KOMENTAR: Kesederhanaan dalam kepimpinan tidak sama dengan kepimpinan yang serba serbi sederhana
Surat Perdana Menteri kepada para AP PAP selepas Pilihan Raya Umum tempoh hari menggariskan nilai-nilai penting bagi negara seperti integriti, kejujuran dan bersih daripada rasuah. Bagaimana kejayaan S’pura dalam berpegang kepada nilai-nilai ini boleh menjadi teladan kepada negara-negara lain?
Suatu kebiasaan yang jarang mendapat perhatian secukupnya setiap kali pilihan raya umum berakhir adalah amalan Perdana Menteri menghantar surat kepada para anggota parlimen daripada PAP.
Ia adalah tradisi di mana Perdana Menteri menggariskan beberapa ‘peraturan berhemah’ di mana kandungannya mungkin berubah tetapi maksudnya tetap sama.
Apapun kandungannya, surat itu kerap menegaskan pentingnya integriti, kejujuran dan bersih daripada rasuah sebagai asas penting kepada parti yang memerintah.
Tidak kurang penting juga adalah nilai-nilai seperti seperti rendah diri, amanah dan tidak sesekali mungkir janji dengan para pengundi.
Penegasan terhadap nilai-nilai murni ini yang ditekankan kepada mereka yang baru menduduki tampuk pemerintahan tertinggi negara (Parlimen sebagai badan penggubal dasar utama negara), bukanlah suatu perkara baru.
Sebahagian anggota kepimpinan negara selepas upacara angkat sumpah, 27 Julai 2020.
Kalau dalam sejarah zaman silam, umpamanya, kita mungkin teringat dengan kata-kata hikmah dan nasihat maharaja Rum, Marcus Aurelius (kurun ke-2 Masihi) tentang kepimpinan, yang dikumpulkan dalam bentuk buku Meditations (Tafakur atau renungan dalam).
(Ada yang boleh mudah mengingati beliau dalam filem Gladiator, di mana watak Marcus Aurelius mati di tangan anaknya sendiri, Commodus, yang kemudian menggantikan ayahnya sebagai maharaja. Suatu yang mungkin disangkal ramai sejarawan yang percaya Aurelius mati selepas lama jatuh sakit).
CONTOH SEJARAH
Dalam sejarah Islam sendiri, kita boleh terbaca nasihat tentang kepimpinan daripada risalah Saidini Ali kepada gabenornya di Mesir, Malik Al Ashtar (kurun ke-7 Masihi), di mana Gabenor Malik digesa supaya bertindak adil, jujur dan sentiasa menegakkan keadilan dan kesamarataan.
Empat ratus kemudian, Imam Al Ghazali pula dengan Nasihat al-Muluk (Nasihat kepada raja-raja) tentang prinsip-prinsip kepimpinan yang baik.
Tidak kurang juga bagi masyarakat Islam di Nusantara dengan penulisan yang seumpamanya lima ratus kemudian apabila seorang pemikir Aceh, Bukhari Al Jauhari terpanggil untuk menggariskan prinsip-prinsip kepimpinan dan ketatanegaraan yang baik dalam kitabnya Taj al-Salatin (Mahkota Raja-Raja).
Ia banyak mengandungi perihal tentang apa yang perlu diketahui oleh seseorang yang memegang tampuk pemerintahan, baik sebagai raja, menteri atau pegawai pemerintah.
Oleh itu, himbauan kepada para pemimpin supaya sentiasa terpanggil untuk melakukan perkara-perkara yang betul dan berprinsip memanglah bukan perkara baru.
TANDUS KEPIMPINAN
Adalah satu hakikat juga bahawa dunia sejak dari dulu lagi tidak sepi dengan adanya kepimpinan yang songsang dan tidak berwibawa.
Ia menunjukkan bahawa penekanan terhadap nilai-nilai kepimpinan yang baik, berwibawa dan penuh integriti perlu sentiasa ditegaskan dari semasa ke semasa.
Ini lebih-lebih lagi apabila persekitaran kita umumnya kini didominasi oleh masalah ketandusan kepimpinan sedemikian.
Malah, ia adalah sebaliknya. Keadaan hari ini semakin memerlukan kita untuk mendesak dan menuntut kepimpinan yang bermutu tinggi – bukan sahaja dari segi kecekapan atau kemahiran, daya intelek, tetapi juga dari segi keperibadian, integriti dan juga kemurniaan akhlak.
Ia merupakan tuntutan dan desakan yang perlu sentiasa diusahakan oleh setiap laplsan masyarakat demi mengelakkan masyarakat dan negara tergelincir kelak – atau terjerumus lebih mendalam, dalam pelbagai kancah masalah dan krisis.
SUKAR DICONTOHI
Bagi Singapura sendiri, banyak masalah yang bersangkut paut dengan kepimpinan yang lemah dan mundur dari segi pemikiran mungkin telah dapat dielakkan sejak era kemerdekaannya lagi.
Tetapi seperti yang diakuri ramai juga pengamat, model kepimpinan Singapura sebenarnya agak sukar dicontohi bukan sahaja oleh masyarakat lain, malah juga oleh generasi-generasi mendatang Singapura.
Inilah yang menjadi kesimpulan pengamat seperti Samuel Huntington yang pernah menyatakan beberapa dekad lalu bahawa sistem pemerintahan Singapura (dengan sikapnya yang tegas terhadap kecekapan, kejujuran, integriti dan kewibawaan individu) akan terkubur bersama-sama dengan pemergian Lee Kuan Yew.
Apa yang mendorong sesetengah pemerhati berpendapat demikian adalah kerana hakikat bahawa sukarnya bagi sesebuah negara – tidak kiralah negara maju atau membangun; negara Barat ataupun Timur – untuk terus memastikan adanya kepimpinan yang berwibawa, cekap, jujur, tidak rasuah dan berpandangan ke hadapan.
Ia bersebab daripada masalah kemanusiaan (atau jenis manusia) itu sendiri. Pemimpin sebagai manusia tidak semua dapat berpegang pada nilai-nilai yang disanjung tinggi setiap masa.
Sebagai manusia yang lemah, ramai sebenarnya mudah terpengaruh dengan pelbagai godaan dan kecenderungan yang apabila gagal dikawal kerap merosakkan diri dan kepimpinan mereka.
SKANDAL DAN KECURANGAN
Bayangkan sekiranya manusia-manusia yang serba lemah ini (termasuk cukup sederhana dari segi keupayaan berfikir dan mutu kepimpinan) akhirnya dapat menguasai masyarakat dan tampuk kepimpinan, baik secara sah ataupun menerusi apa-apa jalan.
Tentulah masalah dan krisis yang bakal dicetuskan mereka adalah besar sekali dan tidak mudah diatasi dalam satu atau dua generasi.
Lihat sahaja negara-negara yang tidak habis-habis dilanda dengan pelbagai skandal dan kecurangan pemerintahan.
Kebanyakannya berpunca daripada corak kepimpinan yang memang daripada mula lagi terdiri daripada peribadi-peribadi yang cukup lemah akhlak dan juga mutu pemikiran.
Apabila tiadanya sistem atau institusi yang cukup utuh untuk melakukan semak dan imbang yang berkesan, termasuk tiadanya sistem perundangan yang berwibawa – tidaklah hairan mengapa kepimpinan sedemikian sentiasa menimbulkan keadaan kacau bilau dan porak poranda yang bersilih ganti.
SEDERHANA TAPI TEGAS
Ciri utama kepimpinan sedemikian mudah kita kenali dari aspek kesederhanaan tindak tanduk dan penampilan diri, cukup berhemah, teliti dan amat cermat dalam membuat keputusan.
Namun di sebalik kesederhanaan penampilan ini adalah ciri-ciri tegas dan tidak berkompromi terhadap perkara-perkara asas terutama dalam soal kecekapan, kejujuran dan pelbagai bentuk kebersihan – termasuk bersih daripada rasuah dan penyelewengan.
Ia adalah model kepimpinan yang mudah disebut-sebut tetapi jelas amat sukar untuk diterapkan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.