Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR : Krisis Amerika-Iran: Apakah jelas kepada semua bahawa perang bukan huraiannya?

Dunia boleh menghela nafas panjang apabila Presiden Trump membatalkan serangan balas peluru berpandu Amerika Syarikat ke atas Iran; suatu keputusan yang dialu-alukan dapat meredakan ketegangan di rantau Teluk Parsi.

Anggaran Waktu Membaca:

Dunia sudahpun maklumi bahawa apa yang dikhuatiri akan mencetuskan satu perang besar-besaran di Timur Tengah antara Amerika Syarikat dengan Iran berjaya di atasi oleh seorang pemimpin yang langsung tidak dijangka sebagai ‘pencinta perdamaian’ – Presiden Donald Trump.

Itulah yang disifatkan oleh Trump sendiri dalam beberapa ciapannya pada pagi Jumaat (malam Sabtu, waktu Singapura) bahawa tentera Amerika sudah bersedia untuk melancarkan serangan balas peluru berpandu ke atas Iran tetapi dibatalkannya hanya beberapa minit sebelum serangan bermula.

Serangan peluru berpandu itu disarankan pihak tentera sebagai membalas tindakan Iran menembak jatuh sebuah dron Amerika yang dituduh telah memasuki ruang udaranya di Teluk Parsi.

Trump mendakwa langkahnya membatalkan serangan balas itu selepas diberitahu bahawa serangan tersebut boleh mengakibatkan 150 orang  Iran menjadi korban.

TIDAK SETIMPAL

Dalam ciapannya, Trump yang mungkin melihat dirinya sebagai seorang pemimpin yang ‘berperi kemanusiaan’, menyatakan kehilangan jiwa dengan jumlah yang besar itu adalah tidak setimpal dengan musnahnya sebuah dron tentera walaupun ia berharga jutaan dolar.

Dron pemantauan RQ-4 Global Hawk. (Gambar: Handout/US AIR FORCE/AFP)

Keputusan yang dibuat oleh Trump pada malam Jumaat waktu Iran itu, memanglah langkah yang dialu-alukan seluruh dunia.

Pada hakikatnya, mungkin ada sebab-sebab lain mengapa keputusan serangan balas itu tidak boleh diteruskan oleh Amerika Syarikat.

Antaranya adalah di bawah perlembagaan Amerika keputusan melancarkan peperangan yang melibatkan angkatan bersenjata Amerika bukanlah terletak di tangan Presiden.

Sebaliknya keputusan untuk berperang mestilah diluluskan terlebih dahulu oleh Dewan Kongres Amerika.

SEBAB LEBIH BESAR

Di kalangan ramai pakar pula, mereka melihat adanya sebab-sebab lebih utama mengapa Washington tidak harus memulakan sebarang konflik besar-besar dengan Iran.

Para penganalisis melihat bahawa sebarang konflik ketenteraan dengan Iran boleh menimbulkan banyak risiko yang serius ke atas Timur Tengah, Amerika Syarikat sendiri dan juga dunia amnya.

Tidak seperti serangan-serangan udara yang dilancarkan Trump ke atas rejim Bashir al Assad di Syria pada 2017 dan 2018, Iran dikatakan mempunyai keupayaan lebih kuat untuk bertindak balas dengan lebih agresif lagi di seluruh rantau Timur Tengah.

Iran dikatakan mempunyai banyak sekutunya di Timur Tengah yang boleh bertindak balas di Lubnan, Iraq, Syria dan juga Yaman.

Mereka juga melihat keupayaan Iran untuk melancarkan ribuan peluru berpandunya ke atas sasaran-sasaran di Timur Tengah, termasuk Israel dan mungkin juga sehingga sejauh selatan Eropah.

PUNCA KRISIS

Krisis terbaru Amerika-Iran berpunca daripada keputusan Presiden Trump sendiri yang menamatkan perjanjian nuklear tahun 2015 yang dipersetujui antara Iran dengan Amerika Syarikat di bawah Pentadbiran Obama.

Presiden Trump. (Gambar: Leah Millis/REUTERS)

Tindakan mengenakan sekatan-sekatan baru ke atas Iran menjejas teruk ekonomi negara itu.

Ia akan diburukkan lagi dengan langkah-langkah baru seperti yang diambil pada bulan April untuk  menghalang negara-negara lain seperti China, India, Korea Selatan, Jepun dan Turki daripada membeli minyak pengeluaran Iran.

Matlamat langkah ini, seperti yang ditegaskan oleh Setiausaha Negara Amerika Mike Pompeo adalah untuk memastikan hasil eksport minyak Iran yang kini berjumlah 40% belanjawan negara itu, turun kepada paras ‘sifar’.

Washington menerusi dasar-dasar yang diambil oleh pegawai kanan seperti Pompeo dan juga Penasihat Keselamatan Negara John Bolton memang nampaknya banyak bertujuan meningkatkan tekanan ke atas Iran.

(Gambar: AFP/Brendan Smialowski)

Bagi pihak Iran pula tindak-tindak balas yang diambilnya dengan  mencetuskan ketegangan di Selat Hormuz – termasuk mencetuskan kerosakan ke atas kapal-kapal tangki minyak yang lalu lalang (walaupun Teheran tidak mengaku bertanggungjawab) – umpama memberi isyarat bahawa ia mampu mengheret Amerika ke dalam kancah konflik lebih besar, jika itulah yang diinginkan oleh Washington.  

Inilah juga mungkin tujuannya dengan menjatuhkan dron atau pesawat peninjau Amerika tanpa pemandu minggu lalu.

Kalangan pemerhati berpendapat bahawa tindakan tersebut menunjukkan bahawa Iran juga mempunyai kumpulan tegarnya seperti Pasukan Pengawal Revolusioner yang mahu mengheret kedua-dua Amerika dan Iran dalam pertikaian bersenjata.

Selain pihak-pihak berhaluan tegar baik di Washington dan Teheran, tentunya dua negara lain di Timur Tengah seperti Arab Saudi dan Israel, juga mempunyai kepentingan masing-masing untuk melihat pengaruh dan kuasa tentera Iran dilemahkan.

MUDAH TERJEBAK

In this picture released by Fars News Agency, Iranian warship Alborz prepares before leaving Iran's waters, at the Strait of Hormuz. (Photo: AP/Fars News Agency, Mahdi Marizad)

Apa sahaja faktor sebenar yang menyebabkan Donald Trump tidak jadi untuk meneruskan serangan balas ke atas Iran tempoh hari mungkin tidak dapat diketahui sepenuhnya buat masa ini.

Walau apapun sebabnya, adalah menjadi harapan seluruh masyarakat antarabangsa supaya baik Amerika atau Iran, atau mana-mana negara lain sekalipun supaya terus berhati-hati dan tidak mudah terjebak dalam apa-apa kancah pertikaian yang merbahaya – lebih-lebih lagi yang boleh menimbulkan berbagai porak peranda dahsyat yang sukar dibayangkan.

 

 


Sumber : BERITA Mediacorp/IB
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan