Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Kesedaran dan perkasa diri benteng terbaik terhadap ajaran sesat

Ajaran songsang sebagai satu gejala masyarakat perlulah dilihat daripada pelbagai sudut dan faktor. Bagaimana masyarakat dapat diperkasa untuk memahami dan menanganinya dengan baik?

Anggaran Waktu Membaca:

Seperti yang dijangkakan setiap kali muncul isu ajaran sesat, masyarakat umumnya akan cepat berasa gelisah dan mahu tindakan segara diambil ke atas pihak-pihak yang terlibat.

Namun dalam kita berhadapan dengan isu sedemikian yang penting sebenarnya adalah sikap muhasabah diri dan juga sikap tidak terburu-buru untuk menuding jari dan mengeluarkan kata-kata cemuhan.

Yang penting adalah perlunya kita memperhalusi mengapa ini boleh berlaku dan mengambil iktibar daripadanya dengan memperkasa diri agar ia tidak berlaku ke atas diri kita sendiri.

Perlu ditekankan di sini bahawa penulisan ini langsung tidak menyokong fahaman atau ajaran songsang.

Ia sekadar mahu menyuntik sifat humanis atau peri kemanusiaan dalam diri masyarakat Muslim tatkala kita dibelenggu dengan masalah yang berkaitan dengan agama.

MUDAH TERPEDAYA

Sekiranya kita melihat kepada pengalaman dan sejarah ajaran songsang di rantau Asia ini, para pengikut rata-ratanya datang daripada latar belakang yang rencam.

Ada yang bukan hanya berpendidikan tinggi, malah ada juga yang memegang jawatan yang berpengaruh dalam masyarakat.

Beberapa faktor mungkin memainkan peranan termasuk faktor “pemimpin” itu sendiri yang mampu untuk memikat hati dan memancing mangsa.

Mereka yang terpengaruh juga ada beberapa sebab mengapa mereka boleh terpedaya, antaranya faktor kekosongan jiwa dan fikiran yang cuba diisi dalam usaha seseorang itu mencari ‘erti kehidupan’ dan ‘kebenaran’.

‘Keyakinan’ yang terbina dalam ‘pencarian’ mereka tidak semestinya lahir daripada fakta dan sikap rasional yang disuap oleh “pemimpin” yang diikuti mereka.

Malah juga yang menjadi penyebab mereka terpancing dan terikut dengan seseorang pemimpin atau kumpulan itu lebih kerana sokongan emosi yang diterima dengan menjadi anggota atau pengikut.

Gambar hiasan. (Gambar: Janko Ferlic/Pexels.com)
(Gambar: AFP/Greg Baker)
(Gambar Facebook) 

TANGGUNGJAWAB DIRI SENDIRI

Kita tidak menafikan bahawa pihak berkuasa agama memainkan peranan yang amat penting dalam memperbetulkan fahaman dan ajaran yang sesat dan songsang.

Namun huraian sebaiknya bukanlah dengan mengheret mereka yang didapati bersalah ke mahkamah atau dengan mengenakan hukuman yang sangat berat.

Apa yang penting adalah dengan menanamkan kesedaran dan rasa tanggungjawab bahawa dalam kita menimbangkan sama ada sesuatu itu betul atau salah, ia sebenarnya bergantung kepada diri kita sendiri.

Semoga kita menjadi masyarakat yang sentiasa memperkasa dan memberdaya, mencari kebenaran, dan sentiasa bersikap humanis apabila berdepan dengan cabaran semasa. 

Sumber : BERITA Mediacorp/ur
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan