Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Manfaatkan peluang ekonomi, lakukan penyesuaian kepada norma baru

Para pelajar dan pekerja Melayu/Islam harus bersedia meninjau landsksap baru yang sedia ada dan merancang untuk merebut peluang-peluang perniagaan pada masa depan.

Anggaran Waktu Membaca:
KOMENTAR: Manfaatkan peluang ekonomi, lakukan penyesuaian kepada norma baru

(Gambar: Marcus Mark Ramos)

BERITAmediacorp: Para pelajar dan pekerja Melayu/Islam harus bersedia meninjau landsksap baru yang sedia ada dan merancang untuk merebut peluang-peluang perniagaan pada masa depan.

Penularan COVID-19 sering disebut-sebut sebagai penyumbang kepada norma atau kebiasaan baru dari segi kehidupan seharian mahupun pekerjaan atau perniagaan.

Apakah langkah-langkah yang perlu dilaksanakan supaya masyarakat Melayu/Islam boleh kekal relevan dan bersedia berdepan dengan norma baru dunia pasca COVID-19?

Meskipun keadaan ekonomi begitu suram buat masa ini akibat penularan COVID-19, masih ada peluang dalam sektor-sektor tertentu yang masih berkembang.

Sektor-sektor jagaan kesihatan, farmaseutikal dan e-dagang masih menawarkan peluang pekerjaan. Sektor teknologi dan telekomunikasi mungkin akan dipacu oleh permintaan struktur, seperti pelancaran rangkaian 5G di Singapura. Sektor-sektor yang berkaitan dengan pemerintah seperti kerja sosial akan kekal relevan.

Industri-industri yang berkaitan dengan pelancongan dan perjalanan dari dan ke luar negara serta khdimat pelanggan terjejas teruk oleh penularan COVID-19. Langkah-langkah pembendungan jangkitan akan membawa kesan besar kepada penggunaan privet.

Para pekerja dan pemilik syarikat serta perusahaan mikro dalam sektor-sektor tersebut, termasuk perniagaan dari rumah, akan terjejas. Ramai dalam kalangan masyarakat Melayu/Islam yang bekerja dalam sektor-sektor sedemikian.

MENYESUAIKAN DIRI

Para pekerja di Raffles Place. (Gambar fail: Marcus Mark Ramos)

Para pekerja dan pemilik syarikat perlu memahami dan memanfaatkan berbagai skim bantuan yang ditawarkan, termasuk dana latihan untuk membantu mereka dalam mengurus dan mengurangkan kos serta mengurangkan keperluan langkah-langkah untuk mengurus tenaga kerja lebihan.

Para pekerja perlu memanfaatkan masa ini untuk meningkatkan kemahiran. Para siswazah seharusnya membina resume mereka dengan melakukan kerja-kerja sukarela atau membuat permohonan untuk menyertai program-program pelatih di pelbagai sektor meskipun ia tidak semestinya menawarkan peluang pekerjaan tetap.

Tujuan utamanya adalah untuk menunjukkan bahawa mereka melakukan perkara-perkara yang bermanfaat buat masa ini. Ini penting ketika menjalani interviu pekerjaan kelak supaya berupaya membezakan diri daripada pemohon-pemohon yang lain.

NORMA BARU

Ada sesetengah penganalisis yang berpendapat bahawa situasi sekarang menunjukkan kemunculan norma atau kebiasaan baru dari segi sektor-sektor pekerjaan dan peluang-peluang perniagaan.

Norma baru menyediakan ruang bagi masyarakat setempat untuk membuat penyesuaian dalam berdepan dengan cabaran-cabaran dan peluang-peluang masa depan.

Pengetahuan kewangan dan sikap cermat adalah penting memandangkan paras hutang akan meningkat sementara ekonomi akan tumbuh lebih perlahan. Lantaran itu, pengurangan perbelanjaan merupakan sesuatu yang boleh dijangkakan bagi enam hingga 12 bulan akan datang.

Kadar inflasi yang rendah – sekurang-kurangnya dalam jangka pendek – bermakna margin untung perniagaan akan berkurangan dan gaji menjadi lebih rendah. Lantaran itu, kita perlu merancang kewangan lebih awal dan meminta nasihat mengenai liabiliti kewangan sedia ada.

Sebaliknya, ini juga bermakna barangan dan perkhidmatan, selain makanan yang dijual, mungkin menjadi lebih murah pada masa terdekat.

LANDSKAP BARU

Gambar fail para pelajar menggunakan tablet. (Gambar: Damien Meyer/ AFP)

Revolusi digital akan diteruskan dan lantaran itu, adalah penting bagi pemerintah dan masyarakat serta keluarga untuk mendukung teknologi dan dasar-dasar awam yang bertujuan untuk mengurangkan ketidaksamarataan antara keluarga-keluarga dari segi akses kepada produk-produk dan perkhidmatan teknologi yang perlu dianggap sebagai keperluan asas.

Memandangkan penularan COVID-19 menekankan peri penting kepelbagaian rangkaian bekalan, syarikat-syarikat kecil dan sederhana (SME) serta pekerja mereka perlu diberi peluang di Singapura dan rantau ini.

Ini adalah masa yang baik bagi mereka untuk meninjau-ninjau landsksap baru sedia ada dan merancang untuk merebut peluang-peluang perniagaan pada masa depan.

Landskap korporat dan pasaran buruh mungkin akan berubah di tengah-tengah margin untung yang berkurangan dan lebih banyak syarikat yang bergabung.

Lantaran itu, adalah penting bagi para pelajar dan pekerja Melayu/Islam untuk sentiasa menerima maklumat tentang perkembangan terkini dalam dunia korporat supaya lebih memahami tentang peralihan yang mungkin berlaku.

Mereka kemudian boleh merancang untuk meningkatkan kemahiran mereka bagi mengharungi landskap masa depan.

PELBAGAI PELUANG

Selain pemerintah, syarikat-syarikat diberi peranan lebih luas dari segi inovasi, pembangunan ubat-ubatan, sistem-sistem jagaan kesihatan dan memastikan akses kepada wadah-wadah perhubungan.

Tumpuan kepada Alam Sekitar, Masyarakat dan Pentadbiran (ESG) juga akan ditekankan. Ini akan membuka ruang dan menawarkan pelbagai peluang yang boleh dimanfaatkan oleh para pekerja Melayu/Islam.

Dalam jangka setahun dua akan datang, perbelanjaan sebahagian besarnya akan dipacu pemerintah dari segi pembangunan infrastruktur dan projek-projek lain di Singapura dan di merata dunia.

Lantaran itu, adalah penting bagi syarikat-syarikat kecil dan sederhana (SME) dan sektor-sektor tertentu untuk peka terhadap perkembangan sedemikian.

BERDEPAN NORMA BARU

Gambar fail aplikasi PayNow. (Gambar: Gaya Chandramohan)

Sebagai sebuah masyarakat adalah penting untuk membantu generasi akan datang mengharungi norma baru.

Kita perlu memastikan bahawa tiada keluarga Melayu/Islam ketinggalan di tengah-tengah keadaan yang berubah-ubah, tidak kira usia dan kelayakan pendidikan.

Satu perkara yang boleh dipelajari daripada krisis masa ini adalah: akses kepada kemudahan rangkaian, produk dan perkhidmatan teknologi adalah keperluan asas bagi semua rakyat Singapura.

Masyarakat kita juga perlu mendukung penggunaan teknologi dan memastikan agar setiap kanak-kanak mempunyai akses kepada alat atau peranti IT dan supaya setiap keluarga mempunyai akses kepada rangkaian IT.

TIDAK HARUS KETINGGALAN

Seorang klien Maximus Asia mendapatkan khidmat bersama pembimbing kerjayanya. (Gambar: Nuria Ling/ TODAY)

Kita juga perlu memastikan agar mereka yang mencari pekerjaan boleh dipadankan dengan pekerjaan dalam sektor-sektor lain di mana mereka boleh membuat sumbangan.

Jika kelemahan ekonomi, pekerjaan dan kewangan dalam masyarakat tidak ditangani, keadaan tenaga kerja dan keluarga akan bertambah teruk dan menjadi lebih nyata.

Kita juga perlu memastikan agar kita tidak membiarkan seluruh generasi pelajar ketinggalan dalam pendidikan setiap kali berlaku penularan wabak kerana tiada akses kepada wadah.

Perlulah dipastikan setiap pelajar terutama daripada keluarga berpendapatan rendah tidak terhambat pembelajaran mereka setiap kali wabak berlaku.

Mereka tidak harus tertinggal di belakang semata-mata kerana keluarga mereka berpendapatan rendah atau tidak berupaya mendapatkan akses kepada teknologi yang kini begitu luas digunakan.

MENGENAI PENULIS: 

Pakar ekonomi Saktiandi Supaat. 

Saktiandi Supaat adalah ketua penyelidikan pertukaran asing bagi pasaran dan perbankan global Maybank. Beliau juga adalah Anggota Parlimen GRC Bishan-Toa Payoh. 

Sumber : BERITA Mediacorp/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan