Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

KOMENTAR: Ini kehebatan Ketupat, sejarah dan fungsinya yang ramai orang tidak tahu

Tahukah anda, makanan tradisional Melayu bernama ketupat, suatu makanan yang begitu tua, dan dikatakan sudah tersurat dalam catitan sejarah seawal tahun 691 Masihi? 

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAMediacorp: Tahukah anda, makanan tradisional Melayu bernama ketupat, suatu makanan yang begitu tua, dan dikatakan sudah tersurat dalam catitan sejarah seawal tahun 691 Masihi? Kini ketupat sudah menjadi begitu lazim.

Namun hakikatnya ramai orang Melayu sendiri kurang tahu akan keluarbiasaannya. Kurang tahu akan sejarah, fungsi dan peranan ketupat secara lebih mendalam, dalam dunia dan kehidupan Melayu. Dalam artikel KOMENTAR yang ditulis beliau untuk BERITAMediacorp ini, Dr Mohd Faizal Musa atau nama penanya Faisal Tehrani, mengupas dengan begitu menarik makanan bernama ‘ketupat’ menerusi galian dan lensa yang menawan lagi mendalam:

(Gambar hiasan: Bay Ismoyo/AFP)

(Gambar hiasan: Bay Ismoyo/AFP)

KETUPAT adalah salah satu makanan yang dikongsi oleh seluruh bangsa Melayu di Nusantara. Jika kita menekuni sejarah ketupat, kita akan mendapati makanan ini mempunyai magis yang luar biasa. Berdasarkan catatan pendeta Buddha bernama I-Tsing kita mengetahui banyak perkara yang tidak tersangkakan.

Tujuan I-Tsing adalah India, tetapi beliau menyinggah di Srivijaya (Palembang) dua kali dan salah satunya adalah antara tahun 691 ke 692 . I-Tsing menyatakan Srivijaya (Mo-lo-yu atau Shih-li-fo-shih atau Sribhoga) adalah kota pelabuhan yang penting.

Negeri Melayu ini juga kaya dengan emas. Srivijaya juga menggunakan mata wang emas dan perak. Penghuni Srivijaya memakai minyak wangi, mengenakan pakaian kan-man atau kain sarung meskipun berkaki ayam sebagai satu kebiasaan. Di pelabuhan terlihat kesibukan saudagar memperdagangkan antara lain rotan, pinang, dan kelapa.

Akan tetapi bahagian yang lebih memukau ialah pesta agama di Srivijaya pada waktu itu dilaporkan sangat meriah, di mana terdapat majlis berbuka puasa yang melibatkan jamuan khas dengan hidangan pelbagai juadah dari daging. Paling penting I-Tsing merakamkan bahawa orang Melayu pada waktu itu sudah menjamah ketupat sebagai hidangan istimewa.

KETUPAT DIJUNJUNG TINGGI DI ALAM MELAYU

Selain menjadi makanan utama di biara Buddha, candi-candi kerajaan kuno seperti Majapahit dan Pajajaran, turut menjadikan ketupat makanan unggul tatkala tradisi pemujaan Dewi Sri, iaitu dewi tanaman dan kesuburan, yang dianggap pelindung kelahiran, rezeki dan kemakmuran. Dewi Sri ini sangat penting bagi masyarakat pertanian di Jawa.

Kemagisan ketupat tidak terhad di Jawa, di Pantai Timur Tanah Melayu, upacara rawatan Main Teri akan melibatkan ketupat. Ketika upacara ini bangsal Teri yang dipasang di laman rumah akan dipasang pada lelangitnya makanan seperti putu dan ketupat daun palas .

(Gambar hiasan: AFP/Bay Ismoyo)

(Gambar hiasan: Bay Ismoyo/AFP)

Selain itu, ketupat juga dinobat setingginya di kala upacara Hindu di alam Melayu. Di Bali, hingga kini, terdapat ritual Perang Ketupat atau Aci Rah Pengangon yang merupakan upacara untuk mengungkapkan rasa syukur kepada Sang Hyang Widhi, atas hasil tuaian. Upacara ini juga berfungsi untuk memohon keselamatan dan kesejahteraan umat manusia.

Di Lombok ritual Perang Ketupat ini menjadi lebih menarik. Untuk penganut Hindu, ketupat dihadirkan bagi merai upacara Pujawali. Sedangkan penganut Islam menghadirkan ketupat untuk mengenang atau tahlil Raden Mas Sumilir, seorang pendakwah dari Demak, Jawa Tengah, yang menyiarkan Islam di Lombok pada abad 15.

PENYEBARAN ISLAM TIDAK MEMATIKAN KETUPAT

Penyebaran Islam ke rantau ini oleh bangsa Arab tidak merubah bangsa Melayu. Tidak umat Melayu terhegeh-hegeh pada waktu itu untuk menukar diri menjadi Arab. Sebaliknya kemelayuan yang mudah itu diberi erti baharu pada budaya. Makanya ketupat yang tadi menjadi makanan istimewa di biara Srivijaya dan candi Majapahit kini menjadi simbol dakwah yang marak di pedalaman Jawa.

Kerajaan Demak menyaksikan ketupat dipromosi sebagai juadah khas ritual keIslaman . Apabila Walisongo membawa Islam ke kampung-kampung di Jawa, menyedari budaya agraris pulau tersebut, Sunan Kalijaga mempakej semula ketupat sebagai makanan khas umat Islam pula. Ketupat yang memang sudah dikenali masyarakat itu dipersembahkan kembali sebagai ‘perayaan lebaran ketupat’, iaitu perayaan pada tarikh 8 Syawal (hari kelapan Aidil Fitri) dan demi merayakan penganut Islam yang enam hari berpuasa sunat Syawal.

Perlahan-lahan berlaku nyahsakralisasi Dewi Sri dan nyahmitologisasi. Apa yang berlaku, Dewi Sri kini tidak lagi dipuja sebagai dewa padi atau kesuburan tetapi dikecilkan sebagai lambang yang terserlah dalam bentuk ketupat yang bermakna ucapan syukur kepada Tuhan Yang Maha Esa.

(Gambar hiasan: Tengku Bahar/AFP)

(Gambar hiasan: Tengku Bahar/AFP)

KETUPAT ATAU ‘KUPAT’ BERMAKNA ‘MENGAKU BERSALAH’

Slamet Mulyono dalam kamus Jawa susunannya merujuk ketupat sebagai kupat, atau mengaku bersalah, justeru bertaubat. Maka ia dikaitkan dengan hari fitrah atau hari raya selepas sebulan berpuasa. Beliau juga memaknakan ketupat sebagai kiblat papat limo pancer. Dalam hal ini papat di sini dimaknai sebagai lambang empat arah mata angin utama iaitu timur, barat, selatan, dan utara.

Jadi, apa pun pacer (arah) seseorang itu, ia akan tetap berhalakan kiblat, sebagai salah satu syiar agama Islam. Maka ketupat dilekatkan dengan semangat keagamaan yang baharu – Islam.

Menyinggung kembali acara Perang Ketupat di Bali dan Lombok, ia dikatakan bermula apabila orang Hindu dari Bali ingin berhijrah ke Lombok pada abad 16. Mereka mendarat di Desa Lingsar yang sudah dihuni orang Islam. Kedatangan orang Bali itu hampir mengakibatkan perang tetapi segera didamaikan oleh seorang ulama yang menyarankan ‘Perang Ketupat’ ini. Pada hari ‘Perang Ketupat’ tersebut, penganut Hindu dan Islam akan saling menyerang dengan cara mesra iaitu membaling atau melempar ketupat, bukannya menumpahkan darah.

KETUPAT – SIMBOL PELBAGAI AGAMA, JAMBATAN DAMAI

Jelaslah ketupat menjadi simbol pelbagai agama di alam Melayu, merentasi Buddha, kepercayaan Kejawen, pagan dan Islam. Malah, ketupat menjadi jambatan antara kepercayaan yang sangat damai.

(Gambar hiasan: Aman Rochman/AFP)

(Gambar hiasan: Aman Rochman/AFP)

Ketupat dapat menjadi hujah kriteria asas gastronomi Melayu. Ini kerana ketupat dibahan dari beras, dan daun kelapa yang rumit anyamannya. Pokok kelapa sangat dikait dengan orang Melayu. Malah seperti yang dinyatakan tadi, kelapa adalah nadi ekonomi Srivijaya. Tumbuhan palma ini juga sangat berguna dalam kehidupan harian di mana lidinya menjadi penyapu, pelepah menjadi bahan bakar dan penakung minuman, selain diguna sebagi minyak masak, dan santan.

Malah umbut, bumbang, tambul dan buah turut dimanfaatkan sebagai makanan. Dalam hal ini daun kelapa dijadikan pembalut ketupat yang unik. Sukar untuk menghujahkan makanan Melayu tanpa kelapa, maka jika ada juadah Melayu direbutkan oleh bangsa lain; kewujudan kelapa dalam bahan masakan atau penyediaan makanan dapat menjadi pelerai. Dalam hal ini, satu hujah yang sukar disanggah adalah daun ketupat selalunya diambil dari kelapa.

KETUPAT BELAYAR, BERKUAH, BERINTI

Selain fungsi agama di atas, ketupat adalah makanan terpilih untuk pelaut Melayu. Sebagai misalan, berdasarkan pantun dari ‘Syair Asli Rajang Hari’, kita mengetahui pelayar di Brunei membawa ketupat dalam perjalanan jauh mereka.

Anyam ketupat bawa belayar
Diletak di atas peti
Hutang piutang dapat dibayar
Terhutang jasa dibawa mati

Akhir sekali, bagaimanakah ketupat dimakan, selain ketika upacara keagamaan?

Berdasarkan pantun dari ‘Lima Puluh Pantun’ kita menemukan ketupat sering menjadi ganti nasi, dan tetap dimakan berkuah:

Makan ketupat bersama kuah
Nasi tidak dimakan lagi
Sudah dapat gading bertuah
Tanduk tidak berguna lagi.

(Gambar hiasan: Bay Ismoyo/AFP)

(Gambar hiasan: Bay Ismoyo/AFP)

Ketupat itu juga tidak semestinya dimakan kosong, malah boleh dibubuh inti. Za’ba ada merakam serangkap pantun dalam ‘Ilmu Mengarang Melayu’ yang memperihalkan cara memakan ketupat berinti ini:

Nyiur gading tinggi menjulang
Masak ketupat berisi inti
Buah delima di dalam cawan
Hancur daging berkecai tulang
Belum dapat belum berhenti
Hendak bersama denganmu tuan.

Jelas sekali ketupat memiliki kekuatan dan kehebatan tersendiri sebagai juadah tradisi agama. Sejarah ketupat yang panjang di alam Melayu menjadikan ketupat sejenis makanan yang sangat bermakna dan perlahan-lahan ia juga diterima oleh masyarakat Cina yang berhijrah ke alam Melayu. Ketupat kemudian diadoptasi dalam budaya pemakanan mereka.

Hari ini ketupat masih memain peranan sosialnya yang sungguh unik ketika majlis-majlis agama. Tidak dapat dinafikan ketupat akan terus menjadi hidangan wajib orang Melayu dan budaya luar biasa ini tentunya menjadi kecemburuan bangsa-bangsa lainnya.

Faisal Tehrani. (Gambar: BERITAMediacorp)

(Gambar: BERITAMediacorp)

MENGENAI PENULIS:

Dr Mohd Faizal Musa atau lebih dikenali dengan nama pena Faisal Tehrani, berusia 42 tahun, ialah seorang pengkaji, novelis terkenal dan pejuang hak asasi manusia dari Malaysia. Beliau kini bertugas sebagai zamil penyelidik di Institut Alam dan Tamadun Melayu.

Pengarang hampir 40 buah buku ini, termasuk lebih 20 buah novel, boleh dinobatkan sebagai salah seorang pemikir yang tajam dalam dunia penulisan Melayu, kerana banyak melontarkan idea-idea baru menerusi karya-karya beliau. Sudah banyak karyanya memenangi pelbagai hadiah persuratan, termasuk Hadiah Sastera dan Anugerah Seni Negara di Malaysia. Novel-novel beliau digunakan sebagai sebagai teks pengajian universiti di negara seperti Jerman.  

Sumber : BERITA Mediacorp/nd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan