Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Mampukah madrasah S'pura lahirkan agamawan 'pelita masyarakat' Nusantara?

Madrasah-madrasah Singapura, suatu ketika dahulu pernah menjana para ulama dan tokoh-tokoh agama Islam bukan sahaja untuk Singapura, tetapi juga untuk rantau Nusantara ini. Apakah Singapura mampu melakukannya sekali lagi?

Anggaran Waktu Membaca:
KOMENTAR: Mampukah madrasah S'pura lahirkan agamawan 'pelita masyarakat' Nusantara?

Menteri Sekitaran dan Sumber Air, Masagos Zulkifli. (Gambar: MBMS)

BERITAMediacorp: Madrasah-madrasah Singapura, suatu ketika dahulu pernah menjana para ulama dan tokoh-tokoh agama Islam bukan sahaja untuk Singapura, tetapi juga untuk rantau Nusantara ini. Apakah Singapura mampu melakukannya sekali lagi?

Yang pasti, muslim Singapura tidak boleh hanya bersikap nostalgik atau melankolia dengan menoleh ke belakang, tegas Menteri Kabinet Singapura, Masagos Zulkifli. Dalam ruangan KOMENTAR minggu ini, kami terbitkan buah fikiran Menteri Sekitaran dan Sumber Air itu, yang dikongsinya baru-baru ini. Ini adalah petikan daripada ucapan yang beliau sampaikan semasa meraikan Ulang tahun ke-80 Madrasah Al-Maarif Al Islamiah:

(Gambar: MUIS)

Kita kini berhadapan dengan beberapa cabaran dan isu besar. Sejak kebelakangan ini, saya telah mengetengahkan beberapa cabaran ini. Sewaktu saya di Brunei baru-baru ini, saya juga berbincang dengan teman-teman pemimpin saya, para ahli akademik, dan para pelajar Singapura di sana mengenai isu-isu ini.

Kita melihat bagaimana elemen luar – kesan dari globalisasi – dapat mempengaruhi cara sesetengah daripada kita menjalani kehidupan beragama di sini. Ia sedikit sebanyak mampu menghakis ciri dan nilai unik kebudayaan kita sebagai seorang Melayu/Islam di nusantara ini, warisan Melayu yang harus kita banggakan, dan terus pelihara.

Jelas, pemahaman eksklusif dan tegar hanya dapat berakar di sini apabila ia berjaya menolak kesahihan adat tempatan Melayu pada kehidupan beragama kita. Kesannya telah dapat kita rasakan.

Ia memecah-belahkan masyarakat kita malah antara anggota keluarga. Hingga ia boleh mekar menjadikan seseorang itu ekstrim dan memilih jalan pengganasan atau terorisme. Kemudian berikrar membantu kumpulan-kumpulan tegar seperti ISIS.

Maka antara perkara yang saya ajak pelajar-pelajar di Brunei fikirkan, ialah bagaimana penguasaan Bahasa Melayu kita dapat ditingkatkan dengan dokongan para pemimpin dan pendidik agama. Ini pernah ditonjolkan melalui karya-karya ulama Islam awal nusantara ini seperti Sheikh Hamzah Fansuri dan Sheikh Abdul Samad Palembangi.

Ramai lagi yang kita boleh sebutkan termasuk yang masih hidup seperti Menteri Agama Negara Brunei, Pehin Badarudin Osman yang juga seorang sasterawan yang terdidik di madrasah Singapura. Mereka semua mengesahkan Bahasa Melayu sebagai bahasa perantaraan yang sesuai menanam kesucian kerohanian di Nusantara hingga ke hari ini – justeru kelembutan watak orang Islam berbangsa Melayu yang cukup terkenal.

MENCIPTA, MENINGGALKAN TRADISI DAN MENCORAK MASA DEPAN

Kini izinkan saya kembali kepada hal warisan dan tradisi madrasah di Singapura. Seperti tradisi-tradisi lain, ia perlu terus dipelihara, dan bahkan bersedia untuk mencipta tradisi baru sesuai dengan perubahan masa, menyiapkan diri sesuai dengan transformasi zaman dan cabaran-cabaran baru.

Kita tidak mampu hanya bersikap nostalgik atau melankolia menoleh ke belakang. Dalam kecelaruan yang dihadapi umat Islam di mana-mana, kita banyak mendengar seruan supaya kembali ke zaman silam, zaman gemilang Islam yang sangat dikagumi hingga sekarang.

Jelas ulama zaman kita cuba berusaha keras demi menghidupkan kembali jati diri umat Islam. Sayangnya yang dilihat mata dunia sekarang ini hanyalah lebih ramai orang Islam bergamis dan bertudung dan juga semakin ramai yang bertegas disediakan makanan bersijil halal. Memanglah baik kita menutup aurat dan makan yang halal. Tetapi itukah yang kita boleh sebutkan sebagai sumbangan kita kepada umat manusia, rahmah yang dibawa Islam?

Kita lupa bahawa apabila Islam muncul pada awalnya, Islam membuat perubahan transformasi yang sangat ketara dan bukan setakat yang zahir. Ia memberi jaminan dan gambaran masa depan yang cemerlang yang tidak mampu dibayangkan oleh sesiapa pun pada waktu itu. Antara lain, visi keamanan dan ketenteraman Rasulullah SAW.

Ketika umat Islam di Mekah ditindas dengan keras, seorang sahabat meminta Rasulullah s.a.w berdoa mendatangkan pertolongan segera Allah mengatasi keadaan genting yang dihadapi umat Islam pada waktu itu. Nabi (s.a.w) menasihatkan beliau supaya sabar.

Nabi berjanji Allah akan menyempurnakan urusan agamaNya hingga seorang pengendara berjalan dari San’a menuju Hadramaut (di Yaman) dalam keadaan tidak takut kepada sesiapa pun kecuali Allah atau khuatir kambingnya dimakan serigala.

Inilah visi kemanusiaan Rasulullah, visi keamanan dan keselamatan dunia. Atas visi inilah, Islam berjaya membangunkan ketamadunan dan kesejahteraan kehidupan. Ia meyakinkan para sahabat dan bertekad tegas untuk mewujudkan masa depan baru yang menjunjung ilmu, akhlak, keamanan dan kesejahteraan – justeru satu gambaran masyarakat yang sangat berbeza dan lebih baik dari zaman yang menjunjung kuasa, harta dan perkauman hingga menzalimi umat manusia di zaman itu.

Satu masa depan yang sangat luar biasa dan menarik pada zaman itu. Ramai yang tertarik kepada Islam kerana visi mulia ini, akhlaq, etika dan keperibadian luhur yang dipamerkan, bukan kerana penampilan luaran atau kerana terpaksa natijah dari kekuasaan dan kekerasan yang digunakan, seperti yang mahu dilakukan oleh sebahagian kumpulan dan orang pada waktu ini. Hinggakan imej Islam diburukkan lagi dengan aksi keganasan dan terorisme atas nama mewujudkan zaman gemilang tersebut.

RAMPAS KEMBALI TRADISI S'PURA LAHIRKAN ULAMA NUSANTARA

Justeru, bagi saya cabaran utama madrasah-madrasah setempat ialah merampas kembali tradisi mereka melahirkan cendekiawan agama yang menjadi pelita masyarakat nusantara, menempa masa depan yang cemerlang dan tidak hanya memimpikan zaman semalam. Hanya dengan itu madrasah kita akan menjadi institusi yang disegani. Mampukah ia kita wujudkan kembali?

Mari kita lihat pencapaian madrasah kita masa lalu. Pakar Kehakiman dan Perundangan Islam, Almarhum Prof Dr Hj Awang Mahmud Saedon, Penasihat dan Pakar Rujuk Undang-Undang Islam Kementerian Hal Ehwal Agama Brunei – yang merupakan tokoh kehakiman rantau ini dan bekas pelajar Madrasah Aljunied – adalah antara contoh ulama serantau.

Beliau terkenal dengan pandangan-pandangan kreatif yang menerobos pemikiran baru dalam perundangan Islam. Dalam memberi pandangan dan penyelesaian kepada permasalahan semasa, beliau tidak hanya bersifat legalistic, tetapi bersifat empati kepada masyarakat dan permasalahan mereka. Perwatakan mesra menjadikan beliau seperti ayah kepada para pelajarnya.

Sifat humor atau lucu beliau – tetapi tetap mendalam pemikirannya – menjadikan beliau seorang ulama yang mudah didekati anggota masyarakat, tua atau muda, oleh orang awam atau pemimpin dan pegawai negara. Beliau memahami jiwa dan hati masyarakat.

(Gambar: Facebook) 

Saya sering mendengar ceramah-ceramah Almarhum Ustaz Syed Abdillah al-Jufri. Saya juga berulang-kali berinteraksi dengan beliau sewaktu beliau bertugas di Muis. Lembut dalam pendekatan beliau dan selalu tenang mendengar dan memahami sesuatu permasalahan. Beliau menekankan sudut akhlak dan kepentingan memahami adat setempat, realiti dan sistem semasa dalam nasihat-nasihat beliau. Ustaz Syed Abdillah membuat sumbangan penting melalui Jawatankuasa Fatwa Singapura. Beliau memahami konteks semasa, dan melalui kepimpinan beliau di Pergas membimbing masyarakat – sebagai contoh, dalam permasalahan hijab beberapa tahun dahulu.

Begitu juga Mu’allim Kamil Suhaimi tokoh Madrasah Ma’arif. Malah, bapa Mu’allim Kamil, dan pengasas Madrasah Ma’arif, Kiyai Fadzlullah Suhaimi bukan calang-calang ulama – beliaulah yang mengasaskan madrasah supaya anak-anak perempuan turut diberi peluang yang sama dalam pendidikan.

Beliau menggunakan bahasa Melayu dalam khutbah supaya umat terbimbing; dan tidak hanya memahami teks secara literal, atau hanya menjalankan ritual tanpa kefahaman dan meninggalkan pusaka ilmu dalam bentuk dokumen dan buku.

SIAPAKAH 'PELITA MASYARAKAT' S'PURA SEKARANG?

Mereka semua adalah pelita di zaman kita yang lalu. Pelita bukan setakat ilmu yang dimiliki. Pelita masyarakat kerana mereka sebagai ulama yang peduli pada masyarakat. Ini juga bermakna - mereka hidup melibatkan diri dalam kehidupan masyarakat, hinggakan mereka tahu keadaan masyarakat. Justeru apabila diminta petunjuk, ilmu dan pengalaman mereka menjadikan mereka pemimpin yang penyayang, penuh rahmah dan bukan setakat penghukum.

Siapakah pelita masyarakat di Singapura sekarang? Apakah kerana belum jelas pelita masyarakat tersebut hingga terlahir ulama-ulama di internet yang muncul secara mendadak bak cendawan selepas hujan – yang cepat menghukum satu sama lain dengan ilmu ‘cut and paste’?

Atau anak-anak madrasah yang baru keluar universiti yang tidak segan-silu menyalahkan guru sesepuh mereka hingga mencelarukan fikiran agama masyarakat?

Kita pernah melahirkan Asatizah dan ulama bak pelita yang menerangi kehidupan masyarakat sebelum ini. Dan saya yakin kita mampu untuk terus menghasilkan agamawan seperti ini.

MADRASAH HARUS LAHIRKAN AGAMAWAN YANG FAHAM BUDAYA, ETIKA SETEMPAT

Kalau kita tumpukan untuk keperluan negara kita sahaja, madrasah harus melahirkan agamawan setempat yang memahami budaya, sistem nilai dan etika setempat, memahami hakikat bahawa Singapura adalah negara sekular dan masyarakat berbilang kaum dan agama, dan peka akan realiti dunia semasa. Mereka memahami kedudukan unik orang Islam di sini sebagai minoriti.

Namun, hakikat ini tidak seharusnya menjejas keimanan dan kesalihan peribadi Muslim. Beberapa ustaz yang saya rujuk mengesahkan bahawa seseorang boleh hidup sebagai seorang Muslim yang baik di mana jua dia berada; mahupun sebagai masyarakat minoriti yang urusan keagamaan mereka tidak selalu diambil kira dalam iktisad seharian.

Kadangkala dalam keadaan mencari waktu dan tempat sembahyang pun susah. Justru, golongan agamawan boleh memberi bimbingan membantu masyarakat untuk hidup dalam realiti dan konteks ini. Tetap berpaksi pada prinsip-prinsip thabit Islam, dalam mentafsirkan teks-teks agama, agamawan ini memberi penyelesaian dan mengangkat kesulitan daripada masyarakat, dan tidak hanya setakat memberi hukum ke atas sesuatu perkara yang tidak membantu menyelesaikan kesulitan masyarakat.

Hasilnya pasti umat tenang dan yakin dalam menjalankan kewajipan agama dan agama Islam akan berkembang dengan aman.

Jika terlahir agamawan seperti mana yang saya sebutkan tadi, pasti juga beliau menjadi pakar dan ilmuwan agama yang menjadi rujukan dunia kerana tukikan ilmu dan pengalaman yang unik itu.

Yang saya harapkan juga ialah, yang terbaik di kalangan keluaran madrasah mengejar ilmu agama mendalam dan pengalaman luas hingga menjadi agamawan tersebut. Memanglah hebat apabila seorang doktor perubatan dihasilkan menerusi sistem madrasah. Teruskanlah! Namun kita turut sedar doktor boleh dididik di sekolah nasional kita yang diiktiraf kepiawaiannya.

Tetapi hanya madrasah sahaja yang berupaya melahirkan agamawan yang berilmu dalam dan luas, yang menjadi contoh kerana berakhlaq tinggi dan mulia dan yang arif dalam mentransformasikan masyarakat. Inilah yang sangat diperlukan masyarakat Islam.

VISI MASA DEPAN MADRASAH AL-MA’ARIF

Saya gembira visi Madrasah al-Ma’arif ialah untuk melahirkan generasi umat Islam yang kukuh jati diri, relevan mengikut peredaran zaman dan sentiasa bersikap toleran terhadap masyarakat sekeliling.

Dengan visi ini, Madrasah harus terus menyesuaikan program pendidikan madrasah agar ia menyajikan matapelajaran yang kontemporari, memantau cara mengajar serta pedagogi yang terkini dan melaksanakannya dengan baik, menumpukan perhatian kepada pembangunan asatizah dan guru madrasah, dan membuka lebih banyak laluan pendidikan untuk para pelajar bagi mempersiapkan mereka untuk dapat merebut peluang-peluang baru yang akan wujud pada masa depan.

Kesemua usaha ini memerlukan kesungguhan, ketelitian, perancangan yang rapi serta institusi madrasah yang kukuh dan mantap. Sokongan padu masyarakat yang berterusan juga penting untuk meneruskan usaha ini.

Sokongan anda semua akan memastikan bahawa Madrasah Al-Ma’arif, dan madrasah-madrasah kita yang lain, akan terus melahirkan golongan ulama dan karyawan Islam yang mempunyai asas kukuh dalam kededua bidang ukhrawi dan akademik, peka akan budaya dan adat setempat, luas ufuk pemikirannya, dan dalam sifat empatinya, memberi sumbangan kepada kemaslahatan bersama dan kebaikan kemanusiaan sejagat.

Moga madrasah Singapura melahirkan agamawan pelita masyarakat nusantara yang kita harapkan.

Menteri Sekitaran dan Sumber Air Masagos Zulkifli. (Gambar: Calvin Oh) 

MENGENAI PENULIS:

Encik Masagos Zulkifli ialah Menteri Sekitaran dan Sumber Air. Sebelum ini beliau pernah bertugas sebagai Menteri Kedua Ehwal Dalam Negeri. Beliau lulus Ijazah Kejuruteraan dengan Kepujian Kelas Pertama pada tahun 1988. Sebelum menceburi politik, Encik Masagos pernah menjadi Presiden PERDAUS dan bertugas sebagai CEO SingTel Global Offices. 

Sumber : BERITA Mediacorp/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan