Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Makanan eksotik - antara kegemaran dan kepentingan awam

Amalan pemakanan haiwan ‘eksotik’ pernah juga diamalkan dalam masyarakat Melayu dan Arab. Walau apapun ia adalah amalan yang perlu ditinggalkan kerana berisiko tinggi.

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Amalan pemakanan haiwan ‘eksotik’ pernah juga diamalkan dalam masyarakat Melayu dan Arab. Walau apapun ia adalah amalan yang perlu ditinggalkan kerana berisiko tinggi.

(Gambar fail daging landak)

KETIKA kepanikan melanda gara-gara kemunculan virus korona baru (kini sebagai Covid-19) di Wuhan, yang kemudian tersebar ke seluruh dunia, terdapat satu pendedahan yang mengejutkan. Bahawa penyakit ini sudah hampir pasti, datangnya dari tabiat pemakanan yang ‘aneh’.

Para saintis yang memahami corak virus korona ini percaya ia datang dari virus binatang, dan dipindahkan kepada manusia setelah dijamah sebagai hidangan eksotik.

Hal ini tidaklah mengejutkan memandangkan wabak SARS pada tahun 2003 dipercayai berpunca dari musang binturong yang menjadi kegilaan sesetengah penjamah daging haiwan liar[i].

Sukar untuk kita menghujahkan, mengecam, dan memomokkan tabiat pemakanan sebegini di China, memandangkan ia turut dijamah oleh segelintir orang kita di Asia Tenggara. Malah orang Islam juga memiliki keanehan begini. Saya akan menghuraikan ia kelak.

DIHARAMKAN DI S’PURA

Misalnya, dalam tahun 1990-an terdapat laporan bahawa sebuah restoran di daerah tertentu di Singapura menghidangkan lauk ular kukus[ii], atau pun daging buaya turut dihidangkan di sekitar Jalan Ahmad Ibrahim.

Daging buaya tumis yang dihiris nipis dengan sayur dan cili misalnya dijual dengan harga $22 dolar, $32 atau $42. Daging kura-kura juga dilaporkan laris dan dibuat sup.

Penjualan daging haiwan liar seperti ini sudah dilarang di Singapura memandangkan ia adalah anggota Convention on International Trade in Endangered Species of Wild Fauna and Flora. Bahkan, kita harus ingat, memakan daging ular telah pun diharamkan di Singapura sejak tahun 2013[iii].

Penggemar daging binatang liar di Singapura ini turut ke Malaysia, dengan laporan media menyatakan rakyat Singapura yang ketagihkan makanan eksotik akan ke sana untuk mendapatkannya. Di samping makanan biasa, negeri di Seberang Tambak itu juga menghidangkan makanan yang agak ‘luar biasa’. Landak, biawak, tupai, ular dan musang[iv].’

KENAPA DIGEMARI

Jika kita meletakkan ke tepi seketika isu wabak Wuhan ini, sebagai relativis budaya, mungkin kita boleh cuba memahami mengapa daging binatang liar ini digemari.

Pada tahun 1989, Margaret Chan dalam satu laporan bertajuk ‘A Wok on The Wild Side’ menuliskan hidangan aneh ini menjadi lumrah ketika musim dingin. Di Hong Kong misalnya, daging ini dipercayai mengimbangi komponen yang (panas) yang diperlukan untuk mendepani musim sejuk.

Trend di Hong Kong itu dibawa ke Singapura meskipun di rantau kita tiada musim dingin kerana menurut Chan ia sudah pun diterima sebagai makanan kebiasaan di restoran-restoran ala-Hong Kong.

Harga hidangan ini tidak keterlaluan memandangkan hanya $30 dikenakan untuk daging musang binturong yang boleh dijamah empat orang. Hidangan itu dimasak dengan kacang, hirisan oren, gula tebu, dan dimasak sehingga dagingnya lembut.

Manakala daging ular dibuat sup hanyalah berharga $8 seorang yang menurut Margaret ‘tasteless meat’. Lauk-pauk ini didapati ketika itu di sebuah hotel di Jalan South Bridge.

Laporan Margaret di atas sejajar dengan laporan Lim Swee Hong pada tahun yang sama, di mana tulisan beliau ‘Duck’s Tongues and Other Exotica, Anyone’ memerikan pelbagai hidangan aneh.

Menurut sebuah hotel di Singapura, makanan begini turut diketengahkan ketika Minggu Nutrisi. Ini kerana warga Singapura sudah menjadi lebih advancer dalam menjamah hidangan; ‘Singaporeans are more affluent. With overseas travel, they have also become more adventurous with their food.’

Ketika itu terdapat restoran malah menghidangkan juadah promosi sempena tahun ular (60 ekor ular dikorbankan) sempena Tahun Baru Cina Ular, yang masak ala-Szechuan. Pun, hidangan seumpama ini dianggap terlalu biasa.

Salah seorang pelanggan, dalam laporan itu, menyatakan hidangan seumpama ini menjadikan makan malam lebih menarik; ‘it makes the meal exciting’. Beliau malah mengharapkan jika ada restoran yang akan lebih berani menghidangkan otak monyet untuk dirasa; ‘if any restaurant in Singapore dares to serve monkey’s brain, that would really be something[v].’

TUJUAN DIMAKAN

Apakah sebabnya makanan ini diambil? Kadang-kala makanan ini diidami untuk tujuan meningkatkan nafsu seks. Dalam satu laporan akhbar pada tahun 1980, seorang Chef yang bertanggungjawab membawa makanan ala Hong Kong ke Singapura memberitahukan, gastronomi bangsa Cina mengutamakan kesihatan dalaman, khusus seksual; ‘We Chinese, especially the Cantonese, believe that these foods are strength giving. They’re like elixirs of life[vi].’

Tahun yang sama, Macau yang menyorot pelbagai hidangan lazat di Singapura dalam satu laporan berjudul ‘Popular Eating Spots and Lesser Known Ones’ menyenaraikan 15 buah restoran dan gerai yang menjual hidangan langka seperti zakar binatang, daging ular, stik buaya, lidah biawak, angsa dan merpati. Daging ular dipercayai dapat membersihkan badan[vii].

Seperti dinyatakan di atas, secara budayanya, terdapat bangsa di Timur yang menjamah daging binatang liar ini dengan tujuan kesihatan. Hempedu ular tedung selar sebagai contoh dianggap dapat merawat ‘lemah syahwat dan sakit pinggang’ dan membantu untuk ‘mata yang kabur terang bersinar-sinar dan tahan sampai ke tua.’ 

Ular juga dapat merawat ‘penyakit-penyakit remeh seperti darah tinggi, lemah lutut dan sendi.’ Malah hempedu ular ini dimakan setahun sekali. Kadang-kala darah ular diteguk dan dicampur sedikit madu[viii].

MELAYU DAN HAIWAN LIAR

Orang Melayu mungkin berasa hidangan-hidangan di atas sedikit keterlaluan. Sayugia diingatkan terdapat kepercayaan tradisional yang sukar diubah, dan ini berlaku dalam kalangan bangsa lain dari Cina. Untuk rekod, bangsa Melayu juga pernah melakukan hal-hal yang aneh juga dengan haiwan liar.

Misalnya manuskrip perubatan (MS 1653) yang terdapat di Perpustakaan Negara Malaysia berjumlah 76 halaman memuatkan cara perubatan tradisional yang menjengkelkan. Antara haiwan liar yang digunakan untuk merawat kesihatan seksual, dan menundukkan pasangan adalah kelawar, dan juga katak hijau.

(Gambar: Agensi berita)

Hal ini menjadi kajian almarhum Dr Harun Mat Piah termuat dalam kertas beliau bertajuk ‘Ilmu Perubatan Melayu Tradisional dari Naskhah-Naskhah Lama’.

Saya kutip: ‘Terdapat cara pengubatan berupa tangkal dan azimat yang biasa; misalnya doa dari ayat-ayat al-Quran, ditulis dengan dakwat di pinggan putih, di hapus dengan air dan diminum. Dan yang luar biasa; misalnya meletakkan kepala kelawar di bawah bantal isteri kemudian dibawa berjimak, akan menghalang daripada beranak. Atau lidah katak hijau, diletakkan di belakang atau atas dada isteri supaya ia menceritakan rahsianya ketika dalam tidur[ix]’.

Harun Mat Piah seterusnya, menyelidik pelbagai manuskrip Melayu lama itu menemukan aneka bahan dari haiwan liar yang disenaraikan untuk tujuan perubatan, persis yang dipercayai masyarakat Cina.

Harun menuliskan: ‘…bahan-bahan yang digunakan untuk tujuan tersebut dirasakan tidak sesuai, malah kotor, najis, malah haram dari segi Islam, misalnya haiwan seperti katak, ular, hempedu sawa, hati landak dan sebagainya tidak dinyatakan setelah disembelih secara syarii; selain haiwan tersebut dianggap haram[x].’

Hari ini, daging landak masih dimakan oleh segelintir orang Melayu[xi].

KENCING UNTA

Kita juga harus menjauhkan diri dri perubatan tradisional seumpama di atas, termasuklah tabiat meminum air kencing unta untuk sesetengah jemaah haji dan penziarah ke tanah suci. Ini kerana masih terdapat sebahagian orang lama mempercayai dorongan Syeikh Ahmad al-Fatani, dalam Kitab Tayyib al-Ihsan fi Tibb al-Insan, yang mencadang agar meminum kencing unta untuk merawat penyakit busuk hidung.

Gambar hiasan beberapa ekor unta di Riyadh (Gambar: Fayez Nureldine/AFP)

Dorongan ini dikuatkan lagi, ekoran terdapat hadis bertaraf “sahih” seperti diriwayatkan Anas bin Malik perihal meminum air kencing unta ini:

“Telah menceritakan kepada kami Sulaiman bin Harb berkata telah menceritakan kepada kami Hammad bin Zaid dari Ayyub dari Abu Qilabah dari Anas bin Malik berkata: ‘Beberapa orang dari ‘Ukl atau ‘Urainah datang ke Madinah namun mereka tidak tahan dengan iklim Madinah hingga mereka pun sakit. Beliau lalu memerintahkan mereka untuk mendatangi unta dan meminum air kencing dan susunya.“

Saya tidak berminat membincangkan matan hadis di atas, akan tetapi meletakkan fikiran rasional ke hadapan, ternyata meminum kencing unta telah mengakibatkan (salah satu sebab) menularnya wabak Sindrom Pernafasan Virus Korona Timur Tengah (MERS-CoV).

Sehubungan itu laman WHO mengingatkan agar menghindari meminum kencing unta; ‘people should avoid contact with camels, drinking raw camel milk or camel urine, or eating meat that has not been properly cooked.’

Selain virus aneh di atas, demam ebola berdarah (Ebola Hemorrhagic Fever) yang mengancam Afrika awal dekad lalu dibawa oleh primat chimpanzi dan gorila.

BERISIKO TINGGI

Sesungguhnya apa pun kepercayaan tradisional masyarakat Cina, Melayu, Arab, atau Afrika kita harus memahami bahawa teknologi perubatan telah berkembang pesat dan mengalami kemodenan.

Dalam sebuah makalah akademik oleh Jamilah Ikhsan bertajuk ‘Pengambilan Daging Haiwan Liar Sebagai Makanan dan Kesan Terhadap Kelestarian Alam’ ditekankan betapa keperluan agar kempen kesedaran untuk masyarakat Asia meninggalkan tabiat memakan atau mengambil daging haiwan eksotik atau liar[xii].

Adalah diharapkan kekecohan yang timbul berpunca dari jamahan haiwan liar di Wuhan ini akan memberi keinsafan untuk semua, bahawa dalam dunia serba moden, terdapat amalan tradisional yang perlu ditinggalkan kerana ia lapuk dan berisiko tinggi.

Rujukan:

[1] Alicia Lee. 2020. Chinese officials crack down on wildlife markets as coronavirus outbreak nears 3,000 cases. CNN. 28 Januari. https://edition.cnn.com/2020/01/27/world/coronavirus-china-bans-wildlife-trade-trnd/index.html
[2] The Straits Times. 1994. The Mouth That Almost Never Closes. 9 April. Halaman 6.
[3] The Straits Times. 2013. Eating Snake. 27 Januari. Halaman 25.
[4] Berita Harian. 1991. Ramai Dakwa Daging Binatang Liar Sedap: Harga Murah Tarik Pelancong Singapura. 14 Disember. Halaman 7.
[5] Lim Swee Hong. 1989. Duck’s Tongues and Other exotica, Anyone. New Paper. 23 Mei. Halaman 13.
[6] Violet Oon. 1980. About Frogs, Snails and Puppy Dongs’ Tails. Straits Times. 13 Januari. Halaman 13.
[7] Macaw. 1980. Popular Eating Spots and Lesser Known Ones. New Nation 2 Mac. Halaman 14-19.
[8] Berita Harian. 1981. Daging dan Darah Ular Dipercayai Berkhasiat. 29 Julai. Halaman 4.
[9] Harun Mat Piah. 2015. Ilmu Perubatan Melayu Tradisional dari Naskhah-Naskhah Lama. International Journal of the Malay World and Civilisation (Iman) 3(3). Halaman 7.
[10] Ibid. Halaman 11.
[11] Vina Agustina. 2018. Halalkah Makan Daging Landak?. Muslim Obsession. 8 Oktober. https://muslimobsession.com/halalkah-makan-daging-landak/ Lihat juga https://saji.my/restoran-lembah-bernam/
[12] Jamilah Ikhsan. 1985. ‘Pengambilan Daging Haiwan Liar Sebagai Makanan dan Kesan Terhadap Kelestarian Alam’. Jurnal Perspektif 3 (1): halaman 19.

Dr Mohd Faizal Musa. (Gambar: BERITAMediacorp)

MENGENAI PENULIS:

Dr Mohd Faizal Musa atau lebih dikenali dengan nama pena Faisal Tehrani ialah seorang pengkaji, pemikir, novelis terkenal dan pejuang hak asasi manusia dari Malaysia. Beliau kini bertugas sebagai zamil penyelidik di Institut Alam dan Tamadun Melayu.   

Sumber : BERITA Mediacorp/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan