Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Kesihatan mental & pendekatan tradisional – bagaimana terapi berasaskan agama boleh berperanan

Keberkesanan rawatan penyakit seperti gangguan mental bukan sahaja bergantung kepada keupayaan karyawan jagaan kesihatan tetapi juga bagaimana si pesakit boleh meyakini dan bekerjasama dalam proses rawatan.

Anggaran Waktu Membaca:
KOMENTAR: Kesihatan mental & pendekatan tradisional – bagaimana terapi berasaskan agama boleh berperanan

Gambar hiasan (Gambar fail: BERITAmediacorp)

BERITAmediacorp: Keberkesanan rawatan penyakit seperti gangguan mental bukan sahaja bergantung kepada keupayaan karyawan jagaan kesihatan tetapi juga bagaimana si pesakit boleh meyakini dan bekerjasama dalam proses rawatan.

Beberapa kajian yang dijalankan di Singapura menunjukkan bahawa walaupun terdapat keperluan tinggi bagi khidmat jagaan kesihatan mental, hanya segelintir mereka yang mengalami isu itu mendapatkan atau menerima rawatan daripada para karyawan kesihatan.

Di Singapura, para karyawan jagaan kesihatan mental wujud di samping dukun-dukun dan rawatan-rawatan tradisional. Kua et al (1993) menyatakan bahawa di Singapura, kebanyakan penduduk masih berpegang kepada nilai-nilai amalan perubatan Asia dan kepercayaan agama yang sudah membentuk konsep kesihatan mental sendiri.

Dalam masyarakat Melayu, khidmat-khidmat para karyawan kesihatan mental kurang dimanfaatkan kerana ia dianggap sebagai kurang berkesan.

Ini memandangkan penyakit mental dilihat sebagai gangguan kerohanian berbanding sebagai penyakit yang organik.

Dalam konteks kesihatan mental, amalan-amalan perubatan masyarakat sering kali dilihat dalam bentuk kepercayaan agama dan ini dikenal pasti sebagai penanda penting yang menunjukkan persepsi seseorang individu terhadap penyakit mental.

Agama mendedahkan kita kepada ilmu sihir dan rasukan, yang didapati mempengaruhi kelakuan mereka sama seperti individu yang mengalami penyakit mental.

Gambar hiasan: Seorang bomoh di Malaysia memegang botol yang dikatakan mengandungi makhluk-makhluk halus, untuk merawat pesakitnya. (Gambar: AFP/Saeed Khan)

Gambar hiasan. (Gambar: SAEED KHAN / AFP)

Malah ia merupakan sesuatu perkara biasa dalam banyak amalan dan agama yang mengaitkan penyakit mental sebagai berpunca daripada makhluk halus atau ilmu sihir.

Pelbagai rawatan ditawarkan untuk mengubati kesan-kesannya serta cara ia dirawat juga berbeza-beza dari satu amalan ke satu amalan yang lain.

TERAPI BERASASKAN AGAMA

Konsep tradisi psikologi Islam dan penyakit mental tidak boleh diabaikan kerana ia merupakan asas penting untuk seseorang individu memahami kesihatan dan kesejahteraan dirinya sendiri.

Selain itu, tanggapan sedemikian boleh mewujudkan terapi berasaskan agama, yang didapati membuahkan hasil positif kepada individu-individu yang komited kepada agama (Hamdan, 2007).

Pengaruh al-Quran dalam membentuk pemahaman masyarakat Islam mengenai peranan jiwa dan tubuh manusia terus-menerus menjadi asas tanggapan mereka berkaitan semua bentuk penyakit.

Tambahan lagi, faktor-faktor luaran seperti dirasuk jin dan ilmu hitam diakui sebagai sebahagian daripada aspek tradisi Islam yang dengan jelas dikenal pasti dalam hadis Nabi sebagai sumber-sumber sahih berhubung penderitaan manusia.

Gambar hiasan. (Gambar: SAEED KHAN / AFP)

Gambar hiasan. (Gambar: SAEED KHAN / AFP)

MEMAHAMI SIKAP

Kepercayaan tradisional itu memainkan peranan penting untuk memahami sikap dan kelakuan berkaitan kesihatan dan penyakit dalam kalangan masyarakat Islam di seluruh dunia.

Bidang jagaan yang disesuaikan dengan amalan masyarakat kini semakin mendapat perhatian bukan hanya bagi para karyawan kesihatan mental, tetapi juga semua individu yang menyediakan khidmat dalam kalangan masyarakat berbilang budaya, agama termasuk doktor, pengantara, pendidik dan pekerja sosial.

Para karyawan kesihatan mental perlu mengetahui bahawa penjelasan-penjelasan yang dikaitkan dengan kuasa ghaib seperti jin dan ilmu hitam adalah biasa ketika seseorang sedang menderita.

Lantaran itu, wajarlah jika para karyawan membolehkan pesakit menyuarakan pandangan mereka mengenai punca penyakit tanpa mengutuk kepercayaan tersebut.

Gambar hiasan ubat-ubatan. (Gambar: AFP)

Gambar hiasan ubat-ubatan. (Gambar: AFP)

PENDEKATAN TRADISIONAL

Berikut adalah dua insiden berkaitan rasukan dan jin, yang diperolehi daripada rencana tulisan Khalifa dan Hardie (2005). Ia menggambarkan keadaan yang lazimnya berlaku serta sebahagian dilema yang dialami para karyawan.

Kes 1:

Seorang wanita berusia 25 tahun tanpa sebarang sejarah mengalami masalah psikiatrik semakin lama semakin menjauhkan diri daripada orang lain. Beliau tidak lagi berbicara dan berhenti makan dan minum.

Siasatan mendedahkan beliau tidak mengalami penyakit organik, atau penyakit-penyakit biasa yang boleh dikesan menerusi pemeriksaan doktor. Beliau kemudian didiagnosis mengalami kemurungan.

Beliau menjalani terapi-elektrokonvulsif namun tidak menunjukkan sebarang tanda bahawa keadaannya semakin baik.

Keluarganya, yang berasa yakin bahawa beliau dirasuk jin tetapi enggan menyuarakannya kepada doktor kerana khuatir dilabel sebagai mempercayai perkara tahayul, membawanya berjumpa dengan seorang dukun.

Dukun itu merawatnya menggunakan cara tradisi Islam.

Selepas beberapa sesi zikir dan rukyah, keadaannya bertambah baik dan beliau kembali makan dan minum seperti sebelumnya.

Beliau bagaimanapun tidak ada penjelasan tentang bagaimana dirinya boleh sembuh mahupun apa yang berlaku, meskipun beliau ingat urutan peristiwa tersebut.

Menurutnya, beliau sedar apa yang berlaku di sekelilingnya tetapi tidak berupaya melakukan apa-apa. Beliau juga menafikan bahawa dirinya berasa sedih atau hilang semangat pada ketika itu.

Lima tahun kemudian, beliau masih dalam keadaan baik-baik sahaja dan tidak mengambil sebarang ubat-ubatan.

DIRASUK JIN

Kes 2:

Seorang wanita berusia 35 tahun mengalami demam panas bersuhu tinggi dan berada dalam kekeliruan sehingga menjejas pertuturannya. Beliau didiagnosis mengalami demam tifoid oleh seorang doktor dan diberikan antibiotik.

Wanita itu dan keluarganya bagaimanapun berasa dirinya dirasuk jin. Maka itu beliau tidak menuruti rawatan yang diterimanya.

Sebaliknya beliau dibawa berjumpa seorang dukun tempatan yang mengesahkan pandangannya sekeluarga. Beliau dirawat menerusi cara tradisi Islam.

Bagaimanapun, keadaannya bertambah buruk beberapa minggu kemudian dan beliau mengalami sawan akibat gangguan pada sistem saraf (epileptic seizure).

Selepas dimasukkan ke hospital beliau didapati mengalami malaria otak (cerebral malaria), yang berjaya dirawat.

Kedua-dua kes itu menunjukkan betapa sukarnya interaksi antara kepercayaan kepada amalan-amalan tradisi dengan perubatan konvensional.

AMALAN MASYARAKAT

Khalifa dan Hardie (2005) menyatakan bahawa dalam sebarang kes yang mendakwa terdapat kerasukan jin, masalah organik atau penyakit zahir yang disyaki sebagai punca haruslah diketepikan semasa melakukan pemeriksaan fizikal.

Khalifa dan Hardie menasihati bahawa sebarang gangguan mental perlu dirawat menerusi cara-cara psikiatrik tetapi para doktor perlu menghormati isu-isu amalan masyarakat dan mengelak daripada memberikan kenyataan yang bercanggah dengan pesakit mahupun saudara mara mereka berhubung realiti rasukan.

Mereka menekankan bahawa sekiranya “ubat-ubatan mencetuskan konflik dengan amalan dan agama masyarakat, proses terapi ‘alliance’ (kerjasama antara doktor dengan pesakit) akan terjejas”.

Para karyawan kesihatan mental perlu bersedia untuk mendapatkan bantuan daripada para guru agama jika perlu atau diminta. Para guru agama mungkin dapat membantu menjelaskan aspek kerohaniannya.

Sekalipun demikian, meskipun para guru agama seringkali menjadi rujukan pertama dalam hal-hal berkaitan jagaan kesihatan mental, mereka tidak dilatih sebagai ejen yang perlu merujuk kes kepada perubatan konvensional. Ini seringkali menyebabkan pesakit kurang menerima penilaian psikologi atau rawatan.

Oleh itu, kerjasama antara masyarakat Islam dengan penyedia khidmat kesihatan mental perlu diperhalusi.

KHIDMAT OPTIMAL

Mewujudkan dan mempertingkatkan kecekapan dalam mengendalikan kes-kes amalan masyarakat dalam kalangan karyawan jagaan kesihatan adalah langkah penting untuk mewujudkan khidmat yang optimal bagi masyarakat Muslim.

Jelas bahawa keberkesanan rawatan bukan hanya bergantung kepada keupayaan para karyawan jagaan kesihatan untuk betul-betul mengenal pasti dan merawat satu-satu keadaan, tetapi juga bagaimana seseorang pesakit itu boleh meyakini dan bekerjasama dalam proses rawatan.

Secara keseluruhannya, kefahaman daripada perspektif pesakit Muslim seluruh dunia boleh mempertingkat hubungan antara penyedia khidmat dengan pesakit, meningkatkan kesahihan penilaian dan membolehkan penggunaan sumber-sumber bagi menangani penyakit menerusi amalan-amalan agama agar ia dimanfaatkan dengan berkesan dalam rawatan.

Nadia Marican

MENGENAI PENULIS:

Dr Nadia Marican berkelulusan Ph.D dalam jurusan Psikologi Antarabangsa dengan pengkhususan dalam bidang khidmat trauma dari Sekolah Psikologi Profesional Chicago. Disertasi beliau bertajuk: Peranan Pengamal Perubatan Melayu/Islam dan Pengalaman Merawat Pesakit dengan Isu Kesihatan Mental di Singapura. Minat beliau juga lebih menjurus kepada psikologi budaya. 

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan