Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Jarak pemikiran dan minda anak-anak zaman sekarang menjadi cabaran besar orang tua

Jurang yang melebar antara ibu bapa dengan anak-anak generasi milenial dilihat sebagai hambatan untuk berkomunikasi dengan berkesan. Ini lebih-lebih lagi jika ibu bapa setakat melihat wadah media sosial masa kini sebagai satu rintangan untuk memahami pendirian dan aspirasi anak-anak mereka.

Anggaran Waktu Membaca:
KOMENTAR: Jarak pemikiran dan minda anak-anak zaman sekarang menjadi cabaran besar orang tua

Sebuah keluarga berjalan-jalan di Singapura. (Gambar hiasan: Gaya Chandramohan)

BERITAmediacorp: Jurang yang melebar antara ibu bapa dengan anak-anak generasi milenial dilihat sebagai hambatan untuk berkomunikasi dengan berkesan. Ini lebih-lebih lagi jika ibu bapa setakat melihat wadah media sosial masa kini sebagai satu rintangan untuk memahami pendirian dan aspirasi anak-anak mereka. Dalam tulisan berikut, mantan Duta Dads For Life Khalid Awang mengajak ibu bapa untuk memanfaatkan wadah seperti media sosial untuk mendampingi anak-anak mereka dan lebih penting lagi, usaha dan pendekatan itu sebenarnya banyak membantu untuk merapatkan dan mengeratkan lagi hubungan dengan anak-anak generasi masa kini.

Seorang kanak-kanak di prasekolah. (Gambar fail: TODAY)

(Gambar fail: TODAY)

Sering kita dengar yang anak-anak zaman sekarang tidak seperti anak-anak zaman dahulu… “semua tak dengar kata orang tua, malah ungkal lagi.”

Kita salahkan rancangan-rancangan televisyen dan pergaulan kawan-kawan di luar rumah yang berunsurkan budaya-budaya Barat yang kita rasa telah menghilangkan perasaan hormat dan malu mereka terhadap orang tua, satu-satunya nilai orang Timur (Asian Values).

Tetapi, jika kita renungkan dengan lebih mendalam lagi kita akan mendapati bahawa perubahan adalah satu perkara yang tidak akan dapat kita halangi.

Ia merupakan satu kejadian yang berterusan dan jika kita sebagai orang tua tidak mengambil langkah-langkah untuk menyesuaikan cara dan minda kita dengan peredaran zaman, semakin rengganglah jarak generasi kita dengan generasi yang menyusuli kita dan seterusnya.

Seperti yang dikatakan oleh Albert Einstein, “Kita tidak boleh mengatasi sesuatu masalah dengan tahap minda yang sama di mana masalah itu direka.”

(Gambar: Unsplash/Chinh Le Duc)

(Gambar: Unsplash/Chinh Le Duc)

PERALIHAN PARADIGMA

Kita memerlukan peralihan paradigma dan cara yang berbeza sekiranya kita ingin mencapai hasil yang berkesan buat jangka masa panjang.

Langkah yang teramat penting sekali bagi menyelesaikan sebarang situasi adalah melalui komunikasi terbuka, apatah lagi jika ia melibatkan perhubungan antara generasi yang berbeza.

Kalau pada zaman sebelumnya kita menjangkakan seseorang akan mengikut perintah tanpa banyak soal atau ragu-ragu, pada masa kini pula setiap arahan yang kita berikan mesti dirasakan seperti ia satu galakan atau saranan di mana ia mempunyai logik yang mantap.

Sebagai ibu bapa, kita mempunyai pilihan bagaimana kita ingin mendidik anak-anak kita dari kecil hingga ke remaja.

Kita mempunyai pilihan nilai-nilai sebagaimana yang kita ingin pupukkan dalam jiwa mereka buat pedoman hidup mereka.

MENEROKA IDEA MENCABAR 

Kita juga mempunyai pilihan sama ada kita ingin menggalakkan anak-anak kita meneroka idea-idea yang mencabar pemikiran mereka, demi membantu mereka membina tahap pemahaman yang lebih luas dan mendalam.

Satu kenyataan yang tidak dapat kita nafikan ialah cara anak-anak kita berinteraksi kelak dengan kohort mereka dan tahap kelakonan mereka ada kena mengena dengan cara mereka dididik.

SANGGUP BUAT PENYESUAIAN 

Kesimpulannya, jika kita inginkan anak-anak kita bersikap sopan, hormat, rendah diri dan berperangsang nilai-nilai tersebut hendaklah diterapkan semasa mereka membesar.

Tidak mustahil bagi kita generasi semalam untuk berkait dengan generasi millennial dan seterusnya.

(Gambar hiasan: Pixabay)

(Gambar hiasan: Pixabay)

Kejayaan usaha ini bergantung kepada pihak mana yang lebih gigih dan bersungguh-sungguh, yang sanggup membuat penyesuaian.

Mungkin tidak mudah bagi kebanyakan dari generasi kita untuk melangkah ke hadapan dan bergabung dengan generasi baru disebabkan pendedahan kita yang amat jauh berbeza dengan mereka.

Justeru, cara-cara yang kurang menggugatkan yang boleh kita cuba untuk mendampingi anak-anak kita dengan lebih rapat lagi adalah seperti berikut:

MEDIA SOSIAL SEBAGAI ALAT PENYAMBUNG

Sebuah alat yang kita kurang gunakan sebagai alat perantaraan untuk menghubungkan generasi kita dengan generasi baru ialah platform media sosial.

Hampir semua kita yang melungsur internet melalui telefon bijak atau komputer tablet mempunyai akaun media sosial seperti Facebook, Instagram dan sebagainya.

Di platform ini kita bloeh mengenali anak-anak kita dengan lebih mendalam lagi dari segi minat mereka, perkara-perkara yang membuat mereka terangsang atau tersinggung; apabila kita singgah di halaman mereka.

(Gambar fail: AFP)

(Gambar fail: AFP)

Kita perlu tabahkan hati sekiranya mereka tidak berminat untuk memasukkan kita dalam senarai teman mereka kerana di platform itu adalah ruang peribadi mereka dan amat penting untuk kita menghormatinya dan mengekangkan diri kita dari melakukan sesuatu yang kita akan menyesal kelak.

GAYA KEIBUBAPAAN 

Untuk kita mempunyai hubungan yang sihat, kita perlu menjaga perasaan pihak yang kita ingin menghampiri; ini termasuklah anak-anak kita.

Kesilapan yang sering ibu bapa lakukan tanpa mereka sedari adalah membandingkan antara adik-beradik dengan perkataan mengeji atau memuji tanpa ambil kira kesan kesudahannya.

Anak-anak kita, walaupun mereka adik-beradik mempunyai kelebihan dan cabaran yang berbeza.

Membanding-bandingkan mereka antara satu sama lain akan menyebabkan mereka berperasaan iri hati dan saling membenci.

Sudah tentu kita tidak inginkan perkara seperti ini berlanjutan dan di sini juga perlunya kita mempunyai sikap ingin tahu dan ambil tahu rintihan hati mereka.

Tidak mungkin kita akan dapat penjelasan yang tepat sekiranya setiap soalan yang kita kemukakan kepada mereka, tujuan sebenar kita adalah untuk menjawab atau membangkang jawapan mereka.

Banyak yang akan dapat kita pelajari jika kita bersungguh-sungguh mendengar apa yang dikatakan oleh anak-anak kita, dari hati ke hati.

AKTIVITI POSITIF BERSAMA 

“Semasa anak-anak kita masih kecil, mereka sering inginkan masa bersama dengan kita tetapi bila mereka dah remaja mereka jarang sekali ingin meluangkan masa dengan kita.”

Jika kata-kata ini bergema di hati sanubari kita, ini adalah kerana ia satu cabaran yang benar dan tidak mudah nak ditangani.

(Gambar hiasan: Gaya Chandramohan)

(Gambar hiasan: Gaya Chandramohan)

Tetapi, ini tak bererti ia satu usaha yang mustahil. Yang penting, kita kaji semula sebab musabab kejadian ini semakin menjadi kebiasaan.

Besar kemungkinan setiap kali kita bersama anak-anak kita, aktiviti-aktiviti yang kita lakukan bersama sudah lapuk.

Perubahan kepada rancangan perjumpaan harus dirombak semula dan untuk mendapatkan penyertaan sepenuhnya dari anak-anak kita, libatkan mereka dari peringkat perancangan dan dengar saranan-saranan mereka.

MEMPERBAIKI IKATAN 

Kita melakukan ini untuk memperbaiki ikatan kita bersama anak-anak kita, justeru kita harus memberi keutamaan kepada pendapat mereka.

Akhir kata, jarak pemikiran dan minda anak-anak zaman sekarang akan terus menjadi cabaran besar para ibu bapa tetapi ia bukanlah satu perkara yang melumpuhkan.

Banyak yang boleh dilakukan untuk mengendalikan situasi ini asalkan para ibu bapa sanggup mengambil langkah pertama ke hadapan.

Dan seperti usaha-usaha lain, ia akan memakan sedikit masa untuk berputik … tidak mungkin boleh kita semai dan tuai dalam musim yang sama.

MENGENAI PENULIS
Khalid Awang adalah seorang ayah kepada 3 orang anak. Beliau selaku mantan Duta Dads For Life sering bergiat di sekolah anak-anak beliau. Pada masa lapang beliau menulis mengenai isu-isu keibubapaan, kewangan, pelaburan, hartanah dan pencegahan dadah.  

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan