Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Kita tidak ada budaya membaca atau ia hanya masih terpendam?

Satu tinjauan oleh Majlis Seni Kebangsaan (NAC) pada 2015 mendapati hanya sekitar 44 peratus daripada rakyat Singapura dan penduduk tetap yang berusia 15 tahun ke atas membaca sekurang-kurangnya senaskhah buku berbentuk penulisan sastera (literary).

Anggaran Waktu Membaca:
KOMENTAR: Kita tidak ada budaya membaca atau ia hanya masih terpendam?

(Gambar-Gambar: Maria Mahat)

BERITAmediacorp: Budaya membaca dalam masyarakat Melayu masih belum terkubur; ia hanya menantikan usaha-usaha berkesan untuk mengembangkannya lagi. Maria Mahat, seorang penulis dan penerbit buku kanak-kanak, menggariskan cabaran dan peluang-peluang untuk menyemai minat terhadap buku-buku Melayu.

Satu tinjauan oleh Majlis Seni Kebangsaan (NAC) pada 2015 mendapati hanya sekitar 44 peratus daripada rakyat Singapura dan penduduk tetap yang berusia 15 tahun ke atas membaca sekurang-kurangnya senaskhah buku berbentuk penulisan sastera (literary).

Sebagai perbandingan, jumlah pembaca sedemikian di Amerika Syarikat mencecah 70 peratus.

Kemudian, Lembaga Perpustakaan Negara (NLB) melancarkan kempen lima tahun yang dipanggil Gerakan Membaca Kebangsaan, yang bertujuan untuk lebih menggalak tabiat membaca.

Hari Membaca Kebangsaan yang pertama diadakan pada bulan Julai 2016.

Sebahagian daripada kegiatan yang dianjurkan termasuk "Big Book Giveaway" dan Ahad Bebas Kereta, di mana sesiapa sahaja boleh duduk dan membaca buku serta menikmati kegiatan-kegiatan penulisan.

Ia sebahagian usaha meningkatkan jumlah orang yang membaca; bukan sebarang jenis pembaca, tetapi mereka yang membeli dan membaca karya-karya penulis tempatan.

Ini adalah inisiatif yang dipanggil gerakan #BuySingLit, yang dimulakan pada 2017 oleh Majlis Buku Singapura dan disokong NAC.

#BuySingLit adalah gerakan yang dipimpin industri untuk meraikan penulisan-penulisan dari Singapura.

Mendukung cogan kata 'Beli Karya Tempatan, Baca Tentang Dunia kita' (Buy Local, Read Our World), para penerbit dan penjual buku tempatan serta pertubuhan-pertubuhan bukan untuk keuntungan menggembleng tenaga untuk menggalak lebih ramai orang supaya meneroka dan mendakapi karya-karya Singapura.

Dengan membeli dan membaca karya-karya tempatan, anda menyokong para penulis yang menjadi saksi kehidupan kita di samping menyokong perniagaan-perniagaan masyarakat kita yang menyampaikan penulisan-penulisan tersebut kepada kita.

Yang paling penting, anda akan dapat merasai keasyikan membaca tentang pelbagai aspek dunia di sekeliling anda.

Tahun 2019 ini, #BuySingLit dianjurkan dengan lebih gah. Ia akan berlanjutan selama lebih dua minggu, 8 hingga 10 Mac dan 15 hingga 17 Mac. Bermacam-macam program bakal diadakan di 50 lokasi di merata Singapura.

Buat pertama kalinya, empat penerbit dan beberapa penggemar buku akan bergabung tenaga menganjurkan sebuah Pesta Buku Melayu Singapura di lokasi yang merupakan nadi masyarakat kita, iaitu di Wisma Geylang Serai dari 16 hingga 17 Mac 2019.

Diterajui oleh syarikat penerbitan buku tempatan, Pustaka Nasional yang ditubuhkan pada tahun 1960-an, pesta buku yang diadakan buat julung-julung kalinya ini dianjurkan bersama dengan PERSAMA, Unggun Creative dan Ungu Pen.

KAMUS, iaitu sebuah kumpulan penulis muda rakyat Singapura, yang anggotanya mengakui bahawa mereka memerlukan tenaga anak-anak muda untuk menyuntik kesegaran.

Kumpulan-kumpulan lain seperti Renta Collective, ARAS, EdureachSg dan penulis-penulis yang juga penerbit orang perseorangan juga tampil untuk menyumbang tenaga menganjurkan kegiatan-kegiatan dan program ‘persuratan’ (literary) yang meliputi segenap lapisan usia sepanjang dua hari.

Ini termasuk pelancaran buku-buku baru, kegiatan-kegiatan dwibahasa untuk kanak-kanak seperti Stories Alive!, penulisan komik dan demonstrasi ilustrasi, sesi berpantun yang dibuka kepada umum dan beberapa bengkel.

Salah satu daripadanya adalah penyuntingan novel dan cerpen yang akan dikendalikan oleh A Rahman Basrun.

Jika budaya membaca sudah terkubur, mengapa kumpulan-kumpulan ini masih bersatu, bersama-sama menganjurkan pesta buku yang disokong gerakan #BuySingLit serta pelbagai agensi?

Menurut seorang pustakawan kanan dari NLB, masyarakat Melayu masih membaca tetapi mereka hanya memilih penulisan-penulisan tertentu.

Melihat daripada tabiat meminjam buku di perpustakaan, pembaca Melayu cenderung untuk memilih buku-buku cereka, buku masakan, buku kanak-kanak dan buku-buku agama yang popular dari Malaysia.

Adakah buku-buku penulis tempatan tidak berupaya memuaskan selera pembaca kita? Adakah kita tidak mempunyai penulis-penulis hebat dalam kalangan masyarakat kita?

Atau mungkin penulis-penulis kita cenderung untuk tertumpu pada satu-satu bidang sehingga karya mereka cuma boleh dihargai golongan cendekiawan dan bukan masyarakat umum?

TIDAK KURANG PENULIS

Kita sebenarnya tidak kurang penulis yang menulis dalam pelbagai genre. Namun, seringkali, para penulis di Singapura tidak menjadikan penulisan sebagai kerjaya mereka. Ia sekadar hobi.

Kita mempunyai barisan penulis prolifik seperti Isa Kamari, Suratman Markasan, Jamal Ismail, Mohamed Latiff Mohamed, Manaf Hamzah, Peter Augustine Goh, Hamed Ismail, Rohani Din dan Leyla Shuri, antara lain.

Kita juga mempunyai para penulis puisi dan cerpen yang hebat seperti Farihan Bahron, Nurel-Hudaa Jaffar dan Djohan Abdul Rahman.

Bagi kategori kanak-kanak, terdapat Rilla Melati, Jumaini Ariff, Hidayah Amin dan saya sendiri. Terdapat juga beberapa penulis yang menerbitkan sendiri buku-buku kanak-kanak.

Kita turut mempunyai para penulis Melayu yang sudahpun menghasilkan karya dalam bahasa Inggeris, seperti Alfian Saat, Sharon Ismail dan penulis novel baru, Nuraliah Norasid, Sufian Hakim dan Imran Hashim.

Sebagai penulis dan penerbit buku kanak-kanak dan anak-anak muda (young adult), saya melihat terdapat jurang antara buku-buku bergambar serta cereka Melayu bagi anak-anak kecil sehingga ke peringkat menengah.

Kita tidak mempunyai buku-buku seperti "The Diary of Amos Lee" (oleh penulis Singapura Adeline Foo) atau "The Collected Diaries of Sporting Superhero" (oleh penulis Singapura Shamini Flint yang berpangkalan di Australia).

Apabila sesebuah buku dijadikan bahan pembelajaran di sekolah, ia melenyapkan rasa seronok untuk membaca. Tambahan lagi, teknologi dan media sosial semuanya bersaing untuk mencuri perhatian kanak-kanak, malah orang dewasa juga.

Bahasa Inggeris sebagai bahasa pertama dan bahasa yang biasa digunakan di Singapura juga sudah mengubah tabiat membaca dalam kalangan masyarakat kita.

Sebahagian kanak-kanak Melayu tidak akan berfikir dua kali untuk membaca buku bahasa Inggeris. Namun, mereka perlu dipujuk dan kadangkala dipaksa untuk membaca buku-buku Melayu.

Jika suatu masa dahulu buku-buku agama dalam bahasa Melayu sering dicari, semakin lama semakin ramai yang memilih buku-buku agama dalam bahasa Inggeris dan buku-buku Arab-Inggeris.

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, dengan bahasa ibunda dijadikan sebagai mata pelajaran wajib di prasekolah-prasekolah yang disokong dana Pemerintah 'anchor-operated', terdapat peningkatan dalam permintaan bagi buku-buku Melayu dengan isi kandungan serta konteks tempatan untuk kanak-kanak.

Walaupun kita ada buku-buku bahasa Melayu untuk kanak-kanak, jumlahnya bagaimanapun tidak meningkat dengan cepat.

Selain itu, ia kurang kepelbagaian untuk memenuhi keperluan kanak-kanak Melayu kita, yang sebahagian besarnya lebih banyak bertutur dalam bahasa Inggeris.

Menerbitkan buku-buku bermutu untuk kanak-kanak juga boleh menelan kos yang besar. Baik teks mahupun ilustrasinya memainkan peranan penting.

Ilustrasi yang bagus boleh mencecah harga yang tinggi dan ini tidak termasuk rekaan dan susun atur yang baik untuk menghasilkan buku kanak-kanak yang bermutu dan menarik.

Jelasnya, untuk menerbitkan buku kanak-kanak buat sejumlah kecil kanak-kanak Melayu di Singapura bukanlah suatu langkah yang menguntungkan.

Bak kata pepatah, untuk membesarkan anak memerlukan seluruh penduduk kampung, seluruh ekosistem juga diperlukan untuk mengembangkan faedah membaca buku-buku Melayu dan mutu menerbitkan karya-karya sedemikian – bercorak 'persuratan' atau popular, cereka atau bukan cereka, buku-buku bergambar atau buku-buku berhalaman.

Ini sesuatu yang mesti dilakukan tepat pada masanya, dengan cekap, sepadu, inovatif dan menarik. Saya yakin penerbitan dan penjualan buku di Singapura seringkali melibatkan pendekatan campuran (hybrid) antara perusahaan sosial dan komersil.

Penerbitan dalam bahasa Melayu bermakna menerbitkan buku-buku yang mungkin tidak melebihi 500 naskhah bagi setiap tajuk kecuali penulisnya dapat menarik kumpulan pembaca yang lebih besar di tempat lain.

PANTAS BERTINDAK

Para penerbit perlu pantas bertindak mengikut trend, sentiasa berinovasi dan mewujudkan kepelbagaian.

Ini mungkin termasuk penceritaan silang media (transmedia) - iaitu menyampaikan cerita-cerita menerusi pelbagai platform dan format seperti e-buku dan buku audio untuk merangsang penjualan dan meningkatkan jumlah pembaca.

Cara pengagihan kreatif dan inovatif juga perlu diambil supaya dapat menembusi pasaran yang lebih besar.

Meskipun sebahagian kedai buku sudahpun menggulung tikar, sebahagian lagi masih bertahan. Kedai-kedai buku yang masih bertahan perlu menawan orang ramai menerusi cara ia mempamerkan buku-buku dan dengan menganjurkan sesi-sesi bertemu penulis, pelukis ilustrasi serta para penggemar buku yang lain.

Para penulis tidak seharusnya bersembunyi di sebalik nama sebenar ataupun nama pena mereka.

Para penulis perlu mula berfikir seperti seorang ‘authorpreneur’ (Usahawan Penulisan). Para penulis perlu menonjolkan diri mereka. Sama ada menerusi online, memberikan ceramah, sesi bercerita, menerajui kelab-kelab buku, menyertai pesta-pesta buku di dalam mahupun luar negara.

SOKONGAN DANA

Geran-geran penerbitan daripada NAC dan Dana Dwibahasa Lee Kuan Yew amat diperlukan untuk menghasilkan buku-buku Melayu dan dwibahasa yang bermutu dengan genre-genre yang masih lagi kurang atau tidak wujud untuk pembaca kita.

Agensi-agensi lain yang memperuntukkan dana juga boleh mencontohi langkah itu dan menyasarkan untuk melonggarkan syarat dan lebih bermurah hati dalam memberikan geran khususnya untuk buku kanak-kanak, yang isi kandungannya berkemungkinan tidak kontroversil.

Pada dasarnya, budaya membaca bermula dari rumah dan sejak kecil, sebelum diteruskan di sekolah-sekolah serta melalui wadah-wadah sosial yang lain.

Gerakan-gerakan dan kempen yang dianjurkan hanya mampu mencapai sasaran yang terhad sekiranya budaya membaca tidak disemai secara aktif pada usia muda.

Suka untuk saya membayangkan budaya membaca yang lebih segar bermula dari rumah dan peringkat prasekolah dengan kerjasama aktif oleh para ibu bapa, perpustakaan tempatan dan gerakan-gerakan seperti #BuySingLit dan Kempen Membaca Kebangsaan.

Jika kita tidak berbangga dengan bahan-bahan penulisan sendiri dan meraikan cerita-cerita kita demi mewujudkan sebuah masyarakat pembaca dan pemikir, siapa lagi?

Tapi sebelum itu, ayuh kita raikan Pesta Buku Melayu Singapura yang bakal dianjurkan buat julung-julung kalinya.

Anda bakal dihidangkan dengan beraneka buku-buku Melayu, dengan buku-buku dwibahasa dan Inggeris karya para penulis Melayu kita sebagai pembuka selera.

Ayuh sokong pesta ini!

Maria Mahat ialah pengasas Ungu Pen, penerbitan yang menumpukan kepada buku-buku kanak-kanak dalam Bahasa Melayu dan juga dwibahasa. Beliau pernah menjadi penerbit kanan Eaglevision, unit penerbitan rancangan-rancangan kanak-kanak, drama dan hiburan Mediacorp dan pengurus, pembangunan profesional guru-guru di Agensi Pendidikan Awal Kanak-Kanak.

Sumber : BERITA Mediacorp/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan