Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Langkah terbaik elakkan berita palsu – kawal diri dalam menyebar dan menyatakan sesuatu

Banyak usaha mudah boleh diambil untuk elak terjebak dalam penyebaran berita palsu. Namun, berapa ramai pengguna internet sanggup melakukannya?

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Banyak usaha mudah boleh diambil untuk elak terjebak dalam penyebaran berita palsu. Namun, berapa ramai pengguna internet sanggup melakukannya?

Gambar hiasan (Gambar: Duy Hoang/Unsplash)

AWAS! Jika anda termasuk golongan yang suka menyebar berita palsu atau berkongsi sesuatu maklumat yang anda tidak pasti akan kesahihannya. Harap hentikan tabiat buruk itu.

Ini kerana sebaik sahaja anda berkongsi maklumat tersebut dan jika anda cuba memadamkannya adalah sukar untuk menariknya balik, menyebabkan anda terpaksa menanggung risiko, implikasi dan padahnya.

Menyusuli seriusnya implikasi dan kesan buruk akibat penyebaran berita dan maklumat palsu, Parlimen Singapura, pada Mei lalu, telah meluluskan Akta Perlindungan Daripada Kepalsuan dan Manipulasi Dalam Talian, singkatannya POFMA.

POFMA, yang berkuat kuasa 2 Oktober, bertujuan membendung penyebaran berita palsu secara online dengan menggunakan kaedah kawal selia dan menjadikan ruang siber wadah lebih selamat.

Akta itu memperuntuk tindakan bagi melindungi kepentingan awam berhubung berita dan maklumat palsu. Ia akan membolehkan pemerintah menangani maklumat palsu dengan segera demi mengawal penyebarannya.

Tindakan itu dibuat berapa hari selepas pengasas Facebook, Encik Mark Zuckerberg menerusi tulisan di akhbar Washington Post, berkata pemerintah negara masing-masing perlu memainkan peranan lebih aktif dalam mengawal selia platform dalam talian.

Mark Zuckerberg. (Gambar: JUSTIN SULLIVAN/AFP)

Namun apakah itu sebenarnya berita palsu? Bagaimana membezakan apa yang palsu dengan maklumat dan berita benar atau sahih?

ANTARA TERTINGGI

Terdapat banyak definisi rasmi yang rata-rata hampir sama tujuan dan maknanya. Menurut Politifact, sebuah organisasi yang berfungsi mengukur kesahihan sesuatu maklumat di Amerika Syarikat, berita atau laporan palsu adalah sesuatu yang direka dan dimanipulasikan dengan cukup bijak untuk dilihat seperti laporan-laporan berita yang kredibel atau boleh dipercayai.

Ia juga disebarkan dengan mudah dalam wadah “online” bagi penonton yang besar jumlahnya, yang terdorong untuk mempercayainya dan menyebarkan berita tersebut.

(Gambar: Unsplash)

Internet dan penggunaan media sosial telah menjadi basahan hidup dalam masyarakat majmuk Singapura hari ini. Malah laporan Hootsuite – sebuah wadah pengurusan media sosial - mendedahkan Singapura adalah kalangan negara yang mempunyai kadar penembusan Internet tertinggi di dunia.

Laporannya mengenai penggunaan digital 2019 di Singapura, menyatakan 86 peratus warga Singapura kini menggunakan khidmat dalam talian (online), sementara 76 peratus aktif dalam media sosial.

LEBIH MENCABAR

Jelasnya, penggunaan Internet dan media sosial kini seolah-olah menjadi wadah penghurai masalah yang utama bagi sesetengah orang, terutamanya golongan muda – daripada hiburan hingga berbelanja dalam talian.

Menemui teman baru, mencari jawapan kemusykilan agama dan isu-isu semasa, sosial, ekonomi dan politik – menerusi pelbagai wadah teknologi seperti YouTube, WhatsApp, Instagram, Facebook, Linkedin, Google, Messenger dan bermacam lagi.

Ikon aplikasi media sosial (Gambar: Reuters)

Malangnya, apa yang tidak diketahui ramai, Internet sendiri dengan luasnya menggunakan kaedah algoritma yang diprogram untuk mempelajari dan merakam apa sahaja yang diinginkan oleh citarasa pengguna Internet.

Ini menjadikannya lebih mencabar untuk mengenal pasti apakah sumber-sumber maklumat itu sebenarnya adalah sumber-sumber asli yang kita inginkan?

DITUNTUT AGAMA

Kita seringkali menyaksikan golongan yang mempunyai niat jahat mengambil kesempatan daripada strategi ini untuk menyebarkan mesej-mesej dan menerapkan nilai-nilai tertentu yang mereka mahukan bagi mendapat populariti, menyebarkan kebencian dan fahaman ekstrem.

Apabila penyebaran berita palsu dan perkongsian maklumat oleh orang-orang yang tidak kita ketahui latar belakangnya menjadi suatu kebiasaan dan lumrah, bagaimana dapat kita mengetahui dan pastikan jika sumber-sumber yang kita perolehi itu adalah benar dan tulen?

Apakah kita tidak terasa tertipu dan bersalah dengan penyebaran maklumat yang tidak pasti kesahihannya itu kepada teman-teman, saudara mara dan awam?

Sebagai seorang Muslim, kita dituntut oleh agama supaya berhati-hati dan periksa terlebih dahulu kesahihan dan ketulenan maklumat apabila menerima sesuatu berita.

KENAL PASTI KEPALSUAN

Antaranya anjuran Al Quran yang menegaskan pada umat Islam bahawa jika ada seseorang yang berniat jahat datang kepada mereka dengan kebijaksanaan manipulasi membawa berita, janganlah mudah kita menerimanya kecuali berita itu diselidiki terlebih dahulu tentang kebenarannya. (Al Hujurat, Ayat 6)

Adapun, terdapat beberapa ciri mudah bagi kita mengenal pasti maklumat atau berita palsu. Antaranya apabila didapati sumbernya tidak jelas atau disamarkan, kenyataan tidak logik, jalan cerita menarik dan kerap diulang tayang, serta rujukannya tidak tepat.

Persekutuan Antarabangsa Persatuan-Persatuan Perpustakaan (IFLA) menggariskan beberapa tip untuk membantu orang ramai mengenal pasti kepalsuan sesuatu berita, laporan atau maklumat.

Ia termasuklah: berikan pertimbangan terhadap sesuatu sumber maklumat untuk memahami tujuannya; baca sesuatu berita melewati tajuknya supaya dapat memahami keseluruhan cerita; periksa penulisnya untuk menentukan kesahihan dan sama ada ia boleh dipercayai; dan menilai sumber-sumber sokongan bagi memastikan sesuatu dakwaan dapat disokong.

MEMBAWA PADAH

Akhir kata, budaya Melayu sendiri kaya dengan peribahasa yang menyentuh tentang perlunya sikap berhati-hati semasa bercakap atau berkongsi percakapan dengan orang lain.

Ini kerana percakapan sebarangan boleh membawa akibat buruk. Justeru, tercetusnya ungkapan peribahasa: “Cakap siang pandang-pandang, cakap malam dengar-dengar.”

Kata-kata sebarangan itu juga boleh membawa padah pada diri dan orang sekeliling kerana kata-kata yang diluahkan itu sukar ditarik balik.

Oleh itu seringkali kita dinasihati dan diingatkan dengan peribahasa: “Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata, buruk padahnya!”

Nasihat warisan ini masih relevan hingga ke hari ini dan wajar dijadikan iktibar.

MENGENAI PENULIS
Rosebi Mohd Sah ialah bekas wartawan dengan pengalaman hampir 30 tahun dalam dunia kewartawanan cetak dan penyiaran. Beliau pernah memegang jawatan Editor Berita dan Koresponden Kanan, Wartawan Penyiaran Kanan dan Pegawai Kajian bagi Parlimen Singapura. 

Sumber : BERITA Mediacorp/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan