Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Kesan keputusan Amerika undurkan tentera dari Syria; ISIS mungkin bangkit semula

Apakah keputusan Amerika Syarikat mengundurkan tenteranya bakal menyaksikan merebaknya konflik di Timur Tengah?

Anggaran Waktu Membaca:
KOMENTAR: Kesan keputusan Amerika undurkan tentera dari Syria; ISIS mungkin bangkit semula

Askar Amerika Syarikat dan Turki buat rondaan bersama di Syria pada 2018 (Gambar: Reuters)

BERITAmediacorp: Apakah keputusan Amerika Syarikat mengundurkan tenteranya bakal menyaksikan merebaknya konflik di Timur Tengah; mungkinkah juga ia akan merumitkan lagi usaha menentang pengganasan dengan bangkitnya semula kumpulan seperti ISIS?

Penganalisis Pertahanan, Ridzwan Rahmat, dari badan pengkaji pertahanan terkemuka, Jane's IHS Markit. 

KEPUTUSAN Presiden Amerika Syarikat Donald Trump untuk mengundurkan tenteranya dari Syria bakal menyulitkan usaha memerangi pengganasan di peringkat global, termasuk di rantau Asia Tenggara ini.

Dalam satu catatan Twitter yang diterbitkan pada 19 Disember, Presiden Trump mengatakan bahawa pihak Amerika Syarikat telah berjaya menumpaskan kumpulan militan ISIS di Syria, dan Washington akan menarik balik tenteranya dengan serta-merta.

Amerika Syarikat telah menghantar bantuan ketenteraan kepada sekutu-sekutunya di utara Syria, termasuk kumpulan-kumpulan pemisah Kurdi, sejak tahun 2015.

Tujuan bantuan ketenteraan tersebut adalah untuk memperkasakan kumpulan-kumpulan Kurdi supaya mereka berupaya menentang kumpulan pengganas ISIS, yang ketika itu menguasai sebahagian besar kawasan Timur Laut Syria.

(Gambar: Ridzwan Rahmat/Jane's IHS Markit)

STRATEGI PERANG PROKSI

Strategi serupa ‘peperangan proksi’ sebegini diambil supaya tentera Amerika Syarikat tidak terlibat dengan satu lagi pertempuran langsung di rantau Timur Tengah, seperti apa yang telah berlaku di Iraq dan Afghanistan sedekad lalu.

Strategi ini membuahkan hasil sekitar akhir 2016 dan awal 2017, apabila kumpulan-kumpulan Kurdi, yang telah dilengkapi dengan senjata dan juga peralatan Amerika Syarikat, berjaya menawan kembali semula bandar-bandar yang sebelum ini diduduki ISIS.

Di sebalik kejayaan ini adalah sokongan latihan, logistik, risikan, dan pemantauan yang disediakan sekitar kira-kira 2,000 orang askar Amerika Syarikat, yang sehingga kini masih ditempatkan di bandar-bandar utara Syria berhampiran dengan sempadan Turki, termasuk Kobane dan Tal Abyad.

KEBIMBANGAN TURKI

Tetapi kekuatan kumpulan-kumpulan Kurdi yang semakin meningkat di Timur Laut Syria, bersempena dengan sokongan yang diberikan tentera Amerika Syarikat, kian menimbulkan kegusaran kepada pemimpin-pemimpin Turki sejak kebelakangan ini.

Ini kerana Ankara menganggap kumpulan-kumpulan pemisah Kurdi ini sebagai pengganas yang bakal menggugat kestabilan politik di kawasan selatan negara itu, terutama sekali di wilayah-wilayah di mana penduduknya majoritinya dari kaum Kurdi seperti Tunceli, dan Adıyaman.

Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan. (Gambar: Reuters) 

Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan. (Gambar: Reuters) 

Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan juga telah beberapa kali mengancam akan menyerang kedudukan pihak-pihak pemisah Kurdi di kawasan utara Syria, dengan alasan untuk menghapuskan sia-sia pengganasan di serambi negara yang terletak di antara dua benua itu.

KONFLIK BARU

Kini ancamannya tampak seperti sedang dikotakan, kerana bermula pada 24 Disember yang lalu beberapa konvoi tentera Turki, termasuk konvoi kenderaan berperisai dan meriam, telah memulakan perjalanan menuju ke wilayah-wilayah yang bersempadan dengan Syria seperti Gaziantep, Kilis and Şanlıurfa.

Perkembanagan ini jelas menunjukkan bahawa konflik baru mungkin meletus di antara tentera Turki, dengan pihak pemisah Kurdi.

Sekiranya ini berlaku, maka segala kekuatan ketenteraan Kurdi yang kini digunakan untuk membendung ISIS di sekitar Syria akan dialihkan ke kawasan yang bersempadan dengan Turki.

Bendera ISIS. (Gambar hiasan: DADO RUVIC/REUTERS)

Bendera ISIS. (Gambar hiasan: DADO RUVIC/REUTERS)

PELUANG KEPADA ISIS

Ini akan memberi ruang kepada kumpulan militan ISIS untuk terbit semula di wilayah-wilayah Syria yang tidak dipantaui mana-mana pihak.

Besar kemungkinan kumpulan ini akan bertempur sekali lagi dengan tentera-tentera pemerintah termasuk tentera Syria.

Seperti yang dilakukan pada tahun-tahun antara 2014 dan 2017, jentera propaganda ISIS sering kali menggambarkan konflik yang berlaku di Timur Tengah sebagai sebuah perjuangan antara Islam dengan Barat, atau antara kaum Sunni dengan kaum Syiah.

CUBA PIKAT PENGIKUT

Naratif sebegini telah beberapa kali digunakan ISIS untuk menarik perhatian penganut-penganut agama Islam di rantau Asia Tenggara, khususnya penganut-penganut yang mengikut aliran Sunni, supaya ‘berhijrah’ menyertai ‘perjuangan’ mereka di Timur Tengah.

Di antara 2016 dan 2017, beberapa warga Singapura telah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana disyaki cuba melakukan ‘penghijrahan’ sebegini, dan ini membuktikan keberkesanan naratif yang digambarkan ISIS.

Beberapa hari selepas pengumuman Presiden Trump bahawa beliau akan mengundurkan tentera Amerika Syarikat dari Syria, seorang senator kanan parti Republican memberi jaminan bahawa negaranya akan menyelesaikan usaha membanteras kumpulan ISIS.

PERLU TINGKATKAN USAHA

Perkembangan terbaru ini telah memberi harapan bahawa situasi di Syria tidak akan merebak menjadi sebuah peperangan yang berlanjutan di antara pihak pemisah Kurdi dengan tentera Turki.

Tetapi jika situasi yang tidak diingini ini berlaku juga, semua pihak yang berkepentingan di Asia Tenggara, termasuk pemerintah, golongan asatizah, dan juga pemimpin-pemimpin masyarakat perlulah meningkatkan beberapa usaha.

Ia termasuklah meningkatkan lagi usaha membetulkan persepsi masyarakat terhadap konflik yang bakal tercetus di Syria ini.

Encik Ridzwan Rahmat, Ketua Penganalisis Pertahanan, Jane's by IHS Markit. 

MENGENAI PENULIS:

Ridzwan Rahmat adalah Ketua Penganalisis Pertahanan dari badan pengkaji pertahanan terkemuka, Jane's IHS Markit. Ridzwan juga terlibat dalam projek-projek runding cara dengan klien-klien privet dan pemerintah, selain menyampaikan taklimat mengenai pertahanan kepada kementerian kementerian di rantau Asia Pasifik termasuk Jepun dan Singapura.

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan