Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Isu ‘menyegarkan’ lagi pendidikan agama - lebih penting adalah bagaimana menyesuaikannya dengan keperluan pelajar

Memberikan respons terhadap satu rencana ULASAN baru-baru ini, penulis Muhammad Syafiq Suhaini mempersoalkan anjuran supaya ‘disegarkan semula’ tradisi berfikir dalam sistem pendidikan agama kita, antaranya dengan menyelitkan ilmu sains sosial. 

Anggaran Waktu Membaca:
KOMENTAR: Isu ‘menyegarkan’ lagi pendidikan agama - lebih penting adalah bagaimana menyesuaikannya dengan keperluan pelajar

Encik Masagos bersama graduan Universiti Al-Azhar kohort 2018. (Gambar-gambar: MUIS)

Memberikan respons terhadap satu rencana ULASAN baru-baru ini, penulis Muhammad Syafiq Suhaini mempersoalkan anjuran supaya ‘disegarkan semula’ tradisi berfikir dalam sistem pendidikan agama kita, antaranya dengan menyelitkan ilmu sains sosial. Bagi penulis, kedua-duanya mempunyai hala tuju dan kaedah yang berlainan.

(Gambar: MUIS)

Gambar fail: Para asatizah memberi tunjuk ajar kepada para murid

Asatizah merupakan antara pemimpin yang penting bagi masyarakat Melayu Singapura.

Ramai warga Melayu Singapura mempunyai pelbagai pendapat mengenai asatizah setempat, dari pendidikan sehinggalah cara mereka membawa diri mereka sendiri.

Perkara ini bukanlah sesuatu yang harus dicegah atau dihukum; sebaliknya, ia menggambarkan kepelbagaian pemikiran di kalangan masyarakat kita.

Namun begitu, terdapat sebahagian pandangan yang mungkin boleh memberi kesan yang negatif kepada asatizah.

Antara pandangan-pandangan ini adalah seruan untuk ‘memperbaharui’ atau ‘menyegarkan semula’ tradisi intelektual Islam.

Menurut mereka, tahap pemikiran dan cara pendidikan Islam di madrasah mahupun di universiti antarabangsa kurang mempersiapkan asatizah untuk menghadapi atau mengatasi masalah-masalah keagamaan setempat, kerana hanya mengutamakan kefahaman dan hafalan teks dari penerapannya.

Imam Besar Al-Azhar, Dr Ahmed Al-Tayyeb berucap di hadapan penuntut dan alumni Al-Azhar di Madrasah Aljunied Al-Islamiah. (Gambar: MUIS)

Imam Besar Al-Azhar, Dr Ahmed Al-Tayyeb berucap di hadapan penuntut dan alumni Al-Azhar di Madrasah Aljunied Al-Islamiah. (Gambar: MUIS)

Mereka juga berhujah bahawa tradisi intelektual Islam yang sedia ada kurang sesuai untuk abad ke-21 ini; tambahan pula, bahan rujukkan asatizah terlalu berat sebelah kepada penulis-penulis Timur Tengah.

Akhirnya, ada yang menyarankan supaya mata pelajaran lain, seperti sains sosial, seharusnya diperkenalkan ke dalam sukatan pelajaran institusi-institusi Islam agar mereka dapat menyumbang kepada masyarakat dengan lebih berkesan.

PERCANGGAHAN PENDAPAT

Pandangan-pandangan kritis ini adalah demi kebaikan asatizah dan masyarakat Melayu Singapura. Seperti mana yang telah ditengahkan sebahagian penyokong ‘segar semula’, usaha suai kenal penulisan ulama Nusantara, baik yang konservatif mahupun liberal, harus dipertingkatkan lagi.

Ini kerana pembelajaran agama tidak berpusat di Timur Tengah sahaja; malah, ia telah juga berkembang di semenanjung Nusantara ini.

Tambahan pula, walaupun usaha untuk memperkenalkan sains sosial ke institusi pengajian Islam adalah satu cadangan yang baik, ia tidak bermakna bahawa graduan institusi tersebut akan lebih peka terhadap konteks dan keperluan jemaah setempat.

Ini kerana tujuan institusi tersebut adalah untuk mendidik pelajar-pelajarnya supaya dapat berfikir dalam rangka pemikiran agama.

Gambar fail Masjid al-Azhar, (Gambar: AFP)

Gambar fail Masjid Al Azhar (Gambar: REUTERS)

Kaedah dan cara analisis di antara dua bidang ilmu ini amatlah berbeza dan boleh mendatangkan percanggahan pendapat.

KESEDARAN KONTEKS SETEMPAT

Misalnya, jumlah seks rambang di antara remaja sekarang kian meningkat. Islam menganjurkan supaya setiap Muslim menahan diri dari seks luar nikah melalui pelbagai cara yang berasaskan nas, seperti berpuasa atau bernikah dengan secepat mungkin.

Namun, banyak pengajian sains sosial telah membuktikan bahawa program keseksualan yang menekankan penahanan diri (abstinence programmes) telah gagal untuk mengurangkan seks rambang di antara remaja.

Bahkan, terdapat sebahagian kajian yang berpendapat bahawa program tersebut boleh meningkatkan jumlah kehamilan remaja.

Dengan itu, adalah tidak wajar untuk menyatakan bahawa ilmu sains sosial boleh meningkatkan kesedaran kepada konteks setempat.

Gambar fail. (Gambar: Francine Lim)

Gambar fail. (Gambar: Francine Lim)

PENGALAMAN DAN SIFAT PEKA

Pengalaman sebenarnya boleh memainkan peranan yang sama atau lebih penting dalam memupuk sifat peka terhadap keperluan jemaah setempat.

Sifat kurang peka terhadap keadaan setempat juga boleh terjadi kepada sebahagian saintis sosial, apabila mereka kurang memahami konteks atau ciri-ciri sesuatu kajian.

Justeru, sifat ini bukanlah eksklusif kepada golongan asatizah sahaja.

Lagipun, tidak semua asatizah mempunyai minat dalam mata pelajaran sains sosial.

Dengan itu, kita patut menghormati pendidikan dan latihan keagamaan seorang asatizah, dan tidak perlu mengharapkan beliau untuk menjadi pakar sosiologi, pekerja sosial ataupun pekerjaan yang lain.

HALA TUJU DAN KAEDAH BERBEZA

Malah, terdapat banyak karyawan lain – selain asatizah – yang juga bergaul dengan masyarakat atau mempunyai peranan yang penting, yang dapat mepengaruhi seluruh kehidupan masyarakat Melayu Islam Singapura, seperti ahli politik dan akademik.

Gambar fail Masjid Sultan.

Mengapakah mereka tidak diminta untuk mempelajari ilmu agama di samping kepakaran mereka supaya dapat melakarkan dasar atau kajian yang lebih mengikuti konteks agama setempat?

Ini tidak bermaksud salah satu dari dua bidang ilmu ini mempunyai lebih keistimewaan; tidak sesekalipun!

Apa yang ingin dimaksudkan sini adalah hala tuju dan kaedah dua bidang ilmu ini amatlah berbeza, dan memerlukan pedagogi yang berlainan untuk mengajar dan mempelajarinya.

Justeru, apakah penyelesaiannya?

TEORI PENDIDIKAN

Pertama, masalahnya tidaklah terletak pada pemikiran Islam secara mutlak. Ramai ulama dahulu dan sekarang telah banyak menulis tentang keperluan untuk melihat semula tradisi intelek Islam.

Masalahnya terletak pada cara dan teori pendidikan, atau pedagogi, yang mungkin belum disesuaikan dengan keperluan pelajar zaman ini.

Kedua, ramai yang menulis tentang perkara ini bukanlah pelajar madrasah, graduan institutusi pengajian Islam, mahupun asatizah.

Justeru, apa yang mereka katakan mugkin boleh berasal dari sudut pandangan ‘privileged’ (iaitu, sebagai seseorang yang melihat sesuatu fenomena dari luar, dan tidak pernah mengalami cabaran atau halangan yang dilalui mereka yang di dalam).

Dengan itu, ramai lagi asatizah ataupun graduan institusi pengajian Islam patut menyertai dalam perbincangan seperti ini, supaya dapat menyuarakan pengalaman dan rintangan mereka untuk menjadi seorang asatizah.

Lebih 500 asatizah menghadiri perjumpaan Hari Raya tahun ini. (Gambar: MUIS)

Antara asatizah yang menghadiri perjumpaan Hari Raya MUIS. (Gambar: MUIS)

Suara dan pandangan mereka juga patut dirujuk.

PERTINGKAT KERJASAMA

Akhirnya, usaha bekerjasama di antara asatizah dan pakar-pakar bidang yang lain harus dipertingkatkan lagi.

Usaha Majlis Fatwa MUIS, yang menjemput pakar-pakar sains untuk memberi pendapat mereka dalam proses pembentukkan fatwa, menunjukkan amalan yang patut dicontohi oleh golongan akar umbi, seperti di masjid-masjid.

Misalnya, jika mauduk sesuatu ceramah adalah tentang pengunaan media sosial, tidaklah adil bagi para peserta untuk mempelajari dari asatizah yang mungkin kurang ilmu atau pengalaman tentang trend ini.

Sebaliknya, adalah lebih wajar jika panel yang dijemput mengandungi bukan sahaja asatizah yang berpengalaman, bahkan juga sesorang yang pakar tentang media sosial.

MENGENAI PENULIS:

Mohammad Syafiq Suhaini ialah lulusan Sarjana Muda Sosiologi Universiti Teknologi Nanyang (NTU) dan kursus ijazah Sarjana di Universiti Oxford. Beliau juga seorang penyelidik bersekutu di ISEAS-Insitut Yusof Ishak.

Sumber : BERITA Mediacorp/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan