Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Jangan harapkan saingan yang tidak menyengat; sebaliknya bersedia untuk apa jua

Jika trend global diambil kira persiapan bagaimana yang perlu dibuat oleh negara seperti S’pura demi memastikan ia terus berperanan dalam dunia yang kian berubah?

Anggaran Waktu Membaca:

Sedang kebanyakan negara sibuk dengan gerakan vaksinasi masing-masing, dunia bakal berhadapan dengan ketidaktentuan ekoran satu keadaan yang tidak dijangkakan.

Ia bukan kerana masalah kekurangan vaksin atau kerana kenaikan harga minyak.

Ia adalah kerana masalah kekurangan bekalan salah satu bahan pengeluaran yang walaupun kecil tetapi tidak kurang pentingnya:  cip-cip mikro yang terdapat dalam kebanyakan produk pengguna hari ini.

Baik bagi menggerakkan komputer peribadi, telefon bimbit, permainan komputer, alat  hawa dingin, peti sejuk, mesen pencuci hinggalah kepada pelbagai peralatan canggih di dalam kereta, pesawat dan jentera-jentera yang lebih besar.

Dari negara kuasa ekonomi dunia seperti Amerika Syarikat hinggalah ke pesaingnnya seperti China, Eropah dan rantau lain, kekurangan bekalan cip dijangka menjejas pertumbuhan ekonomi pasca-COVID-19.

Pakar  ekonomi menjangkakan masalah kekurangan bekalan ini bakal menganggu ramalan pertumbuhan global  yang telah dibuat sebelum ini.

Ia dikhuatiri akan memaksa kenaikan harga banyak barangan pengguna,  mesen pengilangan dan juga komponen kenderaan.

Gambar fail kereta-kereta di Singapura. (Gambar: Jeremy Long)

Sesetengah syarikat pembuat kereta dilapor telah pun terdesak untuk memotong jumlah pengeluaran selagi bekalan cip mereka tidak dapat dipenuhi secukupnya.   

Sekiranya ada di antara kita yang terpaksa menunggu lebih lama untuk mendapatkan kiriman kereta baru, mungkin inilah antara faktor utama kelengahan tersebut.

PERMINTAAN MENDADAK

Punca utama kekurangan bekalan cip-cip ini boleh dipersalahkan ke atas pandemik virus korona Covid.

Dengan sebahagian besar tenaga kerja, pelajar dan suri rumah terpaksa bekerja, belajar dan berhubungan dari rumah saja sepanjang pandemik, ia telah menyebabkan meningkatnya dengan mendadak permintaan global terhadap alat-alat peranti yang menggunakan teknologi digital.

Ia kemudian dirumitkan pula dengan pergeseran dagangan  Amerika -  China, dengan Beijing dikatakan mempunyai pengaruh yang kuat terhadap bekalan dan pengeluaran cip-cip sedunia.

Dengan permintaan ke atasnya yang semakin meningkat jauh daripada kemampuan syarikat-syarikat pengeluar menghasilkannya (pengeluar utamanya adalah Taiwan, Korea Selatan dan China sendiri), cip-cip mikro kini umpama minyak mentah yang suatu ketika merupakan bahan pengeluar yang sangat-sangat dikehendaki dunia.

Isu kekurangan bekalan sedunia bagi bahan teknologi tinggi ini merupakan antara isyarat jelas bahawa kita tidak boleh menjangkakan pemulihan ekonomi yang lancar sebagaimana yang telah kita lalui sebelum ini.

Besar kemungkinan pemulihan pasca-pandemik boleh melalui pelbagai ketidaktentuan disebabkan faktor-faktor seperti perubahan mendadak struktur ekonomi, perubahan teknologi, pertikaian  geopolitik dan  perang dagangan serta juga gangguan dan tekanan-tekanan lain di peringkat serantau dan antarabangsa.

ASAS PENTING

Mengambil kira keadaan tidak menentu inilah telah mendorong Pemerintah Singapura untuk menggariskan belanjawan pasca-COVID-19 dengan meletakkan asas-asas penting bagi membolehkan ekonomi bukan sahaja kembali pulih, malah bangkit dengan lebih teguh lagi.

Menteri Kewangan Heng Swee Keat semasa pembentangan Belanjawan 2021 (Selasa, 16 Feb 21) 

Sepanjang beberapa hari perbahasan di Parlimen, antara tema utama yang kerap kedengaran adalah bagaimana Singapura boleh terus mengharungi cabaran perubahan yang berlaku sana sini, baik yang dekat  dan juga yang jauh daripada kita.

Pokoknya dalam setiap perubahan itu Singapura boleh terus kekal memainkan peranan yang relevan dan menjadi hab antarabangsa diperlukan oleh orang lain.

Kalau dalam soal ekonomi dan hubungan luar,  persoalannya adalah bagaimana Singapura boleh terus memainkan peranan utama sebagai pusat dagangan, kewangan dan perhubungan.

Dengan ekonomi dunia semakin hari semakin mencabar perubahannya, termasuk banyak  tekanan dan gangguan yang boleh dihadapi seperti penularan penyakit berjangkit, apakah strategi kepelbagaian sebaiknya yang boleh menjadi pilihan.

Dan setiap pilihan yang dibuat itu pula menuntut perancangan yang rapi dan cermat bagi memenuhi keperluan-keperluan seperti jenis tenaga kerja, kemahiran, latihan dan juga perubahan dalam sukatan pelajaran atau sistem pendidikan.

HAB GLOBAL

Kombinasi semua strategi ini berfokus kepada usaha menjadikan Singapura “hab teknologi dan perniagaan global” yang bermutu tinggi,  seperti yang disebut Menteri Perdagangan dan Perusahaan Chan Chun Sing.

Dengan cara ini ia boleh menarik modal dan kepakaran bermutu tinggi yang sedia bertapak di Singapura dengan menjalankan pelbagai kegiatan ekonomi bertaraf global.

Untuk mencapai matlamat ini, Singapura kata Menteri Chan, mestilah dapat meyakinkan para pelabur sedemikian bahawa negara ini sentiasa dapat menyediakan segala yang diperlukan mereka lebih baik daripada tempat-tempat lain.

(Gambar fail: TODAY)

Sebagai ekonomi nilai tambahan tinggi ini, Singapura tidak perlu mengamalkan strategi ‘Lautan Merah’, di mana kita sekadar berupaya menghasilkan barangan yang lebih murah daripada orang lain sahaja (bagai himpunan ikan-ikan jerung yang sedia merampas sekelumit bangkai sesama sendiri). 

Sebaliknya, strategi kita kata Encik Chan, haruslah berupa strategi ‘Lautan Biru’ di mana Singapura mampu menghasilkan sesuatu yang sukar bagi orang lain untuk melakukannya.

Melihat kepada trend-trend global hari ini kita dapat memahami mengapa pilihan yang dibuat oleh Singapura adalah ke arah jalan yang sukar, penuh berliku dan pelbagai cabarannya.

Tetapi ia juga adalah pilihan yang boleh menjanjikan Singapura kedudukan dan peranan yang lebih terjamin untuk beberapa dekad mendatang.

DINAMIK DAN RESPONSIF

Bagi golongan pekerja ia juga bermakna peluang-peluang pekerjaan yang lebih baik dari segi kemahiran dan bayaran gaji.

Bagi golongan pelajar, ia menjanjikan sistem pendidikan yang lebih dinamik dan responsif terhadap perubahan-perubahan yang berlaku di peringkat global.

Dan bagi masyarakat umumnya pula, ia bermakna peningkatan mutu kehidupan dengan taraf keselesaan dan kesejahteraan lebih tinggi daripada sebelumnya.

Untuk mencapai semua matlamat ini,  pertama sekali kita semua haruslah memahami gambaran yang lebih luas tentang apa yang sebenarnya berlaku di dunia dan mengapa negara seperti Singapura perlu membuat  sesetengah pilihan tertentu.

Adakala sesetengah pilihan itu mungkin mengkehendaki dasar-dasar yang sukar diterima buat masa ini. Namun jika  ia dilihat dari sudut jangka panjang kita boleh memahami mengapa ini semua perlu dilakukan.


Sumber : BERITA Mediacorp/ib
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan