Images
  • US covid-19
    (Gambar: Reuters)

KOMENTAR: Kemelut pandemik – mula berakhir atau bakal memburuk

Pengumuman beberapa kelonggaran baru minggu lalu di bawah tahap kedua langkah ‘pembukaan semula’ Singapura memberi harapan bahawa kita bakal memasuki tahap ketiga dan terakhir untuk kembali kepada keadaan ‘biasa’.

Ia menunjukkan baahwa kita semakin menghampiri tahap di mana  semua kegiatan biasa dalam bidang ekonomi, sosial, agama dan riadah dapat disambung semula – walaupun dengan beberapa langkah keselamatan dikekalkan.  


Isyaratnya adalah jelas bahawa segala usaha yang telah diambil sejak langkah pemutus rantaian (CB) dikuatkuasakan pada April tahun ini, berjaya membendung penularan COVID-19, sekurang-kurangnya dalam kalangan masyarakat tempatan.

Ia juga adalah isyarat bahawa kita sudah cukup yakin bahawa negara boleh menyambung semula hubungan perjalanan dengan negara-negara tertentu menerusi langkah bertahap-tahap.

Semua langkah membuka semula hubungannya dengan negara luar dan juga pembukaan semula sempadannya dengan negara-negara terdekat, perlu dilakukan dengan berhati-hati.  

Seperti yang telah diingatkan beberapa kali bahawa pandemik ini belum dapat dihapuskan sepenuhnya tanpa penghasilan vaksin yang cukup berkesan.

Selagi ini belum terjadi, dan mungkin juga selepas diketemukan vaksinnya, kita hanya boleh kembali kepada keadaan sedia adanya dengan meneruskan amalan-amalan keselamatan sebagai kelaziman baru kehidupan seharian.

PERSIMPANGAN KRITIKAL

Hakikatnya, walaupun Singapura adalah antara negara yang paling berkesan dalam melawan COVID-19 sejauh ini, seperti juga negara-negara lain kita semua berada di suatu persimpangan yang kritikal.

Setiap langkah yang diambil bakal menentukan sama ada kes jangkitan akan terus terkawal atau pun meledak semula mengakibatkan penularan besar-besaran sekali lagi.

Inilah yang kita saksikan di kebanyakan negara seperti Amerika Syarikat dan juga negara-negara Eropah, yang cepat mahu kembali semula kepada keadaan sedia kala tanpa mengambil kira bahawa ‘pembukaan semula’ yang tidak terkawal bakal membawa padah yang serius.

Dengan jumlah kematian akibat COVID -19  mencecah sejuta orang di serata dunia dan bilangan jangkitan pula mencapai 33 juta, negara-negara yang menghentikan langkah-langkah keselamatan dengan tergesa-gesa  menghadapi bahaya penularan semula gelombang kedua.

MENINGKAT SEMULA

Britain antara negara sedemikian yang mula melonggarkan banyak sekatan sehingga ada sebahagian penduduknya yang gagal mematuhi langkah-langkah jarak selamat, termasuk berhimpun beramai-ramai dan gagal memakai pelitup.

Akibatnya jumlah jangkitan meningkat semula dengan bilangan kematian di negara itu mencecah 41,000 orang iaitu yang tertinggi di Eropah.

Begitu juga dengan beberapa negara Eropah yang lain, seperti Sepanyol dan Republik Czech. Mereka juga menjangkakan jumlah jangkitan bakal meningkat dua kali ganda selepas langkah-langkah keselamatan yang diambil dilonggarkan.


Bagi kita di rantau Asia Tenggara, Indonesia dan Filipina juga mendapati jumlah jangkitan semakin meningkat, menimbulkan kebimbangan bahawa angka kematian juga naik mendadak.

Penularan COVID-19 di Singapura jelas semakin terkawal dengan baik tetapi perkara yang sama belum lagi berlaku di kebanyakan negara lain.

Sedang kita boleh menoleh ke hadapan dengan penyambungan  semula kehidupan ‘biasa’ di bawah tahap ketiga, dunia sebenarnya berhadapan pula dengan gelombang kedua penularan pandemik ini.

Jika kita boleh mengambil iktibar daripada sejarah, lihatlah apa yang berlaku apabila gelombang kedua penularan berlaku setiap kali wabak melanda dunia.

PANDEMIK 1918

Semasa pandemik selesema yang paling dahsyat melanda dunia seratus dahulu – apa yang dipanggil wabak selesema Sepanyol (Spanish Flu), kesannya yang paling buruk berlaku bukan dalam gelombang pertama jangkitan tetapi ketika ia merebak semula dalam gelombang kedua.

Pandemik itu yang sebenarnya berasal daripada kalangan anggota tentera Amerika di wilayah Kansas, mengakibatkan lebih banyak jangkitan dan kematian dalam gelombang kedua.

Pandemik itu yang berlaku pada Mac 1918 berpanjangan sehingga pertengahan 1920, dengan gelombang kedua meletus sekitar Ogos 1918 (jangka waktu yang amat mirip dengan pandemik COVID-19).

Apakah yang menyebabkan jangkitannya semakin mengganas dalam gelombang kedua, pada pandangan sesetengah pengamat adalah kerana banyak langkah pencegahan penularan yang dikuatkuasakan pada awal jangkitan telah dilupakan pada bulan-bulan seterusnya.

Seperti kita hari ini, ketika jangkitan Spanish Flu dikesan banyak langkah keselamatan seperti memakai pelitup dan penjarakan sosial dikuatkuasakan.


Polis Amerika dengan pelitup muka semasa Pandemik 1918 (Wikipedia)

Beberapa bulan kemudian apabila ramai menjangkakan penyakit tersebut telah berjaya dikekang, langkah-langkah keselamatan telah dilonggarkan sehingga mengakibatkan bermulanya semula penularan.

Lebih dahsyat lagi dengan penularannya merebak ke banyak lagi negara dan benua,  ia akhirnya menjangkiti setengah bilion orang dan membunuh 50 juta daripada mereka.

BERJAYA ATAU GAGAL

Tanpa penemuan vaksin, tiga langkah penting telah dikenalpasti oleh pakar-pakar penyakit dalam menentukan sama ada sesebuah negara itu bakal berjaya atau gagal mengawal penularan sesuatu jangkitan.


Ia termasuklah keupayaan membuat persiapan yang baik, kemampuan mempelajari daripada pengalaman dan juga kesediaan masyarakat untuk mematuhi peraturan-peraturan keselamatan.

Dalam ketiga-tiga faktor ini, kita nampaknya dalam kedudukan yang baik.

Pengalaman Singapura  dalam berhadapan dengan penularan virus SARS hampir dua dekad lalu, menjadikannya ‘masak’ tentang pentingnya membuat persiapan yang rapi dalam menyediakan kepakaran dan kemudahan kesihatan serta rawatan yang mencukupi.

Ia juga berupaya menguatkan perpaduan dan kesepakatan dalam masyarakat untuk menerima langkah-langkah keselamatan dan beberapa sekatan dalam kegiatan harian – termasuk mengubah banyak amalan budaya dan agama yang biasanya tidak mudah diterima ramai.

Sekiranya semua faktor ini dapat dikekalkan memanglah kita boleh menjangkakan lebih banyak kelonggaran untuk kita kembali kepada kebiasaan yang baru.

Namun semua faktor kekuatan kita ini bakal diuji sekali lagi – mungkin juga dengan cabaran yang lebih berat – sekiranya gelombang kedua yang melanda negara-negara lain tidak dapat dibendung dengan jayanya.


- BERITAmediacorp/ib

Top