Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Masih ada cabaran-cabaran struktural dalam memartabatkan bahasa Melayu

Sempena perasmian Bulan Bahasa 2021, marilah kita memasyarakatkan lagi penggunaan bahasa ibunda kita. Budaya dan seni memberikan suntikan segar yang boleh menarik ramai lagi untuk menggunakan bahasa Melayu dengan baik.

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Tahniah buat Dr Noramin Farid, Hyrul Anuar dan Marina Yusof atas pelantikan sebagai Duta-Duta Bahasa yang baharu!

Sebagai seorang Duta Bahasa yang dilantik tahun lalu, perjalanan saya menggalas amanah besar sejauh ini amat memuaskan.

Setiap tahun, ada tiga atau empat Duta Bahasa dilantik dan keluarga Duta Bahasa ini semakin membesar. Duta-Duta Bahasa ini mempunyai latar belakang yang berbeza-beza.

Tahun ini, Duta-Duta yang baru lebih berlatarbelakangkan seni dan warisan dan Duta-Duta sebelum ini termasuk doktor, peguam, pengacara, artis, asatizah, ahli akademik dan sebagainya.

Masyarakat kita mungkin sudah sedia maklum dengan sambutan Bulan Bahasa setiap tahun yang diadakan dari bulan Ogos hingga Oktober. Sepanjang dua bulan tersebut, bukan hanya acara-acara bersangkutan bahasa yang ditawarkan.

Pasti ramai yang menantikan lagu tema bulan bahasa tulisan Allahyarham Cikgu Muhammad Arif Ahmad dan gubahan Cikgu Abdolah Lamat.

Bahasa Melayu amat penting bagi masyarakat Melayu, kerana ia adalah salah satu daripada tiga tunggak identiti, selain agama dan budaya. Maka sebelum ini, asatizah juga pernah dilantik sebagai Duta Bahasa kerana golongan ini menggunakan bahasa Melayu dalam berdakwah. Kaitan bahasa dan penyebaran agama mempunyai sejarah panjang, terutamanya apabila Islam disebarkan ke Nusantara beberapa kurun dahulu, bahasa Melayulah yang menjadi pengantaraannya.

Dalam masa yang sama, unsur budaya juga penting untuk memasyarakatkan lagi penggunaan bahasa ibunda. Budaya dan seni memberikan suntikan segar yang boleh menarik ramai lagi untuk menggunakan bahasa Melayu.

Dengan pendekatan budaya, yang mengikut peredaran zaman, pasti ramai yang tidak akan menganggap bahasa Melayu bahasa yang statik, atau hanya untuk kegunaan mereka yang berusia, atau sekadar wadah perbincangan para sarjana pengajian Melayu di universiti-universiti tempatan.

ISU-ISU BERSANGKUTAN BAHASA

Isu-isu yang sering menjadi tumpuan pencinta bahasa boleh dibahagikan kepada tiga.

Pertama adalah kebimbangan bahawa penggunaan bahasa Melayu di rumah semakin menurun. Ini diperteguh lagi dengan dapatan Banci 2020 yang dikeluarkan pada tahun ini. Ramai yang prihatin bahawa bahasa Melayu akan satu hari akan pupus jika hal ini tidak dibendung. Apakan daya, inilah hakikat di mana bahasa Inggeris menjadi bahasa global dan bahasa utama pembelajaran di sekolah-sekolah.

Namun, jika diteliti dapatan Banci 2020 ini, ramai yang masih menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa kedua. Peratusan yang menggunakan bahasa Inggeris dan Melayu di rumah sahaja meningkat daripada 79.4 peratus kepada 82.8 peratus dalam masa sedekad. Bagi masyarakat Melayu yang menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa utama di rumah, 90 peratus masih menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa kedua di rumah.

Isu kedua yang sering menjana perbezaan pandangan adalah penggunaan sebutan baku. Projek untuk menyelaraskan penggunaan bahasa Melayu baku di sekolah dimulakan sekitar dua puluh tahun lalu. Saya masih ingat perubahan ini yang berlaku semasa saya di bangku sekolah rendah pada tahun 1990an. Bagi saya, transisi daripada pengunaan bahasa Melayu Johor dan Riau itu tidak menimbulkan masalah secara peribadi tetapi saya tidak boleh menyatakan perkara yang sama buat teman-teman saya. Mentelah lagi, sebutan baku itu tidak diamalkan di Malaysia.

Tetapi ada juga kelebihan dengan lidah yang sudah terbiasa dengan sebutan baku. Saya lebih selesa apabila berkomunikasi dengan teman-teman dari Indonesia. Secara peribadi, sebutan baku amat berguna bagi saya yang melakukan wawancara dan kajian lapangan di Indonesia. Ramai di sana berpandangan saya ini seorang warga Indonesia yang berasal dari daerah Sumatera. Tetapi, secara amali, saya lebih cenderung menggunakan sebutan Johor dan Riau kerana itu diamalkan dalam keluarga sendiri. Amat sering pejuang-pejuang bahasa baku yang menegur tetapi saya terima teguran tersebut dengan hati yang terbuka dan akan cuba memperbaiki diri.

Kadangkala apabila kita berbincang soal penggunaan bahasa baku, kita lupa pesanan Cikgu Suratman Markasan, seorang tokoh sastera dalam masyarakat kita. Dalam satu makalahnya pada tahun 1987, beliau berpandangan bahawa bahasa baku harus ada dua ciri.

Yang pertama adalah “kemantapan dinamis, yang berupa kaedah dan peraturan yang tetap”. Tetapi yang sering dilupakan adalah ciri kedua, di mana beliau tegaskan, ia harus “memiliki ciri kecendekiawan... yang mengungkap proses pemikiran dari pelbagai bidang ilmu dan teknologi moden tanpa menghilangkan keperibadiannya.”

Kadangkala perbincangan soal bahasa baku lebih menjurus kepada soal sebutan dan pertuturan dan bukan soal intelek.

Isu ketiga adalah kemasukan perkataan-perkataan Inggeris dalam kosa kata Melayu. Pasti ramai yang akan menegur saya apabila menggunakan istilah seperti kapitalisme, individualisme, hegemoni, dan sebagainya dalam penulisan-penulisan saya.

Ini pasti akan menimbulkan kritikan:

Mengapa tidak menggunakan istilah-istilah Melayu? Mungkin ada benarnya kritikan tersebut dan secara peribadi, saya harus tingkatkan usaha untuk menggunakan perkataan-perkataan Melayu sebaik mungkin. Tetapi bagi saya, yang lebih utama adalah perbincangan baik atau buruknya “peniaga-peniaga yang meraih untung berlebih-lebihan” (kapitalisme) atau “sifat suka mementingkan diri sendiri daripada masyarakat” (individualisme) atau “kuasa-kuasa luar yang tidak dibendung” (hegemoni).

Kita juga perlu akur bahawa perihal mengambil kosa kata luar berlaku bertahun-tahun bagi setiap masyarakat: misalnya perkataan-perkataan Sanskrit seperti syurga dan neraka sama juga dengan perkataan Arab jannah dan nar.

Semasa kecil dahulu, apabila saya belajar cara-cara sembahyang, tidak pernah ustaz saya yang menganggap saya ini kurang Islam!

MERAIKAN EVOLUSI BAHASA

Perbezaan-perbezaan di atas itu semuanya menarik tetapi ia juga meminggirkan isu-isu struktural yang lebih ketara dalam masyarakat Melayu di Singapura bersangkutan bahasa.

Kita sering katakan penggunaan bahasa Melayu di rumah berkurangan tetapi pernahkah kita memikirkan bagaimana untuk memperbanyakkan tenaga pengajar bahasa Melayu di tahap prasekolah?

Buat masa ini, hanya beberapa pusat saja yang menawarkan bahasa Melayu di peringkat prasekolah. Jika kita serius untuk memartabatkan bahasa Melayu sejak kecil, kita perlukan sumber untuk melatih lebih ramai guru prasekolah dan juga menarik ramai pemegang diploma atau graduan kita untuk menceburi ke arah tersebut.

Usaha ini harus selari dengan usaha memperkayakan bahan-bahan sastera kanak-kanak dalam bahasa Melayu.

Harapan saya adalah satu hari nanti kita akan berikan satu anugerah khas dalam Anugerah Guru Arif Budiman buat guru bahasa Melayu prasekolah.

Seterusnya, kita perlu mempergiatkan acara-acara bahasa di luar Bulan Bahasa.

Malah sokongan ini bukan hanya tertumpu kepada acara yang menggunakan bahasa Melayu saja tetapi juga yang bersifat dwibahasa. Saya fikir bantuan kepada acara-acara dwibahasa sebegini tidak seharusnya terlalu ketat kerana kita perlu akur, majoriti dalam masyarakat menggunakan bahasa Melayu dan bahasa Inggeris.

Sehubungan dengan itu, kita perlu faham keupayaan berbeza dalam penggunaan bahasa. Bagi yang tidak boleh bertutur langsung dalam bahasa Melayu mungkin boleh didedahkan kepada peringkat asas dan yang sudah mahir ke arah program-program wacana dan penulisan.

Kita tidak harus menghukum golongan pertama dan pembelajaran bahasa menjadi lebih menarik jika ia tidak dikaitkan dengan peperiksaan semata-mata.

Masyarakat juga perlu memanfaatkan pelbagai kaedah pembelajaran untuk mendekati golongan-golongan yang berbeza: ada yang senang belajar lewat lisan, ada pula lewat penglihatan dan ada pula lewat pendengaran.

Bagi saya, kita juga perlu mengutamakan peningkatan kualiti sastera kita. Tidak ada gunanya jika kita hanya memperjuangkan penggunaan bahasa yang baik tetapi mesej atau inti pati bahasa itu kosong pengajarannya. Tidak akan berkesan apabila kita meletakkan fokus pada linguistik saja tetapi menyampaikan berita-berita yang sudah ketinggalan.

Ini penting kerana masyarakat sentiasa ada akses kepada berita-berita lewat agensi-agensi berita antarabangsa setiap saat. Lebih bermasalah kalau pejuang-pejuang bahasa berfahaman romantisisme atau kanan dan hanya mengagung-agungkan bahasa Istana, sedangkan kita mahu menggerakkan masyarakat kita ke arah masyarakat yang celik digital. Malah kita juga perlu mendedahkan masyarakat kita dengan konsep-konsep kemanusiaan sejagat lewat bahasa Melayu.

Justeru, bahasa Melayu tetap ada masa depan, lebih-lebih lagi jika kita mahu tahu tentang rantau ini. Tetapi kita perlu juga membiasakan diri dengan penggunaan bahasa di Indonesia kerana ia akan menjadi satu negara besar pada masa akan datang.

MENGENAI PENULIS:

Dr Norshahril Saat. (Gambar: Dr Norshahril Saat)
Sumber : BERITA Mediacorp/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan