Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Kisah Tok Kadi, antara komedi dan realiti

Siri drama popular Kisah Tok Kadi 2, yang meceritakan pelbagai pergolakan rumah tangga dan hidup berpasangan, baru sahaja melabuhkan tirainya minggu lalu. Siri kedua itu tidak mengecewakan.

Anggaran Waktu Membaca:
KOMENTAR: Kisah Tok Kadi, antara komedi dan realiti

Mustazah Bahari, Zamil Bersekutu di RSIS, NTU.

BERITAMediacorp: Siri drama popular Kisah Tok Kadi 2, yang meceritakan pelbagai pergolakan rumah tangga dan hidup berpasangan, baru sahaja melabuhkan tirainya minggu lalu. Siri kedua itu tidak mengecewakan.

Dalam artikel KOMENTAR kepada BERITAMediacorp ini, seorang asatizah, iaitu Ustaz Mustazah Bahari, mengupas realiti-realiti di sebalik ehwal pernikahan dan rumah tangga. Sejauh manakah melayan isteri seperti permaisuri kayangan atau melayan suami bak raja berdaulat cukup untuk membina rumah tangga harmoni? Ikuti pula al-kisah dari tulisan Ustaz Mustazah Bahari ini:

Gambar fail. 

(Gambar fail)

Drama Kisah Tok Kadi yang disiarkan di saluran Suria adalah di antara drama yang paling diminati. Mana tidaknya, menurut BERITAMediacorp, Drama komedi Kisah Tok Kadi 1, menang besar dalam Pesta Perdana 14, apabila ia merangkul empat Anugerah kesemuanya, di majlis anugerah Pesta Perdana 2017.

Hasil dari kejayaan tersebut, siri kedua pula diterbitkan pada awal tahun 2018 dengan paparan isu-isu persiapan perkahwinan dan rumah tangga yang rencam.

TARIKAN KISAH TOK KADI

Drama yang memaparkan pengalaman seorang juru nikah atau Tok Kadi yang dilakonkan oleh Beto Kusyairy selaku Ustaz Shahrul berjaya menarik perhatian para penonton dengan gayanya yang santai dan memudahkan urusan pernikahan yang dijalankan. Mentelah lagi penampilan beliau sebagai seorang Tok Kadi yang muda yang selalunya dimonopoli oleh barisan juru nikah yang senior.

Panggilan Tok Kadi itu sahaja membayangkan figur seorang juru nikah yang lanjut usia dan berpengalaman luas. Walaupun genre drama Kisah Tok Kadi bersifat komedi, namun banyak pengajaran dan peringatan mengenai tanggungjawab dan cabaran rumah tangga yang boleh diambil.

SEBELUM PERNIKAHAN

Dalam banyak babak yang dipaparkan dalam drama tersebut terkait dengan soal duit. Ia merupakan isu yang paling kritikal dalam persiapan untuk membina rumah tangga bagi pasangan muda hari ini. Ia juga menjadi satu keprihatinan pihak bakal mertua pengantin lelaki. Pastinya ibu dan ayah bagi pengantin perempuan perlukan semacam jaminan atau sekuriti bagi anak kesayangan mereka dalam melayari hidup rumah tangga.

Walau tidak dinafikan duit merupakan perkara yang penting dalam perancangan untuk membina rumah tangga, namun janganlah ia menjadi sebab utama dalam meneruskan atau menghentikan niat murni untuk membina rumah tangga. Begitu juga janganlah ia menjadi tanda aras bagi kesempurnaan sesuatu pernikahan, lebih banyak belanja lebih gah dan meriah. Jika kurang belanja maka tiada seri dan malap majlis yang diadakan. 

Tanggapan seperti ini perlu diperbetulkan supaya tujuan asal pernikahan, iaitu membina rumah tangga yang penuh berkah dan harmoni, dapat terlaksana. Bukanlah tidak boleh membuat majlis yang gah dan mewah, tetapi biarlah ia bertepatan dengan kemampuan diri. Jangan sampai hendak mengadakan majlis serba canggih dan mewah sehingga perlu berhutang dan terpaksa mengurangkan keperluan-keperluan asas yang lain pula.

Yang terlebih penting adalah persiapan atau perancangan jangka masa panjang untuk memastikan rumah tangga dapat berjalan dengan baik dengan bekalan harta yang cukup.

Apa pun, wajar bagi semua pihak untuk duduk dan berbincang mengenai hal-hal yang berkaitan dengan perancangan majlis walimatul urus. Seperti adat tradisi orang Melayu pun, sebelum menetapkan tarikh pernikahan, soal hantaran dan mas kahwin dibincangkan antara dua keluarga untuk mencapai kata sepakat. Hal ini penting agar tidak menjadi isu di belakang hari jika berlaku perbalahan.

KETIKA MAJLIS PERNIKAHAN

Hari pernikahan adalah hari besar dan istimewa bagi pasangan mempelai. Harapan mereka dan semua ahli keluarga agar majlis berjalan dengan lancar. Selalunya pada hari tersebut, pengantin lelaki yang paling cemas dan tak senang duduk kerana menantikan saat ijab kabul yang amat mendebarkan.

Untuk mengurangkan tekanan pada situasi seperti itu, ada sebilangan dari pihak pengantin lelaki mengambil inisiatif memilih Tok Kadi yang baginya senang dan mudah dalam menjalankan upacara pernikahan. Jika dilihat kepada penampilan Ustaz Shahrul, beliau kelihatan santai dan banyak memberi ruang kemudahan. 

Keutamaan yang diberi kepada mobiliti sosial, perubahan nilai hidup antara faktor golongan usia 25-34 masih bujang. (Gambar Fail: AFP)

(Gambar fail: AFP)

Tidak dinafikan setiap juru nikah ada cara tersendiri. Ada yang tegas, ada yang garang dan ada juga yang senang urusan dan bicaranya. Dalam memilih juru nikah, tiada siapa yang lebih baik dari yang lain. Ada yang suka juru nikah yang tegas atau garang, lebih lebih lagi jika bapa pengantin yang memilih juru nikah yang akan menikahkan anaknya.

Dengan itu, diharapkan agar Tok Kadi tersebut boleh memberi nasihat yang tegas kepada pengantin yang bakal melayari alam rumah tangga yang penuh cabaran. Apa pun, Tok Kadi harus berperanan untuk memberi kemudahan dalam menjalankan upacara pernikahan. Dalam agama pun, sifat memberi kemudahan bagi pihak lain adalah sifat yang terpuji.

Ketika majlis pernikahan dijalankan, hendaklah semua yang ada di dalam majlis tersebut meraikan adab-adab majlis. Misalnya, apabila akad nikah sedang dijalankan, berilah penghormatan sewajarnya kepada suasana itu dengan tidak membuat bising sehingga menganggu pihak pengantin dan Tok Kadi.

Begitu juga seterusnya apabila khutbah nikah disampaikan, dengarlah ia dengan tekun dan teliti kerana nasihat-nasihat yang disampaikan dalam khutbah itu berguna untuk semua, bukan hanya untuk pengantin baru itu sahaja.

SETELAH PERNIKAHAN

Inilah permulaan ruangan hidup yang baharu. Seperti lagu nyanyian Almarhum SM Salim: dulu lain sekarang lain, dulu bujang sekarang dah kahwin. Dahulu seorang sekarang berdua. Lirik lagu itu boleh dijadikan nasihat yang berguna bagi pasangan suami isteri.

Inilah dia ruangan yang perlu kepada kawalan yang baik. Semua pihak, pengantin lelaki dan perempuan serta keluarga masing-masing perlu sama-sama membantu menguatkan institusi keluarga yang baru dibina.

Suami perlu ingat akan tanggungjawab utama yang digalas, begitu juga kepada isteri. Masing-masing perlu tahu dan sedar akan tanggungjawab yang perlu dilaksanakan. Di antara tanggungjawab yang perlu dipikul oleh suami adalah berlaku baik terhadap isteri dan ahli keluarganya serta menyediakan nafkah yang secukupnya dan halal bagi mereka.

(Gambar hiasan: Reuters)

(Gambar hiasan: Reuters)

Isteri juga perlu berlaku baik dan tunjukkan tanda hormat kepada suami sebagai ketua rumah tangga. Bagi pihak keluarga sendiri dan mentua pula, hendaklah mereka mainkan peranan yang wajar dalam memberi ruang yang selesa dan sihat bagi anak-anak mereka yang baru sahaja memasuki alam rumah tangga.

Emosi dan fikiran perlu dijaga dengan baik agar tidak dirasa seperti dalam ruangan ‘orientation’. Berilah mereka ruang untuk belajar sendiri menguruskan rumah tangga. Doakan mereka sentiasa agar diberi petunjuk terbaik dalam menguruskan rumah tangga. Jauhkan prasangka atau sangkaan buruk terhadap anak dan menantu.

Di dalam salah satu episod drama Kisah Tok Kadi, ditonjolkan sketsa Ustaz Shahrul dan isterinya menghadapi cabaran mengenai perancangan mereka ingin memberi rumah sendiri. Dalam senario tersebut, keluarga mertuanya nampak tidak senang malah merajuk hati dengan tindakan anak dan menantunya yang seolah-olah mengenepikan mereka dalam perkara itu.

Sebelum itu juga ada babak yang menunjukkan mertuanya rasa dipinggirkan oleh anak perempuannya sendiri dalam urusan ingin menyewa tempat bagi memulakan perniagaannya. Akhirnya isu tersebut dapat dihuraikan dengan baik. Jika diimbas kembali, faktor yang membantu menjernihkan semula kekeruhan yang berlaku ialah;

1. Komunikasi
2. Jauhi prasangka atau sangkaan buruk
3. Bantuan pihak ketiga yang bernas

Komunikasi di dalam rumah tangga adalah amat penting. Suami dan isteri perlu sentiasa berkomunikasi sama ada secara lisan atau paling kurang secara tulisan menerusi surat atau alat-alat media sosial yang canggih sekarang ini seperti WhatsApp, Mesengger dan sebagainya. Tetapi bicara secara lisan dan fizikal lebih baik kerana adakalanya suara menerusi tulisan ini boleh disalah erti. Teks tidak bersuara dan tiada tonasi, maka ia boleh sahaja disalah erti oleh pihak lain.

Adakalanya teks bermaksud gurau tetapi oleh kerana tiada suara, ia boleh dianggap serius oleh pihak lain dan hal ini banyak berlaku dalam hubungan sesama manusia.

Kesan dari komunikasi yang baik, sikap bersangka buruk dapat dielakkan. Malah jika ada sebaran-sebaran khabar angin yang tidak baik berlaku, ia dapat diselesaikan dengan cepat dengan berkomunikasi secara berdepan. Semua pihak sama ada anak menantu atau mertua perlu berusaha untuk jauhi dari sikap buruk sangka dan banyakkan sesi komunikasi bila perlu.

Adakalanya masalah rumah tangga sukar diselesaikan sendiri oleh pasangan suami isteri. Justeru, mereka mencari huraian dari pihak luar. Hal ini juga adalah wajar, cuma hendaklah diteliti siapakah pihak ketiga yang dapat membantu mereka dengan baik dan berkesan.

Dalam Islam, pihak yang diminta untuk menjadi ‘orang tengah’ hendaklah orang yang baik, adil dan amanah. Tidak semestinya dia seorang ahli agama, tetapi sesiapa sahaja yang dirasakan sesuai dan diyakini akan sifat adil dan berhikmah, maka boleh sahaja dia dilantik untuk bantu menghuraikan kekusutan yang berlaku.

SUMBER-SUMBER LAIN YANG DAPAT JAYAKAN INSTITUSI RUMAH TANGGA

Tidak dinafikan bahawa setiap pasangan yang mendirikan rumah tangga mendambakan kehidupan rumah tangga yang harmoni hingga akhir hayat mereka. Cuma hakikat hidup di dunia ini tidak lekang dari ujian dan cabaran hidup.

Dalam menguruskan diri sendiri ketika hidup bujang pun ada cabaran, apatah lagi dalam hidup bersama orang lain.

Kiranya baik juga bagi pasangan yang ingin membina rumah tangga, sedar tentang hakikat hidup ini dengan mengurangkan harapan terhadap apa yang digambarkan untuk alam rumah tangganya. Elakkan berfantasi dengan sesuatu yang di luar jangkauan.

Gambar hiasan. (Gambar: AFP)

(Gambar: AFP)

Rumah tangga yang berjaya terbentuk dengan usahasama pihak suami dan isteri, bukan sekadar mengharap agar pihak suami memberi layanan kepada isteri bak permaisuri kayangan dan begitu juga sebaliknya pihak suami menggambarkan isteri mesti melayani dia seperti raja yang berdaulat. Angan-angan seperti itu tidak akan membawa kejayaan dalam membina rumah tangga yang baik lagi harmoni. Dengan melaksanakan tanggungjawab masing-masing, barulah kenikmatan berumahtangga dapat dirasai.

Seterusnya, jika terdapat sebarang masalah dalam mengharungi rumah tangga, jangan mulakan ‘blaming game’ atau mula menyalahkan pihak lain. Apa yang patut dilakukan ialah bermuhasabah diri dan berlaku jujur dengan diri sendiri untuk memperbetulkan keadaan.

Jika tidak mampu untuk atasi masalah dengan sendiri, jangan malu dan segan untuk minta bantuan dari pihak yang berkeahlian, misalnya minta bantuan khidmat kaunseling. Stigma terhadap sesi kaunseling juga perlu diubah. Masyarakat kita perlu faham bahawa menghadiri sesi kaunseling bukanlah sesuatu yang buruk dan memalukan. Pasangan yang menghadiri sesi kaunseling tidak semestinya hendak bercerai. Mereka hanya perlukan buah fikiran dari golongan yang berkeahlian.

Di Singapura, terdapat banyak program dan agensi bantu diri untuk bantu mempromosi hidup berkeluarga yang sihat dan berjaya. Dari permulaan merancang mendirikan rumah tangga hinggalah perancangan untuk bersara dengan gembira bersama anak-anak dan cucu ada disediakan. Misalnya, kursus persiapan rumah tangga yang dijalankan oleh organisasi seperti Mendaki dan PPIS, yang mana diterapkan panduan untuk mengurus emosi, kewangan dan sebagainya. Bagi mereka yang tidak tahu, hendaklah bertanya dan tidak merasa malu untuk meminta bantuan yang diperlukan.

KESIMPULAN

Walaupun penampilan Tok Kadi lebih berperanan sebagai juru nikah, ia tidak bermaksud ruangannya terbatas kepada menjalankan upacara pernikahan. Malah penampilan yang dihormati ramai itu wajar memberi nasihat dan teguran yang sesuai mengenai urusan rumah tangga menurut konteks kehidupan hari ini khususnya di Singapura.

Demi menjayakan hidup berumahtangga, setiap pasangan juga perlu sedar terhadap realiti hidup yang dihadapan mereka. Apa sahaja yang ingin dilakukan atau rancangkan, hendaklah ia bersifat adil dan dilakukan dengan cara yang betul.

Perkara yang sering kali berbangkit dan menjadi keprihatinan adalah soal belanja seperti membeli rumah, perkakas rumah, keperluan anak yang bakal dilahirkan dan sebagainya. Ini semua perlu dikawal dengan baik supaya semua pihak mendapat hak yang perlu untuk diri masing-masing. Pepatah yang sering kedengaran, ukur baju di badan sendiri perlu diterapkan.

Perbelanjaan rumah tangga perlu menurut kemampuan masing-masing dan ia tidak sama dengan keluarga lain. Berlaku sedang dan berimbang dalam ruangan yang dimampui adalah jalan terbaik dalam mengharungi cabaran-cabaran hidup yang sukar diduga.

MENGENAI PENULIS:

Ustaz Mustazah Bahari adalah Zamil Bersekutu di Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam, Universiti Teknologi Nanyang (NTU), Singapura. Beliau juga merupakan antara pengasas syarikat Syariah Consultancy, Education & Training yang turut menawarkan khidmat bimbingan rumah tangga. Berkelulusan ijazah sarjana dari Universiti Kebangsaan Malaysia, Ustaz Mustazah duduk sebagai pakar rujuk bagi Mahkamah Syariah Singapura dan merupakan anggota Lembaga Rayuan Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS). 

Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan