Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Isu jagaan kesihatan kaum wanita di Afghanistan tarik perhatian masyarakat antarabangsa

Taliban sekali lagi kembali berkuasa di Afghanistan. Sekalipun ada yang seakan-akan berputus asa, Suraya Dalil, Menteri Kesihatan Awam Afghanistan dari 2010 hingga 2014 sebaliknya berpendapat perkembangan itu mewujudkan peluang yang unik.

Anggaran Waktu Membaca:
KOMENTAR: Isu jagaan kesihatan kaum wanita di Afghanistan tarik perhatian masyarakat antarabangsa

Seorang pesakit wanita di sebuah hospital di Kabul, Afghanistan. (Gambar: REUTERS)

BERITAmediacorp: Taliban sekali lagi kembali berkuasa di Afghanistan. Sekalipun ada yang seakan-akan berputus asa, Suraya Dalil, Menteri Kesihatan Awam Afghanistan dari 2010 hingga 2014 sebaliknya berpendapat perkembangan itu mewujudkan peluang yang unik.

“Rejim Taliban yang baru ini memerlukan kebijaksanaan politik dan keberanian. Ketika saya menyandang jawatan Menteri, kami bekerja keras untuk membina prasarana asas: Klinik-klinik dan hospital-hospital.”

Setelah beliau melepaskan jawatan tersebut, terdapat lebih 2,000 kemudahan kesihatan yang menyediakan khidmat secara aktif.

“Kami mahu ia dikekalkan, memperluaskannya lagi demi kepentingan semua wanita, lelaki dan kanak-kanak yang berhak mendapatkan khidmat yang terbaik di Afghanistan,” kata Cik Dalil kepada saya.

Pasukan Taliban meronda di hadapan Lapangan Terbang Antarabangsa Hamid Karzai di Kabul, Afghanistan, pada 2 Sep 2021. (Gambar: Stringer/REUTERS)

Pasukan Taliban meronda di hadapan Lapangan Terbang Antarabangsa Hamid Karzai di Kabul, Afghanistan, pada 2 Sep 2021. (Gambar: Stringer/REUTERS)

KEMATIAN WANITA HAMIL

Pada awal tahun 2000-an selepas perikatan tentera asing menggulingkan Taliban, para doktor mendapati seorang wanita maut setiap 27 minit di Afghanistan akibat komplikasi berkaitan dengan kelahiran anak atau kehamilan.

“Apabila Melahirkan Bayi Membayangkan Kematian”(Where Giving Birth is a Forecast of Death) adalah tajuk yang tepat bagi rencana pertama Cik Dalil dalam jurnal The Lancet pada 2005.

Cik Dalil turut menarik perhatian sebahagian besar kematian wanita yang sedang hamil sebenarnya boleh dicegah jika khidmat sakit puan serta khidmat bersalin dan bidan yang berkemahiran disediakan.

Nisbah kematian wanita hamil di Afghanistan pada ketika itu adalah 1,900 wanita bagi setiap 100,000 kelahiran bayi, menurut laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 2000. Sebagai perbandingan, perangkaan di Amerika Syarikat adalah 17.

Seorang daripada setiap empat kanak-kanak meninggal dunia sebelum mereka mencecah usia lima tahun dan terdapat masalah kekangan karyawan kesihatan terlatih di Afghanistan. Kemudahan-kemudahan perubatan yang berfungsi juga tidak banyak di negara itu. Masalah kekurangan zat makanan dan mikronutrien yang kronik turut memburukkan lagi keadaan.

Ribuan penduduk Afghanistan cuba melarikan diri ke Pakistan. (Gambar: AFP)

Ribuan penduduk Afghanistan termasuk kanak-kanak cuba melarikan diri ke Pakistan. (Gambar: AFP)

SUKAR JADI DOKTOR WANITA DI BAWAH TALIBAN

Sistem jagaan kesihatan di Afghanistan semakin bertambah teruk sehingga menjadi antara yang paling dahsyat di dunia di bawah pemerintah Taliban. Norma-norma konservatif dan ketaksamaan jantina adalah antara faktor yang menyumbang kepada masalah tersebut.

Di kebanyakan hospital, doktor-doktor lelaki dibenarkan memeriksa pesakit wanita hanya jika mereka berpakaian lengkap. Ini menyulitkan diagnosis dan rawatan yang bermakna. Hanya segelintir doktor wanita terpilih dibenarkan merawat pesakit.

Para pakar bedah wanita pula diwajibkan memakai burqa walaupun sedang melakukan pembedahan; hanya wajah dan telapak tangan mereka saja yang dibenarkan boleh dilihat.

Setahun selepas Taliban menakluki Afghanistan, ia mengisytiharkan pada Januari 1997 bahawa hospital-hospital diasingkan mengikut jantina. Pada tahun itu juga, Kementerian Kesihatan Awam Afghanistan memaksa kesemua kecuali dua hospital untuk menghentikan khidmat perubatan bagi 500,000 wanita di ibu kota negara itu.

Sekumpulan wanita adakan tunjuk perasaan di Afghanistan pada 20 Sep 2021 (Gambar: AFP)

Sekumpulan wanita adakan tunjuk perasaan di Afghanistan pada 20 Sep 2021 (Gambar: AFP)

SISTEM JAGAAN LUMPUH DEK PEPERANGAN

Sejak rejim pertama Taliban digulingkan, kemajuan ketara dapat dilihat dari segi kesihatan awam: Jangka hayat kaum wanita di Afghanistan meningkat dari 57 tahun pada 2000 kepada 66 tahun pada 2018.

Jumlah wanita hamil yang meninggal dunia merosot dari 1,450 bagi setiap 100,000 kelahiran pada 2000 kepada 638 bagi setiap 100,000 kelahiran pada 2018. Kadar kematian kanak-kanak berusia bawah lima tahun turut menyusut dari 134 bagi setiap 1,000 kelahiran pada 2000 kepada 99 pada 2012.

Sekalipun Afghanistan mencatat kemajuan yang begitu ketara, ia kekal sebagai antara negara dengan kadar kematian wanita hamil, bayi dan kanak-kanak yang tertinggi di dunia. Pada 2017, UNICEF menganggarkan 7,700 kematian wanita hamil. Bandingkanlah perangkaan itu dengan jumlah orang awam yang terkorban akibat serangan tentera pada tahun yang sama, iaitu seramai 3,348 mangsa.

Kemiskinan, sistem jagaan kesihatan yang dilanda perang selama bertahun-tahun dan kesukaran untuk mengakses khidmat kesihatan serta ketaksamaan jantina menyumbang kepada kadar kematian yang begitu tinggi itu.

Cik Dalil adalah mantan Duta dan Wakil Tetap Afghanistan ke PBB di Geneva dan kini bertugas di Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). “Kita perlu mengutamakan kesihatan mental, kehilangan upaya dan penyakit-penyakit tidak berjangkit lain di Afghanistan,” menurut Cik Dalil. Kemajuan pada jagaan kesihatan dibayangi oleh COVID-19 dan konflik yang kian memuncak sejak kebelakangan ini.

Doktor wanita Afghanistan merawat seorang bayi. (Gambar: Worldbank)

UTAMAKAN KESIHATAN WANITA SEBAGAI SYARAT BANTUAN LUAR

Sekiranya rejim baru Taliban bersedia mematuhi rangka kerja hak asasi manusia, maka ada ruang untuk intervensi jagaan kesihatan yang lebih bersasar dan ia akan dibiayai melalui bantuan dan dari luar negara.

Sejak 2002, jagaan kesihatan di Afghanistan dibiayai oleh Bank Dunia, USAID dan Kesatuan Eropah (EU) yang masing-masing menyumbang sepertiga kepada dana berkenaan.

Jeffrey Sachs menarik perhatian dalam rencana Project Syndicate pada bulan lalu bahawa kurang 2 peratus daripada perbelanjaan Amerika Syarikat di Afghanistan sepanjang 20 tahun lalu sebenarnya memanfaatkan rakyat Afghanistan secara langsung. Jika perangkaan ini dijadikan sebagai rujukan, maka masih terdapat ruang untuk terus menyalurkan bantuan kepada mereka yang paling memerlukannya.

Masyarakat antarabangsa, termasuk negara-negara penderma, seharusnya mengenakan syarat ke atas Taliban bagi bantuan yang dihulurkan kepada Afghanistan termasuk menghormati hak wanita dan kanak-kanak perempuan untuk mendapatkan pendidikan dan pekerjaan.

Kaum wanita juga perlu diberikan akses penuh kepada khidmat-khidmat kesihatan tanpa perlu ditemani oleh mahram mereka.

Doktor-doktor wanita juga perlu dibenarkan memakai tudung dan bukan burqa supaya mereka dapat lebih menumpukan perhatian mereka kepada tugas mendiagnosis dan merawat pesakit.

Taliban boleh meneladani negara-negara anggota Muktamar Islam (OIC): Wanita di negara-negara itu mempunyai kebebasan untuk bekerja, termasuk sebagai karyawan perubatan dan melanjutkan pengajian mereka.

Rejim baru Taliban berjanji akan mengiktiraf hak wanita Afghanistan selagi ia mematuhi hukum syariah.

Memberikan akses yang adil dan saksama untuk mendapatkan khidmat kesihatan dan hak untuk belajar dan bekerja dalam bidang perubatan akan menjadi langkah yang tepat ke arah usaha bagi mencapat matlamat tersebut.

MENGENAI PENULIS:

(Gambar: Tbd.community)
Eirliani Abdul Rahman adalah pelajar PhD dalam jurusan kesihatan awam di Universiti Harvard. Beliau adalah zamil kepimpinan Prajna.

Sumber : BERITA Mediacorp/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan