Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Isu-isu yang berakar umbi sejak sekian lama kini memburukkan lagi krisis COVID-19 di India

Ramai pesakit terlantar di luar hospital sedang anggota keluarga mereka berebut-rebut cuba mendapatkan bekalan oksigen. Bencana kemanusiaan yang menimpa India bukanlah sesuatu yang tidak dapat dicegah, kata seorang pengamat perubatan.

Anggaran Waktu Membaca:
KOMENTAR: Isu-isu yang berakar umbi sejak sekian lama kini memburukkan lagi krisis COVID-19 di India

Seorang doktor memeriksa seorang pesakit COVID-19 di sebuah hospital di New Delhi, India pada 1 Mei 2021. (Gambar: REUTERS/Danish Siddiqui)

Diterbitkan : 09 May 2021 03:34PM Dikemas Kini : 09 May 2021 03:48PM

BERITAmediacorp: India kini di ambang bencana kemanusiaan yang sangat dahsyat.

Gelombang kedua penularan COVID-19 di India membebankan tempat-tempat pembakaran mayat. (Gambar: AFP/Manjunath Kiran)

Selewat-lewatnya Mac lalu, jumlah kes jangkitan COVID-19 di kebanyakan wilayah di India boleh dianggap rendah ketika itu.

Ini menyebabkan ramai penduduk bertanggapan bahawa bencana terburuk itu sudah berakhir.

Namun seperti apa yang berlaku di Brazil, semangat nasionalisme yang keterlaluan, sikap sambil lewa dan jaminan palsu yang digembar-gemburkan oleh golongan elit politik mensia-siakan kejayaan awal yang dikecapi ketika itu.

Perhimpunan besar-besaran yang dibenarkan pemerintah kini menjadi tapak penularan jangkitan yang sukar untuk dikawal. Varian-varian yang lebih mudah berjangkit dan kadar vaksinasi yang lemah turut memburukkan lagi penularan COVID-19 di negara itu. Faktor-faktor tersebut mencetuskan krisis yang dihadapi sekarang namun punca sebenarnya terletak pada isu-isu yang sudah sekian lama berakar umbi.

India pada hakikatnya adalah sebuah negara yang berisiko tinggi dilanda wabak. Negara itu mempunyai 1.4 bilion penduduk yang menetap di tempat-tempat tinggal yang padat. Pada masa yang sama, kemudahan-kemudahan seperti sanitasi, pengasingan dan jagaan kesihatan sangat terhad.

Kebanyakan penduduk di India tidak mampu untuk mengasingkan diri bagi tempoh yang panjang. Lebih 90 peratus daripada tenaga buruhnya bekerja sendiri tanpa sebarang perlindungan jaringan sosial. Kehidupan kebanyakan pekerjanya ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.

KEJAYAAN AWAL

Ramai pengamat meramalkan gelombang pertama COVID-19 pada 2020 akan membawa padah kepada India akibat faktor-faktor tersebut.

India tidak mungkin akan mengalami keadaan seburuk itu dan kepercayaan inilah yang dipegang oleh sesetengah penduduk India yang bertanggapan seolah-olah mereka 'kebal' dan tidak mungkin akan dijangkiti COVID-19.

Salah satu teori kuno, iaitu hipotesis kebersihan, disebut-sebut sebagai faktor di sebalik bilangan kes jangkitan yang rendah ketika itu. Teori itu menyimpulkan 'sekitaran yang kotor akan mempertingkatkan imun tubuh seseorang'. Lantaran itu, sekiranya seseorang itu terdedah kepada koronavirus, maka tubuh badannya sudah bersiap sedia untuk 'melawan' jangkitan virus tersebut.

Namun teori tersebut sebahagian besarnya berasaskan kajian yang gagal mengambil kira pelbagai faktor yang turut menyumbang kepada kemudaratan yang dialami oleh seseorang pesakit. Sungguhpun penyelidikan lebih bermutu sudah dijalankan, hubung kait tidak semestinya menunjukkan sebab-akibat, lebih-lebih lagi dengan kemunculan varian-varian baru di negara-negara lain.

Malangnya, teori kuno itu diterima bulat-bulat oleh sesetengah penduduk India.

PUNCA LONJAKAN ANGKA KORBAN

Sikap sambil lewa memberi peluang kepada koronavirus untuk merebak dengan lebih pantas. Tidak seperti keadaan semasa gelombang pertama, lebih banyak jangkitan dalam gelombang kedua membawa kepada angka korban yang lebih tinggi, di samping melumpuhkan sistem jagaan kesihatan negara itu.

Bekalan oksigen, alat bantuan pernafasan, jumlah kakitangan perubatan dan katil hospital sangat rendah di kawasan-kawasan seperti New Delhi. Namun jumlah pesakit yang begitu ramai memerlukan rawatan darurat, turut mendedahkan kelemahan struktur yang sejak sekian lama membelenggu sistem jagaan kesihatan India.

India dijangka membuka program vaksinasi COVID-19 kepada semua orang dewasa tetapi banyak wilayah tidak mempunyai bekalan vaksin. (Gambar: Punit Paranjpe/AFP)

Usia pesakit merupakan satu-satunya faktor terbesar yang menyumbang kepada kemudaratan penyakit dan risiko berlaku kematian akibat COVID-19.

India mempunyai ramai penduduk yang sangat muda, dengan hanya 6 peratus penduduk yang berusia 65 tahun dan ke atas. Walaupun dijangkiti varian yang lebih memudaratkan, kebanyakan penduduk India sepatutnya beransur pulih di rumah tanpa perlu dirawat di hospital.

Namun penduduk pertengahan usia di India yang rata-rata kurang sihat, melemahkan kelebihan tersebut.

PENCEMARAN DAN MASALAH KEGEMUKAN

Pencemaran udara berkait rapat dengan penyakit paru-paru dan jantung. Sebanyak 17.8 peratus daripada kesemua kematian di India yang dicatatkan pada 2019 disebabkan oleh pencemaran. New Delhi, yang kini bergelut dengan kekurangan bekalan oksigen yang mendadak adalah ibu kota yang paling tercemar di dunia.

Obesiti juga semakin mendapat perhatian di India dengan kadar kegemukan yang tinggi di kawasan-kawasan bandar di mana terdapat paling banyak kes COVID-19. Nisbah pesakit kencing manis dalam kalangan penduduk berusia 50 hingga 69 tahun melepasi 30 peratus, iaitu pada kadar jauh lebih tinggi berbanding negara-negara Asia yang lain. Sekitar 20 peratus wanita yang mencecah usia reproduktif, menghidap tekanan darah tinggi yang tidak didiagnosis.

Saudara seorang pesakit COVID-19 yang meninggal dunia akibat virus itu, di Jammu, India. (Gambar: AP /Channi Anand)

Kesemua faktor itu berisiko tinggi menyebabkan kematian sekiranya seseorang dijangkiti COVID-19. Penduduk yang kurang sihat juga menyumbang kepada angka korban yang lebih tinggi memandangkan khidmat rawatan bagi penyakit bukan COVID-19 terpaksa digantung atau ditangguhkan semasa keadaan darurat seperti sekarang.

Meskipun India berdepan dengan keperluan jagaan kesihatan yang menggenting, jumlah perbelanjaan kesihatan di India membentuk hanya 3.9 peratus daripada Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP), iaitu kurang daripada minimum 5 peratus yang disarankan untuk mencapai perlindungan kesihatan universal bagi setiap rakyatnya.

India masih ketandusan sumber yang sangat-sangat diperlukan untuk membina sistem jagaan kesihatan yang kukuh, berdaya bingkas dan serba lengkap.

Sebaliknya dana awam disalurkan kepada sistem berdasarkan hospital yang sebahagian besarnya dikendalikan oleh sektor swasta. Ramai penduduk tidak mempunyai perlindungan insurans yang secukupnya dan perlu mengeluarkan belanja sendiri setiap kali menjalani rawatan.

Ini boleh meningkatkan kos dan menimbulkan kelengahan yang tidak perlu untuk mendapatkan rawatan dan lantaran itu ramai penduduk terpaksa berfikir dua kali sebelum mendapatkan rawatan atau menjalani ujian perubatan – iaitu faktor-faktor yang kritikal untuk mengekang penularan di peringkat awal.

KEGAGALAN PASARAN JAGAAN KESIHATAN

Institusi-institusi swasta yang dikendalikan sedemikian rupa bergantung kepada jumlah orang yang jatuh sakit untuk menjana pendapatan. Dalam erti kata lain, tiada insentif untuk mencegah penyakit.

Sistem jagaan kesihatan yang sebahagian besarnya mengutamakan kepentingan komersil dan mengejar keuntungan dengan merawat lebih ramai pesakit telah melencongkan pelaburan daripada fungsi-fungsi kesihatan awam yang penting. Kegagalan pasaran sedemikian menyumbang kepada kemudaratan India dan banyak kematian yang boleh dicegah atau dapat dihindarkan semasa pandemik ini.

Meskipun pusat-pusat jagaan asas dan skim insurans kesihatan sudah diperluaskan untuk memanfaatkan golongan miskin baru-baru ini, infrastruktur jagaan kesihatan India masih belum diselaraskan dengan keperluan rakyat negara itu. Akibatnya, keupayaan untuk membendung jangkitan menerusi langkah-langkah seperti pemantauan, ujian, pengesanan kontak, bimbingan dan penyelidikan sangat terbatas sejak pandemik COVID-19 mula menular di negara itu.

Usaha untuk mencegah dan mengawal penyakit kronik juga terabai sejak sekian lama dan bebannya kini semakin berat terhadap para penduduk India.

Mayat mangsa COVID-19 diusung ke kawasan pembakaran mayat di New Delhi, India.(Gambar: AP/Amit Sharma)

India berisiko tinggi dilanda wabak dan keadaan yang menimpa negara itu sekarang tidak dapat dielakkan.

Sedang lebih ramai penduduk India dijangkiti koronavirus, jumlah penduduk yang rentan akan menyusut dan penularan COVID-19 akan mereda dan India akan membangun semula. Maka itu, akan ada peluang untuk India menyemak semula matlamat-matlamat asas sistem jagaan kesihatan negara itu.

Sebagai persiapan bagi menangani wabak-wabak hari muka, meningkatkan kapasiti hospital adalah sesuatu yang perlu dilakukan dan usaha sedemikian pula tidak seharusnya terhenti di situ saja.

Kematian harus dielakkan bukan setakat dengan merawat penyakit tetapi juga dengan mencegahnya sama sekali.

MENGENAI PENULIS:
Vageesh Jain adalah Zamil Klinikal Akademik NIHR bagi Perubatan Kesihatan Awam di Kolej Universiti London. Rencana ini pertama kali diterbitkan di laman The Conversation. 

Sumber : BERITA Mediacorp/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan