Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Manfaatkan pengertian Maal Hijrah yang lebih mendalam

Peristiwa Hijrah merupakan titik tolak penting dalam sejarah Islam. Bagaimana ia masih relevan dalam  pergolakan umat hari ini. 

Anggaran Waktu Membaca:
KOMENTAR: Manfaatkan pengertian Maal Hijrah yang lebih mendalam

Sambutan Maal Hijrah di S'pura, 19 Ogos 2020

Setelah berbulan-bulan hidup di bawah bayangan COVID-19 dengan segala sekatannya ke atas kehidupan kita, mungkin tidak lagi menghairankan mengapa Awal Muharam tahun ini juga disambut dengan penuh kesederhanaan.

Tetapi semangat yang ditayangkan, seperti juga bagi sambutan-sambutan perayaan Islam sebelum ini, masih tetap melambangkan ketabahan bertahap tinggi.

Umat Islam baik di sini atau di mana-mana sahaja tidak menunjukkan sikap putus harapan dan mudah kalah.

Seperti masyarakat lain, umat Islam juga bersikap pragmatik, malah proaktif, dalam bersama-sama berusaha untuk membendung penularan virus korona.

Ini semua diterima dan dilakukan dengan  lapang dada, walaupun ia menjejas banyak sambutan dan amalan ibadah sehingga merubah bentuk pelaksanaannya hari ini.

Dengan perkembangan dunia masih lagi berlatar belakangkan ancaman pandemik ini, adalah bertepatan juga penghargaan dan sanjungan dikhaskan untuk golongan barisan hadapan dalam kita menyambut Maal Hijrah tahun ini.

Ia sedikit sebanyak melambangkan sifat Islam yang penuh rahmah dan sedia mensyukuri setiap usaha baik demi menjaga kemaslahatan dan kemakmuran untuk semua.


PENGHAYATAN LUAS

Ia juga mencerminkan penghayatan kita yang lebih luas tentang erti menjadi seorang Muslim yang jati yakni Muslim yang faham tanggungjawabnya sebagai seorang indidvidu dan juga sebagai anggota masyarakat atau warga negara.

Dua dimensi dalam Islam ini – dimensi peribadi dan dimensi masyarakat – memang sentiasa ditekankan dalam Islam sehingga umat Islam yang terbentuk daripadanya kerap merupakan mereka yang seimbang dalam memenuhi pelbagai tuntutan dan tanggungjawab ke atas dirinya.

Hanya mereka yang kurang memahami ajaran sebenar dan intipati Islam ini yang biasanya kurang seimbang dalam penghayatan mereka.

Tetapi Muslim yang memahaminya pula amat mengerti bahawa kehidupan seseorang Muslim itu tidak sempurna jika ia hanya mementingkan kemaslahatan (termasuk ibadah peribadinya sahaja), sehingga tidak mengambil berat terhadap apa yang berlaku dalam masyarakat sekelilingnya.

PERSOALAN UMAT

Oleh itu dalam umat Islam bermuhasabah sebagaimana yang biasanya digalakkan sempena Awal Muharam, renungan dan perhitungan yang dibuat haruslah juga melibatkan soal dan isu-isu yang menjejas umat Islam dan juga masyarakat umum, malah juga masyarakat antarabangsa yang lebih luas lagi.

Kalau dalam soal umah Islam misalnya, perlulah direnungkan tentang kedudukan umat dan apakah cabaran-cabaran yang dihadapinya hari ini.

Baik bagi umat Islam tempatan mahupun umat Islam di negara-negara lain, kita bolehlah merenungkan tentang bagaimana mereka menangani cabaran dan sejauh mana setiap daripada mereka itu berjaya mengatasi cabaran masing-masing ataupun sebaliknya.

Dalam membuat renungan ini kita boleh membezakan apakah yang menjadi faktor penting bagi sesebuah masyarakat Islam itu maju dan berjaya dalam mengatasi cabaran-cabarannya ataupun gagal sama sekali.

Tentunya antara faktor penting itu adalah jenis kepimpinan yang wujud dalam sesebuah masyarakat tersebut.

BEBAN MASALAH

Jika corak masyarakat dan kepimpinannya tidak meletakkan jangkaan yang tinggi terhadap mutu dan corak kepimpinan yang diinginkan, besar kemungkinan masyarakat itu dibebani dengan pelbagai masalah dan krisis.

Keadaan begini biasanya berlaku kerana kekosongan kepimpinan dalam kebanyakan masyarakat Islam hari ini,  kerap diisikan dengan jenis pemimpin yang bermasalah.

Bukan sahaja di antara mereka ini kurang bermutu dari segi kepakaran dan kewibawaan, malah juga ada yang amat terbatas dari segi mutu akhlak, etika dan juga keupayaan berfikir.

Renungkan sahaja pelbagai masalah penyelewengan, rasuah dan penyalahgunaan kuasa di negara-negara yang menggelarkan diri sebagai negara Islam.

Dalam kita merenungkan peristiwa Hijrah, kita akan dapati antara pengertian sebenar yang boleh dipelajari adalah perubahan besar pada corak kepimpinan yang dibawakan oleh Rasulullah itu sendiri.

KESAN BESAR

Namun, apa yang dibawakan oleh Rasulullah adalah perubahan sedikit demi sedikit, yang walaupun ada yang melihatnya sebagai kecil tetapi mempunyai kesan kumulatif yang cukup besar.

Kerap kemampuan baginda memimpin dilihat sebagai faktor penting yang membolehkan apa yang diperjuangkannya sebagai ‘revolusi sederhana’ pada mulanya, berubah menjadikan Islam antara agama terunggul di dunia.

Kebijaksanaan kepimpinan Rasulullah terletak pada keupayaannya menerapkan ajaran-ajaran baru Islam ke atas sistem dan nilai-nilai masyarakat Arab jahiliyah ketika itu.

Banyak amalan masyarakat jahiliyah yang tidak adil dan keras menindas yang semakin dipersoalkan ketika itu, akhirnya berjaya terhapus apabila Islam akhirnya dapat diyakinkan sebagai alternatif yang lebih baik.

Ini semua boleh berlaku kerana kepimpinan bijak dan berhemah Nabi Muhammad dalam meyakinkan para pengikut baginda dan masyarakat umum yang lain terhadap kebenaran dan ketulusan ajaran-ajaran Islam.

PERSPEKTIF SEGAR

Melihat kepada faktor kepimpinan Rasulullah dan peranannya dalam perubahan sejarah ketika itu, memberikan kita perspektif yang lebih segar tentang mengapakah peristiwa Hijrah cukup bermakna kepada kita semua.

Jika setiap aspek sejarah awal Islam itu diperhatikan dengan teliti kita boleh menghayati pentingnya faktor kepimpinan dalam membawa transformasi dan perubahan ke atas masyarakat.

Ia adalah faktor kepimpinan yang memahami bahawa setiap perubahan yang hendak dibawa itu mestilah mengambil kira keadaan masyarakat dan persekitaran di sekelilingnya.

Seperti dengan zaman Nabi sebelum penghijrahan baginda, masyarakat Islam hari ini juga berada di satu lagi persimpangan perubahan baik di peringkat tempatan ataupun global.

Kalau dahulu masyarakat Islam yang awal itu mempunyai Rasulullah untuk memimpin mereka, kini umat Islam perlulah  bergantung kepada kemampuan setiap umat itu sendiri untuk menyiapkan barisan kepimpinan berwibawa masing-masing.


Sumber : BERITA Mediacorp/ib
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan