Images
  • komentar man
    Biro Narkotik Pusat (CNB) melancarkan buku bagi kanak-kanak tentang bahaya dadah. (Gambar: Mediacorp)

KOMENTAR: Isu dadah boleh ditangani menerusi langkah-langkah inspirasi

BERITAmediacorp: Perangkaan terbaru mengenai penyalahgunaan dadah dalam kalangan pesalah kali pertama amat membimbangkan. Dan langkah pencegahannya haruslah melibatkan strategi yang kreatif dan bersepadu, menurut tulisan Khalid Awang, anggota Rangkaian Anti-Drug Abuse Advocacy di bawah naungan Majlis Mencegah Penyalahgunaan Dadah Kebangsaan (NCADA).

Laporan terkini Biro Narkotik Pusat (CNB) menunjukkan 40 peratus daripada mereka yang diberkas tahun lalu atas kesalahan berkaitan dadah adalah pesalah kali pertama.

Dan antara pesalah-pesalah baru ini, 60 peratus daripada mereka berusia 30 tahun ke bawah.

Perangkaan terbaru ini menunjukkan satu trend yang amat mencemaskan, terutama sekali dengan semakin ramai dalam kalangan belia yang memandang ringan terhadap penggunaan dan penagihan dadah.

Ia juga menimbulkan tanda tanya sekiranya program-program mencegah dan membasmi jenayah berkaitan dengan dadah di sini sudah mula kurang berkesan.

PERANG BESAR

Usaha-usaha pemerintah serta gabungan antara badan-badan bantu diri dan sosial dalam membanteras isu dadah buat masa ini menghadapi cabaran amat besar.

Cabaran ini melibatkan perkelahian ideologi dan perspektif, di mana pengaruh-pengaruh liberal yang semakin berleluasa di laman blog dan media sosial memaparkan dadah itu tidak merosakkan atau berbahaya.

Malah, ada juga antara kumpulan-kumpulan netizen yang mempersoalkan pendirian pemerintah yang bertindak tegas terhadap dadah tapi kurang prihatin terhadap arak dan rokok.

GAMBARAN MENGHAMPAKAN

Jika direnungkan dengan terperinci sebab-sebabnya seseorang individu itu terjerumus ke dalam jurang dadah, kebenarannya amat menghampakan.

Sebahagian besar daripada mereka bermula sekadar ingin mencuba atas pujuk rayu teman-teman mereka yang sudah aktif menggunakan dadah.

Satu amalan yang bermula sebagai perbuatan kasual dengan cepat menjadi satu ketagihan yang sukar dikawal disebabkan kesan dadah yang melumpuhkan kecerdasan seseorang.
(Gambar: Captains of Lives/Facebook)

Perangkap yang disediakan oleh pengedar-pengedar dadah sudah semakin canggih dengan menubuhkan sistem pengedaran yang berangkai dan menggunakan alat-alat terkini untuk mengawal pasaran mereka.

Jika dahulu penagihan dadah hanya berleluasa dalam kalangan masyarakat pincang, namun sejak kebelakangan ini ia semakin ketara juga di antara keluarga yang stabil.

Dengan kelebihan yang ada dan serba berkemampuan, mereka kini berupaya memperolehi dan menampung tabiat penggunaan dadah mereka dengan lebih mudah lagi. Inilah yang amat membimbangkan.

STRATEGI CEGAH DAN BASMI
(Gambar: BERITAmediacorp)

Inisiatif pencegahan sebagai strategi mengatasi masalah dadah merupakan langkah yang sangat kritikal dan akan memberi kesan yang berpanjangan jika dilaksanakan dengan sempurna.

Aktiviti-aktiviti berkenaan harus digabungkan dengan usaha-usaha ofensif badan-badan penguatkuasaan dan dengan perundangan yang keras untuk mengukuhkan lagi perjuangan menentang dadah.
(Gambar: BERITAmediacorp)

Pakar sosiologi dan kaunselor boleh dikerahkan untuk bantu melakar program-program pencegahan dadah yang berunsurkan nilai–nilai positif.

Melalui kempen-kempen yang relevan, program-program pencegahan tersebut boleh disebarkan kepada masyarakat umum untuk dijadikan umpama senjata pertempuran mereka.

STRUKTUR SOKONGAN UTAMA

Selain usaha-usaha memerangi dadah yang diterajui oleh pemerintah dan badan-badan bantu diri, amat penting juga bagi setiap individu dan unit keluarga masuk gelanggang menyertai perjuangan ini.

Bak kata pepatah, "jangan sampai laki pulang kelaparan, dagang lalu ditanakkan."

Cara yang paling 'afdal' sekali untuk membentuk keluarga yang berkembang maju adalah dengan mewujudkan suasana kondusif di rumah.

Dari setiap perkataan, ke perbualan, ke pergurauan dan sebagainya, ahli keluarga perlu merasakan semangat bersatu padu dan perhubungan yang erat antara satu sama lain.

Ini adalah langkah pertama yang tidak boleh dielakkan.

Dengan hubungan keluarga yang rapat, aktiviti-aktiviti yang dianjurkan oleh keluarga itu tadi akan mendapat sambutan sepenuhnya ahli keluarganya dan ini akan menggalakkan lebih banyak lagi aktiviti-aktiviti yang bermakna diadakan.

Orang tua di rumah juga perlu mengambil pendirian tegas terhadap dadah supaya anak-anak mereka memahami yang dadah itu satu perkara yang wajib dijauhi.

Dengan menggunakan kegiatan-kegiatan bersama sebagai platfom untuk menyebarkan berita buruk tentang dadah, ia boleh dilakukan dengan cara sembang santai.

GAYA HIDUP SIHAT
(Gambar: BERITAmediacorp)

Amalan kebiasaan yang dilakukan setiap hari dengan secara langsung akan mendatangkan kesan yang setimpal. Kalau amalan itu melibatkan perkara kurang aktif, kelesuan akan berlaku dan ini akan membuka peluang kepada isu-isu negatif menyerap masuk.

Sebaliknya begitu juga, sekiranya hari itu dipenuhi dengan aktiviti-aktiviti yang membangun, ia akan mengakibatkan kesan yang positif.

Gaya hidup sihat menumpukan perhatian kepada kesihatan mental dan fizikal.

Bersukan bersama keluarga atau dengan teman-teman terdekat misalnya, bukan hanya merapatkan hubungan antara satu sama lain, malah meningkatkan tahap kesejahteraan secara menyeluruh.

Minda yang sihat tidak berlaku dengan cara tidak sengaja. Ia perlu dirancang dan diiringi dengan amalan-amalan yang menggalak perkembangan minda yang positif.

Dengan aktiviti-aktiviti yang membangun itu seperti bersukan atau meluangkan masa sebagai sukarelawan di rumah-rumah kebajikan, membaca dan seterusnya, masa seseorang itu akan dipenuhi dengan kegiatan-kegiatan yang positif.

Ini semua jika dilakukan boleh menepis dugaan daripada anasir-anasir yang mengedar dadah.

Mengenai Penulis: 

Khalid Awang adalah anggota Rangkaian Anti-Drug Abuse Advocacy (A3) di bawah naungan Majlis Mencegah Penyalahgunaan Dadah Kebangsaan (NCADA). Peranan beliau dalam A3 termasuk mendampingi dan menyebarkan mesej antidadah kepada ibu bapa, pelajar, bekas penagih dan pesalah dadah serta keluarga mereka.

- BERITAmediacorp/ai

Top