Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Kelebihan pendidikan politeknik - ia sediakan pembelajaran yang holistik dan seimbang

Selaras dengan perubahan ekonomi Singapura, tidak dapat dinafikan bahawa sistem pendidikan politeknik akan juga menjalani perubahan di masa hadapan.

Anggaran Waktu Membaca:
KOMENTAR: Kelebihan pendidikan politeknik - ia sediakan pembelajaran yang holistik dan seimbang

Para pelajar Diploma Pengurusan Media Massa (DMMM) dari Politeknik Nanyang yang terlibat dalam Perlumbaan F1. (Gambar-gambar: Azhar Abdul-Salam)

BERITAmediacorp: Selaras dengan perubahan ekonomi Singapura, tidak dapat dinafikan bahawa sistem pendidikan politeknik akan juga menjalani perubahan di masa hadapan. Bagi pelajar yang inginkan pendidikan amali dengan kemahiran guna pakai yang sesuai dengan keadaan ekonomi, mereka bolehlah menimbangkan sistem pendidikan politeknik kerana kelebihan yang ada padanya, seperti yang dijelaskan oleh penyumbang rencana berikut:

Perubahan ekonomi Singapura dan dunia sejak dua hingga tiga dekad yang lalu menekankan pentingnya peranan yang dimainkan oleh politeknik-politeknik di sini sebagai institusi yang mempersiapkan para pelajar kita memasuki alam pekerjaan.

Dengan statusnya yang kritikal sebagai “pembekal” sumber tenaga terlatih kepada pelbagai industri di negara ini, ia menjadi lebih penting bagi politeknik-politeknik setempat melaksanakan sistem penilaian yang tepat dan dipercayai untuk para pelajar mereka.

Peperiksaan bukan lagi ukur tara penuh untuk menilai pelajar bagi sebahagian besar modul-modul di politeknik.

Penilaian kini lebih kepada projek-projek supaya para pelajar dapat mempamerkan pengetahuan yang mereka perolehi daripada kuliah dan tutorial yang dihadiri. Pendidikan secara sebegini lebih holistik.

LEBIH DARIPADA PEPERIKSAAN

Kepelbagaian kursus-kursus yang ditawarkan polikteknik adalah antara daya tarikan di kalangan para pelajar untuk melanjutkan pelajaran ke politeknik.

Ramai antara pelajar-pelajar ini telahpun menjalankan kajian sendiri dan sedar bahawa penilaian yang dilakukan di politeknik bukan sahaja melalui peperiksaan tetapi juga projek-projek individu ataupun berkumpulan.

Ramai juga yang tertarik kerana politeknik banyak menekankan pendekatan pembelajaran gunaan (Applied Learning), di mana pengetahuan yang diajar boleh diguna pakai dalam konteks dunia sebenar.

Jika disepadukan dengan aktiviti-aktiviti seperti lawatan-lawatan pembelajaran dan projek-projek, lebih ramai pelajar akan mendapati kecenderungan mereka dalam modul yang diambil akan meningkat.

KEPUTUSAN MEMUASKAN

Pembelajaran gunaan memberi peluang kepada semua pelajar mencapai keputusan yang lebih memuaskan.

Mereka dapat menunjukkan kebolehan mereka secara berkeseluruhan kerana tidak lagi mengalami tekanan waktu dan stres yang disebabkan oleh menduduki peperiksaan di dewan yang besar bersama ratusan lagi pelajar yang lain.

Sebagai pensyarah di Politeknik Nanyang (NYP), saya melihat ramai pelajar yang berjaya meraih kejayaan di peringkat politeknik walaupun melalui perjalanan yang lebih panjang.

Salah satu contoh ialah Nur Eliza Mohd Rani, yang baru lulus daripada NYP dengan diploma kepujian pada bulan Mei yang lalu.

Bekas pelajar jurusan Normal Akademik itu lulus kursus Higher Nitec dalam jurusan Operasi Pelancongan.

Sewaktu di politeknik, Nur Eliza menjadi lebih yakin di dalam bilik darjah. Prestasinya juga meningkat kerana dia bukan sahaja dinilai dengan peperiksaan yang didudukinya setiap akhir penggal tetapi projek individu dan secara berkumpulan.

KURIKULUM UNIK

Sebagai politeknik yang bekerja rapat dengan rakan-rakan kongsi dari pelbagai industri, para pensyarah di NYP menggabungkan penilaian pelajar dengan projek yang mereka laksanakan.

Para pelajar dari sesetengah diploma yang ditawarkan di Sekolah Pengurusan Perniagaan di NYP hanya menghadiri kelas-kelas pada dua tahun pertama pengajian.

Pada tahun yang ketiga dan terakhir, para pelajar akan membahagikan waktu mereka antara latihan amali dengan juga projek-projek tahun akhir.

Contohnya para pelajar Diploma Pengurusan Media Massa (DMMM), mereka diberi kesempatan menjadi penerbit bagi siri video yang ditontoni sewaktu Perbarisan Hari Kebangsaan sejak 2013.

Penglibatan mereka bukan setakat merakam video pada hari tersebut tetapi bermula dari peringkat konseptual sehinggalah ke peringkat pos-penerbitan.

Projek seperti NDP ini mengambil masa lebih tiga bulan dan benar-benar dapat membuktikan tahap kemahiran and profesionalisme para pelajar.

KEPERCAYAAN AMAT TINGGI

Para pelajar DMMM juga terlibat selama enam tahun bersama dengan Perlumbaan F1.

Dalam projek pelajar-pelajar DMMM bukan sahaja menerbitkan video, malah juga majalah berita yang dibaca ratusan pegawai sukarela perlumbaan.

Tahun lalu, para pelajar diploma ini berjaya menerbitkan musik video yang memaparkan penyanyi tempatan Nathan Hartono dan Menteri Pertahanan Dr Ng Eng Hen menyanyikan lagu bagi menyambut ulang tahun ke-50 Perkhidmatan Negara.

Kepercayaan terhadap para pelajar DMMM untuk menerbitkan video yang bermutu amatlah tinggi.

Fox Networks Group, umpamanya, bersedia menghantar pelajar DMMM dan saya ke London untuk membuat liputan kejohanan tenis Wimbledon bagi ditayangkan kepada jutaan penonton di Asia Pasifik.

Yang pasti, penerbitan video-video ini dapat digunakan oleh para pelajar untuk dijadikan bahan portfolio atau showreel mereka.

Ia boleh digunakan sama ada untuk temu duga kerja atau memohon tempat di universiti.

BELAJAR DAN BEKERJA

Para pelajar politeknik akan meluangkan selama enam bulan – kira-kira satu penggal – untuk latihan amali, di mana mereka akan dihantar bekerja di syarikat-syarikat.

Mereka dinilai dari segi profesionalisme dan etika tatkala bekerja, kemahiran dan mutu hasil kerja, komunikasi di tempat kerja dan juga kemahiran pembelajaran bebas.

Ramai pelajar teruja apabila dihantar ke syarikat-syarikat antarabangsa yang masyhur dan terkenal seperti Disney, Discovery Channel, Fox Networks Group dan juga Mediacorp.

Oleh kerana diberi peluang keemasan begini, ramai yang bekerja dengan bersungguh-sungguh untuk menyumbangkan sesuatu yang bernilai.

Apa yang lebih menarik, ada juga pelajar yang ditawarkan bekerja serta-merta dengan syarikat tersebut memandangkan mereka sudahpun selesai menamatkan pengajian politeknik masing-masing.

SISTEM PENILAIAN POLITEKNIK

Walaupun politeknik-politeknik akan terus menggunakan peperiksaan bagi modul-modul tertentu, penilaian seorang pelajar itu tidak terhad kepada hanya peperiksaan sahaja.

Ia lebih kepada pembelajaran yang holistik, seimbang dan lengkap. Pelajar dapat juga memperolehi banyak kemahiran dan belajar untuk bekerja secara berkumpulan.

Tidak dinafikan, pendidikan politeknik dan cara-cara penilaian yang digunakan akan berkembang di masa hadapan.

Mengenai Penulis:

Azhar Abdul-Salam adalah Pengurus Kanan dan Pensyarah Kanan, Sekolah Pengurusan Perniagaan Politeknik Nanyang.  

Sumber : BERITA Mediacorp/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan