Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Kekang ajaran sesat dengan sikap rasional dan kesederhanaan

Ajaran sesat boleh berpunca daripada pelbagai sumber dan faktor. Yang paling berbahaya apabila ia boleh mencetuskan pemberontakan sehingga dapat menumpaskan sesebuah pemerintah yang sah.

Anggaran Waktu Membaca:
KOMENTAR: Kekang ajaran sesat dengan sikap rasional dan kesederhanaan

Pengikut QAnon yang anjurkan pelbagai konspirasi di AS (Gambar Wikipedia)

Mungkin ada di antara kita yang merasakan pelik tentang apa yang berlaku di Washington D.C pada 6 Januari lalu.

Bagaimana sebuah kumpulan atau gerakan ‘bawah tanah’ yang langsung tidak diketahui siapa penggeraknya boleh menjadi penggembleng tenaga politik, yang akhirnya mencetuskan pemberontakan ke atas badan  perundangan tertinggi Amerika Syarikat, Capitol Hill.

Yang cukup menghairankan adalah gerakan yang dikenali sebagai QAnon (mungkin nama penuhnya Q Anonymous – atau Q yang tidak dikenali), tidak lain hanyalah gerakan yang menganjurkan teori-teori konspirasi pelik-pelik belaka.

Asal-usul ‘kumpulan’ atau pun kepercayaan konspirasi QAnon terus menjadi perbahasan hangat pakar-pakar dan pengamat politik Amerika, lebih-lebih lagi selepas ia mendapat perhatian meluas semasa pilihan raya Presiden Amerika November lalu.

Gambar fail para penyokong Donald Trump menyerbu Capitol AS pada 6 Jan 21 (Gambar: REUTERS/Stephanie Keith)

Selepas puluhan ribu penyokong Trump melakukan rusuhan ke atas bangunan  Capitol pada 6 Januari dan menyusuli siasatan agensi keselamatan seperti FBI, para penyokong dan fahaman QAnon kini telah diklasifikasikan sebagai kumpulan pengganas domestik.

QAnon dikatakan mula mendapat perhatian sebahagian rakyat Amerika terutama mereka yang mempercayai teori-teori konspirasi menerusi satu mesej internet sekitar empat tahun lalu.

Mesej itu mendakwa adanya sesetengah elit Amerika termasuk para pemimpin dari kalangan parti Democrat seperti Hillary dan mantan Presiden Bill Clinton,  mengamalkan ajaran-ajaran songsang seperti menyembah syaitan, minum darah bayi dan melakukan seks dengan kanak-kanak.

KONSPIRASI DAN PEMBOHONGAN

QAnon sendiri tidak menganjurkan ajaran-ajaran tertentu sekadar menyebarluaskan pelbagai jenis konspirasi dan pembohongan yang bertujuan menjejas keyakinan orang ramai terhadap pemimpin dan institusi kenegaraan.

Dan inilah yang berlaku sepanjang kepimpinan pentadbiran Trump dari 2017 hinggalah pilihan raya November lepas.

Walaupun Trump tidak pernah mengakui bahawa ia mempercayai apa-apa konspirasi yang disebarkan oleh QAnon, namun beliau begitu licik dalam memberikan isyarat-isyarat tertentu bahawa beliau sentiasa terbuka kepada golongan seperti QAnon.

Antara konspirasi utama QAnon itu sendiri melibatkan diri Trump sebagai satu-satunya pemimpin ulung Amerika yang boleh dipercayai.

Malah beliau sebenarnya diangkat QAnon sebagai penyelamat (saviour) atau Al Masih yang bakal menghapuskan pemimpin-pemimpin dan para elit ‘penyembah syaitan’.   

KHAYALAN JAHAT

Bagi kumpulan QAnon,  sesiapa sahaja yang menentang Trump, terutama tokoh-tokoh politik Democrat, para pemimpin perniagaan dan elit syarikat teknologi (seperti Bill Gates dan Mark Zuckerberg) dan juga sesetengah anggota Republican sendiri, sebagai musuh mereka yang harus diberkas dan dihapuskan.

Pada mulanya tidak ramai pihak mahu mengambil serius kumpulan dan fahaman QAnon kerana menganggap semua teori konspirasi mereka terlalu merepek dan khayalan jahat semata-mata. 

Kini jelas QAnon diberikan perhatian berat kerana sudah menjadi berbahaya, lebih-lebih lagi selepas pemberontakan Januari lalu.

Rusuhan di luar bangunan Capitol AS pada 6 Januari 2021. (Gambar: AP Photo/John Minchillo, File)

Malah menurut beberapa kajian, sokongan sesetengah rakyat amerika terutama di kalangan penyokong Republican terhadap teori konspirasi QAnon masih tetap tinggi. 

Ini walaupun selepas banyak ramalan dan teori QAnon bahawa Trump akan tetap berjaya sebagai presiden untuk tempoh kedua, gagal menjadi kenyataan. 

KUASA JAHAT

Satu kajian menunjukkan mungkin sehingga sepertiga pengundi Republican mempunyai tanggapan yang positif terhadap QAnon, terutama berhubung teorinya bahawa hanya Trump sahaja pemimpin tulen yang boleh menewaskan kuasa-kuasa jahat (atau deep state) dalam pentadbiran Amerika. 

Mengapakah keadaan boleh jadi sedemikian  sehingga adanya sejumlah besar rakyat Amerika (boleh dikatakan  sehingga 30-40 juta orang), berpegang kepada kepercayaan yang amat menyimpang ini.

Bagi sesetengah pengamat jawapannya adalah kerana perpecahan memang telah lama berlaku sehingga munculnya kumpulan-kumpulan serpihan yang merasa amat terpinggir dari arus perdana. 

Kebanyakan mereka adalah golongan pekerja kelas  bawahan kulit putih yang berasa telah terlalu lama mereka dipinggirkan, sehingga suara dan nasib mereka langsung tidak diberikan perhatian oleh elit politik dan golongan mewah yang menguasai tampok kepimpinan Amerika. 

NASIB TERJAMIN

Hanya dengan kemunculan Donald Trump sahaja terutama pada tahun-tahun 2000-an, lebih-lebih lagi selepas terpilihnya Barack Obama sebagai pemimpin kulit hitam pertama di Amerika, golongan terpinggir kulit putih ini berasa bahawa nasib mereka akan akhirnya terjamin. 

Menerusi ajaran dan kepercayaan yang ditanamkan oleh gerakan seperti QAnon pula Trump bukan sahaja dilihat sebagai tokoh politik. 

Encik Donald Trump dan isteri menaiki pesawat Air Force One pada hari terakhir memegang jawatan Presiden AS (Gambar: AP/Manuel Balce Ceneta)

Sebaliknya Trump juga dilihat sebagai adiwira dan satria yang akan berperang untuk mereka dalam menewaskan kuasa-kuasa jahat yang telah menimbulkan porak peranda terhadap kehidupan mereka sepanjang dua tiga dekad lalu.

Trump sebagai satria akan akhirnya berjaya menundukkan musuh-musuhnya dalam apa yang dilihat sebagai perang besar-besaran (atau cosmic war) sebagaimana yang dipaparkan dalam citra-citra kuno di mana kuasa baik akan mengatasi kuasa jahat.

TEKANAN KEHIDUPAN

Sebenarnya gejala dan cabaran yang dihadapi oleh golongan pekerja terpencil ini lebih berputik daripada tekanan-tekanan kehidupan seharian yang berpunca daripada penstrukturan semula ekonomi dunia disebabkan oleh globalisasi dan revolusi teknologi. 

Perasaan hilang kawalan terhadap kehidupan mereka akibat perubahan-perubahan di sekeliling mereka mencetuskan perasaan cemas, resah gelisah dan ketidakpastian yang amat sangat.

Semua kesempitan hidup dan ketidakpastian ini kemudian dijadikan kesempatan bagi sesetengah pemimpin seperti Trump dan penganjur gerakan sesat  QAnon untuk memperoleh sokongan politik dari para pengundi kelas bawahan terutama golongan kulit putih yang berasa sudah terpinggir daripada arus utama.

Dari sudut  ini  QAnon sebenarnya tidak banyak bezanya dengan  kumpulan-kumpulan ajaran sesat lain, termasuklah seperti Al Qaeda dan ISIS. 

Kesemua gerakan ini percaya kepada teori-teori konspirasi bahawa manusia telah hilang kuasa dalam menentukan kehidupan kita masing-masing. 

Kehidupan kita kini dikuasai oleh puak-puak manusia (biasanya orang-orang Barat)  atau pun makhluk-makhluk ganjil (seperti Dajjal) yang tidak lain merupakan penjelmaan ideologi-ideologi 'perosak' seperti sekularisme, kapitalisme, sosialisme  komunisme dan sebagainya. 

FAHAMAN LEBIH SIHAT

Seperti juga dengan ajaran-ajaran sesat yang lain, baik QAnon, Al Qaeda dan ISIS, usaha menangkisnya adalah menerusi proses kaunter-ideologi, termasuk memberikan pendedahan kepada golongan mudah terpengaruh ini fahaman, fakta dan nilai-nilai kehidupan yang lebih sihat dan rasional.

Gambar fail bendera ISIS dari bandar Karkamis, Turki, dekat wilayah Gaziantep. (Gambar: Murad Sezer/REUTERS)

Kalau fahaman dan ajaran sesat yang mempengaruhi mereka sebelum ini mengajak kepada ekstremisme dan pengganasan, usaha-usaha tegas haruslah diambil untuk memupuk lebih banyak lagi nilai-nilai kesederhanaan dan keihsananan dalam kehidupan harian mereka.

Jurang pemisahan antara satu kumpulan dengan kumpulan lain, terutama yang berasa tersisih dan terpinggir, haruslah dirapatkan dengan pelbagai inisiatif dan dasar pemerintah.

Dan untuk semua usaha begini menghasilkan natijahnya, tentunya juga perlu ada kepimpinan yang sihat yang sanggup bertungkus lumus membetulkan apa yang salah dan menunjukkan teladan yang benar-benar berkesan supaya ia mudah dicontohi ramai.

Ia memanglah bukan mudah. Tetapi jika tiada usaha langsung diambil,  padahnya mungkin lebih berat lagi kepada semua.


Sumber : BERITA Mediacorp/ib
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan