Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Keberanian gunakan huraian baru dalam tangani perubahan iklim

Sejauh manakah kemajuan teknologi baru seperti yang dijanjikan di bawah Revolusi Industri 4.0 menawarkan huraian-huraian yang boleh dimanfaatkan?  

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Sejauh manakah kemajuan teknologi baru seperti yang dijanjikan di bawah Revolusi Industri 4.0 menawarkan huraian-huraian yang boleh dimanfaatkan?

Perubahan iklim membawa kepada beberapa bencana alam semula jadi. (Gambar: AFP/Jewel Samad)

Pemeliharaan sekitaran bersangkut paut dengan pertumbuhan ekonomi dunia. Pengeluaran gas rumah hijau yang kian meningkat dan kemusnahan sekitaran yang berleluasa.

Sementara ketandusan sumber-sumber semula jadi mendatangkan risiko kepada pertumbuhan mampan dan model-model perniagaan sedia ada.

Kita perlu menumpukan perhatian kepada sekitaran pada masa hadapan dan jaminan sumber-sumber semula jadi sebagai kepentingan terutama.

Banyak negara menetapkan matlamat untuk mendorong berbilang pendekatan dan campur tangan secara tertumpu.

Ini sejajar dengan usaha meningkatkan keberkesanan tindakan masyarakat antarabangsa dalam menghadapi cabaran-cabaran baru, menggiatkan inisiatif-inisiatif sektor awam dan swasta.

Kita perlu membersihkan lautan dan pantai, mengekang pembasmian hutan, meningkatkan usaha menangani pencemaran air dan menjamin bekalan air bagi penggunaan industri.

Kita juga perlu memanfaatkan teknologi dan proses-proses dalam revolusi industri mendatang untuk menangani isu-isu sekitaran serta menyemak semula dan memberi takrifan baru kepada pentadbiran sekitaran global.

Cabaran kepada kemampanan alam sekitar memerlukan daya politik yang berupaya mencabar pemikiran tradisional dan membangunkan usaha kerjasama merentasi sektor awam dan swasta.

PEMULIHARAAN HUTAN

Pemuliharaan hutan adalah kritikal bagi mencegah perubahan iklim yang teruk dan bagi mencapai Matlamat-Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu seperti yang dipersetujui di bawah Perjanjian Iklim Paris.

Sejauh ini negara-negara seperti Amerika Syarikat sudah mengundurkan diri daripada perjanjian itu dan sebaliknya meningkatkan pelombongan batu arang, iaitu antara penyumbang terbesar kepada pengeluaran gas hijau.

Dengan mencegah pembasmian hutan, pengeluaran karbon dioksida boleh dikurangkan tiga atau empat billion tan metrik setiap tahun – sama kesannya jika separuh daripada kesemua kereta di dunia dilucutkan dari jalan raya.

Gas-gas dikeluarkan rumah hijau antara faktor menyumbang kepada perubahan iklim. (Gambar fail: Johannes Eisele/AFP)

Inisiatif-inisiatif untuk menghentikan pemusnahan hutan memerlukan transformasi rangkaian bekalan empat makanan dan komoditi pengguna terutama, iaitu daging lembu, kacang soya dan minyak sawit serta pulpa dan kertas.

Kawasan-kawasan hutan tropika merupakan sumber komoditi-komoditi tersebut dan penghasilannya telah menyumbang kepada pemusnahan hutan.

BEKALAN MAMPAN

Menjelang 2050, seramai 9.8 bilion penduduk dunia yang memerlukan pertambahan bekalan makanan sebanyak 70 peratus lebih tinggi berbanding hari ini. 

Bagi memenuhi permintaan makanan berkhasiat secara mampan, sistem bekalan makanan sedunia perlu ditingkatkan agar para penternak dan peladang boleh menyara hidup sementara produk-produk berkhasiat boleh dinikmati para pengguna.

Sistem-sistem bekalan makanan sedia ada tidak berupaya memenuhi permintaan bagi makanan berkhasiat kepada penduduk dunia dan sekali gus memelihara kemampanan alam sekitar.

Menurut perangkaan terkini, sekitar 800 juta orang kurang pemakanan, sementara 2 bilion orang kekurangan zat dan 2 bilion lagi orang mempunyai berat badan berlebihan.

TEKANAN SUMBER ALAM

Pada masa yang sama, penghasilan makanan, pengangkutan, pemprosesan dan pembaziran memberi tekanan yang berterusan kepada sumber-sumber alam sekitar.

Kemajuan sistem-sistem pemprosesan makanan kebelakangan berpuluh-puluh tahun berbanding sektor-sektor lain, lebih-lebih lagi di negara-negara membangun.

Tekonlogi Revolusi Industri Keempat menyediakan peluang yang besar untuk memangkinkan transformasi sIstem-sistem makanan.

(Gambar: URA)

Teknologi-teknologi sedemikian boleh mengubah asas landskap permintaan, meningkatkan jalinan rangkaian penambahan nilai dan meningkatkan keberkesanan landskap penghasilan.

Meskipun kebanyakan teknologi berkenaan masih berada pada fasa-fasa awal pembangunan, teknologi-teknologi itu boleh mendatangkan kesan positif kepada sistem-sistem makanan menjelang 2030, jika dilaksanakan pada peringkat yang sesuai. 

GAS RUMAH HIJAU

Peralihan perlu dilakukan pada sistem tenaga global supaya menjadi lebih inklusif, mampan, dimampui dan selamat yang berupaya menyediakan huraian kepada cabaran-cabaran global berkaitan dengan tenaga.

Sekali gus, menambah nilai kepada perniagaan dan masyarakat tanpa menjejas keseimbangan antara tiga faktor iaitu, (i) jaminan dan akses, (ii) kemampanan alam sekitar dan (iii) pembangunan dan pertumbuhan ekonomi.

Meskipun pelbagai pencapaian telah dicatat dari segi inovasi tenaga mampan dan pelancaran teknologi-teknologi di pasaran seperti tenaga suria, angin dan gelombang serta penyimpanan tenaga, peralihan sedia ada dilakukan dengan kurang rancak.

Data Amerika Syarikat menunjukkan ais terus mencair pada tahun 2019. (Gambar: Mario Hoppman/AFP)

Memandangkan dua pertiga pengeluaran gas rumah hijau berpunca daripada penggunaan tenaga dan permintaan tenaga akan meningkat 35 peratus menjelang 2040, teknologi-teknologi dan huraian lebih luas perlu dibangunkan dengan lebih pantas supaya sesuai bagi kegunaan komersil.

Dasar-dasar yang kukuh, kaedah pendanaan dan kerjasama adalah kritikal bagi menggalak pelaburan dan kemajuan dalam ekosistem inovasi sumber tenaga.

BERBILANG HURAIAN

Meskipun kini terdapat peningkatan kesedaran, dasar-dasar dan teknologi serta inovasi dari segi penjanaan sumber tenaga, kesan perubahan iklim kini berlaku dengan lebih pantas daripada jangkaan, sementara peralihan dari bahan bakar fosil kepada sumber tenaga bersih adalah perlahan.

Dalam berdepan dengan cabaran mengurangkan karbon, kita perlu menggunakan berbilang huraian teknologi sekali gus.

Namun elemen hidrogen sering dilupakan. Hidrogen berpotensi untuk menghentikan pengeluaran karbon dari segi penjanaan elektrik, pengangkutan dan penghasilan haba. Ini kerana penghasilan hidrogen menerusi proses elektrolisis tidak mengeluarkan sebarang bahan pencemar.

Ramai yang mengetahui tentang penggunaan hidrogen bagi tujuan pengangkutan. Para pemandu kenderaan elektrik sering prihatin dengan jarak perjalanan dan tempoh untuk mengecas bateri.

Hidrogen mempunyai banyak potensi kegunaan tetapi lebih banyak penyelidikan, khususnya dari segi penghasilan dan keselamatan, perlu dilakukan sebelum ia digunakan dengan lebih meluas.

REVOLUSI INDUSTRI 4.0

Revolusi Industri Keempat mendatangkan transformasi menyeluruh kepada sistem-sistem penghasilan, pengedaran dan penggunaan.

Ia juga menyediakan peluang untuk menambah nilai dengan memanfaatkan teknologi-teknologi baru tetapi pada masa yang sama, menimbulkan cabaran untuk memastikan kemajuan ekonomi yang inklusif.

Perbelanjaan pengguna, yang memacu 60 peratus daripada Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP), merupakan pendorong kegiatan ekonomi.

Gas-gas dikeluarkan rumah hijau antara faktor menyumbang kepada perubahan iklim. (Gambar fail: Johannes Eisele/AFP)

Model-model perniagaan baru mendukung trend-trend pengguna baru menerusi teknologi-teknologi baru yang merangsang pertumbuhan dan pekerjaan.

Secara ringkasnya, kejayaan dalam era Revolusi Industri Keempat terletak kepada daya inovasi, kemampuan pertubuhan-pertubuhan untuk memperbaharui diri dan semangat kerjasama.

Dalam konteks perubahan yang lebih besar, Inisiatif Sistem Masa Depan Penggunaan kelolaan Forum Ekonomi Dunia (WEF) menggambarkan masa depan di mana faedah kemajuan teknologi diterapkan dalam kehidupan orang ramai secara inklusif.

Wawasan sedemikian mengambil pandangan holistik dalam menjawab soalan berikut: “Bagaimana teknologi baru boleh memacu model-model penggunaan dipertingkat yang mendatangkan manfaat mampan kepada perniagaan dan masyarakat, merentasi pasaran-pasaran maju dan yang sedang membangun?”

AGENDA PERUBAHAN

Bagaimanakah negara-negara boleh mengukuhkan ekonomi dan sekali gus memastikan kesamarataan?

Ketidaktentuan yang disebabkan pembangunan teknologi yang begitu pantas dalam Revolusi Industri Keempat, kerjasama antarabangsa yang bertukar-tukar dan politik tempatan yang beralih menyebabkan sebahagian besar masyarakat di banyak negara berasa kecewa dan ketinggalan.

Para pelajar di Australia adakan tunjuk perasaan tuntut tindakan segera tangani perubahan iklim (Gambar: AAP Image/Steven Saphore/via REUTERS)

Ini mewujudkan ketegangan politik dan ekonomi. Proses membuat keputusan menjadi rumit dan para pemimpin kurang mendapat sokongan.

Lantaran itu, para penggubal dasar kini menetapkan matlamat untuk memacu kemajuan ekonomi dengan cara yang lebih mendatangkan manfaat kepada masyarakat.

Ini dilakukan dengan mengenal pasti huraian-huraian baru, membina kerjasama dan menggalak model-model pertumbuhan ekonomi yang mewujudkan kemajuan ekonomi yang inklusif dan mampan.

PELUANG BERTINDAK

Para penggubal dasar perlu menumpukan perhatian kepada agenda dasar, kerjasama sektor awam dan swasta dan agenda tindakan korporat.

Usaha sedunia menangani cabaran perubahan iklim mendatangkan persoalannya tersendiri tetapi sekali gus ia menyediakan peluang untuk kita berfikir tentang tindakan yang perlu dilakukan pada masa terdekat.

Cabaran menangani perubahan iklim juga melibatkan penyelarasan objektif pelbagai pihak berkepentingan, membangunkan teknologi, merancang strategi alternatif dan mendukung nilai kerjasama demi penakatan kita dan generasi-generasi seterusnya.

MENGENAI PENULIS:

Sumber : BERITA Mediacorp/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan