Images
  • komentar main photo
    14 kapal kerajaan Malaysia didapati memasuki perairan wilayah Singapura sejak 24 November 2018. (Gambar: Raj Nadarajan/TODAY)

KOMENTAR: Isu Perairan S'pura-M'sia tiada penyelesaian lain kecuali rundingan

BERITAmediacorp: Pertikaian sempadan maritim antara dua negara jiran - Singapura dan Malaysia - dikhuatiri akan mengeruhkan hubungan dua hala, sedang kedua-dua negara di ambang kemajuan yang pesat berdasarkan beberapa perjanjian penting yang dimeterai sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Ketegangan akibat pertikaian sempadan maritim dan ruang udara baru-baru ini dikhuatiri akan menjejas hubungan muhibah antara kedua-dua negara.

Dalam tulisan berikut, peguam Zhulkarnain Abdul Rahim menyelongkar latar belakang dan sejarah di sebalik pertikaian sempadan antara Singapura dengan Malaysia dan sekiranya pertikaian timbul, maka kedua-dua negara perlu mengambil iktibar daripada pengalaman lalu dan cuba menghuraikannya melalui rundingan yang membina.

Pada 25 Oktober 2018, Malaysia mengisytiharkan bahawa Had Pelabuhan Johor Bahru di Selat Johor diperluaskan sehingga memasuki perairan wilayah barat Tuas, Singapura.

Penguasa Maritim dan Pelabuhan Singapura (MPA) tidak mengiktiraf notis sehala tersebut.

Ekoran itu, 14 kapal kerajaan Malaysia memasuki perairan wilayah Singapura sejak 24 November 2018.


Pada 6 Disember 2018, Menteri Pengangkutan Singapura Khaw Boon Wan menegaskan bahawa pencerobohan ini melanggar kedaulatan wilayah Singapura.

Pada hari yang sama, MPA mengeluarkan notis untuk memperluaskan Had Pelabuhan Singapura sehingga merangkumi kawasan perairan wilayah di barat Singapura tersebut.

Menteri Pengangkutan Malaysia Anthony Loke pula menafikan bahawa perairan tersebut adalah wilayah Singapura dan mendakwa bahawa ia adalah perairan wilayah Malaysia walaupun kawasan berkenaan telah ditadbir oleh Singapura sejak beberapa dekad lamanya.


Sebelum ini, Malaysia tidak pernah pun menuntut perairan kawasan tersebut.

MELEBIHI DARIPADA APA YANG DITUNTUT

Malah, tuntutan yang terkini melebihi apa yang dituntut Malaysia dalam peta cetakan tahun 1979 (Territorial Waters and Continental Shelf Boundaries of Malaysia) dan Perjanjian 1995 antara Malaysia dan Singapura.

Di bawah perjanjian itu, perairan wilayah kedua-dua negara telah dikaji mengikut persetujuan bersama.

Dalam mencari jalan penyelesaian, kita harus memahami rangka perundangan maritim antarabangsa dan menyelidik sejarah di sebalik perairan Selat Johor.

WARISAN PERJANJIAN 1927

Dalam Perjanjian 1927, perbatasan perairan dipersetujui antara negeri Johor dan pihak British, yang mewakili koloni Singapura.

Garisan perbatasan tersebut adalah pertengahan saluran air yang terdalam di Selat Johor.

Ini agak musykil kerana dalam suatu perjanjian yang lain pada tahun 1885, pihak British telah bersetuju bahawa bagi perairan yang kurang 6 batu nautika panjangnya, perbatasan perairan adalah garis pertengahan antara pantai kedua-dua wilayah (equidistant).

Namun, Perjanjian 1927 tidak pun mengikut garis pertengahan dan tidak pula merujuk kepada Perjanjian 1885.


(Gambar: AP)

Mengapa landas perukuran ini digunakan dalam Perjanjian 1927? Mungkin ini untuk memudahkan pihak British ke pangkalan tentera laut di Sembawang.

Ini adalah kerana jika had perairan dikira mengikut pertengahan saluran air yang terdalam di Selat Johor, ini akan memastikan bahawa pihak British (lantas Singapura) dapat mengawal hampir dua pertiga perairan yang merupakan pintu masuk timur ke Selat Johor.

Perjanjian 1927 ini berkuat kuasa selepas kemerdekaan Malaysia dan Singapura sehingga ia diganti oleh Perjanjian 1995 antara Singapura dan Malaysia.

PERJANJIAN S'PURA-M'SIA 1995

Pertikaian sempadan maritim antara Singapura dengan Malaysia bukan baru berputik.

Pada 21 Disember 1979, Malaysia mencetak peta yang menuntut sebahagian perairan di kawasan barat Singapura sebagai kawasan perairan wilayahnya.

Singapura pada 14 Februari 1980 menyangkal tuntutan tersebut melalui nota diplomatik.

Pada tahun 1982, sebuah kajian hidrografi bersama telah dilaksanakan untuk menentukan garisan pertengahan saluran air yang terdalam di Selat Johor menurut Perjanjian 1927.

Kajian itu mendapati bahawa saluran air yang terdalam berukuran antara 6 dan 12 fathom (1 fathom seperti 6 kaki dalamnya).

Pada 1985, laporan kajian tersebut diterbitkan dan diterima oleh semua pihak.

Namun, Malaysia pada tahun 1987 dan 1999, telah mencetak peta Had Pelabuhan Johor yang mengulangi tuntutannya pada tahun 1979.

KESELAMATAN PERKAPALAN

Singapura pula melanjutkan had pelabuhannya pada tahun 1999 ke barat Raffles Lighthouse (Rumah Api Raffles) untuk mempermudahkan penyenggaraan trafik dan keselamatan perkapalan ke pelabuhan Singapura.


Hasil penemuan kajian 1985 dan perbincangan yang membina, Singapura dan Malaysia berjaya memeterai Perjanjian 1995 yang ditandatangani oleh Menteri Luar Singapura, Prof S Jayakumar dan Menteri Luar Malaysia, Abdullah Badawi.

Ia bertujuan untuk melakarkan sempadan perairan yang terdalam antara kedua-dua negara mengikut 72 lokasi yang ditetapkan daripada timur hingga ke barat Singapura.

Artikel 2 Perjanjian 1995 menyatakan bahawa perjanjian tersebut tidak mengubah perairan wilayah negara masing-masing dan kedua-dua negara bersetuju akan menyelesaikan isu sempadan maritim melalui rundingan dua hala.

Beberapa tahun kemudian, isu ini timbul lagi ketika penambakan tanah di Tuas dan Pulau Tekong.

PERTIKAIAN DEKAD 2000

Pada tahun 2002, Malaysia membantah aktiviti penambakan tanah Singapura di Tuas dan Pulau Tekong.

Antara sebab yang diberikan adalah penambakan tanah tersebut mencerobohi kawasan perairan wilayahnya dan boleh menjejas kehidupan maritim.

Pada masa itu, proses penambakan tanah di Tuas telah berjalan lebih daripada 1½ tahun.

Perjanjian 1995 pula tidak jelas kerana pada masa perjanjian tersebut, penambakan tanah di Tuas dan Pulau Tekong masih belum berlaku.

Selaras dengan Artikel 283 Konvensyen Undang-Undang Laut PBB (UNCLOS), semua pihak mengadakan rundingan pada Ogos 2003 di Singapura untuk mencari jalan penyelesaian.

Namun, Malaysia menetapkan syarat bahawa Singapura harus menghentikan segala aktiviti penambakan tanah sebelum melanjutkan rundingan.

SYARAT TIDAK DIPERSETUJUI

Syarat ini tidak disetujui oleh Singapura. Justeru, Malaysia merujuk kes ini kepada Tribunal Antarabangsa untuk Undang-Undang Laut (ITLOS) untuk mendapatkan perintah sementara bagi menghentikan penambakan tanah di Tuas dan Pulau Tekong.


(Gambar: AFP)

Pada 8 Oktober 2003, ITLOS sebulat suara tidak memberi perintah penghentian yang diminta Malaysia.

Namun, ITLOS mengarahkan semua pihak supaya menubuhkan panel yang terdiri daripada pakar bebas untuk penyelesaian.

Hasil kajian panel tersebut dan rundingan dari Disember 2004 hingga Februari 2005, Singapura dan Malaysia menandatangani Perjanjian pada tahun 2005 yang dikemukakan kepada ITLOS.

Mengikut Artikel 13 Perjanjian 2005, kedua-dua pihak telah menyelesaikan isu penambakan tanah dan bersetuju untuk menyelesaikan isu sempadan maritim melalui rundingan dua hala, sepertimana yang dipersetujui di bawah Perjanjian 1995 juga.

MAHKAMAH ANTARABANGSA

Jika tiada penyelesaian, sebarang pihak boleh membuat tuntutan melalui proses timbang tara atau mahkamah antarabangsa.

Kes mahkamah antarabangsa akan mengambil masa dan mengalihkan sumber tenaga kedua-dua negara daripada aktiviti-aktiviti lain yang boleh membina dan memanfaatkan ekonomi rakyat masing-masing.

Ia juga boleh meningkatkan lagi ketegangan dan menggugat keutuhan hubungan antara dua rakyat.

Jika dilihat dari segi Islam pula, sistem penyelesaian pertikaian harus menitikberatkan proses perdamaian (sulh) daripada penghakiman atau timbang tara.

Rasulullah s.a.w. cenderung kepada penyelesaian secara damai sepertimana yang diriwayatkan di dalam sebuah hadith yang bermaksud: “Saya hanya seorang manusia biasa dan kamu membawa kepada saya pertikaian antara kamu.

Andainya satu pihak antara kamu mengemukakan tuntutannya dengan cara yang lebih menarik dari pihak yang lain, sehingga saya memberi keputusan yang tidak benar kepada pihak itu, iaitu memberi hak satu saudara ke saudara yang lain, ia harus tidak menerimanya sebab itu adalah sebahagian dari neraka."

SECARA DAMAI DAN SUKARELA

Maka, penyelesaian secara damai dan yang dibuat secara sukarela adalah lebih baik daripada penyelesaian melalui perbicaraan dan keputusan muktamad mahkamah.

Kaedah seperti ini bukan sahaja dapat menamatkan pertikaian, bahkan juga memelihara hubungan dan menghasilkan manfaat bersama.

Umpamanya, Singapura dan Indonesia melalui 3 persetujuan 1973, 2009 dan 2014, telah bersetuju atas sempadan maritim sepanjang 67km di Selat Singapura dan ini membolehkan kedua-dua negara untuk menumpu perhatian kepada aktiviti kerjasama yang lain.


(Gambar: MINDEF/Facebook)

Malah, setelah Perjanjian 2005, Singapura dan Malaysia juga terus berkerjasama tentang pelbagai isu di Selat Johor termasuk pelabuhan, keselamatan dan kesekitaran.

Pada 2016, Menteri Sekitaran dan Sumber Air Singapura Masagos Zulkifli dan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Malaysia Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar secara bersama menyatakan bahawa Singapura dan Malaysia komited untuk terus memenuhi tanggungjawab masing-masing mengikut undang-undang antarabangsa berhubung kerja penambakan tanah di Selat Johor.

TUNTUTAN DAN PERTIKAIAN TERKINI 

Mengikut Artikel 3 UNCLOS, setiap negara yang berpantai mempunyai hak wilayah perairan sepanjang 12 batu nautika (iaitu hampir 23km) dari garis dasar pantainya. 

Namun, jarak Singapura dan Malaysia di Selat Johor agak dekat. Sebagai contoh, Jambatan Causeway di Woodlands dan Linkedua di Tuas hanya sepanjang 1-2km sahaja.

Had Pelabuhan, yang ditadbir oleh MPA atau Jabatan Laut Malaysia, pula tidak sama ertinya dengan Perairan Wilayah, yang merupakan kawasan kedaulatan negara tersebut.

Oleh itu, tidak semua Perairan Wilayah Singapura termasuk dalam Had Pelabuhan Singapura yang ditadbir oleh MPA.


(Gambar: Roslan Rahman/AFP)

Tuntutan Malaysia terkini menyebabkan kapal-kapalnya berada di perairan wilayah Singapura dan kawasan perairan yang ditadbir oleh Singapura selama ini.

Ia juga melebihi apa yang Malaysia sendiri menuntut sebelum ini - mengikut petanya yang dicetak 1979 dan Perjanjian 1995.

Tindakan sehala untuk memperluaskan had pelabuhan tidak selaras dengan Perjanjian 1995 dan Perjanjian 2005.

CARI JALAN PENYELESAIAN

Singapura telah menyatakan hasratnya untuk mencari jalan penyelesaian yang baik mengikut rangka undang-undang antarabangsa demi menjaga jalinan hubungan dengan Malaysia.


(Gambar: Henning Gloystein/Reuters)

Justeru, Singapura telah meminta Malaysia supaya kembali kepada status quo ante sebelum 25 Oktober 2018 supaya rundingan boleh dilanjutkan.

Ini juga dapat mengelakkan ketegangan di kawasan perairan Tuas tersebut.

Pengumuman bahawa rundingan dua hala akan diadakan pada Januari 2019, amat dialu-alukan.

Singapura dan Malaysia saling memerlukan dan walaupun ada perselisihan pendapat, kedua-dua negara juga akan berusaha untuk mendapatkan jalan penyelesaian secara rundingan dengan baik ataupun merujuk kes pertikaian itu kepada mahkamah antarabangsa.

Mengenai Penulis:


Zhulkarnain Abdul Rahim adalah rakan kongsi dan peguam di firma guaman antarabangsa Dentons Rodyk & Davidson LLP.

- BERITAmediacorp/ai

Top