Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Martabatkan budaya menulis dalam golongan muda; bukan tulis kerana nama

Bagaimana penulis-penulis muda boleh didorong untuk terus berkarya bukan kerana mengharapkan penganugerahan atau pun nama?

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Bagaimana penulis-penulis muda boleh didorong untuk terus berkarya bukan kerana mengharapkan penganugerahan atau pun nama?

Pada hujung minggu lalu, Encik Hamed Ismail telah dinobatkan sebagai penerima Anugerah Tun Seri Lanang 2020/2021. Ini adalah pengiktirafan tertinggi dalam kategori Anugerah Persuratan yang diberikan oleh Majlis Bahasa Melayu Singapura (MBMS).

Ia meletakkan Encik Hamed sebaris dengan tokoh-tokoh sastera Rasiah Halil, Johar Buang dan Nadiputra, penerima hadiah tersebut sebelum ini. Selalunya, apabila seseorang sebut tentang sastera, ramai yang akan mengaitkannya dengan puisi, sajak, cerpen, atau novel.

Sumbangan Encik Hamed merangkumi beberapa genre dan beliau juga pernah memenangi hadiah-hadiah sastera hasil karya-karya tersebut. Namun beliau lebih dikenali sebagai seorang tokoh dalam penulisan skrip drama pentas dan televisyen. Sejauh ini, beliau telah menghasilkan lebih 500 buah skrip drama televisyen.

Encik Hamid, yang juga dikenali dengan sifat kesantunannya, mempunyai fikiran yang sangat tajam. Malah kehadiran beliau dalam acara-acara ilmiah, baik berkenaan dengan sastera atau acara-acara wacana lain, dapat dirasakan. Sifat rendah diri ini perlu dicontohi kerana beliau menunjukkan sifat belajar yang amat mendalam termasuk daripada golongan yang lebih muda daripadanya.

Selain daripada Encik Hamed, antara pemenang-pemenang anugerah persuratan tahun ini adalah Jamal Ismail bagi kategori cerpen dan novel, Farihan Bahron bagi kategori sajak, dan Rilla Melati Bahri bagi sastera kanak-kanak. Anugerah anumerta Tun Seri Lanang pula diberikan kepada Almarhum Zaidy Nandir atas sumbangan beliau kepada penulisan lirik lagu dan juga dikir barat.

PELBAGAI GENRE

Sejauh manakah budaya menulis ini masih terpahat dalam masyarakat kita? Maklumlah, kita sekarang ini hidup dalam zaman TLDR (too long, don’t read) atau terlalu panjang, tidak akan baca. TLDR sebenarnya bukan masalah golongan muda atau milenial sahaja, malah dalam setiap lapisan masyarakat masa kini.

Dalam era digital ini, bukan sahaja maklumat disampaikan dengan pantas, ia juga disebarkan menerusi pelbagai sumber dan merangkumi pelbagai perspektif, sehingga pembaca harus menapis mana yang sahih, mana yang relevan dan mana yang boleh dijadikan manfaat.

Mentelah, informasi bukan hanya disampaikan lewat tulisan, tetapi juga info-grafik. Ada pembaca yang lebih mudah meresap maklumat melalui paparan video ringkas yang disertakan muzik, sebagai contoh.

Justeru, peranan drama tidak boleh diperlekeh kerana bagi sesetengah orang ia berkesan dalam menyampaikan maklumat berbanding cara-cara lain seperti makalah, buku, esei dan sebagainya.

LEBIH EFEKTIF

Biarpun ada pelbagai wadah dalam penyampaian sesuatu maklumat, kualiti sesuatu penulisan itu perlu dipertimbangkan. Sebelum ini, saya telah menulis tentang bagaimana sasterawan boleh memainkan peranan sebagai pemerhati masyarakat.

Malah dalam sebuah masyarakat yang tidak memungkinkan idea-idea kritikal atau alternatif disuarakan, sastera memainkan peranan tersebut. Selain itu, saya yakin tulisan-tulisan sastera boleh dijadikan bahan rujukan sejarah kerana ia adalah luahan isi hati penulis yang memerhatikan masyarakat sekitarnya.

Kadang-kadang mesej atau teladan yang ingin disampaikan oleh sasterawan itu lebih efektif berbanding jika disampaikan dengan cara terus-terang. Banyak drama-drama karya Encik Hamed memaparkan masalah sosial seperti masalah dalam keluarga, masyarakat kelas pertengahan, dan golongan terpinggir.

MARTABATKAN BUDAYA PENULISAN

Apakah dengan tersebar luasnya pengaruh media sosial maka budaya menulis akan semakin terhakis? Saya rasa ada kesan media sosial terhadap kualiti penulisan, namun ia tidak harus dijadikan hambatan untuk sasterawan kita untuk terus berkarya.

Kesan penulisan ini berbeza daripada menyampaikan sesuatu ceramah. Penulisan memakan masa yang lebih panjang dan ia memaksa seorang penulis membaca draf-draf penulisan berkali-kali, dan itu pun kalau ada penerbit yang sudi menerbitkannya.

Proses penulisan juga memastikan bahawa idea-idea penulis itu benar-benar utuh sebelum dikirimkan kepada penerbit. Dalam erti kata lain, ada pihak kedua atau ketiga yang akan menyaring penulisan kita. Ada yang mungkin menganggap proses saringan ini sebagai sesuatu yang menghambat karya kreatif, yang mengurangkan autonomi penulis.

Sebaliknya, jika penulis mendapat editor atau penyunting yang baik, ia akan hanya menaikkan taraf penulisan seseorang penulis. Kadangkala, karya penulis itu mungkin ditolak oleh penerbit, tetapi ini sebenarnya akan menguatkan lagi iltizam penulis untuk mempertingkatkan mutu penulisan.

Bagi saya sendiri, ada karya-karya saya ditolak, atau “tidak lulus saringan”. Memang memilukan, tetapi ia juga menyuntik semangat saya untuk terus mempertingkat kualiti penulisan dengan lebih baik.

Kadangkala, komen-komen daripada pihak penerbit inilah yang membenarkan kita mengatasi titik buta dalam pemikiran atau idea-idea kita. Ada kalanya, kita merasa penulisan kita sudah baik, tetapi idea kita sebenarnya tidak sampai kepada pembaca.

TIDAK HARAPKAN PENGIKTIRAFAN

Kesemua penerima anugerah persuratan tahun ini mengucapkan rasa bersyukur atas kemenangan mereka. Menariknya, mereka tidak pernah mengharapkan apa-apa pengiktirafan pun dalam usaha-usaha mereka. Malah, ada di kalangan mereka yang sudah menulis selama berpuluh-puluh tahun sebelum melihat hasil karya-karya mereka diiktiraf.

Buat pemenang Rilla Melati pula, beliau kini telah menempah nama dalam menulis sastera kanak-kanak, satu aspek yang jarang ditempuh oleh penulis-penulis kerana ia mungkin kurang mendapat perhatian pembaca.

Namun, kita perlu selami apakah matlamat utama menulis dan apakah yang mendorong penulis untuk terus menulis walaupun kadangkala ia tidak mendapat perhatian? Kalau kita hanya mengharapkan pengiktirafan atau keuntungan, saya fikir tidak ramai yang akan menceburi penulisan sastera kanak-kanak ini.

BUKAN KERANA NAMA

Kita perlu memartabatkan budaya menulis ini. Hakikatnya, karya-karya penulisan lebih kekal berbanding wadah-wadah lain. Lihat sahaja bagaimana puisi-puisi Munsyi Abdullah dan Tuan Simi di zaman penjajahan kurun 20 masih dibaca dan memberi sumbangan kepada wacana dalam masyarakat hingga ke hari ini.

Inilah mungkin satu dorongan utama penulis, supaya memberi kesan kepada sesuatu masyarakat untuk merenung nasib masyarakat masing-masing. Biarpun karya kita tidak dibaca generasi sekarang, tidak mustahil ia dibaca generasi mendatang.

Dengan pemberian anugerah-anugerah persuratan ini adalah diharapkan agar masyarakat kita terus berkarya, sesuai dengan genre, kepakaran dan minat masing-masing. Sebagaimana penulis-penulis ingin menjadi nadi pembangunan masyarakat, dengan suara-suara kritis, begitu juga penulis perlu bersedia menerima teguran dan kritikan.

Adalah diharapkan agar penulis-penulis muda bersedia untuk belajar daripada tokoh-tokoh yang telah lama berkecimpung dalam bidang penulisan ini. Saya yakin penulis-penulis mapan ini tidak pernah menulis kerana nama.

MENGENAI PENULIS:

Dr Norshahril Saat. (Gambar: Dr Norshahril Saat)
Sumber : BERITA Mediacorp/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan