Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR - Kekufuran dalam Pengkafiran: Mengapa perlu hati-hati dalam menggunakan istilah kafir

Apakah dan siapakah yang dimaksudkan dengan kafir? Siapa pula di antara manusia yang berhak mendakwa atau merujuk kepada manusia lain sebagai kafir? Dalam rencana Komentar Muhammad Shahril Shaik Abdullah ini, beliau berpendapat bahawa hak mengkafiri bukanlah hak manusia.

Anggaran Waktu Membaca:
KOMENTAR - Kekufuran dalam Pengkafiran: Mengapa perlu hati-hati dalam menggunakan istilah kafir

Pustakawan Bersekutu di Lembaga Perpustakaan Negara, Muhammed Shahril Shaik Abdullah. (Gambar: Muhammed Shahril Shaik Abdullah)

BERITAMediacorp: Apakah dan siapakah yang dimaksudkan dengan kafir? Siapa pula di antara manusia yang berhak mendakwa atau merujuk kepada manusia lain sebagai kafir? Dalam rencana Komentar Muhammad Shahril Shaik Abdullah ini, beliau berpendapat bahawa hak mengkafiri bukanlah hak manusia.

Kedai dobi din Jalan Junid, Muar, khusus buat pelanggan Muslim. (Gambar-gambar: New Straits Times/TODAY)

(Gambar: New Straits Times/ TODAY)

BARU-BARU ini timbul kekecohan di Malaysia apabila seorang pengusaha kedai dobi di Muar menawarkan khidmat penggunaan mesin pencuci pakaian di kedainya hanya kepada pelanggan Islam sahaja. Sebuah papan tanda di luar kedai itu menyatakan bahawa dobi itu hanya menerima pelanggan beragama Islam sahaja atas faktor kesucian.

Syarat sedemikian secara terang menggambarkan unsur prasangka yang mendiskriminasikan kaum bukan Islam. Dengan memberi sebab atas ‘faktor kesucian’, apa yang dikatakan secara tidak langsung adalah kaum bukan Islam itu kotor.

Pastinya, diskriminasi yang dilakukan oleh pengendali kedai dobi tersebut tiada beza sama sekali dengan diskriminasi yang dilakukan oleh kumpulan Nazi terhadap kaum Yahudi semasa Perang Dunia Kedua, mahupun diskriminasi terhadap warga kulit hitam di Amerika Syarikat pada tahun 50-an di mana wujudnya undang-undang segregasi yang menguatkuasakan pemisahan kaum, seperti larangan terhadap warga kulit hitam melanggani kedai yang hanya boleh dilanggani oleh warga kulit putih.

Kesemuanya berdasarkan ideologi fasisme yang menekankan kesucian dan kemurnian suatu kaum atau bangsa dari unsur-unsur yang dianggap tidak asli, bersih atau suci.

SIFAT TAKSUB

Bahayanya ideologi fasisme ini ialah apabila sifat taksub mula berakar di dalam diri seorang individu mahupun sebuah masyarakat hingga ke tahap kronik di mana tidak dapat lagi dilihat atau dirasakan bahawa perkara yang diucap atau dilakukan sebenarnya bertentangan bukan hanya dengan nilai-nilai kemanusiaan tetapi juga dengan kehendak serta nilai-nilai agama itu sendiri.

Sebagaimana yang dijawab oleh pengendali dobi itu tadi apabila ditanyakan tentang syarat kedainya yang mendiskriminasikan kaum bukan Islam, bahawa beliau sekadar melaksanakan tanggungjawab sebagai orang Islam.

Pemikiran sedemikian sangat bermasalah kerana ia berlandaskan keyakinan yang kuat bahawa apa yang dilakukan benar-benar dituntut oleh agama. Lebih parah lagi apabila nilai-nilai kemanusiaan serta sifat kasih sayang dan belas kasihan yang dituntut agama tidak dihiraukan.

Sebagai contoh, waktu dilancarkan bank derma susu ibu di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak KKH baru-baru ini, segelintir umat Islam di sini melahirkan rasa kurang senang malah tidak setuju jika bayi dari keluarga Islam diberikan susu badan dari wanita bukan Islam.

Walaupun telah dijelaskan oleh Jawatankuasa Fatwa MUIS bahawa pendermaan susu ibu dan pengambilan susu dari bank susu ibu dibenarkan dalam Islam atas dasar memberi manfaat besar kepada bayi yang memerlukan, masih ada golongan yang enggan menganjak pendirian mereka. Sebab yang diberikan ialah ‘susu orang kafir dianggap tidak suci’.

(Gambar: PHILIPPE HUGUEN / AFP)

(Gambar: PHILIPPE HUGUEN / AFP)

AGAMA DARI LENSA PREJUDIS

Di sini kita dapat lihat persamaan dalam alasan yang digunakan di antara golongan ini dengan pengendali dobi yang disebut tadi. Kedua-duanya menitik beratkan kesucian agama dari lensa yang prejudis dengan mengatakan kaum lain itu kotor.

Di sini juga perlu kita menyemak pemahaman kita terhadap istilah ‘kafir’. Apakah dan siapakah yang dimaksudkan dengan kafir? Siapa pula di antara manusia yang berhak mendakwa atau merujuk kepada manusia lain sebagai kafir?

Dari segi bahasa, istilah kafir bererti ingkar, menutup atau menghalang. Di dalam kitab Al-Qur’an, golongan kafir secara umum merupakan mereka yang mengingkari nikmat Tuhan, yang menutupi atau menghalangi kebenaran apabila kebenaran telah sampai atau disampaikan kepada mereka.

SIAPA YANG DIGELAR KAFIR?

Soalannya, adakah orang-orang bukan Islam di sebuah negara bangsa seperti Singapura ini patut digelar kafir? Kalau ya, berdasarkan apa? Kalau kita mengatakan mereka adalah kafir kerana mengingkari nikmat Allah, pernyataan tersebut tidak munasabah sama sekali kerana mereka belum atau tidak pernah pun diberi peluang untuk mengenal Allah.

Oleh itu bagaimana mungkin mereka mengingkari sesuatu yang tidak pernah mereka ketahui? Dan seandainya telah disampaikan risalah Islam namun mereka memilih untuk tidak menganut Islam, bukankah itu hak mereka?

Kita sering mengatakan bahawa hidayah itu datang dari Tuhan, namun ramai di antara kita yang melebihi Tuhan dengan sewenang-wenangnya mendakwa dan menghukum seseorang itu kafir. Nikmat Tuhan datangnya dari Tuhan, bukan manusia.

HAK MENGKAFIRI BUKAN HAK MANUSIA

Oleh itu, kekufuran seseorang itu (dengan mengingkari nikmat Tuhan) adalah antara beliau dengan Tuhan, bukan dengan manusia. Dalam erti kata lain, hak menggelarkan seseorang itu kafir terletak pada Tuhan, bukan manusia.

Begitu juga kalau kita mendakwa seseorang itu kafir kerana menutup atau menghalang kebenaran. Sifat orang yang menutup atau menghalang kebenaran ini merupakan sifat yang keji, seperti golongan musyrikin pada zaman Nabi, yang memusuhi dan memerangi orang Islam secara terang-terangan.

Agak musykil kalau kita mengatakan bahawa lebih 80 peratus golongan bukan Islam di Singapura ini mempunyai sifat sedemikian. Andaian tersebut sama sekali tidak menggambarkan keadaan umat Islam di negara ini di mana kita dapat melaksanakan ibadah tanpa sebarang tentangan.

Dan kalau kita sewenang-wenangnya mendakwa atau menggelarkan seseorang atau suatu kaum itu kafir hanya kerana mereka telah dilahirkan dalam keluarga yang menganut fahaman Buddha, ataupun Taoisme, ataupun Nasrani, Hindu dan sebagainya, bukankah itu menunjukkan pengingkaran kita terhadap takdir Tuhan yang telah menentukan kelahiran serta kematian seseorang dan pada akhirnya menentukan siapa yang akan ke syurga atau neraka?

ISTILAH KAFIR MENGIKUT AL QURAN

Konsep ‘kafir’ yang digunakan di dalam kitab Al-Quran pada umumnya merujuk kepada mereka yang melakukan perbuatan-perbuatan yang menjurus kepada kekufuran. Ia bukan satu label atau gelaran tetap buat mengecap sebuah kaum atau bangsa.

Malah gelaran kafir harbi (golongan bukan Islam yang harus dimusuhi kerana menentang pemerintahan Islam) serta kafir dhimmi (golongan bukan Islam yang menerima kedaulatan Islam lantas harus dilindungi) hanya digunakan di dalam sejarah sewaktu peperangan di antara dar al-Islam (negara Islam) dan dar al-harb (negara bukan Islam).

Persoalannya adalah, bolehkah atau patutkah istilah ‘kafir’ itu digunakan dalam sebuah negara bangsa (nation-state) di mana pentadbiran warganegaranya berdasarkan prinsip-prinsip kesamaan dan keadilan, bukan dari segi agama, bangsa ataupun suku kaum?

(Gambar hiasan: Michael B. Thomas / AFP)

(Gambar hiasan: Michael B. Thomas / AFP)

TIMBANGKAN SEMULA PENGGUNAAN ISTILAH 'KAFIR'

Maka itu perlu kita mempertimbangkan semula penggunaan istilah ‘kafir’ di dalam perbualan kita, baik di dalam atau di luar rumah, mahupun di media sosial. Ia bukan persoalaan semantik semata-mata, kerana perkataan kafir itu telah digunakan dengan pengertian dan nada yang membawa maksud seseorang atau suatu masyarakat itu jijik, jahat dan harus dimusuhi.

Pengertian tersebut akan membentuk pandangan kita dan secara langsung menentukan cara kita berkomunikasi dan bergaul dengan masyarakat lain. Seperti yang telah disebut di atas, menganggap seseorang itu jijik, jahat dan harus dimusuhi hanya kerana beliau tidak seagama dengan kita seolah-olah memandang jijik kepada ciptaan Tuhan.

Sebagai contoh, berikutan kejadian gempa bumi sekuat 6.8 skala Richter di Bagan, Myanmar pada 24 Ogos 2016 yang mengorbankan sekurang-kurangnya tiga nyawa dan memusnahkan beberapa pagoda, segelintir umat Islam di sini lantas melatah seumpama orang-orang yang bukan hanya hilang akal dan keimanan bahkan peri kemanusiaan mereka.

Lebih kesal lagi apabila mereka melibatkan Tuhan dalam ketaksuban mereka. Berikut adalah petikan dari beberapa komen yang boleh didapati dari Facebook:

“Alhamdulillah, Allah musnahkan patung-patung besar tu semua supaya mereka fikir.”

“Allahu Akbar! Balasan Allah! Sekelip mata aje Allah musnahkan.”

“Padan muka korang. Kafir lakhnat.”

JANGAN KAITKAN SIFAT KEJI, KEDANGKALAN DENGAN TUHAN

Sifat balas membalas ini satu sifat yang keji, yang hanya boleh didapati dalam diri manusia dan tidak sesuai sama sekali untuk kita menyifatkan sedemikian rupa buat Tuhan, Sang Pencipta yang Maha Mulia lagi Maha Terpuji.

Cukuplah buat masa ini agama kita dikaitkan dengan terorisme. Usah pula kita mengaitkan Tuhan dengan kedangkalan manusia dengan sewenang-wenangnya menggambarkan Tuhan seperti teroris.

Sebagai orang Islam dan, yang lebih penting lagi, sebagai sesama manusia yang berkongsi hidup di atas muka bumi Allah ini, sepatutnya dan sebaiknya yang kita lakukan ialah mendoakan keselamatan serta kebaikan buat mereka yang terjejas dalam musibah bencana alam, sepertimana Nabi sendiri telah mengajarkan kepada kita.

Lebih baik lagi jika kita dapat menghulurkan bantuan sama ada dari segi tenaga, masa mahupun wang.

JANGAN DIDORONG RASA BENCI DAN DENDAM

Sememangnya tidak dapat dinafikan tekanan dan ketidakadilan yang menimpa dan terus mencekam umat Islam pada hari ini akibat keganasan yang dilakukan pihak pelampau agama.

Namun jalan penyelesaiannya bukan dengan balasan yang didorong rasa benci dan dendam, tetapi berlandaskan prinsip keadilan dan saksama serta sifat kasih dan sayang. Istilah kafir telah dilontarkan secara pukul rata untuk merujuk kepada orang bukan Islam, dan ini sama sekali tidak adil dan tepat.

Kalau kita menganggap semua orang bukan Islam itu kafir secara automatik, tiada bezanya kita dengan kejahilan mereka yang secara pukul rata menganggap semua orang Islam itu teroris.

Pustakawan Bersekutu di Lembaga Perpustakaan Negara, Muhammed Shahril Shaik Abdullah. (Gambar: Muhammed Shahril Shaik Abdullah)

MENGENAI PENULIS:

Muhammed Shahril Shaik Abdullah ialah Pustakawan Bersekutu di Lembaga Perpustakaan Negara.

Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan