Images
  • fail photo singaporeans cross road
    Para pelanggan di Orchard Road. (Gambar: Roslan Rahman/AFP)

KOMENTAR: Jangan pandang ringan bila minda sempit mula bertapak dalam masyarakat

Kini sudah wujud semacam dualisme dalam kehidupan dan pemikiran umat Islam sejagat sejak kebelakangan ini.

Pada satu pihak semangat keterbukaan, memandang ke hadapan, sederhana, sedia menerima kepelbagaian dan mudah hidup bersama dengan sesiapa sahaja yang berlainan fahaman dan kepercayaan.

Dan pada satu pihak lagi, ketegaran, terlalu memandang ke belakang, tidak mudah menerima perbezaan dan kepelbagaian, malah cukup tidak toleran dan tidak mudah untuk hidup bersama dengan sesiapa sahaja yang berbeza pendirian dan pemahaman. 

Cakap mudahnya semakin kurang toleran.

Tidak salah jika kita menganggap bahawa bagi kebanyakan masyarakat Muslim di dunia, baik yang majoriti atau pun minoriti, cabaran utama yang dihadapi adalah bagaimana untuk mengimbangi dua trend bertentangan ini.

TREND BERTENTANGAN

Satu trend menuju kepada lebih banyak keterbukaan dan kepelbagaian dan satu lagi yang menjurus kepada ketegaran, kurang keterbukaan malah kurang toleransi.

Banyak faktor politik, geopolitik, sosiologi dan psikologi sering disebut-sebut kenapa dua trend bertentangan ini boleh berkembang secara serentak dalam dunia hari ini.

Antaranya adalah globalisasi dan revolusi digital yang bukan sahaja memudahkan pergerakan manusia malah pengaliran maklumat, pengaruh dan ideologi dari satu kawasan ke kawasan lain.

KERENCAMAN DAN KETERBUKAAN

Pada satu pihak, kedua-dua ini memupuk kerencaman,  kepelbagaian dan keterbukaan dan pada satu pihak yang lain ia juga mencetuskan rasa cemas, kurang senang dan resah gelisah di kalangan sesetengah anggota masyarakat.

Keterbukaan dan kepelbagaain bermakna kesediaan untuk menerima pengaruh-pengaruh dari luar sebagai sesuatu yang semula jadi yang tidak perlu dikhuatiri.

Seperti kegilaan terhadap budaya K-pop, umpamanya,  sebagai  hiburan sementara buat sesetengah anak muda yang tidak seharusnya mencetuskan rasa panik dalam masyarakat.

Tetapi pada satu pihak yang lain, ini mungkin dilihat sebagai ancaman kepada masyarakat, kepada budaya, tradisi dan kepercayaan, semata-mata kerana ia kelihatan asing dan di luar kebiasaan. 

KURANG DAYA MENILAI

Dalam sekitaran yang penuh keterbukaan hari ini memang tidak dapat dinafikan bahawa apa sahaja pandangan dan pendirian kini dapat disuarakan dengan bebas.

Malangnya dengan ledakan maklumat dan pantasnya ia mengalir, masyarakat nampaknya semakin mudah hilang daya menilai dan sebaliknya mudah terikut dengan apa-apa sahaja yang dibentangkan oleh media yang disukai masing-masing.

Dalam zaman pra-revolusi digital, kebanyakan maklumat dan pandangan biasanya ditapis dan dikupas oleh sekumpulan kecil kalangan cerdik pandai dalam masyarakat – baik para pemimpin politik dan masyarakat, kalangan agamawan dan pendidik, wartawan dan cerdik pandai yang lain.

Kini semuanya terbentang luas tanpa saringan dan tapisan  untuk sesiapa sahaja memetik dan membawanya ke mana-mana  dengan sekelip mata.

Walaupun semuanya pantas dan mudah tidaklah bermakna bahawa masyarakat akan juga mudah menjadi arif dan bijak dalam membuat pilihan, lebih hemah dalam membuat penilaian dan  lebih terbuka dan toleran terhadap perbezaan atau perselisihan.

Apa yang ketara adalah sebaliknya.

Dalam sekitaran terbuka ini sesiapa sahaja yang pandai bersuara dan memikat akan mendapat perhatian, dokongan dan ikutan yang berbondong-bondong jumlahnya.

MENGAMBIL KESEMPATAN

Ramai juga yang menjadi petualang dengan mengambil kesempatan daripada kelemahan masyarakat yang mudah sahaja menerima sesuatu itu tanpa berfikir panjang.

Ia termasuklah dengan melaga-lagakan perbezaan di kalangan masyarakat dengan membangkit dan membesar-besarkan setiap perbezaan sehingga menimbulkan rasa cemas, resah gelisah dan kegusaran berlebihan-lebihan.

Inilah yang menyebabkan meningkatnya semangat kurang toleran yang semakin ketara kebelakangan ini.

Kalau dalam bidang keagamaan, umpamanya, pihak yang suka mengambil kesempatan ini lebih cenderung menanamkan bibit-bibit perpecahan dengan berhujah bahawa Islam sememangnya agama yang tegar, konservatif, tidak mudah menerima kepelbagaian atau perbezaan.

Mereka lebih suka mengadudombakan bahawa Islam adalah agama yang eksklusif,  lebih benar dan lebih tinggi tarafnya daripada agama-agama lain.

Seterusnya  mereka juga berhujah bahawa  umat Islam haruslah lebih berhati-hati terhadap sesiapa sahaja yang mengajar sebaliknya.

Mereka yang menentangnya dilihat sebagai ‘pengancam terhadap Islam’,  ‘dayus agama’, suka bersekongkol dengan ‘musuh Islam’ dan pelbagai tohmahan dan label lain (sebagai pengikut Syiah, Wahabi, liberal, sekular, sosialis dan sebagainya.)

TIADA PERTENTANGAN

Ada juga yang mahu melihat ketegangan hari ini  sebagai lanjutan konflik  melibatkan dua jenis Islam – Islam sederhana dan terbuka, dengan Islam konservati/tradisional dan kurang terbuka.

Walhal keadaan begini, yakni perselisihan dan perbezaan dalam Islam, memang telah lama pun wujud dalam sejarah   baik di bumi Arab mahu pun di sebelah Nusantara ini.

Satu perkara yang membezakan keadaan hari ini dengan sejarah lampau adalah kumpulan atau kelompok yang memperjuangkan fahaman agama yang lebih sempit dan kurang toleran – kalau dahulu ia adalah kecil dan terpencil – kini semakin berpengaruh dan mudah mendapat tempat dalam masyarakat.

Masalah ini adalah bukan kerana adanya pertentangan dalam ‘jiwa Islam’ (‘struggle within the soul Islam).

Tetapi ia lebih mengenai gejala tentang bagaimana sebuah jenis pemikiran dan kecenderungan yang dahulunya kecil dan terpencil, kini  dibantu oleh pelbagai faktor untuk  menjadi trend baru yang semakin dominan dan membimbangkan.

Apakah kita sudah mengambil langkah sebaiknya untuk mengenalpasti gejala ini dan memikirkan langkah berkesan untuk mengekangnya.

Inilah yang harus diberikan keutamaan sebelum ia terus berakar dalam masyarakat.

 


- BERITAmediacorp/ib

Top