Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Lemah tapi masih lantang; wadah terbaru pro-ISIS cuba pikat masyarakat

Dalam usahanya untuk kekal wujud, kumpulan pengganas ISIS, terus menerus menyebarkan ideologinya kepada masyarakat, terbaru menerusi majalah Hanifiyah Media. 

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Dalam usahanya untuk kekal wujud, kumpulan pengganas ISIS, terus menerus menyebarkan ideologinya kepada masyarakat, terbaru menerusi majalah Hanifiyah Media. Selain menyebarluaskan ideologi dari segi agama dan politik, majalah itu juga adalah tindak balas ISIS terhadap inisiatif dan ideologi yang menentangnya.

Gambar fail. (Gambar: Koh Mui Fong/TODAY)

Gambar fail. (Gambar: Koh Mui Fong/TODAY)

PADA 22 November 2018, edisi pertama majalah pro-ISIS di Indonesia diterbitkan menerusi sebuah syarikat penerbitan negara itu dan diberi nama Hanifiyah Media. Ia adalah majalah bulanan, dengan edisi ketiganya sudahpun diterbitkan, setebal antara 40 hingga 50 muka surat.

Majalah itu tiada tajuk tertentu, sebaliknya ia ditetapkan berdasarkan tema yang diketengahkan setiap bulan.

Tema dalam edisi pertama ketika itu, adalah Zhahirina ‘Alal Haq (kita berada di landasan yang betul); yang kedua adalah Fie Sabilillah (menuju ke jalan Allah); manakala edisi ketiga bertajuk Ansharullah (penyokong Allah).

Ketiga-tiga edisi pro-ISIS ini secara sistematik cuba meningkatkan tahap kesedaran para pembaca mengenai apa yang dipanggil “propaganda anti-ISIS” dan “berita palsu” tentang kumpulan tersebut.

Ia cuba untuk menonjolkan kewibawaan dan kesahihan ISIS menerusi rayuan-rayuan keagamaan dan emosi.

Mesej-mesej tersembunyi yang disampaikan cuba mengusik emosi dan membolehkan mereka mempersiap dan mengerah para pembaca mereka.

Contohnya, mesej-mesej utama dalam edisi pertama menyatakan bahawa “kebenaran” hanya datang daripada ISIS dan para penyokongnya, sekaligus mengkritik penerbitan-penerbitan aliran utama dan juga yang bukan dari ISIS - baik dari segi politik mahupun agama.

MENGEKALKAN SOKONGAN

Ini adalah penting untuk mereka mewujudkan kepercayaan dan mengekalkan sokongan daripada para penyokong dan anggota ISIS. Ini lebih-lebih lagi setelah kumpulan itu tewas dan kehilangan wilayah-wilayahnya di Iraq dan Syria.

Majalah Hanifiyah Media secara amnya diterbitkan serupa dengan majalah propaganda ISIS sebelum ini, Al-Fatihin, yang sudahpun dihentikan. Salah satu persamaannya adalah penggunaan hujah-hujah agama sebagai percubaan untuk mengekalkan kewibawaannya dari segi agama.

Majalah itu mengesahkan hujah-hujah tersebut dengan menukil beberapa sumber-sumber keagamaan, khususnya dari al-Quran dan Hadith.

NARATIF ANTI-ISIS

Yang lebih penting, majalah itu mengeksploitasi peristiwa-peristiwa bersejarah dalam Islam untuk menyangkal naratif-naratif ideologi yang menentang ISIS. Peristiwa-peristiwa bersejarah tersebut telah membentuk nilai-nilai, norma dan moral masyarakat Islam.

Majalah itu menggantikan pemahaman masyarakat Muslim konvensional tentang peristiwa-peristiwa bersejarah itu dengan tafsiran-tafsiran menyimpang dan nilai-nilai pseudo-agama ISIS.

Salah satu contoh yang digambarkan dalam majalah tersebut adalah definisi jihad. ISIS menetapkan pemahaman jihad sebagaimana yang telah difahami di dalam sejarah Islam.

Dalam salah satu rencananya, ia cuba untuk meyakinkan para pembaca bahawa jihad sentiasa terkait dengan “qital’, iaitu peperangan dan keganasan. Ini menyangkal naratif-naratif anti-fahaman pelampau yang menegaskan bahawa jihad tidak melibatkan keganasan.

Rencana itu malah menekankan bahawa definisi jihad telah - menerusi sejarah Islam - dan sentiasa akan bermaksud perjuangan bersenjata.

Para militan ISIS warga Indonesia di Solo. (Gambar fail: AFP/ANWAR MUSTAFA)

Para militan ISIS warga Indonesia di Solo. (Gambar fail: AFP/ANWAR MUSTAFA)

NILAI-NILAI TERAS

Untuk menarik pembaca menerusi emosi dan agama dalam propaganda mereka sepertimana dilakukan dalam majalah Al-Fatihin sebelum ini, majalah Hanifiyah Media terus menekankan nilai-nilai teras ISIS iaitu jihad, khilafah, i’dad (persiapan jihad), hijrah dan syahid.

Menyatakan objektif-objektif tersebut menerusi lensa Islam pada abad ketujuh, naratif yang dikaitkan dengan peristiwa-peristiwa dalam sejarah itu mahu mendorong individu-individu supaya bertindak, sepertimana para sahabat Nabi telah berkorban untuk beliau.

Majalah itu juga memaparkan para anggota militan ISIS sebagai wira-wira tertindas yang berjuang untuk memerangi ketidakadilan dan hal-hal yang tidak baik demi mewujudkan Islam yang ideal dan masa depan yang lebih baik dalam bentuk sebuah masyarakat yang “suci”.

Majalah Hanifiyah Media juga terus mengemukakan perbincangan-perbincangan berkaitan akhir zaman yang menjadi salah satu naratif utama yang menguatkan keupayaan ISIS untuk bergerak sebagai sebuah pertubuhan di peringkat global.

Kesungguhan majalah itu menonjolkan pentingnya untuk menyertai peperangan akhir zaman menunjukkan bahawa ISIS terus bergantung kepada naratif tanda-tanda hari kiamat untuk menarik dan mengapi-apikan lebih ramai rekrut.

REAKSI NEGATIF

Sama ada Al-Fatihin atau Hanifiyah Media, objektif-objektif propagandanya kekal sama. Ia menerapkan mentaliti “mangsa”, mendorong Muslim supaya bangkit dan berperang menentang penguasa atau pemerintah yang disifatkan sebagai kuku besi tidak mengira negara apa pun.

Ia juga terus menyebarkan mesej-mesej kebencian, permusuhan dan perbalahan serta rasa tidak percaya antara masyarakat.

Kewujudan majalah Hanifiyah Media itu boleh dilihat sebagai reaksi negatif terhadap usaha-usaha menyangkal ideologi-ideologi pelampau di beberapa tempat di Indonesia dan negara-negara dengan penduduk yang berbahasa Melayu.

Ini bagi mengelak daripada terus tewas dalam perang ideologi, memandangkan kekalahan ISIS setelah kehilangan wilayah-wilayah di Iraq dan Syria.

RESPONS TERHADAP ISIS

Usaha-usaha membanteras fahaman pelampau yang disampaikan menerusi media arus perdana dan wadah-wadah lain, sudahpun menunjukkan kesan dengan membongkar naratif-naratif palsu ISIS, khususnya dari segi konsep-konsep utama Islam yang disalah tafsir oleh kumpulan-kumpulan pengganas.

Bagi kebanyakan masyarakat, langkah mengharamkan majalah mungkin bukanlah huraian berkesan memandangkan proses-proses menjadi radikal menerusi online jauh lebih rumit dan mencabar.

Namun dengan membiarkannya bebas disebar tanpa dipertikaikan, akan membahayakan keselamatan dan perpaduan sosial.

Lantaran itu, penting untuk para penggubal dasar dan pakar-pakar pembanteras fahaman pelampau untuk meneruskan usaha mendedah dan memberikan respons terhadap propaganda ISIS dan pro-ISIS.

Usaha mematahkan ideologi-ideologi perosak ISIS tidak boleh berhenti kerana buat masa ini perang ideologi akan berlarutan meskipun ISIS telah kehilangan wilayah-wilayahnya.

Syed Huzaifah Alkaff dan Jasminder Singh adalah penyelidik bidang pengganasan di Pusat Antarabangsa bagi Keganasan Politik dan Kajian Pengganasan (ICPVTR), RSIS.

MENGENAI PENULIS:

Syed Huzaifah Othman Alkaff ialah Zamil Penyelidik Bersekutu di Pusat Antarabangsa bagi Kajian Keganasan Politik dan Pengganasan (ICPVTR), Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam (RSIS). Jasminder Singh adalah alumni RSIS.

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan