Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Kesihatan mental perlu terus diberi perhatian bukan setakat semasa pandemik saja

Kepada masyarakat umum, kesihatan mental masih lagi sukar untuk dibincangkan secara terbuka.

Anggaran Waktu Membaca:
KOMENTAR: Kesihatan mental perlu terus diberi perhatian bukan setakat semasa pandemik saja

Gambar hiasan (Gambar: TODAY/Nuria Ling)

BERITAmediacorp: 10 Oktober adalah Hari Kesihatan Mental Sedunia. Tujuannya adalah untuk meningkatkan kesedaran terhadap isu-isu kesihatan mental di seluruh dunia dan menggerakkan usaha-usaha bagi menyokong kesihatan mental.

Kepada masyarakat umum, kesihatan mental masih lagi sukar untuk dibincangkan secara terbuka.

Kajian Majlis Khidmat Sosial Kebangsaan (National Council of Social Service) pada tahun 2017 mendapati tujuh daripada 10 responden percaya bahawa individu yang mempunyai keadaan kesihatan mental mengalami stigma dan diskriminasi dalam kehidupan harian mereka.

Kajian yang sama juga mendapati lima daripada 10 reponden tidak bersedia untuk hidup bersama, berjiran atau bekerja dengan individu yang mengalami keadaan kesihatan mental.

Harapan pemerintah dan badan-badan sosial yang mengusahakan program peningkatan kesedaran adalah supaya isu kesihatan mental ini menjadi perbincangan basahan kerana ia menjejas setiap lapisan masyarakat – dari kanak-kanak sekolah, belia, pekerja, ibu muda, penjaga (caregivers) pesakit kronik hingga ke warga senja yang hidup terasing.

Kesihatan mental yang tidak terjaga akan mengakibatkan gangguan mental. Ia perlu ditangani lebih awal agar ia tidak menjadi mudarat.

Dari segi kos, Institut Kesihatan Mental (IMH) baru-baru ini menganggarkan penyenggaraan gangguan mental berjumlah S$1.7 bilion setiap tahun.

STIGMA DAN SALAH TANGGAP

Label seperti ‘gila’, ‘sewel’, ‘biul’ dan perkataan-perkataan yang merendahkan martabat sering dilekatkan pada mereka yang berdepan dengan gangguan mental. Selalu juga ia digunakan oleh ahli keluarga mereka untuk menjelaskan tingkah laku mereka yang aneh atau luar daripada norma kehidupan.

Ini akan menambahkan lagi stigma seolah-olah isu kesihatan mental boleh membawa kepada keaiban keluarga.

Gangguan pada kesihatan mental juga menjejas kehidupan seharian. Kerana takut diberhentikan kerja atau tidak diterima oleh majikan, individu yang menghadapi gangguan kesihatan mental sering juga menyembunyikan keadaan diri mereka dari diketahui.

Salah tanggap yang mengaitkan kesihatan mental dengan penyakit mental mengakibatkan mereka yang menghadapi gangguan mental untuk tidak mendapatkan rawatan awal. Satu lagi tanggapan adalah keadaan ini mungkin berpunca daripada gangguan makhluk halus, sihir atau kerohanian yang lemah.

Oleh itu, cara menanganinya pula lebih kepada mendapatkan bantuan perubatan spiritual.

KESIHATAN MENTAL MELANGKAUI PENYAKIT MENTAL

Kesihatan mental merangkumi kesejahteraan emosi, psikologi dan sosial.

Ia memberi kesan kepada pemikiran, perasaan dan tingkah laku. Tahap kesihatan mental kita akan menentukan bagaimana kita mengendalikan tekanan (stress), membuat pilihan dan berhubungan dengan orang sekeliling.

Setiap kita akan berdepan dengan tekanan yang boleh menjejas kesihatan mental.

Perubahan pada kehidupan seperti cabaran hidup sebagai remaja, mendirikan rumahtangga, menjadi ibu bapa, menghadapi penceraian atau kematian pasangan hidup akan membawa kepada tekanan.

Bagi kanak-kanak pula, trauma seperti penderaan dari ibu bapa, dibuli semasa di sekolah atau membesar dalam keluarga yang berantakan boleh menjejas kesejahteraan kehidupan mereka.

Warga senja juga berdepan dengan isu kesihatan mental seperti: apabila mereka menjalani kehidupan dengan penyakit kronik yang menjejas kualiti kehidupan mereka, hidup bersendirian dan terasing, didera atau diabaikan oleh anak-anak.

Jika kita perhatikan, perubahan pada kehidupan yang disebabkan oleh penularan virus COVID-19 juga telah membawa kepada pelbagai isu kesihatan mental seperti kegelisahan, kemurungan dan ada juga yang terkesan sehingga membawa kepada bunuh diri.

Yang jelas, kesihatan mental melangkaui penyakit mental.

PERLU PRIHATIN TERHADAP TANDA-TANDA AWAL GANGGUAN MENTAL

Oleh yang demikian, kita perlu bersikap prihatin terhadap individu di sekeliling kita dan kepada diri kita sendiri, yang mungkin menunjukkan tanda-tanda awal gangguan mental supaya bantuan yang sepatutnya dapat diusahakan. Antara gejala awal:

• Tidak dapat melakukan atau memberi tumpuan kepada tugasan harian
• Tidur atau makan yang keterlaluan atau tidak mencukupi
• Rasa tidak berdaya, tidak bermaya atau berputus asa
• Menjauhkan diri dari orang lain atau dari aktiviti kebiasaan
• Cepat naik berang dan kerap ingin bertengkar
• Mengeluh tentang rasa sakit yang tidak jelas puncanya
• Lupa-lupa, bingung dan berasa risau yang tidak menentu
• Berasa seolah-olah semuanya sudah tidak berguna
• Merokok atau meminum arak keterlaluan
• Rasa seperti ingin mencederakan diri sendiri atau orang lain

Kadangkala tanda-tanda ini tidak begitu menonjol kepada ahli keluarga kerana kita sering disibukkan dengan tugas harian dan hanya memberikan tumpuan kepada individu yang menanggung gangguan kesihatan mental ini apabila ia menjadi terlalu ketara.

Di sinilah keprihatinan terhadap perhubungan menjadi penting.

Apabila ahli keluarga saling bertanya khabar, menunjukkan kemesraan, menganggap setiap perubahan, walaupun kecil sebagai serius, gangguan pada kesihatan mental akan dapat dikesan.

BERI TUMPUAN KEPADA KESIHATAN MENTAL ANDA

Tumpuan kepada kesihatan mental akan membantu anda untuk menghadapi tekanan kehidupan dengan baik.

Anda juga akan lebih produktif dan akan dapat menyumbang kepada keluarga dan masyarakat dengan lebih bermakna.

Luangkanlah masa untuk menjaga kesihatan mental anda: bergerak aktif, jaga pemakanan dan tidur anda, pandang kehidupan secara positif, hulurkan bantuan kepada yang susah, eratkan silaturahim, belajar untuk menangani cabaran kehidupan.

Yang penting, dapatkan bantuan profesional jika perlu.

Kehidupan ini memang penuh dengan cabaran. Tetapi, cabaran yang mendatang akan meningkatkan ketahanan dalam diri kita jika kita bersikap terbuka untuk mendapatkan bantuan daripada rangkaian sokongan yang sedia ada.

MENGENAI PENULIS:

Mohd Ali Mahmood adalah Konsultan Pembangunan Masyarakat dan Kerja Sosial bagi 'BROMOHD-The Practice' yang ditubuhkannya pada 2019. 
Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan