Images
  • PM new cabinet
    Pengumuman kabinet baru S'pura di Istana, Sabtu 25 Julai. 

KOMENTAR: Kabinet baru bagi menangani perubahan mendadak; arif memahami krisis dan huraiannya

Bagi para pemerhati yang sudah biasa mengamati masyarakat dan kepimpinan politik di Singapura, mereka cukup faham terhadap satu ciri yang agak ketara di sini.

Ia adalah ciri cukup berhati-hati dalam membuat sebarang perubahan dalam tampuk kepimpinan negara.

Kecenderungan untuk mengelakkan berlakunya sebarang perubahan mendadak ini juga kelihatan dalam pembentukan kabinet baru negara pasca pilihan raya umum 10 Julai lalu (yang ke-13 selepas Merdeka).  

Disifatkan sebagai kabinet yang mencerminkan kesinambungan dan perubahan, ia memaparkan ketelitian dalam memastikan adanya keseimbangan antara kepimpinan yang berpengalaman dan pendedahan kepada para pemimpin lebih muda.

Ini diakui sendiri oleh Perdana Menteri Lee Hsien Loong yang menegaskan bahawa negara memerlukan kepimpinan berpengalaman dalam menangani krisis dan pada masa yang sama menjadi pembimbing kepada para menteri muda.

Walaupun peralihan kepimpinan adalah suatu proses yang tidak pernah dielakkan oleh pemerintah Singapura, perubahan di peringkat kabinet kali ini mencerminkan sikap yang lebih berhati-hati.

Ini bolehlah difahami memandangkan krisis yang dihadapi akibat pandemik COVID-19 cukup berat dan memerlukan seberapa banyak pengalaman dan kepakaran yang diperlukan.

Sejarawan Jared Diamond (Upheaval: Turning Points for Nations in Crisis),  menyatakan kepimpinan yang dapat mengenalpasti masalah awal-awal lagi menjadi antara faktor penentu yang membolehkan sesebuah negara mengatasi krisis yang dihadapinya.

PERUBAHAN MENDADAK

Tidak dinafikan bahawa COVID-19 mengakibatkan banyak negara terjerumus dalam krisis kesihatan dan ekonomi kerana kurangnya mereka membuat persiapan untuk menghadapi sesuatu krisis.

Singapura juga mungkin tidak menjangkakan akan berhadapan dengan krisis pandemik sebesar ini dalam keadaan sekarang.

Tetapi oleh kerana ia telah lama membuat persiapan tertentu untuk menghadapi keadaan-keadaan bersifat krisis – antaranya memastikan adanya sistem ekonomi dan kewangan yang ‘kalis krisis’  (termasuk perbankan dan penyimpanan rizab yang kukuh) – membolehkannya mengharungi pelbagai pukulan badai COVID-19 sejauh ini.

Seperti negara-negara lain, Singapura sebenarnya bukan sahaja berhadapan dengan cabaran pandemik virus korona.

Malah sebelum meledaknya krisis wabak ini, Singapura dan negara-negara lain sudahpun berhadapan dengan situasi krisis yang tidak kurang hebatnya – yakni ‘gangguan’ ekonomi akibat perubahan mendadak dalam teknologi digital dan kemunculan ‘revolusi’ perusahaan baru (dipanggil Fourth Industrial Revolution, IR4).

Sebelum kita dibelenggu COVID-19 sudahpun banyak perbincangan dan inisiatif yang dilakukan pemerintah untuk menyiapkan rakyat dan para pekerja Singapura bagi apa yang dipanggil Ekonomi Masa Depan (Future Economy).

MAKMUR ATAU MASALAH

Persiapan tersebut perlu dilakukan segera memandangkan proses globalisasi yang menyebabkan pelbagai bentuk ‘gangguan’ ekonomi, sosial dan politik akan menyebabkan kesan buruk yang mendalam ke atas negara-negara yang gagal membuat persiapan betul.

Seperti kita sedia maklum globalisasi yang menyebabkan perubahan ekonomi yang mendadak – dengan pendigitalan dan penstrukturan semula ekonomi – boleh membawa kemakmuran dan juga masalah baru.

Antara masalah besar yang menimpa dunia sekarang adalah kesan ketidaksamarataan dan meluasnya jurang sosio-ekonomi antara yang berjaya meraih faedah daripada globalisasi dengan mereka yang gagal memanfaatkannya.

Sedang dalam bidang ekonomi globalisasi mengakibatkan kesan-kesan sedemikian, dalam bidang sosial dan juga politik, kesannya boleh juga dilihat dengan meluasnya garisan pemisah antara satu kumpulan sosial, kaum atau agama dengan kumpulan-kumpulan lain.

Ini kerana pendedahan masyarakat dunia kepada pelbagai bentuk perubahan, keterbukaan dan kerencaman (lihat sahaja di Internet, media sosial dan hiburan seperti Youtube, Netflix), juga meningkatkan kesedaran perbezaan fahaman dan kepercayaan antara satu sama lain.

Bagi yang tidak pandai menangani segala perubahan, keterbukaan dan kepelbagaian ini, mereka kerap menjadi mangsa fahaman dan ideologi sempit yang mahu melaga-lagakan antara satu kumpulan dengan kumpulan lain.

PERSIMPANGAN JALAN

Pendek kata akibat proses globalisasi yang pesat ini - kepesatannya mungkin tidak pernah berlaku dalam sejarah manusia -   turut mengakibatkan kesenjangan dan ketegangan dalam masyarakat.

Seperti  negara-negara lain, Singapura juga di pesimpangan jalan di mana semua garisan pemisah dan jurang perbezaan ini mula timbul, malah akan menjadi semakin meluas.

Dan di tengah-tengah segala cabaran dan kebangkitan pelbagai trend mega ini, Singapura juga berhadapan dengan generasi muda yang mungkin inginkan lebih banyak kepelbagaian dan pandangan alternatif.

Ciri dan kecenderungan golongan muda Singapura ini menambah satu lagi dinamika baru dalam politik negara yang jika tidak ditangani dengan baik akan menjadikan keadaan sedia kompleks  bertambah rumit lagi.

Realiti yang dihadapi oleh banyak negara di dunia hari ini adalah kompleks dan sememangnya memerlukan kepimpinan yang cepat mempelajari selok belok dan dinamika perubahan yang berlaku.

Pengamat sains politik Amerika, Francis Fukuyama melihat banyak perubahan yang dihadapi negara-negara hari ini adalah  terlalu berat,  sedangkan struktur politik kita terutama dalam soal urus tadbir pula semakin  menunjukkan kelayuan (political decay).

Akibatnya tiada lagi peranan 'semak dan imbang' yang berkesan dan muncul pula para pemimpin yang bukan sahaja tidak cekap dan bertanggunghawab, malah licik dalam permainan politik dan segala bentuk manipulasi.     

PERSEKITARAN KOMPLEKS

Dalam persekitaran global yang kompleks ini bolehlah kita fahami mengapa perlunya ada kepimpinan negara yang pintar dalam memahami trend-trend besar ini dan dapat menyiapkan rakyatnya untuk berhadapan dengan setiap krisis yang melanda negara.

Mereka bukan sahaja harus bijak dalam memahami masalah dan krisis, tetapi juga cukup terlatih dalam mencari huraian-huraian yang berkesan.

Kebanyakan cabaran yang dihadapi itu adalah kompleks dan amat berkait antara satu sama lain.

Menyelesaikan salah satu komponennya tanpa mengatasi komponen yang lain mungkin tidak dapat memberikan huraian yang cukup memuaskan.

Di sinilah letaknya keperluan bagi kepimpinan negara yang diinginkan; mereka haruslah pandai mencari huraian umpama menarik rambut dalam tepung; jangan salah tarik semunya menjadi berserak.


 


- BERITAmediacorp/ib

Top