Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Kejayaan anak kita belajar di rumah adalah tanggungjawab kita bersama

“Oh, no… HBL lagi?!” terdengar keluhan anak bongsu saya apabila pengumuman tentang peralihan sepenuhnya ke pembelajaran di rumah (atau home based learning).

Anggaran Waktu Membaca:
KOMENTAR: Kejayaan anak kita belajar di rumah adalah tanggungjawab kita bersama

Gambar hiasan. (Petikan skrin video ihsan: Nurul Huda Zulkifli)

BERITAmediacorp: “Oh, no… HBL lagi?!” terdengar keluhan anak bongsu saya apabila pengumuman tentang peralihan sepenuhnya ke pembelajaran di rumah (atau home based learning) melalui berita di kaca televisyen.

Langkah tergempar ini yang menjejas murid-murid dari peringkat sekolah rendah hingga ke pelajar maktab rendah dan Institut Millenia ekoran lonjakan pada kes-kes COVID-19 di sini dijadual bermula pada Rabu, 20 Mei hingga ke akhir penggal sekolah pada 28 Mei.

TEKANAN YANG SUDAH DIJANGKAKAN

Walaupun pada hakikatnya pelaksanaan mod berikut hanya untuk tempoh yang agak singkat tetapi pada yang terjejas ia adalah satu gangguan yang tidak diinginkan. Malah, sudah ada tanda-tanda yang ketara antara mereka yang merasakan tekanan pembelajaran di rumah sepenuhnya. Jadi, apabila saya terdengar keluhan anak bongsu saya ketika pengumuman itu dibuat, ia adalah sesuatu yang sudah saya jangkakan.

Saya sangat prihatin kerana situasi mendadak ini akan menjejas bukan sahaja murid-murid tetapi juga setiap ibu bapa dan pengasuh yang terpaksa membuat penyesuaian.

PENGALAMAN DAN KEBIJAKSANAAN

Kebenarannya ialah, kita telah berjaya melalui sekatan-sekatan ketat semasa Singapura dilanda kadar penularan yang membimbangkan ketika tahap pemutus rantaian jangkitan yang beralih ke Fasa 1 dan seterusnya ke Fasa 2 dan kemudian Fasa 3 pembukaan semula ekonomi Singapura.

Pada ketika itu, pengetahuan kita mengenai virus ini masih cetek dan setiap langkah yang kita ambil bercampur-campur berdasarkan sains dan logik yang kurang lengkap.

Kini, pengalaman yang telah kita raih semasa melalui krisis ini boleh dijadikan sebagai panduan efektif yang telah dicuba dan diuji.

BERTENANG … SEKATAN KALI INI RINGAN

Pelaksanaan Fasa 2 (Kewaspadaan Dipertingkat) dari Fasa 3 sebelumnya ternyata lebih ringan jika dibandingkan dengan tempoh pemutus rantaian jangkitan yang kita lalui tahun lalu.

Kali ini kita tidak akan berasa terlalu terkejut dengan sekatan-sekatan yang perlu dipatuhi disebabkan kita sudah dikondisikan dan seolah-olah sudah menjalani latihan untuk mempersiapkan kita menghadapi cabaran mental ini.

PENTING RANCANG BAGI PASTIKAN MASA DIURUS DENGAN BAIK

Bagi memastikan anak-anak kita terus kekal produktif menguruskan masa mereka semasa belajar sepenuhnya di rumah, kita selaku ibu bapa harus mempunyai perancangan yang baik dan berkesan.

Seperti mengatur jadual seharian, perancangan untuk anak-anak kita ini adalah tanggungjawab ibu bapa dan bukan pihak sekolah, pemerintah atau sebarang persatuan kerana ia melibatkan situasi dan dinamisme setiap keluarga yang unik dan berbeza. Perancangan ini perlu merangkumi pelbagai aspek yang holistik.

Sebagai garis panduan, perancangan yang kita sediakan untuk anak-anak kita mesti mengatasi perkara-perkara asas. Ia boleh dibahagikan kepada 5 kategori:

1.Keperluan riadah
2.Keperluan kesihatan jasmani
3.Keperluan kesihatan mental dan emosi
4.Keperluan pelajaran
5.Keperluan sosial

KEPERLUAN RIADAH

Selitkan aktiviti-aktiviti riadah dalam jadual seharian anak kita. Ini termasuk masa untuk membaca selain dari buku teks, menonton televisyen, hobi, atau bermain permainan komputer dan sebagainya.

Aktiviti riadah membolehkan anak kita melepaskan tekanan yang mereka hadapi secara positif setelah memberikan tumpuan sepenuhnya kepada kerja-kerja sekolah mereka.

Riadah boleh membantu mengembangkan lagi daya kreativiti dan matlamat mereka.

Ibu bapa juga harus menghormati masa riadah anak-anak mereka bagi memastikan mereka sensitif dan peka terhadap keperluan anak-anak mereka.

KEPERLUAN KESIHATAN JASMANI

Bersenam adalah satu kegiatan yang bukan hanya mendatangkan kesihatan tubuh badan, malah ia juga merangsang perkembangan dan kecerdasan otak.

Melakukan senaman merangsang pergerakan otot dan meningkatkan pengambilan oksigen. Ini secara langsung membantu memperbaiki sel-sel yang perlu dibaiki akibat pencemaran melalui pemakanan dan sebagainya.

Bersenam juga meningkatkan daya metabolisme serta menguatkan sistem ketahanan badan yang sering terjejas jika kita selesa dengan gaya hidup yang kurang aktif.

KEPERLUAN KESIHATAN MENTAL DAN EMOSI

Tekanan atau stres sering menjejas kesihatan mental dan juga emosi anak-anak kita.

Pastikan perancangan kita melibatkan aktiviti-aktiviti yang menggalak mereka untuk melepaskan tekanan melalui perbualan dan perbincangan dengan kita atau orang yang rapat dengan mereka dan dipercayai.

Mereka sering rasa tertekan yang tak terhingga kerana mereka tidak mendapat sokongan yang mereka perlukan, seolah-olah perjalanan mereka itu sunyi dan bersendirian.

Di sini, jika kita arif tentang pengetahuan agama kita boleh ambil petikan daripada kitab-kitab untuk disampaikan kepada anak kita. Atau kalau kita lebih senang dengan menukil kata-kata mutiara dari pakar-pakar motivasi dan cendekiawan, kita boleh mengongsi kebijaksanaannya dengan anak-anak kita.

KEPERLUAN PELAJARAN

Untuk mempertingkatkan kelakonan anak-anak kita dalam pelajaran mereka, inilah masanya untuk kita menggalak mereka supaya bersikap tekal.

Banyak kajian membuktikan bahawa peningkatan berlaku apabila kita konsisten dalam pembelajaran, bukan setakat dengan menjejalkan maklumat. Ini kerana sikap tekal membolehkan kita memproses dengan lebih teratur dan terperinci.

KEPERLUAN SOSIAL

Setiap orang perlu berinteraksi dengan orang lain yang disenangi. Keperluan ini bukan hanya untuk orang dewasa tetapi juga untuk kanak-kanak.

Apabila kita dapat memenuhi keperluan sosial, kita secara amnya akan berasa lebih gembira dan bersikap positif.

Dengan kemampuan untuk berinteraksi dan saling bertukar pendapat, pemahaman mengenai banyak perkara juga akan berkembang. Amat penting untuk kita memastikan anak-anak kita tidak merasakan diri mereka tidak mempunyai hubungan yang bermakna dengan orang lain.

KESIMPULANNYA

Memang ia satu perkara biasa sekiranya anak kita mengeluh apabila terpaksa duduk di rumah untuk meneruskan pembelajaran mereka. Ini kerana apabila berada di sekolah, mereka dapat bergaul dengan rakan-rakan mereka dan bermain bersama.

Keperluan asas ini boleh mendatangkan kesan kurang sihat kalau dipisahkan daripada kehidupan mereka atau tidak tercapai dalam hidup mereka.

Memastikan kejayaan dan kebahagiaan semasa menjalani HBL adalah tanggungjawab kita bersama.

Kita perlu sama-sama berusaha menyumbang tenaga dan mengamalkan minda positif supaya setiap cabaran akan dapat kita tempuhi dengan tenang dan rela hati.

Respons sebaik-baiknya dari kita sebagai ibu bapa apabila anak kita meluahkan perasaan kurang senang mereka untuk menjalani sekatan-sekatan COVID-19 sekali lagi adalah untuk kita mempamerkan empati … bukan kekecewaan.

Kesulitan yang mereka jangkakan tidak harus kita memperkecil-kecilkan atau menganggap remeh.

Bak pepatah, “tak orang tak kita.”

MENGENAI PENULIS:

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan