Images
  • satria menara putih
    Pementasan bangsawan Satria Menara Putih oleh Perkumpulan Seni. (Gambar: BERITAMediacorp)

KOMENTAR: Ke arah sastera yang memacu pemikiran intelektual

BERITAmediacorp: Usaha memajukan dunia sastera Melayu Singapura kini memang berdepan dengan pelbagai cabaran. Apakah masalahnya dan huraian yang boleh diambil untuk menanganinya.

Walaupun bidang saya lebih tertumpu kepada kajian politik rantau Asia Tenggara dan masyarakat Melayu, sastera amat dekat di hati saya.

Berdasarkan bidang yang saya ceburi, saya amat cenderung membaca buku-buku berkenaan sains masyarakat dan hal ehwal semasa. Tetapi jika ada masa lapang, saya akan cuba meluangkan masa membaca novel-novel sastera, atau tulisan-tulisan berbentuk puisi.

Mengapa sastera itu penting?

Dalam usaha saya mendalami politik Melayu di Malaysia, Indonesia dan rantau ini, saya sebenarnya telah didedahkan kepada isu-isu bersangkutan pembangunan masyarakat Melayu sejak dahulu lagi sebagai seorang pelajar sastera di maktab rendah.

Sewaktu zaman persekolahan saya, pelajar sastera peringkat A dikehendaki membaca Antologi Cerpen Angin Dari Gunung.

Lewat cerpen-cerpen yang dikumpul di dalam buku tersebut, saya boleh menggambarkan beberapa masalah dan isu-isu sosial dalam masyarakat Melayu.

Misalnya, cerpen Santau karya Mana Sikana menggambarkan bahaya kepercayaan tahyul dan khurafat terhadap keluarga dan alam sekitar.

Bukan itu sahaja, makna yang tersirat adalah bahaya tahyul ini dikaitkan dengan slogan-slogan Islam dan agama.

Isu-isu ini tidak boleh dibangkitkan secara berseloroh, dan mungkin dianggap sensitif jika dibincangkan secara terbuka.

KRITIKAN SOSIAL

Cerpen kegemaran saya dalam antologi tersebut adalah cerpen Tantangan karya Norhisham Mustafa, yang menyindir gaya hidup elita masyarakat Melayu di Malaysia.

Kemewahan yang luar biasa juga mengundang pembaziran, dan tidak mengendahkan jurang sosio-ekonomi masyarakat.


Mesej yang ingin disampaikan dalam cerpen tersebut adalah kita tidak harus terpedaya dengan pidato-pidato menarik, yang berbentuk retorik dan tidak mencerminkan pendirian sebenar.

Sastera adalah wadah penting sebagai kritikan sosial dan untuk perubahan minda masyarakat kita, terutama bagi isu-isu sensitif yang tidak boleh diungkapkan secara berseloroh.

Tentu banyak lagi isu-isu moral dan kritikan sosial yang boleh didapati dalam novel-novel klasik.

Saya yakin banyak tulisan-tulisan penulis tanah air juga membangkitkan isu-isu yang dekat dengan masyarakat Melayu setempat.

SASTERAWAN SEBAGAI PEMIKIR

Peranan sasterawan bukan sekadar menulis karya-karya cereka, tetapi berpotensi untuk menjadi golongan pemikir.

Kadangkala, ruang untuk memberikan pandangan alternatif buat wacana masyarakat dan kepimpinan amat terbatas.

Dalam era media sosial ini, mungkin jika kita tidak berhati-hati, kita akan dicemuh dalam talian. Di sini sastera memainkan peranan, tetapi kualiti sastera itu sendiri perlu dipertingkat.

Tidak akan tercapai maksud kritikan kita jika tulisan kita tidak sampai kepada pembaca. Malah, jika bahasa yang digunakan dalam sastera tidak selari dengan percakapan dan pertuturan masa kini, mesej itu akan tenggelam.

CABARAN BARU

Sasterawan masa kini mempunyai pelbagai cabaran baru. Pertama, membuat penyesuaian memandangkan sikap kurang membaca dalam masyarakat, atau kurang masa untuk membaca suatu tulisan yang panjang, istilahnya “tldr” atau “too long; didn’t read”.

Ini telah menjejas cara berita disampaikan, terutamanya dalam penerbitan akhbar. Malah di dalam bidang akademik pun, perkara ini berlaku. Siapa yang masih membaca jurnal-jurnal?

Ini tidak bermakna karya harus dipendekkan, namun, penulis harus memikir ulang mesej utama yang ingin disampaikan. Bersediakah sasterawan mengolah penulisan untuk pembaca sedemikian?

Saya lihat di sini banyak peluang bagi cerpen dan puisi kita untuk meluaskan jangkauan kepada masyarakat.

TINGKATKAN AKSES

Langkah selanjutnya adalah bagaimana untuk meningkatkan akses kepada masyarakat, sedangkan kita tahu setiap pembaca mempunyai keupayaan yang berbeza.

Kedua adalah soal penerbitan. Selain daripada usaha-usaha untuk menerbitkan buku, sasterawan juga harus memanfaatkan proses pendigitalan yang sedang berkembang dengan begitu pesat.


Ini tentu sekali akan membangkitkan isu kos, kita perlu ada wadah yang mantap dan sering dikemas kini agar pembaca lebih terpanggil untuk mendapatkan bahan-bahan sastera yang berkualiti.

Kita belum ada majalah Dewan Sastera seperti di Malaysia, namun, kita boleh meneroka platform dalam talian.

Ketiga adalah cabaran untuk menghasilkan pelapis sasterawan bermutu. Satu mekanisme untuk membantu penulis-penulis diperlukan.

HIDUPKAN SASTERA

Persoalan yang sering timbul, “jadi penulis, bagaimana kita nak hidup?” Kita perlu tingkatkan sokongan terhadap penulis-penulis muda, daripada guru-guru dan aktivis-aktivis sastera.

Pelbagai cara yang boleh kita fikirkan untuk menghidupkan sastera dalam segenap lapisan masyarakat kita.

Walau bagaimanapun, sedang kita mahu menghidupkan sastera, atau memperbanyakkan karya-karya sastera, kita tidak mahu bahan-bahan sastera yang sederhana sahaja, istilah Inggerisnya, “mediocre”. Kita mahukan sastera yang bermutu.

PENGHORMATAN KEPADA SASTERAWAN

Kita perlu menghormati sasterawan kita. Namun, tidak semua orang boleh menjadi sasterawan. Sasterawan sejati tidak diukur pada bilangan karyanya, atau berapa kali komentarnya diterbitkan di media sosial.

Sekarang ini, siapa sahaja boleh menulis “puisi” di lelaman media sosial, dan cuba meyakinkan orang ramai bahawa beliau dekat pada sastera.

Walau bagaimanapun, apakah itu sastera, dan bagaimana membezakan puisi dengan jejeran di media sosial? Kita perlu mendidik masyarakat kita tentang apakah itu nilai puitis, yang merangkumi aspek artistik dan pemikiran kritikal.


Asas '50 dan Jabatan Pengajian Melayu NUS berganding bahu dalam memperkenalkan Hadiah Sastera pada tahun ini. (Gambar: Ummu Rabbisyfina)

Di sini, ASAS 50 boleh memainkan peranan penting bersifat editorial, atau “pengawal” (gatekeeper) untuk menilai kualiti sastera tersebut, dan sama ada ia memadai untuk dianggap sebagai bahan sastera.

MUTU PENULISAN

Sasterawan harus berani, dan berfikir sebagai seorang intelektual. Apakah ciri-ciri intelektual ini? Ini telah digariskan oleh pemikir ulung Syed Hussein Alatas sebagai seorang yang berfikir tentang masalahnya, atau memberikan idea-idea alternatif.

Dalam bukunya Intelektual Masyarakat Membangun, Alatas menggariskan beberapa ciri intelektual. Seorang intelektual tidak membataskan dirinya menurut satu keilmuan atau disiplin sahaja.

Sebagai contoh, masalah yang dihadapi masyarakat seringkali diungkap sebagai masalah bangsa atau etnik.

Walaupun benar masyarakat kita masih ramai yang terjebak dalam masalah sosial: seperi dadah, perceraian, dan kemiskinan, adakah masalah-masalah ini bermula dengan kurangnya pendidikan agama, atau sebenarnya lebih bersifat struktural merentasi satu bangsa dan agama?

Di sinilah sastera berupaya memberikan paparan sebenar di akar umbi, sekaligus menawarkan huraian terhadap masalah-masalah ini.

JIWA MASYARAKAT

Sebagai pencinta sastera, saya bimbang jika karya-karya sekarang ini bersifat populis. Dalam era kebangkitan Islam ini, ada penulis-penulis yang cenderung menggunakan kata-kata bersifat Islamik hanya sebagai umpan bagi pembaca.

Acapkali perdebatan di ruang media sosial mengenai halal dan haram, sehingga mengaburi masyarakat tentang apakah prinsip sebenar agama Islam ini.

Penggunaan slogan-slogan tidak menimbulkan masalah, selagi ia tidak lari daripada tujuan menggerakkan minda sosial dan kemajuan masyarakat.

Lantas, bolehkah kita mewujudkan sasterawan-sasterawan kita seperti dahulu kala, setaraf Masuri SN, Suratman Markasan, Muhammad Ariff Ahmad, dan Mohamed Latiff Mohamed?

SIAPA SELEPAS INI?

Saya harap usaha kita untuk memartabatkan sastera tidak terhenti pada penerbitan sahaja, tetapi dengan penganjuran sesi bedah buku secara konsisten, dan menggiatkan pelajar-pelajar menyertai sesi-sesi tersebut.

Pelajar juga boleh melakukan ulasan buku lewat komentar-komentar di ruang-ruang yang disokong, dan memberikan mereka ruang untuk mengkritik.

Semoga kita terus menyokong usaha murni untuk memartabatkan identiti masyarakat Melayu yang cinta kepada sastera.

MENGENAI PENULIS:


Dr Norshahril Saat adalah Zamil ISEAS-Institut Yusof Ishak. Beliau juga Pengerusi Yayasan Warisan Melayu (MHF).

Makalah ini adalah sedutan ucapan beliau semasa pelancaran buku Sepatu Mimpi dan Satria Menara Putih karya Samsudin Said, dan Mentera Yang Hilang dan Kicau karya Isa Kamari. 

- BERITAmediacorp/fz

Top