Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Keraguan terhadap vaksin dihakis berkat ikhtiar ulama dan pendakwah M’sia

Sedang Malaysia bergelut dengan gelombang baru jangkitan COVID-19, para pemimpin dan pendakwah Islam memainkan peranan penting untuk menghakis keraguan untuk mendapatkan suntikan vaksin dalam kalangan pengikut mereka.

Anggaran Waktu Membaca:
KOMENTAR: Keraguan terhadap vaksin dihakis berkat ikhtiar ulama dan pendakwah M’sia

Warga Malaysia di pusat ujian COVID-19 di Shah Alam. (Gambar: Mohd RASFAN / AFP)

BERITAmediacorp: Sedang Malaysia bergelut dengan gelombang baru jangkitan COVID-19, para pemimpin dan pendakwah Islam memainkan peranan penting untuk menghakis keraguan untuk mendapatkan suntikan vaksin dalam kalangan pengikut mereka.

Pada 25 Januari 2020, tiga kes pertama COVID-19 dikesan di Malaysia. Dua bulan kemudian, keadaan bertambah genting setelah satu perhimpunan agama besar-besaran diadakan. Dianjurkan gerakan dakwah Jemaah Tabligh, sebuah perhimpunan di Masjid Sri Petaling di Kuala Lumpur dihadiri sekitar 16,000 pengikut.

BACA: M'sia lapor 4 lagi kematian COVID-19, lebih banyak kes terkait kelompok perhimpunan tabligh

Perhimpunan itu membentuk kelompok jangkitan COVID-19 terbesar di Malaysia.

Lantaran itu Islam menjadi tumpuan perbincangan tempatan mengenai pandemik tersebut, dengan sesetengah anggota yang mendakwa Allah akan melindungi mereka daripada jangkitan virus.

INISIATIF ULAMA

Sedang keadaan di Malaysia berubah dengan pesat sejak kemunculan kes-kes terdahulu itu, Islam terus memainkan peranan khusus dalam usaha menangani COVID-19, sekalipun menerusi cara-cara yang tidak dijangka. Dengan dakwaan-dakwaan vaksin COVID-19 adalah haram di sisi Syariah disebarkan, pihak penguasa agama dan para pendakwah tampil untuk memperbaiki keadaan di Malaysia.

Anggota polis di luar Masjid Seri Petaling, tempat yang menjadi sumber kepada ratusan kes positif COVID-19 di Kuala Lumpur, Malaysia. (Gambar: REUTERS/Lim Huey Teng)

Anggota polis di luar Masjid Sri Petaling, tempat yang menjadi sumber kepada ratusan kes positif COVID-19 di Kuala Lumpur, Malaysia. (Gambar: REUTERS/Lim Huey Teng)

Mereka adalah golongan yang meraih kepercayaan rakyat dan mereka sendiri menggalas tanggungjawab untuk meyakinkan umat Islam tentang peri pentingnya membanteras virus dan mendapatkan suntikan vaksin.

Meskipun Malaysia berdepan dengan kesukaran dalam melaksanakan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, tokoh-tokoh agama tersebut memainkan peranan penting dan berkesan dalam menangani keraguan untuk mendapatkan suntikan vaksin dalam kalangan umat Islam sejak beberapa bulan kebelakangan ini.

Selain inisiatif doa harian yang dilancarkan stesen televisyen Al-Hijrah, iaitu saluran di bawah naungan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), pihak penguasa agama dan para pendakwah mengorak langkah-langkah konkrit untuk menentang maklumat salah dan teori-teori subahat yang mencetuskan keraguan tentang vaksinasi.

Salah satu contoh maklumat salah tentang vaksin COVID-19 adalah dakwaan bahawa ia mengandungi bahan-bahan babi dan maka itu ia haram bagi umat Islam.

Teori-teori subahat lain termasuk dakwaan bahawa vaksin boleh menambah penyakit dan bahkan boleh mendatangkan kematian lebih awal serta membentuk sebahagian daripada agenda untuk mengurangkan jumlah penduduk dunia.

Ada pula yang mendakwa bahawa vaksin tersebut membentuk agenda Illuminati atau Yahudi yang berhasrat menguasai dunia. Perkataan Yahudi berubah menjadi suatu penghinaan beralas dalam konteks tempatan.
 
IKHTIAR PENGUASA AGAMA

Pihak penguasa agama mengorak langkah untuk menangani dakwaan sedemikian.

Misalnya pada 23 Disember 2020, Mesyuarat Khas Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam mengambil ketetapan bahawa hukum penggunaan vaksin COVID-19 adalah harus dan ia wajib diambil oleh golongan yang ditetapkan kerajaan kerana ia sejajar dengan tuntutan Islam supaya melindungi orang lain daripada bahaya dan mencegah penularan penyakit.

Semasa Forum Perdana bertajuk “Vaksin: Cegah Sebelum Kalah” pada 25 Februari 2021, para panelis membincangkan kepentingan mendadak untuk mencegah penularan virus. Para panelis termasuk tokoh-tokoh agama seperti Dr Zulkifli Al-Bakri, Menteri, Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Mohd Asri Zainul Abidin, Mufti Perlis dan pendakwah-pendakwah termasyhur seperti Firdaus Wong dan Izhar Ariff.

Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin berucap semasa Forum Perdana pada 25 Feb 2021 yang disiarkan di saluran TV1 Malaysia. (Petikan video: Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri/YouTube)

Forum itu menerima sambutan menggalakkan, terbukti oleh sedutan-sedutan forum yang dikongsi warga Internet di lelaman media sosial mereka sambil mengatakan bahawa forum itu berhasil meyakinkan suadara-mara mereka untuk menerima suntikan vaksin sungguhpun berasa was-was pada awalnya. 

Usaha-usaha konkrit juga dilaksanakan di peringkat negeri seperti di Terengganu, di mana pihak penguasa agama menyatakan akan menarik balik pentauliahan para pendakwah yang menyampaikan maklumat salah tentang vaksin.

AJARAN DITULARKAN

Para pendakwah juga memainkan peranan masing-masing pada skala lebih kecil. 

Sebagai contoh, terdapat rakaman tazkirah yang tersebar di media sosial dalam jangka beberapa bulan setelah ia diterbitkan di YouTube. 

Rakaman kuliah yang disampaikan pada Disember 2020 itu menunjukkan Ustaz Shamsuri Ahmad merayu kepada para jemaah supaya mematuhi langkah-langkah keselamatan seperti mana dipersetujui ulama sedunia, bukan saja yang dinyatakan ulama tempatan. Ustaz Shamsuri berusaha meyakinkan para jemaah bahawa vaksinasi “bukan soalan Illuminati, bukan soal agenda Yahudi.”

Ustaz Shamsuri Ahmad menyampaikan kuliah dalam rakaman bertajuk "Konspirasi Illuminati & Sumpah Palsu" di Pulau Pinang pada 9 Dis 2020. (Petikan video: zonkita zonkuliah/YouTube)

Ustaz Shamsuri Ahmad menyampaikan kuliah dalam rakaman bertajuk "Konspirasi Illuminati & Sumpah Palsu" di Pulau Pinang pada 9 Dis 2020. (Petikan video: zonkita zonkuliah/YouTube)

Para pendakwah lain juga berikhtiar untuk meyakinkan para pengikut di media sosial dengan menunjukkan bahawa mereka sudah menerima suntikan vaksin, sebagai contoh kepada para pengikut mereka bahawa vaksin itu selamat dan penting bagi kesihatan mereka. Catatan-catatan itu juga disebarkan luas oleh warga Internet yang mengatakan bahawa bahan sedemikian membantu untuk menentang keraguan sanak saudara mereka untuk mendapatkan suntikan vaksin.

Sedang bilangan kes harian mencapai paras rekod, iaitu sebanyak 9,020 kes pada 29 Mei 2021, dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan sekali lagi, Malaysia sedang bergelut dengan gelombang jangkitan terbaru dalam pandemik sekarang.

BACA: M'sia laksanakan penutupan penuh sektor sosial, ekonomi dari 1 Jun hingga 14 Jun

Sungguhpun pada awalnya pihak berkuasa dikecam atas kelengahan dalam melaksanakan garis panduan yang berkesan di ruang-ruang ibadah, kerajaan juga mempertingkatkan usaha untuk meyakinkan segenap masyarakat tentang kegentingan keadaan dan tidak memberi alasan-alasan berlandaskan agama untuk membataskan pelaksanaan garis panduan tersebut.

Di tengah-tengah kegawatan yang dihadapi, pihak penguasa agama dan pendakwah tidak henti-henti memanfaatkan pelbagai wadah untuk mendampingi para pengikut mereka. Ini termasuk ajaran agama, diselang-selikan dengan ilmu sains dan hukum, untuk mendidik para jemaah mengenai koronavirus dan vaksinnya.

(Gambar: BERNAMA)

Menteri Kesihatan Malaysia, Dr Adham Baba dan Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin. (Gambar: BERNAMA)

Meskipun Malaysia mungkin akan terus menghadapi sukaran dalam program imunisasinya, respons memberangsangkan terhadap usaha konkrit pihak penguasa agama dan para pendakwah, serta kemarahan yang ditunjukkan kepada tokoh-tokoh yang melanggar garis panduan keselamatan sejak beberapa bulan kebelakangan ini, menunjukkan bahawa lebih ramai rakyat yang kini mendengar kata.

*Rencana ini pertama kali diterbitkan dalam laman Fulcrum ISEAS - Institut Yusof Ishak bertajuk “Muslim Leaders and Preachers Fighting Vaccine Hesitancy: A Shot in the Arm”. Fakta-fakta dan pandangan yang dinyatakan oleh penulis tidak semestinya mencerminkan pandangan ISEAS-Institut Yusof Ishak.

MENGENAI PENULIS:

Pegawai Penyelidikan dalam Program Kajian Masyarakat dan Budaya Serantau di ISEAS-Institut Yusof Ishak., Cik Afra Alatas. (Gambar: Afra Alatas)
Sumber : BERITA Mediacorp/zm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan