Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Larangan sahaja tidak mencukupi tanpa adanya sikap bertimbang rasa

Prasarana seperti laluan berbasikal sudah disediakan tapi tanpa sikap yang betul, ia tetap boleh menimbulkan bahaya kepada pengguna lain? 

Anggaran Waktu Membaca:
KOMENTAR: Larangan sahaja tidak mencukupi tanpa adanya sikap bertimbang rasa

Gambar Hiasan: (Gambar: Facebook/ Assoc Prof Muhammad Faishal Ibrahim)

BERITAmediacorp: Selain menyediakan kemudahan yang sesuai, bagaimana pendidikan kepada orang ramai boleh menjadi anak kunci dalam merubah kelakuan dan minda semua pengguna laluan awam?

Para pengunjung taman memakai pelitup di Taman East Coast pada 19 Jul 2020. (Gambar: Try Sutrisno Foo)

Dalam merealisasikan wawasan ‘kurang kereta’ (car-lite) di Singapura, Pemerintah sudahpun memperluaskan prasarana khas yang memudahkan para pengayuh basikal dan sekali gus melindungi para pejalan kaki.

Malangya, pertembungan masih juga berlaku antara pengayuh basikal dengan pengguna jalan raya lain akibat kelakuan kurang bertimbang rasa.

Kebelakangan ini ada sesetengah pihak yang menyuarakan keinginan agar basikal dilarang di laluan-laluan pejalan kaki menyusuli larangan penggunaan e-skuter di laluan pejalan kaki tahun lalu.

Bahkan ada juga yang menyarankan agar basikal dilarang sama sekali di laluan pejalan kaki dan di jalan raya sekali gus.

Penguatkuasaan larangan sedemikian merupakan jalan keluar mudah, namun bukan satu huraian yang berkekalan.

Ini kerana masalah yang dihadapi antara pejalan kaki dan pemandu dengan pengayuh basikal berpunca daripada isu perilaku dan bukanlah masalah yang berpunca daripada alat pengangkutan berkenaan.

Lebih banyak alat inovatif akan diperkenalkan di negara ini sejajar dengan kemajuan teknologi. Tidak mungkin kita berupaya mengharamkan kesemua jenis alat sungguhpun punca masalahnya terletak pada para penggunanya sendiri.

Masalah akan tetap berlaku ekoran perilaku buruk para pengguna tidak mengira alat pengangkutan yang digunakan.

SITUASI IDEAL

Dalam situasi yang ideal, kita seharusnya membina prasarana yang berasingan untuk memenuhi keperluan pelbagai golongan pengguna bagi mengurangkan pertembungan dan kemalangan.

Namun kita tahu bahawa adalah mustahil untuk mencapai matlamat sedemikian di Singapura yang kawasan tanahnya kecil.

Ini meskipun pemerintah sedang bertungkus-lumus untuk membina lebih banyak laluan berbasikal bagi mengasingkan para pengayuh basikal daripada lalu lintas kenderaan dan pejalan kaki.

Meskipun pembinaan prasarana akan membantu untuk memperbaiki keadaan, ia bukanlah huraian yang berkekalan.

Para pengguna masih perlu mengetahui bagaimana untuk menggunakan prasarana sedemikian secara tertib dan selamat. Jika tidak, tujuan pembinaan prasarana khas akan menjadi sia-sia belaka.

KURANG TIMBANG RASA

Kita mempunyai laluan khas berasingan bagi para pengayuh basikal dan pejalan kaki yang paling lama di East Coast Park. Namun masih ada sesetengah pengguna yang masih tidak mengikuti laluan masing-masing.

Kelakuan semberono dan berbahaya oleh pengayuh basikal mahupun pejalan kaki masih kelihatan. Pertembungan dan kemalangan masih sering berlaku.

Skim sewa basikal tanpa dok merupakan prasarana yang baik bagi peringkat permulaan dan penghujung perjalanan jarak jauh dan juga untuk berulang-alik jarak dekat.

Ia sangat membantu dalam kegiatan mobiliti aktif dan dalam merealisasikan wawasan Singapura yang ‘kurang kereta’ (car-lite).

Taman berbasikal yang baru dibuka di East Coast Park. (Gambar: NParks) 

Malangnya kelakuan sesetengah pengguna yang tidak bertimbang rasa seperti meletak basikal sembarangan, mencetuskan isu-isu persekitaran dan membahayakan orang awam.

Lantaran itu, pihak berkuasa perlu masuk campur dengan memperkenalkan lebih banyak peraturan.

Penguatkuasaan peraturan sedemikian menyukarkan pelaksanaan skim-skim sewa basikal yang sebelum itu sangat mudah untuk digunakan.

MENGASINGKAN PENGGUNA LALUAN

Semasa Tanah Merah Coast Road baru dibuka pada April 2017, Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) menyediakan laluan berbasikal khas di jalan raya untuk mengasingkan para pengayuh basikal daripada lalu lintas kenderaan.

Ia adalah prasarana yang baik kerana ia melindungi para pengayuh basikal dan langkah itu dialu-alukan oleh para penggiat basikal.

Namun malangnya, kelakuan sebilangan kecil pemandu yang melanggar peraturan dengan meletak kenderaan secara haram di laluan berbasikal mencetuskan isu-isu keselamatan dan menyebabkan kemalangan menimpa pengayuh basikal.

Ada juga sebilangan kecil pengayuh basikal yang enggan menggunakan laluan berbasikal dengan memberi alasan bahawa terdapat serpihan dan mereka yang mengayuh terlalu perlahan sehingga mengganggu pengguna lain.

Keengganan mereka untuk menggunakan laluan berbasikal mengganggu para pemandu di sana.

Kesimpulannya, contoh-contoh tersebut menunjukkan bahawa ketertiban merupakan faktor yang jauh lebih penting daripada pembinaan prasarana semata-mata.

Kelakuan pengguna yang baik akan mewujudkan persekitaran lebih selamat dan harmoni dalam jangka panjang, tidak kira sama ada prasarana itu baru dibina atau tidak.

KONTEKS TEMPATAN

Ramai yang merujuk kepada contoh prasarana berbasikal di negara-negara seperti Belanda dan Denmark yang sudah tentu mempunyai idea-idea yang baik dan prasarana yang sesuai.

Namun kita perlu berhati-hati agar tidak membawa masuk idea-idea sedemikian secara bulat-bulat kerana huraian yang mungkin sesuai di negara-negara asing tidak semestinya secocok dengan konteks negara kita.

Pokoknya, keadaan di negara ini sangat berbeza dari segi keluasan tanah, sekitaran ekonomi dan politik, dasar-dasar pentadbiran, budaya keperluan dan keinginan.

Memandangkan Singapura ketandusan sumber-sumber semula jadi, kita perlu bergantung kepada sumber-sumber lain untuk melangsungkan penakatan.

Gambar: Julian Stratenschulte / dpa / AFP

(Gambar hiasan)

Ini termasuk membangunkan hab kewangan dan penerbangan serta memperluaskan perniagaan import, eksport dan pemunggahan barangan dan industri Mesyuarat, Insentif, Persidangan dan Pameran (MICE), pelancongan dan sebagainya.

Kita memerlukan prasarana pengangkutan yang baik dan berkesan untuk mengecapi kejayaan dalam industri-industri tersebut dan bagi menyara kehidupan.

Lantaran itu, meskipun pemerintah berhasrat untuk melaksanakan prasarana yang sempurna bagi menggalak mobiliti aktif, kita perlu menimbangkan dengan teliti jenis-jenis prasarana dan dasar-dasar yang paling sesuai bagi memenuhi keperluan dan keinginan dalam membangunkan negara ini.

ANJAKAN MINDA

Kita hidup dalam zaman serba segera di mana kita ingin setiap perkara dilakukan dengan segera. Kita sentiasa berlumba-lumba untuk melakukan seberapa banyak perkara yang mungkin dalam jangka masa yang singkat tanpa melakukan sebarang kesilapan.

Akibatnya, kita mungkin tidak menghiraukan persekitaran kita dan kadangkala kelakuan sedemikian membahayakan keselamatan.

Ada sesetengah pengguna jalan raya dan laluan pejalan kaki yang terlalu asyik menggunakan telefon bimbit dan peranti elektronik lain sehingga membahayakan diri sendiri dan para pengguna di sekeliling mereka.

Ini semua merupakan isu-isu perilaku yang perlu lebih ditangani berbanding isu-isu prasarana.

PENDIDIKAN SEBAGAI KUNCI

Pendidikan adalah anak kunci kepada perubahan kelakuan dan anjakan minda. Kita perlu mendidik orang ramai supaya memerhatikan sekeliling mereka, menggunakan laluan-laluan awam dan jalan raya secara selamat dan berbaik budi dengan pengguna-pengguna lain.

Selain peringatan dan nasihat yang berulang kali oleh pihak berkuasa, ibu bapa, sekolah-sekolah dan masyarakat umum memainkan peranan penting dalam mendidik para pengguna jalan raya dan menunjukkan peranan contoh.

Melintas jalan sembarangan, pengayuh basikal yang melanggar peraturan, memandu terlalu laju, meletak kenderaan sembarangan dan membuat pusingan ‘U’ haram sering kali berlaku di sini.

(Gambar: tourdehajj)

(Gambar hiasan)

Sering kali para pengguna jalan raya melakukan perbuatan-perbuatan tersebut sebagai jalan mudah sekalipun ia merupakan satu kesalahan dan tanpa mengambil kira keselamatan dan kesejahteraan pengguna jalan raya lain.

Kita perlu memupuk tabiat jalan raya dan laluan awam yang tertib, meningkatkan kesedaran tentang keselamatan dan memainkan peranan sebagai pengguna yang bertanggungjawab.

Pada dasarnya, keselamatan adalah tanggungjawab peribadi; keselamatan di jalan raya atau laluan merupakan tanggungjawab bersama.

KEIHSANAN DI RUANG AWAM

Hubungan antara golongan pengguna yang berbeza di jalan raya atau laluan awam tidak sepatutnya berdasarkan pendekatan ‘saya lawan anda’.

Sebaliknya persefahaman serta sikap empati dan ihsan perlu dipertingkatkan. Kita semua adalah pengguna ruang bersama dan tidak sepatutnya bermusuhan dengan satu sama lain.

Sikap menuding jari antara satu sama lain tidak akan memperbaiki keadaan mahupun menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat.

Kita perlu menggalakkan budaya ihsan dan mengongsi yang akan memanfaatkan masyarakat dan negara dalam jangka panjang.

Masalah-masalah yang dihadapi hari ini tidak hanya berlaku antara pengayuh basikal dengan pengguna-pengguna lain.

PENDEKATAN MENYELURUH

Malah para pemandu kadangkala bertembung antara satu sama lain. Kelakuan sesetengah pejalan kaki juga membahayakan pejalan kaki lain dan para pemandu.

Kita perlu menangani punca masalah-masalah tersebut dengan mengambil pendekatan menyeluruh dalam mencari huraian.

Ayuh, janganlah tergesa-gesa membuat kesimpulan dengan menuntut larangan dikuatkuasakan setiap kali sesuatu masalah tercetus.

Sebaliknya kita perlu berusaha menukar minda dan merubah kelakuan bagi mewujudkan persekitaran hidup yang lebih harmoni.

MENGENAI PENULIS:

Dr Faishal Ibrahim.
Sumber : BERITA Mediacorp/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan