Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Jangan gunakan agama untuk benarkan kebencian dan pengganasan

Ada pengganas yang menggunakan alasan agama untuk melakukan keganasan. Namun di sebalik semua perbuatan ganas itu adalah ideologi kebencian yang mempergunakan agama.  

Anggaran Waktu Membaca:
KOMENTAR: Jangan gunakan agama untuk benarkan kebencian dan pengganasan

Para pejuang ISIS di bandar Raqqa di Syria. (Gambar: Associated Press)

BERITAmediacorp: Ada pengganas yang menggunakan alasan agama untuk melakukan keganasan. Namun di sebalik semua perbuatan ganas itu adalah ideologi kebencian yang mempergunakan agama.

Sejak dua minggu lalu, dunia dikejutkan dengan beberapa aksi pengganasan yang kejam. Keseluruhannya, lebih dua puluh nyawa terkorban dan puluhan orang cedera.

Ini termasuk serangan di mana seorang guru sejarah dipenggal kepalanya manakala dalam insiden berasingan pula tiga orang dibunuh dalam gereja, seorang daripadanya juga dipenggal kepalanya.

Selain dari itu, dua wanita telah dilaporkan menikam dua wanita Muslim yang berhijab serta menarik hijab yang mereka pakai serta melontarkan kata-kata berbaur perkauman. Kesemua insiden ini berlaku di Perancis.

Di Afghanistan pula, kumpulan pengganas ISIS telah mengaku melancarkan serangan di Universiti Kabul mengakibatkan lebih 20 orang terbunuh.

ATAS NAMA AGAMA

Sekiranya diteliti, serangan ganas yang berlaku ini kesemuanya mempunyai motif atau elemen agama. Ada yang dilancarkan kononnya demi mempertahankan agama dan ada pula yang menggunakan agama untuk mewajarkan perbuatan songsang mereka. Ada juga serangan yang dilakukan kerana sifat kebencian terhadap sesuatu agama.

Askar Perancis bergegas ke tapak kejadian setelah beberapa orang cedera ditikam. (Gambar: AFP/Alain JOCARD)

Keganasan atas nama agama (religious violence) bukan satu fenomena baru. Dalam sejarah manusia, banyak konflik dan peperangan telah berlaku atas nama agama. Begitu juga pada hari ini, kita terus menyaksikan konflik agama yang berlaku di banyak negara seperi India, Myanmar, Sri Lanka, Indonesia dan sebagainya.

Tidak kurang pula, kumpulan pengganas seperti Al-Qaeda dan ISIS yang menggunakan agama untuk membenarkan perbuatan zalim dan ganas.

Agama memang memainkan peranan yang sangat penting dalam diri manusia dan telah berperanan membawa manusia kepada kesatuan dan kedamaian.

Namun, kemurnian agama itu boleh dicemar dengan begitu sahaja hanya dengan perbuatan segelintir yang tidak bertanggungjawab.

Pencemaran kemurnian agama ini berlaku apabila roh agama itu gagal dihidupkan. Ia juga boleh berlaku apabila seseorang itu tidak memahami dan mendalami agamanya lalu mengambil tindakan yang tidak sewajarnya atas nama agama.

Namun, agama itu hanya faktor yang menyebabkan seseorang itu berlaku ganas. Di samping agama, ada satu lagi faktor utama yang menyebabkan seseorang itu bertindak di luar landasan agama: itulah ideologi kebencian.

IDEOLOGI KEBENCIAN

Bendera ISIS. (Gambar hiasan: DADO RUVIC/REUTERS)

Sifat benci wujud dalam diri manusia adalah lumrah, dengan ada yang suka kepada sesuatu perkara dan benci kepada sesuatu yang lain.

Namun, seseorang itu tidak seharusnya berlaku zalim atau bertindak dengan sesuatu yang tidak wajar berdasarkan kebenciannya.

Hal ini telah ditekankan sendiri dalam Al-Quran dalam Surah Al-Maidah ayat 8 di mana Allah swt berfirman:

“Dan janganlah sekali-kali kebencianmu terhadap sesuatu kaum, mendorong kamu untuk berlaku tidak adil. Berlaku adillah, kerana adil itu lebih dekat kepada takwa”.

Ideologi kebencian itu kelihatannya semakin ketara dan dapat disaksikan melalui banyak insiden di merata dunia pada hari ini.

Kita tidak menafikan bahawa prinsip kebebasan bersuara yang dipegang kuat individu seperti Presiden Perancis Emmanuel Macron penuh dengan elemen kebencian terutama sekali terhadap orang Muslim.

Begitu juga mereka yang bertindak ganas dengan membunuh dan melakukan pengeboman kesemuanya memilihi ideologi kebencian yang sangat berbahaya sekali. Ideologi ini terbukti boleh membawa kepada maut dan parah.

Kesan dan akibat dari ideologi kebencian ini amat buruk sekali. Ideologi ini merupakan punca segala jenis konflik dan pergeseran yang melibatkan manusia.

Banyak nyawa yang terkorban, kerosakan yang tidak perlu serta perhubungan baik yang terputus – kesemuanya berpunca dari ideologi kebencian ini.

Untuk menuju ke arah damai sejagat, ideologi kebencian itu harus ditentang dan dihapuskan sama sekali.

Mereka yang terlibat dalam aksi keganasan itu bertindak tidak berdasarkan akal yang waras dan jiwa yang penuh kasih sayang, namun dengan kebencian yang sangat mendalam.

BAGAIMANA KITA RESPONS

Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern, memeluk seorang penduduk Muslim di Masjid Kilbirnie di Wellington. (Gambar: Getty Images)

Walau apa keadaannya sekali pun, kebencian tidak boleh dibalas dengan kebencian. Begitu juga keganasan juga tidak boleh dibalas dengan perbuatan ganas yang serupa. Keganasan dan kebencian bukan jalan untuk menyelesaikan isu yang melibatkan penghinaan terhadap segolongan kaum atau pun agama.

Dalam erti kata yang lain, keganasan dan pembunuhan tidak boleh dijadikan alasan dalam mempertahankan agama. Malah, agama itu menentang sekali pembunuhan tanpa hak.

Melalui akhlak Nabi Muhammad s.a.w., Islam telah menunjukkan cara untuk membalas segala kejahatan iaitu dengan kebaikan. Dengan cara ini, hati yang keras akan menjadi lembut dan lebih tenang.

Walaupun Islam, Nabi Muhammad dan umatnya dihina sekali pun, respons kita harus tetap dengan kebaikan dan bukan dengan kehinaan dan kejahatan yang serupa.

Inilah yang ditunjukkan sendiri oleh Nabi Muhammad s.a.w. di mana kasih sayang dan akhlak mulia yang ditunjukkan oleh Nabi itu akhirnya dapat mengubah hati mereka untuk memeluk agama Islam.

PERLU DIPERBETUL

Hakikat ini juga telah ditekan sendiri oleh Allah s.w.t. dalam Al-Quran Surah Fussilat ayat 34 di mana Allah memerintahkan:

“Tolaklah (kejahatan itu) dengan cara yang lebih baik, maka tiba-tiba orang yang antara kamu dan antara dia ada permusuhan seolah-olah telah menjadi teman yang sangat setia.”

Penghinaan terhadap Islam dan Nabi Muhammad adalah sesuatu yang tidak wajar dan harus ditentang. Begitu juga penghinaan terhadap agama-agama lain serta penganutnya.

Namun, apakah wajar kita mengambil respons terhadap penghinaan tersebut dengan mewujudkan lebih banyak konflik dan masalah serta memecahbelahkan antara umat manusia?

Tidak dinafikan keganasan itu tidak akan boleh membawa sebarang manfaat. Malah ia menimbulkan lebih banyak masalah.

Amat teruk lagi apabila keganasan dan kebencian itu didasarkan dan dibenarkan atas nama agama. Ini adalah sesuatu yang harus ditentang dan diperbetulkan.

MENGEKALKAN KEHARMONIAN

51 orang Muslim maut susuli serangan masjid Christchurch. (Gambar: AFP/STR)

Manusia di seluruh dunia hidup sebagi satu masyarakat global bahkan semuanya adalah saudara dari ibu bapa asal yang pertama.

Kepelbagaian agama, bangsa, bahasa dan budaya itu adalah ciri-ciri khas kejadian manusia ciptaan Tuhan yang harus diraikan dan dihormati.

Amat sayang sekali, apabila manusia hanya dapat melihat kepelbagaian sebagai penghalang untuk mencapai kedamaian sejagat.

Kepelbagaian yang dimiliki manusia itu harus dijadikan kekuatan untuk lebih bersatu antara satu sama lain dan tidak seharusnya dijadikan sebab untuk mewujudkan kebencian dan konflik.

Insiden yang berlaku di Perancis, Viennna dan di tempat-tempat lain ini harus dijadikan iktibar untuk menghapuskan ideologi kebencian serta mengekalkan keharmonian dan kepercayaan.

Ideologi kebencian termasuk prinsip kebebasan bersuara yang mengandungi elemen kebencian yang harus ditentang sama sekali.

MAINKAN PERANAN

Setiap golongan harus memainkan peranannya, baik pemerintah, ketua agama dan masyarakat umum, harus memastikan bahawa setiap ucapan dan langkah mereka itu bebas sama sekali daripada ideologi kebencian terutamanya kebencian terhadap sesuatu dan agama.

Agama pula akan terus kekal memainkan peranan pentingnya untuk mewujudkan kedamaian sejagat.

Seperti kata Biskop Sepanyol Miguel Angel Ayuso Guixot dalam satu persidangan di Singapura bahawa agama mempunyai peranan yang tidak dapat digantikan dalam memelihara kedamaian dan keharmonian.

Agama, katanya, sering dianggap memprovokasi prasangka dan ketaksuban sehingga dilihat sebagai membawa masalah.

Namun, hakikatnya, agama tidak membawa masalah. Ia adalah sebahagian daripada penyelesaian bagi realiti kehidupan kita.

Ayuh! Marilah kita terus meningkatkan usaha melestarikan kemurnian agama, menentang ideologi kebencian dan mengekalkan keharmonian dan kepercayaan dalam masyarakat kita.

Semoga kesedaran dan peningkatan usaha kita ini bakal menghasilkan kehidupan bermasyarakat yang lebih harmoni, penuh kepercayaan dan jauh dari segala kebencian dan konflik.

MENGENAI PENULIS:

Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan