Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Kalau Munshi Abdullah punya akaun Twitter…

Gambaran Singapura awal kurun ke-19 seharusnya menimbulkan kesedaran jika dibandingkan dengan apa yang telah dicapai hari ini. 

Anggaran Waktu Membaca:
KOMENTAR: Kalau Munshi Abdullah punya akaun Twitter…

Gambar fail. (Gambar: REUTERS/Brendan McDermid)

BERITAmediacorp: Gambaran Singapura awal kurun ke-19 seharusnya menimbulkan kesedaran jika dibandingkan dengan apa yang telah dicapai hari ini.

Hari ini sukar kita membayangkan apa yang ada di Singapura pada abad ke 19, katakanlah pada tahun 1819. Ini kerana jika kita melihat ke sekeliling, Singapura adalah sebuah negara yang makmur, kaya raya dan merupakan pusat inovasi di Asia Tenggara. Disiplin tinggi warga Singapura sudah dikenali ramai seantero dunia.

Akan tetapi sekiranya kita memberi perhatian kepada catatan-catatan Munshi Abdullah khusus seperti yang dinukil beliau dalam Hikayat Abdullah, ia akan dapat sedikit sebanyak menjelaskan kepada kita keadaan di Singapura khusus tatkala William Farquhar menjadi residen Singapura antara tahun 1819-1823.

Hari ini kita pasti terlongo melihat keadaan Singapura sebagai sebuah pusat perdagangan. Namun demikian suka atau tidak, suatu masa dahulu, Singapura sama sekali tidak terlihat berpotensi sebagai sebuah pasar. Singapura tatkala itu lebih sebagai sebuah kawasan terpencil yang mendatangkan gerun.

Sesungguhnya idea yang Munshi punya akaun media sosial ini adalah diilhamkan oleh pengarang muda Malaysia, Wan Nor Azriq Wan Mokhtar, salah seorang kurator di Melaka In Fact.

Nah sekarang bayangkan jika media sosial sudah pun ada. Apakah yang akan diketengahkan oleh Munshi Abdullah di Facebook misalnya? Apakah status beliau? Di dalam Hikayat Abdullah, Munshi misalnya menceritakan bagaimana perniagaan adalah sesuatu yang langka di pulau ini.

KAMPUNG GELAM

Bukan sahaja langka, wang juga kelihatan tidak bernilai kerana tiada apa yang boleh diperagakan. Kita tentu mengkhayalkan status Munshi di Facebook begini (seperti yang beliau kemukakan dalam magnum opusnya):

‘Setelah esok, pagi-pagi, maka disuruh oleh Raja Farquhar mendirikan suatu kayu, ada kira-kira enam depa panjangnya. Maka setelah terdirilah, lalu dinaikkan bendera Inggeris di tepi laut itu. Maka pada masa itu suatu makanan pun tiadalah boleh dapat, lalu diberilah oleh Raja Farquhar wang dua puluh ringgit kepada orang-orang itu, katanya, “Pergilah kamu sekalian beli makanan, boleh kita makan.

Gambar hiasan kawasan Kampong Gelam. (Gambar fail: TODAY)

Maka dicari suatu pun tiada dapat, melainkan segala makanan orang-orang itu semuanya datang dari kapal sahaja. Maka ada ringgit hendak membeli, tiada dapat. Adalah dua tiga pondok kecil-kecil bersama-sama dekat rumah Temenggung, sekalian itu memakan taruk kayu dan ikan kering dan sagu rendang, terkadang-kadang mendapat beras. Maka ada pula di hujung Kampung Gelam dua tiga pondok-pondok orang laut, sukunya Gelam, tinggal membuat kajang dan layar. Maka sebab itulah kampung itu dinamakan Kampung Gelam, adanya.’

LANUN DAN PEROMPAK LAUT

Petikan di atas menjelaskan siapakah penduduk asal Singapura, dan bagaimana sukarnya membangunkan sebuah negeri yang asalnya tidak berpotensi sama sekali untuk menjadi sebuah pasar raya dunia. Jika ini status Facebook Munshi, apakah wilayah atau daerah asing yang kalian bayangkan?

Bukan itu sahaja, Singapura malah dipandang sebagai kubu persembunyian lanun dan perompak laut. Pulau ini menjadi tumpuan untuk penjenayah berhimpun membahagi sesama sendiri harta benda yang telah dirampas dari kapal dagang mahupun kapal persendirian. Sekali lagi status Munshi Abdullah itu pasti menjadi tular jika dikongsikan ramai pembaca:

‘Syahadan, adapun pada masa itu, jangankan manusia hendak lalu-lalang di laut Singapura itu, jin syaitan pun takut, sebab di situlah bilik tempat perompak tidur, atau barang di mana pun ia merompak kapal atau keci atau perahu, dibawanyalah ke Singapura. Di situlah tempat ia membahagi harta dan membunuh orangnya atau berunuh-bunuhan sama sendirinya, sebab merebut harta itu, adanya.’

PANTAI MENGERIKAN

Munshi seterusnya membesar-besarkan perkara, beliau menukilkan keadaan di tepi pantai Singapura yang menurut beliau penuh dengan tengkorak manusia. Kita meletakkan Munshi waktu itu pada hari ini. Apakah agaknya paparan yang akan dipilih oleh beliau untuk akaun Instagram yang diikuti ribu, atau jutaan pengikut?

Petunjuk yang ada ialah sekali lagi, menerusi Hikayat Abdullah. Munshi akan menunjukkan hamparan pantai yang mengerikan:

‘Syahadan, maka adalah pada segenap tepi pantai itu ada bergulingan beratus-ratus tengkorak manusia di pasir: ada yang lama, ada yang baharu; ada yang lagi rambutnya melekat; ada yang berasah giginya; ada yang tidak, berjenis-jenis. Maka diberitau orang kepada Tuan Farquhar. Maka apabila dilihatnya disuruhnya pungut, dibuangkan ke laut.

(Gambar: VALERIE MACON / AFP)

Maka oleh mereka itu diisikan dalam guni lalu dibuangkannya ke laut. Maka pada waktu itu ditanyalah orang kepada orang-orang laut itu, tengkorak siapakah sebanyak itu. Maka kata mereka itu, “Inilah kepala-kepala orang yang kena rompak; di sinilah dibunuhnya, maka banyak. Barang di mana dirompak perahu-perahu itu atau kapal, datanglah ke mari membahagi harta itu, dan yang ada kawannya juga berbunuh-bunuhan sebab merebutkan harta itu. Dan yang ada orang yang diikatnya itu di tepi pantai inilah masing-masing mencubakan senjatanya. Dan lagi, di sinilah tempat mereka itu menyabung dan berjudi, adanya.”

KUALA SINGAPURA

Apakah lagi yang akan ditonjolkan oleh Munshi dalam setiap status instagramnya kalau Munshi punya media sosial tatkala itu?

Singapura di awal kurun ke-19 digambarkan oleh Munshi begini; ‘jalan-jalan itu semuanya semak belaka’; terdapat ‘pohon-pohon keramunting dan sekeduduk dan kayu kelat dan di sebelah tepi laut itu penuh dengan pohon ambung-ambung dan malapari dan pohon bulangan dan tulang-tulang kayunya’; di hujung tanjung Kuala Singapura terakam ‘batu-batu yang besar-besar, melainkan ada tempat alurnya di celah-celah batu itu, jalannya bengkang-bengkok: seperti ular kena palu rupanya.’

Gambar serupa apakah di akaun Instagram sedemikian?

Tidak pula cukup demikian, jika kita memandang ke luar jendela hari ini; kita akan mendapati Singapura juga adalah kubu juadah di mana ia menjadi pusat gastronomi yang menyelerakan. Kawasan sekitar Kampung Gelam hari ini misalnya adalah salah satu lokasi tumpuan pelancong semata-mata untuk makan. Akan tetapi apakah yang dimakan oleh orang Singapura di awal abad ke-19 itu? Selain ’ikan kering dan sagu rendang, terkadang-kadang mendapat beras’?

CIAPAN PENDEK

Sekali lagi Munshi Abdullah menyediakan maklumat berharga untuk kita renungi. Sekali lagi jika Munshi Abdullah, katakan tuan punya kepada sebuah akaun Twitter, beliau akan menciap beberapa status pendek yang akan membuatkan kita berdebar:

‘Maka mereka itulah semua membawakan ikan, makanan Temenggung.’
‘Adapun kebanyakan ikan yang kena tikam itu, iaitu ikan tenggiri.’
‘Maka terkadang-kadang ia mendapat ikan yang lain-lain pun, seperti ikan parang-parang dan lainnya.’
‘Dan lagi, ikan di Singapura pada masa itu kaku dan keras, seperti kulit kerbau, sebab ikan belum biasa dimakan-makan orang.’
‘Di tepi-tepi orang mendapat ikan besar-besar, dan remis pun penuh di tepi pasir itu, bertimbulan sendirinya.’
‘Maka sebentar dipungut boleh dapat bergantang-gantang, adanya.’

Ciapan-ciapan Munshi itu tentu sensasi jika ditokok dengan permintaan orang-orang Farquhar, agar sesiapa dari Melaka yang datang ke Singapura kelak membawakan barang makan yang munasabah:

‘Maka adalah mereka itu sekalian berpesan barang siapa membawa makanan, seperti ayam itik dan apa-apa buah-buahan dan barang sebagainya boleh dapat untung besar.’
‘Maka pada masa itu terlalulah seksa makanan di Singapura, seekor ayam dua rupiah dan seekor itik satu ringgit.’
‘Itu pun tiada dapat, dan sebiji telur sewang dan jambu biji itu sewang delapan duit sebiji.’
‘Akan tetapi, wang terlalu makmur. Maka makanan tiada dapat, sebab perahu Melaka tiada diberi Holanda datang.’

KEADAAN KOTOR

Keadaan di Singapura tatkala Munshi pertama kali di sini memang menyedihkan. Tentu sahaja Munshi yang terpisah dari isteri dan anak perempuan kesayangannya akan mencatat di blog sehari-harian.

(Gambar fail: TODAY)

Nota Munshi di wordpress tersebut tentu dapat dibaca manca audien dari seluruh dunia. Salah satu ‘posting’ Munshi yang mungkin paling banyak dilawati ialah perihal menceritakan keadaan kotornya Singapura. Apakah yang akan diketik Munshi pada papan kekunci jika teknologi maklumat sudah pun cukup maju saat itu?

‘Sebermula, maka adalah pada masa itu dalam Pulau Singapura ini tiadalah apa binatang yang buas atau jinak yang kelihatan, melainkan tikus. Maka beribu-ribu tikus tanah itu sepanjang jalan serta dengan besar-besarnya, hampir-hampir bagai kucing, adanya. Maka jikalau kita berjalan pada malam, dilanggarkannya; beberapa banyak orang jatuh.

Demikianlah besarnya. Maka ada pada suatu malam di rumah tempatku tinggal itu ada dipelihara seekor kucing. Maka pada setengah malam, kedengaran kucing itu mengiau-ngiau. keluarlah kawanku dengan membawa damar hendak pergi melihat apakah sebabnya kucing itu. Maka serta dilihatnya ada enam tujuh ekor tikus berkerumun menggigit kucing itu. Ada yang menggigit telinganya, ada yang menggigit kaki tangannya, ada yang menggigit pipinya, sehingga tiadalah boleh bergerak lagi kucing itu melainkan mengiau-ngiau sahaja.’

PENUH LIPAN

Munshi mengisahkan perang dengan kucing itu malah terpaksa didanai oleh Farquhar yakni barang siapa yang dapat membunuh tikus akan diberi duit. Bukan sahaja tikus, Singapura juga malah sangat berbahaya kerana penuh dengan lipan bara:

‘Syahadan, kemudian daripada sedikit hari, alipan pula terlalu banyak keluar; di sana orang disengat lipan, di sini orang disengat lipan. Maka dalam segenap rumah, kalau duduk sebentar, dua tiga ekor jatuh dari atap. Dan lagi, apabila kita tidur malam, bangun pagi, di bawah tikar tidur adalah tentu dua tiga ekor alipan bara besar-besar.’

Ini tentulah berbeza dengan Singapura hari ini yang amat bersih, dan merupakan sebuah pulau yang terpuji persekitarannya. Pun, jika Munshi seorang blogger sudah tentu habis menjadi viral apa yang dikarangnya pada waktu itu.

MATAHARI BAHARU TERBIT

Akan tetapi keadaan hodoh dan kumuh Singapura itu tidaklah lama, dalam tempoh beberapa tahun sahaja ia mulai dikenali ramai. Jikalau disusun baik-baik karangan Munshi Abdullah itu mungkin dapat dibaca bagaikan sebuah ‘thread’ yang panjang:

‘Kalakian, maka negeri Singapura pun pada masa itu umpama matahari yang baharu terbit, makin tinggi makinlah besar cahayanya. Maka dagang pun terlalulah banyak masuk tumpah-ruah. Maka segala saudagar pun daripada tiap-tiap negeri datanglah berniaga. Maka sedikit ia hendak berniaga, banyak ia hendak melihat negeri baharu. Maka dagangan pun seperti air pasanglah datangnya daripada tiap-tiap negeri.

(Gambar: Roslan Rahman/AFP)

Maka seperti dagangan Eropah itu jangan dikata lagi: barang yang tiada pernah dilihat oleh nenek moyang kita pun adalah, seperti sayur adanya, bertimbun-timbun pada tiap-tiap hari, tiada berhenti, empat lima tempat lelong jenis-jenis barang serta dengan murahnya. adapun adatnya lelong pada masa itu tiada dipukul canang atau memberitau pada tiap-tiap rumah, melainkan dibuat surat berpuluh-puluh ditampalkan pada segenap simpang disebutkan dalam surat itu, esok pukul sepuluh pagi ada lelong di rumah tuan anu dan disebutkan jenis-jenis barang yang hendal dilelong itu.’

Hal karangan Munshi Abdullah dalam Hikayat Abdullah di atas memanglah diketahui pembaca semua. Sengaja saya membangkitkan kembali. Ini kerana ia berguna, kadang-kala untuk dibaca dan dirujuk semula.

Sebab kita hanya akan bersyukur apabila menyedari kita pernah bermula daripada tiada.

Majulah Singapura. 

MENGENAI PENULIS:

Dr Mohd Faizal Musa. (Gambar: BERITAMediacorp)

Dr Mohd Faizal Musa atau lebih dikenali dengan nama pena Faisal Tehrani ialah seorang pengkaji, pemikir, novelis terkenal dan pejuang hak asasi manusia dari Malaysia. Beliau kini bertugas sebagai zamil penyelidik di Institut Alam dan Tamadun Melayu.  

Sumber : BERITA Mediacorp/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan