Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Kelakonan pemimpin boleh mencorak budaya politik masyarakat

Dengan gejala melompat parti nampaknya tidak berkesudahan dalam politik Malaysia, sejauh mana ini boleh menggugat keyakinan orang ramai terhadap keutuhan sistem demokrasi negara?

Anggaran Waktu Membaca:
KOMENTAR: Kelakonan pemimpin boleh mencorak budaya politik masyarakat

Gambar fail Kuala Lumpur. (Gambar: AFP)

BERITAmediacorp: Dengan gejala melompat parti nampaknya tidak berkesudahan dalam politik Malaysia, sejauh mana ini boleh menggugat keyakinan orang ramai terhadap keutuhan sistem demokrasi negara?

Bak kata pepatah Melayu, bahasa menunjukkan bangsa. Malah orang Melayu sangat dikenali dengan kehalusan budi pekertinya. Namun sifat halus atau lemah lembut ini tidak harus dijadikan hambatan untuk memperbetulkan tindakan yang salah dan menegur pemimpin.

Jauh sekali jika kehalusan budi pekerti ini disamaertikan dengan tindakan menghalalkan cara, mentelah mendukung golongan yang ingin kekal berkuasa. Percaturan kuasa dalam berpolitik itu lumrah dan ia berlaku dalam setiap negara yang mengamalkan demokrasi.

Jatuh bangun sesebuah parti itu satu perkara biasa, sama juga dengan gabungan-gabungan politik. Ia berlaku di Australia, Britain dan juga Israel.

Di Malaysia, sedang terjadi budaya melompat parti di kalangan ahli-ahli parlimen. Dan fenomena ini berlaku beberapa tahun kebelakangan ini kerana sepanjang enam dekad negara mencapai merdeka, Malaysia dikenali dengan sistem parti yang stabil.

Misalnya, gabungan politik Barisan Nasional (BN) - yang menggantikan parti-parti Perikatan semasa Malaysia mencapai merdeka - amat teguh dalam memperjuangkan semangat setia kawan parti-parti etnik Melayu, Cina, India dan Bumiputera.

TANGGUNGJAWAB BERSAMA

Parti-parti pembangkang juga amat konsisten dengan gagasan-gagasan yang diperjuangkan, walaupun bersifat pelbagai: ada yang memperjuangkan nasib golongan pekerja, hak asasi manusia, kemiskinan dan Islam. Justeru, asas parti-parti yang ditubuhkan mempunyai matlamat yang jelas dengan modal politiknya yang konsisten.

Dalam sistem demokrasi, tidak salah jika ada ahli-ahli parlimen berundur daripada parti masing-masing, masuk parti lawan, atau kekal sebagai ahli parlimen bebas, tetapi ini mesti dilakukan dengan alasan-alasan kukuh.

Misalnya, ahli parlimen tersebut tidak lagi bersetuju dengan dasar-dasar pemerintah, atau sudah tidak yakin dengan kepimpinan perdana menteri. Begitu juga halnya bagi seorang menteri yang tidak sehaluan dengan kerajaan, dia wajib berundur kerana kabinet mengamalkan prinsip tanggungjawab bersama (collective responsibility).

TIMBUL KERAGUAN

Apa yang berlaku dalam politik Malaysia baru-baru ini menimbulkan beberapa keraguan. Sebenarnya, budaya melompat parti ini hanya akan mengurangkan keyakinan rakyat terhadap kepemimpinan negara.

Pada Januari lalu, Yang di-Pertuan Agong Malaysia Sultan Abdullah Ahmad Shah telah mengisytiharkan perintah darurat di seluruh negara. Mesej beliau amat jelas: agar ahli-ahli parlimen berhenti berpolitik dan memikirkan tentang mencari huraian bagi menangani COVID-19.

Pandemik yang sedang menular menjejas perjalanan rakyat ke luar negara dan di dalam negeri dan kesannya amat buruk terhadap ekonomi. Pada mulanya, Sultan Abdullah tidak bersetuju dengan pengisytiharan darurat tersebut dan menolak permintaan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Setelah banyak desas-desus yang kerajaan akan bertukar ganti dan belanjawan negara hampir-hampir tidak diluluskan pada bulan Disember 2020, perisytiharan darurat ini dianggap perlu demi menstabilkan keadaan politik.

Pada September lalu, ketua pembangkang Anwar Ibrahim mengeluarkan satu kenyataan bahawa beliau telah meraih sokongan untuk mengambil alih kerajaan daripada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

TARIK BALIK SOKONGAN

Walaupun perkara itu tidak berlaku, timbul desas-desus kerajaan Perikatan Nasional akan tumbang kerana satu persatu ahli Umno menarik balik sokongan terhadap perdana menteri.

Antara bulan Disember 2020 dan Januari 2021, tiga ahli Umno menarik sokongan: Tengku Razaleigh Hamzah, Ahmad Jazlan Yaacob dan Nazri Aziz. Ini bermakna jika darurat tidak diisytiharkan dan parlimen bersidang, kerajaan Muhyiddin akan jatuh kerana beliau hanya meraih 109 kerusi berbanding pembangkang yang ada 110 kerusi.

Walaupun ada 222 kerusi parlimen di Malaysia, disebabkan dua kerusi dikosongkan atas sebab kematian ahli-parlimennya, majoriti untuk kekal berkuasa adalah 111.

Namun, Perdana Menteri Muhyiddin telah berjaya mengukuhkan kedudukan beliau apabila dua ahli parlimen daripada pembangkang Larry Sng dan Steven Choong menyatakan sokongan mereka terhadap Perikatan Nasional.

TIDAK BERAKHIR

Apa yang boleh dijangkakan adalah isu lompat parti ini tidak akan berakhir dan akan terus membelenggu politik negara, sedangkan ada isu-isu besar yang perlu diselesaikan. Dalam hal ini, kedua-dua gabungan yang memerintah dan pembangkang membudayakan tradisi ini.

Jika politik lompat parti ini tidak dibendung, natijahnya adalah ia akan menjadi budaya yang dianggap satu perkara biasa. Ironinya, rakyat memilih wakil rakyat semasa pilihan raya berlandaskan apa yang diperjuangkan mereka mengikut parti masing-masing.

Tindakan keluar parti tanpa sebab-sebab kukuh hanya akan melemahkan sistem pilihan raya, yang sebenarnya adalah ukuran penerimaan rakyat terhadap prestasi pemimpin-pemimpin mereka.

PANDANG ENTENG

Budaya ini juga boleh mengakar dalam masyarakat kerana rakyat akan mencontohi pemimpin mereka. Kesannya boleh jadi masyarakat akan memandang enteng terhadap prinsip-prinsip murni seperti mengotakan janji, bersatu padu dalam menghuraikan masalah dan integriti.

Beberapa persoalan yang perlu difikirkan rakyat demi menghalang budaya ini daripada berakar dalam masyarakat adalah mempersoalkan sama ada tindakan yang dilakukan pemimpin menguntungkan negara dan masyarakat, atau ia hanya demi kepentingan politik peribadi?

Pemimpin juga harus dengan ikhlas bertanya apakah dengan tindakan yang dilakukan (melompat parti) ini membela nasib golongan yang memerlukan, terutama sekali mereka yang kais pagi makan pagi kais petang makan petang?

PILIHAN RAYA BARU

Jelas, huraian bagi membendung budaya lompat parti ini adalah dengan mengadakan pilihan raya secepat mungkin. Ini kerana ahli-ahli parlimen yang sekarang melakukan percaturan politik berdasarkan keputusan Pilihan Raya Mei 2018.

Namun, jika tiada usaha dijalankan untuk melumpuhkan budaya lompat parti, isu ini akan kembali semula setelah pilihan raya itu diadakan. Langkah terbaik adalah jika seseorang ahli parlimen mahu keluar parti, beliau harus sekaligus meletakkan jawatan sebagai ahli parlimen.

Hanya dengan cara ini barulah ahli-ahli parlimen akan berfikir dua kali sebelum meletakkan jawatan.

Dr Norshahril Saat. (Gambar: Dr Norshahril Saat)

MENGENAI PENULIS:
Dr Norshahril Saat adalah Zamil Kanan ISEAS-Yusof Ishak Institute. Beliau adalah Ketua Program Masyarakat dan Budaya Rantau Asia Tenggara (RSCS).  

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan