Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Kenapa kita perlu yakin krisis penularan di S’pura sedang ditangani dengan baik

Tidak mungkin kita dapat tangani COVID-19 sehingga ke tahap sekarang tanpa kepercayaan meluas antara rakyat dengan pemerintah.

Anggaran Waktu Membaca:
KOMENTAR: Kenapa kita perlu yakin krisis penularan di S’pura sedang ditangani dengan baik

Dua pegawai polis menerangkan kepada seorang lelaki tentang langkah-langkah pemutus litaran. (Gambar: Masagos Zulkifli/Facebook)

Sudah lebih dua bulan kita dan warga sejagat yang lain diselubungi dengan berita wabak COVID-19 pada setiap hari, tanpa henti.

Tidak ramai boleh menyangka bahawa masuk bulan April ini jumlah kes positif sudah melebihi 1,000 pesakit.

Malah terdapat kebimbangan bahawa ia akan terus meningkat dengan banyaknya pada hari-hari mendatang sekiranya tiada langkah-langkah pencegahan yang lebih tegas.

Inilah sebabnya langkah terbaru ‘pemutus litaran’ yang dikuatkuasakan pemerintah minggu ini perlu dilaksanakan dengan segera dan cukup tegas.

Pasar Geylanng Serai pada hari pertama langkah pemutus rantaian jangkitan COVID-19, 7 Apr. (Gambar: BERITAmediacorp/Nurulkhasanah Agost)

Bagaimanapun di sebalik rasa suram yang menyelubungi kita hari ini, terselit beberapa pengajaran dan detik penting yang boleh dicontohi bersama.

Dalam setiap kerumitan yang ditempuhi sekarang dan pada masa mendatang, anggota masyarakat menjadi semakin bersatu dan teguh.

Sebagai seorang warga muda, semangat bersatu ini saya lihat adalah hasil contoh kepimpinan baik daripada generasi yang lebih matang dan berpengalaman dalam menangani masalah dan cabaran genting.

Sikap dan tanggungjawab yang ditonjolkan boleh dicontohi bukan sekadar masyarakat tempatan, malah masyarakat sejagat juga.

KEPIMPINAN MASYARAKAT

Bagi masyarakat Islam di Singapura, sejak langkah penutupan masjid pada pertengahan Mac lalu, beberapa langkah penting lain telah diambil untuk mengekang penularan COVID-19.

Pada mulanya memang boleh difahami bahawa semua langkah tersebut yang dilihat sebagai agak ‘radikal’ tidak mudah diterima masyarakat Muslim di sini.

Apatah lagi apabila Mufti Negara, Ustaz Dr Nazirudin mengatakan ada kemungkinan tempoh penutupan masjid dan penundaan solat Jumaat dilanjutkan sehingga bulan Ramadan sekiranya keadaan tidak bertambah baik.

Mufti Negara, Dr Nazirudin Mohd Nasir.

Namun apa yang menggalakkan adalah rata-ratanya masyarakat Islam Singapura sebenarnya boleh menerima keputusan dengan lapang dada selepas memahami rasional dan sebab-sebab disebalik keputusan tersebut.

Semestinya, dalam setiap situasi yang sukar, masyarakat memang mendambakan bimbingan yang baik.

Keterangan yang rasional, padat dan munasabah, yang dibentangkan oleh Jawatankuasa Fatwa menerusi Dr Nazirudin jelas menunjukkan kematangan dan taraf progresif yang tinggi institusi keagamaaan Islam di sini yakni Majlis Ugama Islam Singapura, MUIS.

Pendekatan yang ditonjolkan oleh agamawan di sini turut mencerminkan pemikiran yang cekap dan bijak.

Platform media sosial yang digunakan oleh golongan asatizah dimanfaatkan dengan baik untuk membimbing dan menjadi wadah rujukan bagi masyarakat tempatan.

(Gambar-gambar: BERITAmediacorp)

MENINGKATKAN KESEDARAN

Mungkin juga penerimaan masyarakat Muslim di sini menjadi semakin mudah kerana adanya keputusan yang sama oleh institusi dan pihak berkuasa Islam di negara-negara lain seperti Indonesia dan Malaysia.

Ditambah pula dengan keputusan yang sama yang diambil oleh pihak berkuasa Islam lain seperti Arab Saudi yang telah menutup tempat-tempat suci seperti Makkah dan Madinah, menyebabkan ibadat umrah, malah juga ibadat haji terpaksa digantung buat sementara waktu.

(Gambar: AFP)

Pendekatan yang diambil institusi dan kepimpinan dunia Islam meningkatkan kesedaran dan keyakinan seluruh umat Islam bahawa adalakalanya sesuatu ibadah yang wajib itu boleh ditunda atau dibatalkan dalam keadaan darurat.

Di Singapura sendiri, Jawatankuasa Fatwanya, seperti yang diterangkan oleh Dr Nazirudin berpendirian bahawa:

Berpandukan beberapa hadis Nabi Muhammad saw yang mengatakan dengan jelas bahawa ketakutan ke atas keselamatan kita dan juga penyakit adalah dua sebab yang menggugurkan kewajiban solat berjemaah dan juga solat Jumaat.

KEPIMPINAN 4G

Di peringkat nasional pula, kepimpinan yang tegas, bijak dan cukup teliti dalam membendung penularan virus dicerminkan oleh kepimpinan negara generasi keempat 4G.

Krisis COVID-19 yang ditangani oleh kepimpinan muda menteri-menteri 4G sentiasa menunjukkan taraf komitmen dan dedikasi yang cukup tinggi.

Pemimpin generasi ke-4 seperti Encik Chan Chun Sing dan Encik Ong Ye Kung semasa pembukaan sesi kedua Parlimen ke-13 pada Isnin (7 Mei 2018). (Gambar: Jeremy Long)

Setiap langkah keselamatan baru yang diumumkan bagi mengekang penularan wabak COVID-19 mempamerkan cara pemikiran yang cekap dan matang barisan kepimpinan itu dalam menghadapi krisis ini.

Meskipun menerima banyak maklum balas dan sentimen negatif yang meminta Singapura untuk mengikuti jejak langkah negara-negara lain yang menjalankan sekatan menyeluruh, pemerintah komited untuk tidak melakukan demikian.

Sebaliknya, langkah-langkah pencegahan yang ketat diambil seperti, mengasingkan mereka yang dijangkiti dengan virus tersebut; melakukan jejak kepada mereka yang berhubung dengan kes positif (contact tracing) dan menggalak masyarakat untuk menjalankan pengawasan diri.

Hanya selepas langkah-langkah berperingkat itu sudah tidak lagi berkesan, barulah langkah tegas lain dikuatkuasakan, seperti penutupan tempat kerja, sekolah, tempat-tempat awam dan langkah-langkah jarak selamat yang lain.

Apakah ini semua akan berkesan kelak, ia kini amat bergantung terhadap sejauh mana masyarakat semua dapat memberikan kerjasama dalam mematuhi arahan dan melaksanakan tanggungjawab sosial masing-masing.

KOMITMEN DAN KESUNGGUHAN

Keberkesanan untuk membendung jangkitan ini tidak akan berhasil hanya dengan dasar-dasar berkualiti yang dilakarkannya sahaja.

Komitmen dan taraf kesungguhan para pemimpin ini untuk melakukan yang terbaik bagi membenteras dan menjaga kemaslahatan adalah faktor utama yang mendorong anggota masyarakat untuk turut sama menjalankan tanggungjawab sosial masing-masing.

Kepimpinannya yang tegas tetapi telus turut membantu dalam membentuk masyarakat yang berfikiran terbuka.

Kita sememangnya sudah sampai pada tahap di mana masyarakat sudah menerima bahawa kriris sukar dan genting ini hanya boleh ditangani secara bersama.

Kita semua sudah memahami bahawa betapa rumitnya sekalipun huraian bagi krisis ini, ia boleh dicapai apabila semua pihak dari setiap lapisan masyarakat memberikan kerjasama mereka.

KEPERCAYAAN MELUAS

Penularan virus korona di Singapura sebenarnya belum mencapai tahap ‘malapetaka’ yang dialami sesetengah negara.

Kita bernasib baik kerana ini semua adalah hasil kerjasama rapat antara masyarakat dan negara dalam memainkan peranan masing-masing dalam mengukuhkan benteng menentang penularan COVID-19.

Kita tidak akan dapat mencapai ke tahap di mana kita berada sekarang sekiranya kita tidak terus menerapkan sikap sentiasa berjaga-jaga, mengamalkan kecekapan, dan mempunyai perpaduan yang tinggi.

Ini semua terbentuk oleh kepercayaan meluas antara rakyat dengan kepimpinan yang baik dan begitu juga sebaliknya.

Harapan kita sebagai rakyat Singapura termasuk golongan milenial adalah agak semangat ini tidak lentur, malah terus menjadi kental.

Lawrence Wong semasa sidang media pada 17 Mac 2020 (Gambar: Marcus Mark Ramos)

Apatah lagi seperti yang diungkapkan oleh Menteri Lawrence Wong, salah seorang pemimpin 4G bahawa krisis yang kita hadapi sekarang ini sebenarnya baru di tahap permulaan sahaja.

Ia hanyalah permulaan dalam satu perjuangan yang sangat panjang, tegas beliau.  

Sumber : BERITA Mediacorp/ur
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan