Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Junjung maruah diri wanita demi keharmonian dan manfaat bersama

Tengkarah melibatkan podcast OKLETSGO bukan sahaja kerana sikap menghina dan memperlekehkan kaum perempuan. Tetapi juga kerana kebebasan bersuara disalahgunakan untuk membawa pengaruh buruk kepada generasi muda?

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Tengkarah melibatkan podcast OKLETSGO bukan sahaja kerana sikap menghina dan memperlekehkan kaum perempuan. Tetapi juga kerana kebebasan bersuara disalahgunakan untuk membawa pengaruh buruk kepada generasi muda?

OKLETSGO membuat permohonan maaf secara terbuka. (Gambar: okletsgo.sg/Instagram)

Berhemah tinggi, tinggi hikmahnya. Ciri-ciri seseorang yang berhemah tinggi adalah berbudi bahasa dalam berinteraksi, berkelakuan sopan, ramah tamah dan mudah menyesuaikan diri dalam pergaulan.

Berhemah dalam interaksi merupakan kemahiran sosial yang harus diamalkan kerana tinggi hikmahnya.

Mengapa? Di antara sebab demi menjaga perasaan orang lain, menjaga dan menjunjung maruah diri dan maruah orang lain serta dapat diterima dan dihormati orang lain.

Kegagalan menjunjung nilai berhemah akan membawa implikasi ke atas peribadi atau masyarakat apalagi kalau ia boleh membawa kepada perpecahan dan persengketaan terutama di dalam ruang sosial yang dikongsi sama oleh berbagai lapisan masyarakat.

Inilah yang telah sama-sama kita lalui melalui episod podcast OKLETSGO sehingga melibatkan ketua negara dan para pemimpin masyarakat untuk tampil memberikan reaksi dan respons kepada protes yang dikemukakan oleh masyarakat terutamanya warga media sosial.

Masyarakat terutama kaum Hawa begitu lantang menyuarakan keprihatinan dan perasaan kurang senang mereka terhadap perlakuan yang dianggap kurang tatasusilanya terutama atas dua perkara pokok: Sikap yang menghina dan memperlekehkan kaum Hawa dan kebimbangan terhadap pengaruh buruk ke atas masyarakat dan generasi muda.

Tulisan ini diharap dapat memberikan pencerahan kepada dua isu yang menjadi keperihatinan masyarakat kita.

PEREMPUAN DALAM ISLAM

Isu perempuan dan tema keperempuanan dari awal sejarah manusia sering berada pada kedudukan yang tertindas.

Malah dalam abad 2000-an ini, kita masih melihat rekonstruksi pemahaman umat Islam yang merendahkan perempuan terus dilakukan terhadap berbagai fatwa bias gender, penggunaan hadis-hadis misoginis dan konsepnya tentang sifat dan dasar-dasar perempuan.

(Gambar: AFP/AXEL HEIMKEN)

Di antara tokoh yang giat melakukan usaha ini adalah Khaled M. Abou el-Fadl. Beliau adalah salah satu tokoh hukum Islam terkemuka dan juga disebut sebagai seorang feminis Muslim.

Dalam bukunya The Great Theft: Wrestling Islam from the Extremists, Abou Fadl mengulas sifat dasar dan peranan perempuan.

Menurutnya, kaum perempuan tidak seharusnya mengalami berbagai bentuk penindasan dan diskriminasi sehingga perempuan dianggap sumber bahaya, godaan, kerosakan sosial, kekacauan, dan kejahatan, sehingga, di satu sisi ia dipuji sebagai ibu tapi di sisi lain dipandang makhluk tidak sempurna.

Oleh itu, beliau berusaha mengkaji ulang secara kritis pemahaman tentang perempuan dalam Islam yang telah ada serta menawarkan tafsiran alternatif keagamaan tentang bagaimana memposisikan perempuan sebagai makhluk bebas dan setara kemuliaan dengan laki-laki sejajar dengan semangat dan nilai yang dibawa Islam.

Islam adalah agama keadilan. Al-Quran mengajarkan bahwa Tuhan tidak membezakan gender, ras atau kelas.

Malah, inferioritas perempuan bukan sesuatu yang alamiah, melainkan dipengaruhi oleh konteks sosial-budaya patriarki untuk membatasi peranan perempuan atau untuk meletakkannya di bawah laki-laki.

Namun, Islam mengajar kita laki-laki dan perempuan dipandang setara kerana diberi ganjaran dan dihukum dengan balasan yang sama, serta memiliki akses yang sama untuk mencapai anugerah dan kebaikan Tuhan (Q.S. al-Nisa : 32).

KEBEBASAN BERSUARA

Dewasa ini, kebebasan menjadi subjek utama dalam kalangan masyarakat awam mahupun golongan terpelajar antaranya seperti kebebasan bersuara, kebebasan ilmu dan kebebasan berfikir.

Ternyata perjuangan kebebasan kini merujuk kepada pemusatan manusia (human-centred) di mana baik atau buruk, benar atau salah ditentukan secara mutlak oleh akal, nafsu dan pengalaman manusia.

Ekoran revolusi Islam 1979, pemakaian wajib tudung kepala dikuatkuasakan di seluruh Iran. (Gambar: AFP)

Namun, sebagai masyarakat Melayu/Islam, agama menetapkan hak dan kebebasan mestilah bertepatan dengan akidah, syariat dan akhlak yang diajarkan oleh Islam. Oleh itu bukan semua perkara adalah hak kerana hak mestilah sesuatu yang benar dan tidak menjurus kepada kebatilan.

Justeru, sesuatu perbuatan yang melanggari batasan ini adalah menyimpang dari jalan kebenaran dan pelakunya boleh dianggap sebagai golongan yang melampaui batas.

Sama juga dalam memahami konsep kebebasan, ia merujuk kepada kemampuan untuk memilih suatu perkara yang benar dan selagi mana kebebasan ini tidak menyakiti orang lain. (Seperti dalam Q.S adz-Dzariyat: 19 yang membahas tentang hak untuk memperoleh kebutuhan hidup dan hak ekonomi dan persamaan hak dan kedudukan di hadapan hukum yang terdapat dalam Q.S an-Nisa: 1).

RUANG BERSAMA

Berbalik kepada kemelut yang melanda masyarakat Melayu/Islam, perlu kita akur sememangnya penting untuk masyarakat mempunyai wadah perbincangan kritikal.

Usaha ini perlu diteruskan demi menggalakkan pertukaran pemikiran dan perspektif supaya kita dapat membangun sebagai satu masyarakat.

Namun, perbincangan yang dilakukan terutama di ruang yang kita kongsi bersama harus berlandaskan kepada perbincangan yang beretika, positif dan perbualan yang membina untuk memartabatkan masyarakat, terutama sekali wanita tanpa menyakiti mana-mana pihak.

Oleh itu, masyarakat menolak sikap superioriti dengan merendahkan wanita apalagi dengan kata-kata lucah yang menyinggung perasaan jelas memaparkan sikap memperlekehkan usaha yang dilakukan oleh para tokoh ulama Islam dan juga persatuan-persatuan wanita setempat seperti PPIS.

(Gambar: Facebook/PPIS)

Islam bukanlah satu agama yang bersifat menindas wanita, patriarchy atau misogyny sebaliknya Islam meletakkan kedudukan wanita sama mulia dengan lelaki.

Berangkat dari kesedaran ini, amat wajar jika timbul suara-suara dari kalangan kaum Hawa dan pemimpin wanita tampil menegur kelakuan mereka.

Apatah lagi bila Presiden Halimah Yacob turut bangkit bersuara mengajak mereka yang terlibat untuk bermuhasabah dan memperbaiki pendekatan dalam membincangkan isu-isu yang kritikal dan sensitif di dalam masyarakat seperti isu wanita.

HAK BERSUARA

Kebebasan bersuara dan memberikan pendapat adalah penting bagi sesebuah masyarakat dan negara untuk bergerak ke hadapan dan mengekalkan semangat demokrasi demi kesejahteraan bersama.

Namun, kebebasan untuk bersuara tidak harus dieksploitasikan sehingga membawa pengaruh yang buruk terhadap masyarakat terutama di kalangan generasi muda.

Mereka yang dijadikan rujukan atau idola perlu bersikap lebih bertanggungjawab dalam mengetengahkan isu-isu yang sesuai dan bermanfaat untuk dibincangkan.

Kepentingan ketenteraman awam dan memartabatkan prinsip moral harus dijadikan sandaran agar kebebasan bersuara masih kekal wujud, dihormati serta dilindungi bukan hanya memikirkan kepopularan.

Berhemah tinggi dalam setiap ucapan dan tindakan oleh mana-mana pihak tinggi hikmahnya agar dapat menjaga keharmonian masyarakat. Ini sama penting kepada yang berhak bersuara dan juga kepada mereka yang berhak menegur.

(Gambar: AFP)

Teguran yang dilakukan dalam mencari huraian haruslah membina dengan bahasa yang halus tapi tegas. Kita perlu membudayakan pendekatan perkongsian dan bermuafakatan dan senantiasa mencari ruang dan peluang untuk berbincang atas persefahaman dan mencari keserasian.

Oleh itu, usaha untuk membuka ruang luas perbincangan dan dialog (engagement) dengan mana-mana pihak untuk meningkatkan kesefahaman harus digalakkan.

MEMBAIKI KEADAAN

Adalah diharapkan dengan kerjasama masyarakat Melayu/Islam terutama dari kalangan komuniti online kita dapat meleraikan kemelut ini dengan pihak yang terlibat bekerjasama untuk tampil ke hadapan mengakui tindakan mereka yang menyinggung perasaan terutama kepada kaum Hawa.

Bak kata pepatah, “kalau takut dilambung ombak, jangan berumah di tepi pantai”, ini adalah sikap yang perlu dihargai.

Walaupun ada sesetengah pihak yang merasakan ia adalah tindakan yang dibuat susulan dari tekanan dari orang di sekeliling. Harapan kami tindakan ini lahir dari rasa tulus untuk membaiki keadaan dan interaksi mereka bersama masyarakat.

Masyarakat Melayu/Islam Singapura harus terus menjunjung ciri-ciri masyarakat yang bertamadun. Saling menghormati, muafakat dan hidup harmoni merupakan nilai yang harus dijunjung tinggi.

Seorang wanita Muslim di Amerika Syarikat (Gambar: Reuters)

Iktibar dari episod ini menunjukkan setiap lapisan masyarakat dari pimpinan kepada akar umbi mempunyai peranan, tanggungjawab dan hak dalam membangun masyarakat yang peduli.

Walaupun terdapat perbezaan pendirian dan pendekatan, masih ada banyak ruang persamaan yang boleh kita raikan.

Namun, kebijaksanaan dalam menangani perbezaan ini harus terus diusahakan untuk mewujudkan satu suasana perkongsian kehidupan yang lebih harmoni di dalam masyarakat seperti kata pepatah Melayu, “bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat”. 

Presiden PPIS Rahayu Mohamad.
Sumber : BERITA Mediacorp/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan