Images
  • tangan warga tua
    Gambar hiasan: Unsplash

KOMENTAR: Jagaan akhir hayat yang bermakna, sedang penduduk S'pura semakin menua

BERITAmediacorp: “Harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama”. Begitulah yang difahami masyarakat kita apabila kita membincangkan tentang pusaka yang ingin ditinggalkan di saat pemergian kita.

Namun, antara kehidupan dan pemergian kita, apakah yang kita bayangkan sebagai proses peninggalan yang diinginkan?

Adakah ini merupakan sesuatu yang biasa dibincangkan atau dipendamkan di dalam lubuk hati, tanpa disuarakan atau diperbualkan secara terbuka?

Jika inilah duduk perkara, bagaimanakah dapat kita memastikan ahli keluarga atau orang tersayang memahami tentang kemahuan kita sebelum tiba saat-saat terakhir kita?


Gambar: Homage.sg

MENGAPA PENTING UNTUK RENUNGKANNYA

Inilah persoalan-persoalan yang dikupas melalui program Both Sides, Now: Mengukir Harapan yang dipentaskan secara langsung dari 5 hingga 7 November dan juga secara online. Secara latar, Singapura berdepan dengan isu penduduk yang semakin menua.

Memikirkan dan menyuarakan kemahuan kita di akhir hayat adalah salah satu langkah penuaan yang penting kerana ia menggalak renungan dan perbincangan tentang kehidupan dan kemahuan kita apabila tiba masanya kelak.

Sebahagian daripada proses pencambahan idea bagi program tersebut, kami telah menjalankan kajian yang merangkumi temu duga bersama anggota masyarakat yang mempunyai pengkhususan dalam bidang akhir hayat seperti peguam, pekerja sosial, jururawat dan para pengkaji. Kami juga menyertai siri bengkel pelibatan masyarakat yang disertai oleh pelbagai lapisan masyarakat.

Seramai 46 peserta daripada pelbagai latar belakang berusia antara 18 hingga 70 tahun mengambil bahagian dalam tujuh sesi bengkel itu.

Dalam kalangan mereka, lapan adalah anak tunggal, empat pula merupakan satu-satunya penjaga di rumah dan lapan peserta berusia 55 tahun ke atas.

Kajian kami jelas menunjukkan bahawa mereka yang dapat membayangkan pemergian diri mereka berasa lebih tenang apabila berdepan dengan kemungkinan sedemikian.

Kedudukan kehidupan semasa seseorang turut mempengaruhi pemikiran tentang akhir hayat dan ini mempunyai kesan terhadap cara mereka menjalani kehidupan mereka sekarang dan juga pemikiran mereka tentang penuaan. Ini amat genting, terutama sekali bagi golongan warga emas yang sedang meniti usia senja kehidupan mereka.

Taraf sosio-ekonomi, pengalaman hidup, adat dan juga agama mempengaruhi pemikiran dan pendekatan seseorang tentang akhir hayat, terutama sekali bagi warga emas yang mungkin lebih cenderung mendekatkan diri dengan Tuhan di babak-babak akhir kehidupan mereka.


Gambar fail: TODAYonline

SISTEM JAGAAN KESIHATAN DI S'PURA

Dengan adanya sistem jagaan kesihatan di Singapura yang membolehkan rawatan tanpa batas, atau lebih daripada yang diperlukan, ini menekankan betapa pentingnya untuk kita memikirkan sejauh manakah rawatan yang kita inginkan di akhir ayat.

Tanpa luahan yang jelas tentang kemahuan kita, ahli keluarga kita besar kemungkinan akan menghadapi kesulitan melaksanakan amanah mereka untuk kita. Ini terutama sekali apabila kita tidak lagi berada dalam keadaan sedar atau mampu menyuarakan kemahuan kita disebabkan oleh keadaan tertentu. Lantas, kita harus memikirkan dengan serius tentang apakah yang dimaksudkan dengan “pemergian yang tenang”.

Kajian kami menyentuh aspek-aspek seperti; pergi tanpa kesakitan atau kesengsaraan, bersama ahli keluarga dalam keadaan harmoni dan bersedia menerima pemergian kita, semua hutang telah dilunaskan dan tanpa membebankan sesiapa pun.


Gambar: AP

TIDAK HARUS MENYANGKA AHLI KELUARGA TAHU KEINGINAN KITA

Ahli keluarga (terutama sekali anak-anak) yang terpaksa membuat keputusan untuk ibu bapa yang semakin lanjut usia dan uzur, menghadapi tekanan berat apabila memikirkan kemahuan orang tersayang di akhir hayat.

Beberapa peserta kajian kami juga meluahkan kebimbangan mereka tentang berapa ramai orang sebenarnya yang tahu tentang keinginan ibu bapa mereka yang semakin lanjut usia.

Ini lebih-lebih lagi di negara seperti Singapura, di mana jangka hayat penduduknya semakin meningkat dan jangka usia yang dihabiskan dalam keadaan kurang upaya semakin panjang.

Apabila seseorang itu tidak tahu atau kurang jelas tentang apa yang diinginkan oleh ahli keluarga mereka, mereka mungkin berasa serba salah lalu lebih cenderung memberikan semua rawatan yang termampu. Ini kerana mereka tidak mahu berasa menyesal apabila tidak memberikan ahli keluarga peluang yang terbaik untuk hidup.

Namun, kajian menunjukkan bahawa ahli keluarga berasa tekanan untuk memberikan rawatan yang lebih daripada yang dimahukan oleh orang tersayang mereka yang sedang mengalami kesakitan. Oleh itu, kita harus mengambil langkah awal bagi memastikan ahli keluarga kita tidak berada di dalam keadaan sedemikian apabila tiba masanya kelak.

Selaras dengan itu, sikap dan keterbukaan serta kesediaan terhadap perbincangan tentang keinginan akhir hayat harus dipupuk dalam kalangan masyarakat.

Ini terutama sekali kerana kajian kami menunjukkan bahawa salah faham antara generasi muda dan tua sering berlaku disebabkan tiada keterbukaan terhadap perbincangan tentang perkara ini, yang dianggap sebagai sesuatu yang kurang selesa, menakutkan atau terlarang.

Kajian kami juga menunjukkan bahawa masih ramai orang tidak berasa selesa untuk membincangkan tentang apa yang diinginkan di akhir hayat.

Bagi mereka yang bersedia pula, mereka tidak dapat meluangkan masa, ruang atau peluang yang sesuai untuk membincangkan hal yang dianggap berat atau menghadapi ahli keluarga yang kurang selesa untuk berbincang tentang perkara sedemikian.


Gambar: Unsplash

WADAH SESUAI UNTUK BINCANG AKHIR HAYAT

Menerusi program Kata-Kata Kita ini, kami berharap untuk menyediakan sebuah wadah untuk menggalak perbincangan yang terbuka tentang apa yang dianggap sebagai terlarang.

Program yang terdiri daripada sketsa, drama, luahan pendapat menerusi surat dan juga perbincangan dengan pakar adalah usaha kami untuk memperkenalkan pendekatan yang cekap budaya bagi membincangkan isu yang sensitif ini.

Dengan melakar pendekatan yang bukan sahaja cekap, tetapi juga peka budaya apabila membincangkan isu akhir hayat, termasuk maksud proses penuaan yang memuaskan, kami berharap ia dapat melenturkan ketidakselesaan antara generasi termasuk juga antara suami isteri dan juga ahli keluarga apabila membincangkan tentang kematian.

Pendekatan menggunakan seni ini membolehkan kita untuk berbincang dalam suasana yang lebih santai, namun tetap menghormati perkara-perkara yang dibincangkan.

Ia juga memberi kita ruang untuk membayangkan situasi yang mungkin belum dilalui dan menggalak kita untuk membuat renungan tentang pengalaman yang pernah atau belum dilalui.

Ini dilakukan dengan meletakkan diri kita di dalam situasi yang dipersembahkan atau menulis tentang pemergian seseorang yang telah meninggalkan kesan yang mendalam kepada kita sebelum ini.

Wadah ini diharap dapat memperluaskan lagi wacana dan renungan kita terhadap topik ini yang sering kali dianggap berat.


Salah satu sesi yang distrim secara langsung. 

MENGENAI PENULIS:


Siti Hazirah Mohamad, lulusan ijazah sarjana muda dan sarjana Jabatan Pengajian Melayu, Universiti Nasional Singapura (NUS) adalah Penyelidik Bersekutu di CARE.  


Dr Ad Maulod merupakan ahli antropologi dan Zamil Penyelidik Kanan di Pusat Kajian dan Pendidikan Penuaan (CARE).

- BERITAmediacorp/sm

Top