daripada hakikat ini. Jika kita ingin menyembuhkan apa sahaja yang menjadi kepincangan masyarakat kita, kita juga harus ada matlamat akhir yang tepat.

Bentuk atau ciri masyarakat kitalah yang akan menentukan sama ada kita akan terbang tinggi didorong tujah dari pendidikan dan ekonomi yang memberangsangkan, walaupun menghadapi seretan dari cabaran dan tekanan hidup yang bertubi-tubi. Jika bentuk tidak tepat, kita rebah ke tanah.

Kita boleh mengambil iktibar dari apa yang mentransformasikan masyarakat padang pasir Arab hingga menggegarkan empayar Parsi dan Rom dan membawa ‘Renaissance’ pada Eropah.

Maka apakah ciri-ciri masyarakat yang perlu kita bina hingga kita dapat terbang bersama?


(Gambar hiasan: SAEED KHAN / AFP)

KELUARGA KUKUH PERMULAAN BAIK

Usaha pertama adalah untuk memupuk keluarga yang kukuh. Seringkali usaha kita tertumpu pada keluarga berisiko kerana mereka memiliki ciri-ciri yang membimbangkan.

Namun penting pendekatan dan paradigma tidak menganggap mereka sebagai mangsa yang perlu diselamatkan tetapi sebagai bakal pemimpin yang berpotensi iaitu “Not victims but potential leaders”.

Sebab itulah, kita bukan setakat membantu mereka harungi cabaran seharian tetapi membantu mereka membina dan mengembangkan aset-aset dalam keluarga, walau sekecil manapun dan seawal-awalnya semasa mendirikan rumahtangga.

Usaha ini memerlukan pendekatan yang sangat berbeza dari hanya memberikan sahaja apa yang mereka mahu demi kononnya menghormati kewibawaan mereka.


(Gambar: BERITAMediacorp)

PENDIDIKAN SEPANJANG HAYAT

Kedua, jika ketua keluarga tidak mampu untuk meningkatkan pendidikan kerana sibuk mencari nafkah, maka mereka harus dibantu supaya anak-anak mereka mendapat pendidikan yang terbaik.

Keluarga yang kukuh sedar bahawa pendidikan adalah kunci untuk memperbaiki kedudukan mereka dan membina aset keluarga.

Ini bermula dengan menitikberatkan pendidikan awal untuk kanak-kanak dan memastikan pendidikan mereka terus disokong sejauh-jauhnya.

Bagi keluarga sebegini, kita perlu membantu mereka untuk meningkatan kemahiran dan menyemai budaya pembelajaran sepanjang hayat.

Bagi yang berpotensi besar, kita perlu memberikan bimbingan kerjaya atau mentorship melalui interaksi dengan golongan karyawan demi meluaskan rangkaian kenalan dan menggilap kemahiran mereka sekaligus mencetus peluang untuk mereka berkembang.

Pendek kata, masyarakat berpegang pada pendidikan sepanjang hayat adalah ciri masyarakat kedua yang kita harus bina bersama.


(Gambar: Lee Li Ying)

WARGA AKTIF MEYUMBANG

Ciri ketiga masyarakat yang kita inginkan ialah warga yang aktif menyumbang kepada masyarakat dan negara, apalagi yang sudah mencapai kejayaan.

Mari sama-sama kita menyingsing lengan dan turun padang untuk membantu golongan yang memerlukan.

Kukuhnya sebuah masyarakat adalah apabila semua dapat berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah.

Selama ini ramai melibatkan diri dalam mengatur pentadbiran di masjid-masjid dan badan-badan Melayu/Islam.

Saya gembira karyawan mapan kita sudah pun menyahut bergabung dengan MESRA demi memperkasakannya. Ayuh, kita kekalkan budaya berjasa kepada masyarakat.

MASYARAKAT BERSATU PADU

Individu yang hebat tidak menjadikan masyarakat yang hebat jika tidak bersatu padu – walaupun setiap mereka berhemah dan banyak membantu.

Justeru, ciri keempat adalah masyarakat yang bukan sahaja penyayang tapi juga bersatu padu.

Dalam memperkatakan masyarakat bersatu padu, pada Mei lalu, saya berpeluang bertemu dengan Imam Besar Al-Azhar, Syeikh Dr Ahmad Al Tayyeb semasa lawatan beliau ke Singapura.

Dengan merujuk kepada Al Quran dan Hadis, Syeikh Al Tayyeb menyatakan bahawa Islam menganjurkan penganutnya supaya berlaku baik dan adil terhadap semua orang, tidak kira orang Islam atau yang bukan Islam.

Beliau juga menekankan peri pentingnya perpaduan dalam masyarakat majmuk seperti Singapura – berpegang teguh kepada ajaran agama kita, di samping itu, menjadi seorang yang bergiat dalam masyarakat serta menghormati agama, kepercayaan dan budaya berbeza.

MUIS telah memuatnaikkan video pertama dalam siri video pandangan Imam Besar mengenai agama Islam dan penganutnya. Jika dengan masyarakat majmuk yang bukan Islam, kita dipesan supaya berpadu seperti yang kita lihat dalam video sebentar tadi, berat lagi kewajiban tersebut jika ia menyentuh masyarakat kita sendiri.

Perpaduan adalah ciri penting supaya masyarakat maju bersama. Tanpanya sifat ego, tidak puas-hati atau marah, kita akan menyerang sesama sendiri.

Atau kita merasakan kita sahajalah yang benar dan mengajar anak didik kita supaya jangan bersama dengan orang yang tidak sependapat dengan kumpulan kita. Awaslah kepada hasutan dan desakan yang sebenarnya bertujuan memecah-belahkan kita kerana mahu kita rebah dan lemah.

Berpihaklah kita pada kesepaduan, kerana mereka yang mahu bersatu padu merupakan yang tahu merendah diri.


(Gambar: MUIS)

RANGKA KERJA M3

Kesepaduan masyarakat kita mesti tercermin dalam kerjasama dan haluan bersama institusi-institusi induk masyarakat kita – MUIS, MENDAKI dan MESRA – yang selama ini, saya menyebutnya sebagai 3M.

Kerana banyak sudah digunakan istilah 3M, saya akan gantikan istilah gandingan mereka dengan M3 (M-tiga) iaitu simbol matematik ‘M kuasa tiga’ melambangkan kuasa yang berganda apabila mereka bergabung.

Jika permisalan masyarakat ialah sebuah kapal terbang, maka M3 adalah pengemudi dan juruterbangnya.

Saya gembira M3 telah pun menemui pelbagai peluang bekerjasama demi meningkatkan lagi keberkesanan program masing-masing dengan memanfaatkan keunikan kekuatan mereka – yang disebut low-hanging fruits. Izinkan saya beri beberapa contoh.

Project Positive, sebuah inisiatif yang telah dijalankan buat pertama kali oleh Mendaki Ramadan lalu, menyokong peningkatan kemahiran dan pembelajaran sepanjang hayat bagi keluarga bergaji rendah.

Dengan menawarkan kursus seperti pertukangan, membuat roti dan menjahit, para peserta diberikan peluang untuk mempelajari kemahiran asas yang mereka boleh manfaatkan untuk menambah pendapatan keluarga.

Project Positive telah membantu mereka meningkatkan taraf hidup, dan gabungan M3 sedar mereka boleh menambah lagi keberkesanannya.


(Gambar: Youtube)

RANGKAIAN AKAR UMBI

Sementara MENDAKI menyediakan peluang peningkatan diri kepada para ibu bapa, MESRA pula, dengan rangkaian akar umbi, boleh mendekati kanak-kanak melalui inisiatif seperti Program Bola Sepak Kanak-kanak PAssion anjuran Persatuan Rakyat (PA).

Ini akan memupuk nilai-nilai positif seperti kerjasama dan daya tahan dalam diri kanak-kanak. Kursus-kursus peningkatan kemahiran untuk ibu bapa juga boleh dianjurkan di bawah Siri SHIOK, suatu inisiatif yang dilancarkan MESRA pada Januari lalu.

MUIS pula boleh menambah keperluan mereka dengan agihan zakat jika diperlukan dan pendidikan agama di masjid-masjid.

Contoh kedua pula ialah dalam perihal zakat. Dalam memupuk sebuah masyarakat penyayang, salah satu rukun Islam, iaitu zakat, sangat penting.

Setiap tahun, MUIS memberikan bantuan kewangan zakat kepada kira-kira empat ribu keluarga Islam. Saya gembira kerana kutipan wang zakat telah meningkat, daripada $22.8 juta pada 2010, kepada $44.2 juta pada 2017, seganda.

Alhamdulillah, masyarakat kita kini semakin berkemampuan, dan pada masa yang sama, mempunyai semangat memberi yang amat kuat.


LEBIH BANYAK USAHA

Dengan kutipan yang lebih besar, MUIS telah diamanahkan untuk melakukan lebih banyak usaha.

Pada Ramadan lalu, MUIS menaikkan kriteria kelayakan Pendapatan Per Kapita, atau PCI bagi bantuan kewangan zakat, daripada $350 kepada $400. Berkat sifat penyayang masyarakat kita, tambahan 700 keluarga akan meraih manfaat daripada bantuan kewangan zakat.

Selain daripada menghubungkan golongan yang memerlukan kepada skim-skim bantuan yang ada di peringkat nasional, MUIS juga sudah mengusahakan supaya mereka boleh memanfaatkan skim pemerintah melalui kerjasamanya dengan MESRA.

Malah melalui kerjasama dengan Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF), serta Pejabat Khidmat Sosial (SSO), MUIS telah meningkatkan kesedaran masyarakat dan memperbaiki sistem rujukan kes.

MENDEKATI MASYARAKAT LAIN

Contoh ketiga: PA MESRA dan MAEC berperanan penting untuk mendekati masyarakat lain bagi menggalakkan pemahaman tentang agama Islam serta adat budaya masyarakat kita, juga pemahaman masyarakat kita pada yang lain.

Bulan Ramadan telah menyajikan pelbagai peluang. Misalnya, MESRA bekerjasama dengan masjid-masjid untuk menganjurkan majlis iftar di mana orang bukan Islam juga diundang.

Beberapa MAEC juga mengagihkan bubur kepada para penduduk Islam dan bukan Islam. Saya amat berbangga kerana kegiatan-kegiatan ini melibatkan sukarelawan daripada pelbagai latar belakang, termasuk Persatuan Hua Yuan, Persatuan Alumni Institut Teknologi India di Singapura, and Persatuan Bijhar.

Tetapi MESRA tidak boleh berpuas hati dan berhenti setakat ini sahaja. MESRA boleh menjadi jambatan untuk membawa aktivis masjid supaya juga bersama dalam perayaan dan pergaulan kaum lain secara yang boleh diterima demi menguatkan lagi hubungan silang agama dan bangsa.

MESRA juga boleh melibatkan mereka dalam kerja-kerja akar umbi di luar dari masjid supaya berpeluang mempraktikkan sentuhan Rahmah orang Islam mendekati masyarakat dan jiran mereka tidak kira bangsa dan agama – seperti anjuran Imam Besar Al Azhar.

Jelas, lebih banyak yang boleh dicapai sekiranya MESRA berganding bahu dengan rakan-rakan kongsi, terutamanya MUIS dan MENDAKI.

Kami pemegang jawatan Pemerintah akan melakarkan rangka yang lebih erat antara M3 supaya kita selaras menyokong pemerintah mengatasi beberapa masalah dalam masyarakat kita.

Saya akan mengumumkan initiatif-initiatif tersebut pada masa-masa mendatang setelah memahami cara terbaik menggembleng kekuatan M3 bersepadu.

USAHA SEGENAP MASYARAKAT

Masyarakat kita telah mencatat kemajuan yang membanggakan, tetapi perjalanan kita masih jauh. Masyarakat lain juga telah maju.

Misalnya, dalam pendidikan, 40 peratus masyarakat Melayu mempunyai pendidikan pos-menengah atau selebihnya, berbanding 51 peratus masyarakat Cina dan 63 peratus masyarakat India.

Kita perlu lakukan yang lebih baik. Dunia hari esok akan membawa bersamanya perubahan dan gangguan.

Banyak pekerjaan bakal pupus, tetapi banyak lagi pekerjaan baru akan wujud. Jika setiap daripada kita terus berbekalkan azam dan ketekunan yang telah mendorong kita buat sekian lama, saya yakin kita pasti dapat lakukan yang lebih baik lagi.

Bukan sahaja isu kos sara hidup yang perlu kita tangani. Masyarakat Melayu/Islam kita juga harus mengatasi ancaman terhadap kehidupan sosio-agama kita.

Masih wujud fahaman berbahaya yang mengganggu budaya dan nilai-nilai kita serta mengancam cara hidup kita. Kita mesti berjuang menawan minda masyarakat, dan sekiranya kita gagal, masyarakat dan negara kita akan berpecah belah.

Setiap anggota masyarakat – ibu bapa, yang muda dan yang tua, para pekerja, para pelajar dan asatizah – harus bersatu hati.


RANGKAIAN BADAN MELAYU/ISLAM

Penyelesaian masalah masyarakat kita terletak pada usaha bersepadu M3 yang akan dikuatkan lagi dengan rangkaian badan-badan Melayu/Islam.

Beberapa tahun kebelakangan ini, saya bersyukur berpeluang mengenali badan-badan Melayu/Islam kita dengan lebih dekat lagi.

Mereka telah lama menyokong kemajuan segenap lapisan masyarakat – contohnya, menyokong pembelajaran anak-anak kita serta membantu golongan memerlukan agar tidak terpinggir.

Badan-badan seperti Jamiyah, Pertapis dan Muhammadiyah tidak asing lagi dengan usaha murni mengendalikan rumah-rumah kebajikan, sementara PPIS dan AMP komited untuk menyokong pembangunan keluarga, seperti menganjurkan program kaunseling bagi pasangan yang ingin bercerai serta program persiapan bagi pasangan bawah umur dan pasangan yang berkahwin semula.

Saya dan pasukan saya juga komited untuk terus menyokong usaha badan-badan Melayu/Islam demi pembangunan masyarakat.

Memandang ke hadapan, adalah menjadi tumpuan utama M3 untuk berkolaborasi dengan badan-badan masyarakat setempat agar sokongan yang diberi kepada masyarakat lebih bersepadu, bermutu dan berpanjangan.

MASYARAKAT CEMERLANG DAN LUAR BIASA

Kita mesti berusaha untuk membudayakan wawasan ini agar bukan sahaja badan-badan masyarakat diperkukuh, tetapi lebih daripada itu, kita mesti melahirkan masyarakat yang cemerlang dan luar biasa.

Sebagai langkah permulaan, sebuah pejabat bersama MUIS dan MENDAKI akan ditubuhkan di Wisma Geylang Serai pada akhir tahun ini.

Ternyata masyarakat kita masih berpegang utuh kepada semangat gotong-royong. Sikap ihsan kita jelas terpapar, dengan ramai yang sedia tampil ke hadapan untuk membantu termasuk karyawan dan badan-badan Melayu/Islam.

Harapan saya agar lebih ramai lagi yang akan menyokong program M3.

BANTU MASYARAKAT BERDIKARI

Ulama tersohor, Sheikh Abdul Qadir al-Jailani dalam khutbahnya pernah berkata: “Sesuap makan yang diberi kepada orang yang kelaparan adalah lebih baik dari mendirikan seribu masjid, lebih baik dari kain bersulam yang menutupi Kaabah, lebih baik dari solat semalaman, lebih baik dari berjihad di jalan Allah, dan lebih baik dari berpuasa dalam panas terik sepanjang tahun.

Ketika sesuap makan masuk ke dalam perut orang yang kelaparan, terpancar cahaya bagai sinaran mentari. Berbahagialah mereka yang memberi makan kepada golongan yang lapar dan dahaga.”

Khutbah itu dikatakan paling pendek dalam sejarah tapi tidak kurang tajamnya.

Jika hanya memberikan sesuap makan kepada mereka yang memerlukan, memberikan kita ganjaran yang begitu besar, apalagi jika kita membantu mereka hingga mereka mampu berdikari dan membantu orang lain pula.

Hingga mereka mampu membeli tiket kapal terbang untuk terbang ke mana-mana sahaja yang mereka mahu dan bila-bila sahaja.

Ciri-ciri ‘aerofoil’ dalam membina masyarakat iaitu keluarga yang kukuh, pendidikan sepanjang hayat, masyarakat yang penyayang dan bersatu padu, serta warga yang aktif menyumbang – adalah sayap masyarakat kita, untuk terbang sama tinggi dengan rakan-rakan kita yang lain di Singapura mahupun di persada dunia.


MENGENAI PENULIS:
Masagos Zulkifli Masagos Mohamad ialah Menteri Sekitaran dan Sumber Air merangkap Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam.

- BERITAMediacorp/nk

Top