Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Kekalkan budaya politik murni; tergugat ia, rosaklah jiwa rakyat

Tiada negara demokrasi terlepas daripada pelbagai tekanan dan desakan yang boleh mengganggu gugat kestabilan politik negara. Sejauh mana S’pura boleh menangani gejala ini dengan memastikan budaya politiknya terus murni dan sihat? 

Anggaran Waktu Membaca:
KOMENTAR: Kekalkan budaya politik murni; tergugat ia, rosaklah jiwa rakyat

Orang ramai beratur di pusat mengundi di Sekolah Menengah Dunearn pada 10 Jul (Gambar: Ili Nadhirah Mansor/TODAY)

Ahli falsafah Jerman Freidrich Nietzsche bukan saja terkenal kerana laungannya bahawa 'tuhan sudah mati' atau manusia ideal dengan segala kecemerlangannya umpama adiwira atau 'super hero'.

Beliau juga terkenal dengan satu lagi konsep yang dikenali dengan istilah Perancisnya, ‘ressentiment’.

Pelbagai makna diberikan kepada istilah ini tetapi ia mudah difahaminya sebagai bermakna menolak nilai-nilai (atau sentimen) yang dipegang golongan atasan dan menggantikannya dengan nilai-nilai yang dianggap mulia bagi golongan bawahan.

Sebagai proses sejarah, ‘ressentiment’ (yang ada pihak melihatnya sebagai bermakna perasaan dendam kesumat yang tidak terhingga), berlaku setiap kali golongan bawahan – seperti marhaen, rakyat biasa, massa -  tidak lagi boleh menahan pelbagai penindasan dan ketidakadilan yang dilakukan ke atas mereka oleh pihak-pihak atasan.

Rombakan nilai atau moraliti ini berlaku setiap kali ada perubahan masyarakat yang besar, baik berupa pemberontakan, peperangan, revolusi dan sebagainya, yang akhirnya membawa perubahan kepada corak kepimpinan dan nilai-nilai yang dianggap mulia dalam masyarakat. 

Melihat kepada keadaan sejagat hari ini, ada pengamat yang melihat bahawa kita mungkin berada di persimpangan sejarah di mana satu lagi ‘ressentiment’ sedang berlaku.

Inilah yang menjadi perbincangan hangat sejak satu, dua, dekad lalu bahawa globalisasi, perubahan struktur ekonomi dan ketidaksamarataan yang semakin ketara hari ini, mencetuskan banyak rasa tidak puas hati di sana sini.

SENTIMEN KEMARAHAN

Tumpuan mereka adalah terhadap sistem ekonomi kapitalis liberal yang menjadi pencetus kuat kepada globalisasi dan perubahan-perubahan sosio-ekonomi dan politik yang berlaku di sana sini.

Di kalangan dunia yang mengamalkan sistem demokrasi, sikap tidak puas hati golongan bawahan ini kerap dicerminkan dengan kecenderungannya memilih para pemimpin atau parti-parti populis yang berhaluan pelampau  atau keterlaluan (dalam bentuk politik identiti berlandaskan kaum, agama, bahasa atau pun daerah).

Walaupun pucuk pangkal permasalahan hari ini lebih berpunca daripada perubahan mendadak ke atas ekonomi sejagat, para pemimpin dan parti-parti berhaluan kanan ini lebih cenderung menghuraikannya dengan menggunakan isu-isu kaum, agama dan politik identiti – termasuk mengfokuskan kemarahan orang ramai ke atas pendatang atau pekerja asing.

Baik di Amerika Syarikat, Eropah, malah Asia, termasuk di India dan Malaysia, inilah yang semakin kerap berlaku apabila dinamika rasa tidak puas hati itu bercampur dengan politik populis kaum, agama, bahasa dan  politik identiti.

Tidak seperti demokrasi yang berasaskan merit atau kelayakan, demokrasi populis langsung tidak mengambil kira soal kelayakan, kecekapan, kebijaksanaan, ketelusan atau kebertanggungjawaban.

POLITIK SONGSANG

Yang penting adalah sejauh mana kepentingan dan sentimen sesebuah kumpulan itu (baik kumpulan kaum, agama, bahasa dan sebagainya), dilihat sudah diperjuangkan oleh pemimpin atau parti yang disokong oleh kumpulan tersebut.

Politik berat sebelah dan memilih kasih begini memanglah banyak kekurangannya.

Ia lebih-lebih lagi kerana politik begini tidak berasaskan pada nilai-nilai kepimpinan yang disanjung tinggi, terutama sekali nilai kebertanggungjawaban, ketelusan dan ketulusan.

Semua nilai ini amat penting dalam  memastikan adanya integriti, kewibawaan, malah keabsahan kepimpinan.

Apabila semua ini tidak ditekankan dalam kepimpinan maka timbullah budaya politik songsang yang mengganggu gugat kelicinan kepimpinan dan pentadbiran.

Tunjuk perasaan menuntut perbezaan dan hak sama rata dihormati.   

Apakan tidak apabila orang yang dilantik dan diamanahkan dengan sesuatu tanggungjawab itu bukan orang yang layak untuk menggalasnya, tetapi semata-mata kerana ia adalah penyokong kuat kepada kepimpinan teratas.

MENJADI MANGSA

Akibat ketidakcekapan, malah juga kerana kurang ketelusan, mereka ini boleh mengakibatkan berleluasanya kepincangan urus tadbir sehingga meningkatnya penyelewengan kuasa, penggunaan politik wang, sogok menyogok dan amalan rasuah.

Hasilnya, rakyat yang semakin rugi akibat salah tadbir sehingga masalah ketidakadilan dan ketidaksamarataan terutama yang menjejas golongan bawahan bertambah-tambah buruk lagi.

Inilah akibatnya jika budaya politik songsang ini dibiarkan berlanjutan; mereka yang di bawah terus menjadi mangsa pelbagai ketidakcekapan dan ketidakjujuran. Mereka yang di atas dan di pertengahan pula semakin rosak nilai, jiwa dan keperibadian mereka.

Nak atau tak nak kebanyakan mereka melihat mereka tidak mempunyai pilihan lain kecuali terlibat sama dalam sistem nilai dan etos kehidupan yang berat sebelah ini.

Saban hari kehidupan mereka hanya berligar pada bagaimana kepentingan mereka boleh terjaga dengan mereka perlu terlibat sama dalam mengamalkan perkara-perkara yang memburukkan lagi ketidakadilan dan ketidaksamarataan ke atas pihak bawahan.

MASIH TERJAGA

Budaya politik di Singapura mungkin masih jauh daripada segala kepincangan yang semakin melanda negara-negara lain.

Baik hasil keputusan Pilihan Raya Umum Julai lalu dan juga hasil dapatan kajian Institut Kajian Dasar IPS minggu lepas, ia boleh meyakinkan kita bahawa demokrasi di Singapura masih terjaga.  

Tidak dinafikan bahawa seperti banyak negara lain, demokrasi Singapura juga menghadapi tekanan akibat pelbagai desakan dan tuntutan kerana perubahan mendadak yang kita semua alami ekoran globalisasi, revolusi digital, penstrukturan ekonomi dan gangguan pandemik virus korona.

Tuntutan bagi lebih banyak kepelbagaian dalam masyarakat, perbezaan pandangan dan huraian alternatif, mencerminkan trend global yang tidak lagi boleh dielakkan oleh sesiapa.

(Gambar fail: Hani Amin) 

Tetapi untuk menguruskan ini semua dengan baiknya kita juga tidak mempunyai pilihan lain kecuali memastikan adanya kematangan dan kebijaksanaan baik di kalangan kepimpinan politik dan bukan politik, dan juga di setiap lapisan masyarakat.

AMAT DIPERLUKAN

Untuk memastikan demokrasi Singapura terus terjaga dan tidak mudah diganggu gugat oleh budaya politik songsang dan sempit, kematangan dan kebijaksanaan ini memang amatlah diperlukan.

Ia boleh menjadi apa yang dipanggil sesetengah pengamat sebagai ‘pagar penghadang’ demokrasi (“guardrails of democracy”)* demi menghadangnya daripada unsur dan anasir perosak seperti politik kaum dan agama serta  budaya politik dan kepimpinan songsang.

Jika semua demokrasi di dunia boleh bertindak sama dalam mengukuhkan ‘pagar penghadang’ masing-masing, kurun berulangnya satu lagi gelombang kemarahan dan dendam  ‘ressentiment’ seperti yang terngiang-ngiang dalam benak pemikir seperti Nietzsche, dapatlah dielakkan buat masa ini.


* Istilah yang digunakan oleh Steven Levitsky dan Daniel Ziblatt dalam buku mereka How Democracies Die (2019).


Sumber : BERITA Mediacorp/ib
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan