Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Kepimpinan Melayu yang progresif dan memandang ke depan semakin diperlukan

Dengan jurang pemisah antara masyarakat semakin meluas sementara cabaran dari luar semakin berat, corak kepimpinan yang bagaimana paling sesuai untuk memimpin masyarakat. 

Anggaran Waktu Membaca:
KOMENTAR: Kepimpinan Melayu yang progresif dan memandang ke depan semakin diperlukan

Enggang tak sama pipit (Gambar hiasan Wikipedia)

Satu ciri utama era kita hari ini adalah kerapnya pantulan pelbagai pandangan dan reaksi balas mengenai apa sahaja isu yang kadangkala cukup bercanggah antara satu sama lain.

Apatah lagi jika pandangan-pandangan yang berbeza itu datangnya dari golongan kepimpinan termasuklah kepimpinan politik, bangsawan, agamawan dan sebagainya.  

Ia boleh merangkumi banyak isu baik besar atau kecil: antaranya isu berbuka puasa dengan orang bukan Islam, orang bukan Islam mengagih zakat atau memberi ceramah dalam masjid hinggalah kepada isu ‘berbaju Melayu dengan seluar hitam’ dan ‘pipit jangan berlagak seperti helang’.

Apa yang jelas bahawa semua perbahasan ini tidak membantu dalam mengharumkan nama baik masyarakat Melayu mahupun agama Islam.

Sepatutnya dalam zaman yang serba mencabar sekarang ini – dengan dunia semakin pantas berubah, saingan antara negara semakin sengit dan konflik dalaman pula semakin tegang – tumpuan kepimpinan yang baik adalah ke arah menyatupadukan masyarakat demi menyiapkannya untuk cabaran-cabaran yang lebih besar lagi.

BERJIWA BESAR

Pada saat-saat beginilah apa yang diperlukan adalah kepimpinan yang berpandangan jauh, berjiwa besar dan cukup berfikiran luas untuk memahami apa itu isu-isu pokok  dan apa isu-isu remeh yang tidak perlu dilayan. 

Inilah corak kepimpinan progresif yang boleh membantu masyarakat dan negara mengecapi kemajuan yang lebih cepat.

Ia berbeza dengan corak-corak kepimpinan lain yang tidak progresif termasuklah kepimpinan konservatif mundur yang masih mengamalkan nilai-nilai feudal.

Fahaman feudal berbeza daripada nilai-nilai tradisional yang sememangnya baik dipertahankan kerana ia masih bernilai dalam masyarakat.

Nilai-nilai tradisional yang dimaksudkan adalah seperti menghormati satu sama lain baik pemimpin atau orang tua, menghormati budaya dan berbudi bicara,  mengekalkan jati diri, memupuk kerjasama dan muafakat dan sebagainya.

MEROSAKKAN MASYARAKAT

Nilai-nilai feudal pada mata kasarnya nampak seperti nilai-nilai tradisional tetapi ia lebih merosakkan daripada memajukan masyarakat.

Antara nilai-nilai feudal yang masih wujud adalah seperti kesetiaan tidak berbelah bahagi antara pemimpin dengan pengikut, terlalu setia sehinggakan ia boleh melanggar norma-norma agama dan masyarakat dan juga keluhuran undang-undang.

Kesetiaan begini melibatkan semua lapisan masyarakat dari kepimpinan politik atau golongan bangsawan sehinggalah kepada kepimpinan agamawan, ahli-ahli akademik, golongan peniaga dan profesional dan ke peringkat masyarakat umum. 

Berkait dengan nilai kesetiaan feudal sebegini adalah penghormatan keterlaluan atau membuta tuli terhadap mereka yang berkedudukan tinggi sehingga merasakan diri mereka terlalu rendah dan hina dibandingkan pihak di atas.

KESEDARAN PALSU

Terselit di dalam kesemua nilai ini tentunya adalah suatu ‘kesedaran palsu’ (false consciousness) bahawa masyarakat sebenarnya masih lagi terbelah bahagi antara mereka yang di atas dengan mereka yang di bawah.

Dan keadaan masyarakat sebegini tidak boleh berubah atau dihalang daripada berubah kerana kononnya ia boleh menggugat kesejahteraan umum.

(Gambar Facebook) 

Almarhum Syed Hussein Alatas

Nilai-nilai  feudal sebegini masih wujud dalam masyarakat Melayu kerana menurut sarjana seperti  Syed Hussein Alatas pemikiran orang Melayu masih dipengaruhi oleh ‘psikologi feudal’.

Walaupun sistem feudal rata-rata tidak lagi diamalkan hari ini dari segi struktur masyarakat dan kenegaraan (misalnya, sistem raja berkuasa mutlak yang mempunyai hak sepenuhnya ke atas rakyat jelata dan harta bendanya), bibit-bibit pemikiran feudal itu masih lagi wujud dalam masyarakat – baik di peringkat kepimpinan mahupun di peringkat umum.

GAGASAN KECEMERLANGAN

Dalam masyarakat yang masih lagi terikat dengan pola pemikiran dan nilai-nilai feudal, gagasan kecemerlangan berdasarkan prinsip merit atau kelayakan diri tentunya tidak mendapat tempat yang sepatutnya.

Untuk maju dan cemerlang di dalam masyarakat yang masih mengamalkan prinsip feudal, bukan bergantung kepada kebolehan diri tetapi kepada siapa yang lebih ditaati atau lebih dikenali.

Ini sekaligus menjadi kelemahan besar masyarakat yang berteras feudalisme kerana kecemerlangan tulen tidak diberikan perhatian secukupnya.

Malah, lebih bahaya lagi adalah ia sentiasa terbuka kepada penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa yang akhirnya merugikan rakyat, bangsa dan negara.

Melihat kepada kelemahan-kelemahan sistem feudal ini membuatkan Bapa Pembaharuan Melayu seperti Munsyi Abdullah begitu marah dan sedih terhadap apa yang telah menimpa masyarakat Melayu sekitar dua kurun lalu. 

NILAI DAN AMALAN FEUDAL

Dalam catatan-catatan beliau baik dalam Kisah Pelayaran Abdullah dan Hikayat Abdullah, beliau banyak sekali mengecam nilai dan amalan-amalan masyarakat feudal Melayu lebih-lebih lagi di kalangan golongan bangsawan.

Banyak sekali nilai dan amalan tidak baik termasuk menindas, berlaku tidak adil dan bertindak sewenang-wenangnya terhadap rakyat, seperti membunuh dan merampas harta milik orang lain.

Munsyi Abdullah

”Jika mengambil anak bini orang yang disukainya seperti menangkap anak ayam sahaja”; dan “membunuh orang itu seperti membunuh seekor semut sahaja,” kecam Abdullah.

Ada juga larangan dan sekatan yang tidak masuk akal yang menyusahkan orang ramai seperti: larangan berpayung, memakai kasut dan berpakaian kuning apabila melalui kawasan tertentu.

Abdullah juga membidas sikap seperti rakus dan gila terhadap kemewahan berlebihan, kehidupan berpoya-poya, serta kegilaan terhadap kedudukan, pangkat dan darjat kebesaran. (Boleh juga ditambah kegilaan terhadap majlis atau adat istiadat yang panjang lebar, memualkan dan membuang masa).

MERUGIKAN

Seperti yang diperhatikan oleh Abdullah sistem masyarakat feudal yang terdapat dalam masyarakat Melayu dahulu menimbulkan banyak kerosakan jiwa dan moral kepada semua pihak baik yang memimpin dan yang dipimpin.

Ia merugikan kedua-dua negara dan rakyat. Abdullah perhatikan negeri menjadi miskin kerana rakyat hilang daya usaha lantas terus menjadi malas.

Bagaimana mereka hendak dipersalahkan sedang kehidupan mereka terus tertindas, teraniaya dan tidak terbela.

‘Apa guna rajin kita itu? Maka jikalau mendapati sedikit wang atau makanan, nescaya dilobakan dan dirampas oleh orang besar itu”, rintih mereka kepada Abdullah.

MELAYU SINGAPURA

Berbeza dengan masyarakat Melayu di Semenanjung, masyarakat Melayu Singapura boleh dikatakan bernasib baik tidak melalui pengalaman sejarah yang sama.

Ini meletakkannya dalam kedudukan yang baik dalam membentuk kepimpinan dan pemikiran progresif.

Bukan sahaja ia adalah masyarakat Melayu terawal terdedah kepada masyarakat perbandaran dan kosmopolitan kurun ke-19 (sejak terbukanya Singapura sebagai pelabuhan bebas) tetapi ia juga adalah yang pertama bebas daripada cengkaman sistem masyarakat feudal yang digambarkan oleh Munsyi Abdullah.

Masyarakat berbilang kaum dan agama S’pura

Cirinya yang kosmopolitan, terbuka dan cukup rencam membolehkan masyarakat Melayu Singapura antara yang terawal melahirkan kepimpinan progresif baik dalam bidang agama, politik, nasionalisme, kewartawanan, kesusasteraan dan kesenian, malah juga hiburan.

TERAS MERITOKRASI

Dan sejak pasca-merdeka pula ia terdedah pula kepada nilai-nilai pemodenan dan kemajuan yang berteraskan meritokrasi baik dalam bidang pekerjaan, pendidikan dan juga kepimpinan di setiap lapisan masyarakat.

Tidak dinafikan bahawa sebagai sebuah masyarakat moden hari ini, masyarakat Melayu Singapura masih perlu berusaha lebih gigih untuk mengukuhkan kedudukannya dalam persekitaran penuh saingan.

Namun pada keseluruhannya ia sudah di atas landasan yang betul terutama dalam pegangannya kepada nilai-nilai serba progresif.

Dengan ia terus berusaha memupuk nilai-nilai tersebut dan dengan melahirkan lebih ramai pucuk pimpinan yang terus memandang ke hadapan, pasti sumbangannya bukan sahaja akan menyerlah di Singapura sendiri, malah juga di kalangan masyarakat Melayu lain di rantau ini.

 


Sumber : BERITA Mediacorp/IB
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan