Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Kumpulan hubungan ibu bapa - mengapa ramai kurang senang

Semakin berkembangnya kumpulan hubungan ibu bapa seperti WhatsApp sepatutnya sesuatu yang dialu-alukan. Tetapi mengapa ada ibu bapa yang kurang senang dengannya?

Anggaran Waktu Membaca:
KOMENTAR: Kumpulan hubungan ibu bapa - mengapa ramai kurang senang

(Gambar: Dado Ruvic/Reuters)

BERITAmediacorp: Semakin berkembangnya kumpulan hubungan ibu bapa seperti WhatsApp sepatutnya sesuatu yang dialu-alukan. Tetapi mengapa ada ibu bapa yang kurang senang dengannya?

Semasa kedua-dua anak lelaki saya di bangku sekolah di peringkat sekolah rendah dulu, kumpulan WhatsApp Ibu bapa belum wujud lagi.

Pada ketika itu, ibu bapa sering memeriksa beg sekolah anak-anak mereka pada waktu malam untuk memastikan setiap kerja sekolah telah diselesaikan atau pesanan guru untuk ibu bapa telah dikhabarkan.

Setiap komunikasi dari pihak sekolah adalah melalui emel dan surat kertas.

Gambar hiasan seorang budak membuat kerja sekolah. (Gambar hiasan: Unsplash)

Anak perempuan saya memasuki darjah satu pada tahun 2012 dan begitu juga, setiap perhubungan rasmi dari pihak sekolah adalah melalui emel, surat kertas.

Tetapi kali ini pula termasuk notis-notis pemberitahuan dilampirkan di aplikasi sekolah yang ibu bapa dan murid-murid dikehendaki memuat turun ke telefon bijak masing-masing pada awal tahun.

Bagi mereka yang tidak mempunyai telefon bijak, aplikasi tersebut boleh dilayari di internet sebagai portal.

Aplikasi dan portal yang disediakan pihak sekolah semakin canggih dan ia membolehkan ibu bapa dan murid-murid mendapatkan maklumat-maklumat terkini.

Antaranya maklumat seperti jadual dan tarikh akhir tugasan, markah kerja sekolah, gred peperiksaan, kehadiran, maklum balas, pengumuman khas dan lain-lain lagi.

Dengan adanya teknologi pesanan yang semakin interaktif dan yang berasaskan internet seperti WhatsApp, Telegram, KakaoTalk dan sebagainya, menubuhkan kumpulan perbualan atau chat group tidak memerlukan kemahiran yang tertentu atau mendalam.

Ia semudah mengikuti arahan yang tidak melibatkan lebih daripada empat langkah yang ringkas dalam aplikasi pesanan itu.

PENYEBARAN MAKLUMAT

Kumpulan sokongan ibu bapa yang dulunya sangat bergantung kepada pihak sekolah untuk menyebarkan berita aktiviti-aktiviti dan program-program yang mereka anjurkan, sekarang dengan lebih efektif mampu menguruskan penyebaran maklumat mereka sendiri.

Dengan adanya aplikasi-aplikasi pesanan ini, tidak hairanlah ibu bapa mula berhubung dengan satu sama lain dengan lebih kerap lagi bertujuan untuk mengambil tahu dan memaklumkan tentang kegiatan anak-anak mereka di sekolah.

Kumpulan WhatsApp ibu bapa dengan sekelip mata telah merebak sehinggakan ia seolah-olahnya sudah menjadi satu budaya pop (pop culture).

Trend kumpulan WhatsApp ibu bapa berkembang merata-rata di setiap sekolah di sini dengan agresif.

(Gambar: Dado Ruvic/Reuters)

Saya serta isteri saya pun dengan sukarela menyertai kumpulan WhatsApp ibu bapa kelas anak saya agar kami tidak ketinggalan. FOMO (Fear Of Missing Out) lah, katakan…

PLATFORM MENGUMPAT

Dari awalnya kumpulan WhatsApp yang kami sertai memang berguna kerana ada sesetengah ibu bapa yang amat aktif memberi kemas kini, ada yang memberi maklum balas tentang sesuatu mata pelajaran, dan juga peringatan dan seterusnya.

Tetapi lama-kelamaan, kumpulan WhatsApp ibu bapa itu menjadi platform untuk mengumpat, mencaci dan membanding-bandingkan markah anak-anak mereka.

Satu usaha yang pada mulanya bertujuan untuk kebaikan telah menimbulkan satu budaya yang toksik dan telah menyebabkan permusuhan atara satu sama lain.

Memandangkan perubahan yang begitu mendadak dan kurang menyenangkan, saya dan isteri saya tinggalkan kumpulan WhatsApp ibu bapa tersebut.

Sehingga hari ini kami tidak mengikut serta sebarang kumpulan WhatsApp ibu bapa, kecuali kumpulan perbualan sementara yang direka khas untuk sesuatu perkara, seperti Sambutan Hari Kebangsaan, Hari Kanak-Kanak, Hari Pertahanan Mutlak (Total Defence Day) yang akan dibubarkan setelah acara atau program itu tamat.

SALURAN KOMUNIKASI

Jika kita fikir kembali, saluran-saluran komunikasi yang telah disediakan oleh sekolah-sekolah dan Kementerian Pendidikan di sini untuk mengaitkan murid-murid, ibu bapa dan pihak pentadbir, ia lebih daripada mencukupi.

Misalnya, aplikasi AsknLearn yang disediakan di peringkat sekolah telah digunakan oleh ibu bapa dan murid-murid selama beberapa tahun.

Inisiatif terkini yang dilancarkan oleh Kementerian Pendidikan pada pertengahan tahun lalu untuk menggabung dan menyelaraskan komunikasi antara setiap pihak yang berkaitan, ialah aplikasi Parent Gateway.

Aplikasi ini memerlukan SingPass untuk log masuk. Dengan adanya aplikasi yang serba boleh lagi menyeluruh ini, besar kemungkinan setiap sekolah di bawah naungan Kementerian Pendidikan di sini akan menggantikan setiap aplikasi yang mereka gunakan yang mana ia setakat di peringkat sekolah sahaja, dengan aplikasi Parent Gateway.

BUKU PANDUAN

Di sini kita perlu renungkan dengan mendalam adanya kumpulan WhatsApp ibu bapa yang sudah menjadi lumrah ini, sama ada anak-anak kita semakin bergantung kepada kita untuk menjalani kehidupan mereka seharian?

(Gambar hiasan: Mediacorp)

Adakah anak-anak kita akan berbuat sambil lewa dalam memenuhi tanggungjawab mereka sebagai murid dan apakah kesan jangka masa panjang pada anak-anak kita jika kita tidak putus-putus menyiapsediakan setiap tugas untuk mereka?

Inilah yang amat membimbangkan kerana sikap berdikari dan bertanggungjawab perlu dipupuk dari kecil lagi dan di bangku sekolah adalah tempat yang paling sesuai untuk mereka menerima pendedahan dan latihan tersebut.

Apa yang tetap sejak kedua-dua anak lelaki saya di sekolah rendah dan kemudian di peringkat menengah, adalah setiap murid menerima buku panduan pelajar yang merangkumi dua seksyen, iaitu peraturan-peraturan sekolah dan jadual perancangan.

Amalan sedemikian masih diteruskan oleh pihak sekolah sehingga ke hari ini, tetapi yang mengecewakan ialah ramai murid yang tidak menggunakan buku panduan pelajar mereka untuk membantu diri mereka belajar mengurus masa dan urusan harian mereka.

Bagi saya dan isteri, jauh lebih baik faedah mendidik anak-anak kita menggunakan buku panduan pelajar mereka dengan betul supaya ia menjadi kebiasaan bagi mereka untuk merancang urusan seharian dengan bijak agar tercapai keberkesanan menyusun masa mereka.

BERSIKAP BERDIKARI

Memang tidak dapat kita nafikan yang ibu bapa semakin sibuk dengan tugas masing-masing dan ini menyebabkan mereka tidak sempat untuk mengikuti perkembangan atau aktiviti-aktiviti di sekolah anak-anak mereka.

Sebab itulah Kementerian Pendidikan melalui sekolah-sekolah telah menyediakan aplikasi komunikasi yang begitu mudah sekali untuk digunakan oleh ibu bapa dan murid-murid tersebut.

Bayangkan ketenteraman yang kita mampu perolehi disebabkan kita tidak terjejas oleh perbualan negatif yang berleluasa dalam kumpulan WhatsApp ibu bapa.

Dan, bayangkan pula anak-anak kita membesar dengan sikap berdikari dan penuh bertanggungjawab kerana mereka didedahkan kepada cara-cara supaya mereka lebih cerdik menggunakan masa melalui perancangan jadual yang efektif.


Mengenai Penulis:  

Khalid Awang adalah seorang ayah kepada 3 orang anak. Beliau, selaku mantan Duta Dads for Life, sering bergiat di sekolah anak-anak beliau. Pada masa lapang, beliau menulis mengenai isu-isu keibubapaa, kewangan, pelaburan, hartanah dan pencegahan dadah. 

Sumber : BERITA Mediacorp/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan