Images
  • court
    Gambar fail tukul kayu. (Gambar: AFP)

KOMENTAR: Jangan sampai terlajak kata; kerana salah ulas boleh menjejas proses keadilan

BERITAmediacorp: Mengapa kita perlu berhati-hati dalam membuat ulasan terhadap kes-kes mahkamah; jangan sampai dikenakan tuduhan jenayah kerana memburukkan keadaan.

Sejak kebelakangan ini agak ketara beberapa kes jenayah di mahkamah menjadi bahan topik perbincangan hangat, termasuk kes pembunuhan kanak-kanak berusia 2 tahun di Chin Swee Road.


Meskipun mahkamah telah mengeluarkan perintah “gag order” untuk melindungi identiti mangsa, pihak yang tertuduh dan juga keluarganya, ramai pengulas di ruang siber dan media sosial telah berkongsi maklumat yang mendedahkan identiti pasangan tertuduh.

Ada sekurang-kurangnya satu catatan Facebook yang mempunyai maklumat tersebut dan ini telah dikongsi lebih 4,600 kali. Akibatnya, Pejabat Peguam Negara telah memberi amaran kepada pihak awam untuk tidak membuat ulasan yang melanggar perintah “gag order”.

HARUS PEKA

Jika ada sebarang pihak berkongsi maklumat yang mendedahkan nama, alamat, gambar, sebarang bukti atau perkara-perkara lain yang boleh mendedahkan identiti mangsa atau tertuduh, ini melanggar perintah mahkamah tersebut dan mungkin dianggap sebagai menghina mahkamah.

Dengan kemudahan berkongsi maklumat dan berita melalui media sosial dan teknologi, kita sebagai masyarakat bukan sahaja harus peka tentang bahaya penyebaran berita palsu, kita juga harus berwaspada agar tidak membuat spekulasi atau sebarang komen di ruang awam berhubungan dengan perkara-perkara yang masih dalam siasatan pihak-pihak berkuasa atau mengganggu prosiding jenayah yang sedang berlangsung.


Di manakah batasan tersebut? Dan apakah tanggungjawab kita sebagai masyarakat yang prihatin?

KEADILAN TELUS 

Satu ciri sistem mahkamah kita adalah keadilan yang telus (open justice). Ini menjaminkan adanya semak dan imbang (check and balance) dan hak seseorang individu itu terjaga. Kebanyakan kes yang dihadapkan ke mahkahmah akan dibicarakan secara terbuka kecuali kes-kes sensitif atau yang melibatkan mangsa bawah umur.

Semestinya mahkamah akan memastikan agar hukuman yang dijatuhkan setimpal berlandaskan panduan hukuman mengikut kes-kes yang lalu dan rangka perundangan yang telah ditetapkan Parlimen.


Hukuman yang setimpal berpotensi mencegah jenayah di masa hadapan dan ia mencerminkan jangkaan dan norma sosial dalam masyarakat kini. Ini juga sebabnya mengapa laporan kes-kes jenayah diterbitkan mahkamah.

Pada masa yang sama, mahkamah juga harus mengimbangi hak individu yang terbabit, serta mengambil kira fakta dan bukti yang dapat mengurangkan hukuman dalam setiap kes. 

Di sisi mahkamah, yang tertuduh masih dianggap tidak bersalah sehinggalah dia dapat dibuktikan sebagai bersalah. Ini mesti berdasarkan penilaian bukti dan keterangan saksi yang harus dihuraikan dalam mahkamah.

Ia tidak bergantung kepada pandangan masyarakat awam. Akibatnya, ada keputusan mahkamah yang mungkin disangkal sesetengah masyarakat.

PERDEBATAN HANGAT

Misalnya pada bulan lalu, mahasiswa Universiti Nasional Singapura (NUS), Terence Siow Kai Yuan, 23 tahun, telah didapati sabit kesalahan mencabuli kehormatan seorang wanita semasa berada dalam MRT.

Namun Hakim Mahkamah Daerah telah mengenakan hukuman perintah probesen atau “probation order” selama 21 bulan dan bukan hukuman penjara atau sebat.
Antara faktor yang diambil kira mahkamah semasa menjatuhkan hukuman adalah umurnya dan potensi untuk mengubah hidupnya.

Ini mencetuskan perdebatan hangat bagaimana kecemerlangan akademik seseorang itu dapat memainkan peranan dalam hukuman dan sesetengah lapisan masyarakat kurang puas hati dengan hukuman yang dijatuhkan.

Kini, pihak pendakwa raya telah membuat rayuan kepada Mahkamah Tinggi untuk mengenakan hukuman penjara terhadap Terence Siow.

PERTIMBANGAN HAKIM

Semasa dalam proses rayuan ini, masyarakat harus berhati-hati untuk tidak melakukan sebarang perkara yang boleh menjejas proses pengadilan atau menghina mahkamah.

Umpamanya dalam seksyen 3(1)(b) Akta Perlindungan Pentadbiran Keadilan yang berkuat kuasa pada 1 Oktober 2017, seseorang itu tidak boleh menerbitkan sebarang pendapat yang menghakimi sebuah isu atau perkara yang masih lagi dipertimbangkan mahkamah sehingga mengganggu proses pengadilan tersebut.


Jika sabit kesalahan, seseorang itu boleh dikenakan denda S$100,000 atau penjara selama 3 tahun. Namun laporan yang adil dan tepat tidak dikenakan hukuman menghina mahkamah. Ini bukan prinsip undang-undang yang baru. Ia dikenali sebagai prinsip sub judice frasa Latin yang bermaksud “masih di bawah pertimbangan hakim”.

BURUKKAN KEADAAN

Melanggar perintah mahkamah bukan sesuatu yang dipandang ringan. Jika ada perintah “gag order”, Akta Kehakiman Mahkamah Negara menerangkan bahawa sesiapa sahaja yang mendedahkan alamat atau maklumat yang boleh mendedahkan identiti (tertuduh dan/atau mangsa) akan disabit kesalahan dan boleh dikenakan hukuman penjara atau denda S$5,000.

Sebagai contoh, jika ada pihak yang mendedahkan maklumat tersebut, saksi kes jenayah mungkin tidak akan tampil ke hadapan untuk memberi keterangan ataupun keluarga mangsa dan tertuduh akan menghadapi stigma atau cemuhan sebelum proses pengadilan selesai.


Spekulasi dan berita palsu mungkin boleh tersebar luas yang boleh menjejas siasatan atau prosiding kes tersebut.

Oleh itu, kerjasama orang ramai diperlukan untuk tidak membuat kesimpulan sendiri dan tidak memburukkan keadaan dengan mendedahkan maklumat semasa kes itu masih dalam siasatan atau dalam proses perbicaraan; mahupun selepas hukuman mahkamah telah dijatuhkan, selagi kes itu padai tahap rayuan ke Mahkamah Rayuan.

ADIL DAN SEIMBANG

Prinsip undang-undang ini yang mengimbangi hak individu dan proses pengadilan, bukan sesuatu yang luar biasa. Islam juga mementingkan pemeliharaan maruah dan hak individu serta harta benda seseorang itu. Pada masa yang sama, peranan hakim dalam sistem pengadilan secara Islam juga memainkan peranan yang penting.

Dalam surat perlantikan Abu Musa Al-Ash'ari sebagai hakim, Umar bin Al-Khattab selaku khalifah wilayah Islam pada masa itu menerangkan syarat-syarat penghakiman dan tata kelakuan yang harus ada pada seseorang hakim:

“Berlaku adil sesama manusia dalam mentadbirkan keadilan, agar seorang bangsawan itu tidak mengharapkan anda untuk menyebelahi pihaknya kerana darjatnya dan supaya seseorang yang lemah dari sisi masyarakat tidak akan berputus asa mendambakan keadilan di mahkamah anda”.

Oleh itu, reputasi dan martabat mahkamah harus dilindungi agar institusi mahkamah tidak dipandang remeh dan kepercayaan masyarakat terhadap sistem pengadilan tidak pupus.

MEMECAHBELAHKAN MASYARAKAT

Rangka undang-undang kita bukan sahaja mempunyai pelbagai prinsip yang melindungi proses pengadilan dan hak individu, tetapi ia juga sekaligus memastikan bahawa tiada tindakan atau ulasan yang boleh menjejaskan fabrik sosial kita.

Ini berupaya mengekang tindakan anasir-anasir yang sengaja cuba memecahbelahkan masyarakat dengan mensensasikan kes-kes yang dihadapkan ke mahkamah.


Contohnya, tanggapan bahawa status sosial dan nilai seseorang individu dalam masyarakat membolehkan dia untuk mendapat kelonggaran di sisi undang-undang, bukan saja boleh menjatuhkan martabat sistem pengadilan dan menghina mahkamah.

Ia juga boleh memecahbelahkan masyarakat kita, apatah lagi jika kes-kes itu melibatkan individu yang terkenal dalam masyarakat atau isu-isu sensitif yang boleh membangkitkan emosi masyarakat.

Tiga kes rayuan tentang perlembagaan seksyen 377A Kanun Keseksaan akan dibicarakan pada bulan November 2019 dan terdapat juga kes-kes mahkamah yang melibatkan ahli politik dan tokoh agama yang masih dalam proses perbicaraan.

BURUK PADAHNYA

Justeru, sebagai masyarakat yang menegakkan keadilan dan prihatin tentang keadaan sekeliling, kita harus bersikap adil dan tidak menghukumi seseorang yang masih belum disabitkan kesalahan melalui proses mahkamah.

Kita juga harus mematuhi perintah mahkamah dan menghormati institusi mahkamah semasa kes itu masih dalam proses perbicaraan. Bukan peranan kita untuk melontarkan komentar atau berkongsi maklumat yang boleh memburukkan lagi keadaan, selagi kes atau siasatan itu masih berlangsung.

Dalam kita menuntut keadilan daripada mahkamah yang “menimbang sama berat, mengukur sama panjang”, kita juga harus berhati-hati dalam mengulas pendapat, kerana “terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya”.


MENGENAI PENULIS 

Zhulkarnain Abdul Rahim adalah rakan kongsi dan peguam di firma guaman antarabangsa Dentons Rodyk & Davidson LLP. 

- BERITAmediacorp/fz

Top